Satu lesen bank perdagangan dikeluarkan kepada bank dari India

Embargo: Untuk siaran segera
16 Apr 2010 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa Menteri Kewangan telah meluluskan pengeluaran satu lesen bank perdagangan kepada sebuah syarikat yang akan diperbadankan di Malaysia. Syarikat tersebut akan ditubuhkan oleh Bank of Baroda (40%), Indian Overseas Bank (35%) dan Andhra Bank (25%). Lesen ini merupakan lesen yang diberikan semula kepada sebuah bank perdagangan dari India yang sebelum ini pernah beroperasi di Malaysia. Operasi bank tersebut telah dimansuhkan berikutan keperluan di bawah Akta Bank 1973 yang tidak membenarkan mana-mana bank perdagangan di bawah kawalan penuh kerajaan asing untuk memegang lesen perbankan di Malaysia. Pengeluaran lesen ini bagaimanapun bukan sebahagian daripada lesen perbankan komersial baharu yang akan dikeluarkan di bawah inisiatif liberalisasi yang diumumkan pada 27 April 2009. Ini merupakan sebahagian daripada perbincangan dalam hubungan dua hala antara India dengan Malaysia semenjak tahun 2003.

Penyertaan bank perdagangan India yang baharu ini akan terus memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan antara Malaysia dengan India. Di samping itu, penyertaan ini dijangka menyumbang ke arah pembangunan keseluruhan sektor kewangan yang lebih pelbagai di Malaysia.


Bank Negara Malaysia
16 April 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?