Sasana Symposium 2026 Menekankan Pembaharuan sebagai Faktor Utama Pembinaan Daya Tahan dalam Mengharungi Arus Ketidakpastian Global

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1030 pada Selasa, 28 Julai 2026
28 Jul 2026 Siaran Akhbar

Pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik dan wakil masyarakat sivil berhimpun di Sasana Kijang hari ini untuk menghadiri Sasana Symposium 2026 (SS2026), platform kepimpinan pemikiran tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) yang membincangkan isu-isu ekonomi dan kewangan utama.

Berlangsung pada 28 dan 29 Julai, SS2026 membawa tema “Pembaharuan Demi Daya Tahan: Mengharungi Arus Ketidakpastian”. Melalui sesi pleno, bual bicara santai dan audio siar (podcast), perbincangan merangkumi isu-isu penting yang membentuk masa hadapan ekonomi dan kewangan Malaysia. Antara topik yang dibincangkan ialah daya tahan ekonomi, gaji, cabaran kos sara hidup, pelaburan, keselamatan tenaga, kewangan Islam dan kos penjagaan kesihatan swasta.

Gabenor BNM Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour dalam ucaptama beliau menekankan kepentingan meneruskan usaha pembaharuan bagi terus memperkukuh daya tahan Malaysia dalam menghadapi persekitaran global yang pantas berubah serta penuh ketidakpastian.

“Daya tahan bukanlah bermaksud mengekalkan keadaan seperti sedia ada. Sebaliknya, daya tahan menuntut kita untuk sentiasa memperbaharui keupayaan membuat penyesuaian dan merebut peluang baharu yang muncul seiring dengan perkembangan keadaan,” ucap beliau.

Gabenor juga menegaskan bahawa sistem kewangan perlu berevolusi selaras dengan kemajuan negara. Menurut beliau, “Pelan Sektor Kewangan 2027–2030 BNM yang bakal dilancarkan akan berpandukan tiga aspirasi utama: kewangan untuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, kewangan untuk masyarakat yang lebih makmur dan memperteguh sistem kewangan Malaysia untuk masa hadapan.”

iTEKAD Kerjaya yang dilancarkan semasa SS2026 merupakan program terbaharu di bawah naungan inisiatif kewangan sosial iTEKAD yang melengkapi program Keusahawanan dan Perlindungan. Program terbaharu ini menyokong individu daripada komuniti yang mudah terjejas untuk mendapatkan pekerjaan dan pendapatan yang stabil. Melalui kerjasama antara institusi kewangan,[1] penyumbang dana, penyedia latihan dan syarikat korporat,[2] peserta akan dibekalkan dengan latihan kemahiran, pendidikan kewangan, sokongan penempatan pekerjaan serta akses kepada penyelesaian kewangan. Dengan menyediakan laluan yang lebih tersusun ke arah pekerjaan, program ini membantu peserta rakyat Malaysia membina sumber pendapatan yang mampan, meningkatkan kesejahteraan kewangan dan memperbaiki taraf hidup.

Untuk maklumat lanjut mengenai iTEKAD Kerjaya, sila layari bnm.gov.my/itekad-employment.

Untuk maklumat lanjut mengenai Sasana Symposium 2026, sila layari bnm.gov.my/ss2026.


[1] Institusi kewangan yang mengambil bahagian ialah Bank Islam, Bank Mualamat, CIMB Islamic Bank, Maybank Islamic, Public Islamic Bank, RHB Islamic Bank dan SME Bank.

[2] Rakan kerjasama terdiri daripada Carsome Academy, GIATMARA, KHTP Skills Centre, KMI Healthcare Sdn. Bhd., Lembaga Tabung Haji, Majlis Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Perlis, Pahang Skills Development Centre, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (PEYATIM), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP), University College Bestari (UCB), Yayasan Kebajikan Negara, Yayasan Pahang Advanced Skills, Yayasan Pelajaran MARA, Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) dan Zurich Takaful.


Bank Negara Malaysia
28 Julai 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?