Semakan Had Pelaburan bagi Kemudahan Kredit oleh Penanggung Insurans Hayat
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa berkuat kuasa serta-merta, had pelaburan bagi pelaburan dalam kemudahan kredit oleh penanggung insurans hayat untuk tujuan memenuhi keperluan margin kesolvenan (MOS) minimum telah dinaikkan daripada 50% kepada 70% daripada MOS. Kemudahan kredit termasuk pinjaman langsung yang diberikan oleh penanggung insurans dan pelaburan dalam sekuriti hutang swasta dengan penarafan minimum 'BBB' atau 'P3' atau penarafan setara dengannya yang diberikan oleh agensi penarafan yang ditubuhkan di Malaysia atau mana-mana agensi penarafan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Keperluan pelaburan ini bertujuan menggalakkan dasar pengurusan pelaburan penanggung insurans yang berhemat dan bagi menjaga kualiti aset penanggung insurans secara keseluruhan untuk menampung liabiliti mereka terhadap pemegang polisi dan pihak menuntut. Keperluan pelaburan ini termasuk spesifikasi jenis aset yang boleh diambil kira bagi tujuan memenuhi keperluan MOS minimum penanggung insurans, dan had pelaburan bagi mengelakkan tumpuan risiko yang berlebihan terhadap mana-mana kelas aset yang tertentu.
Liberalisasi kepada had pelaburan bagi kemudahan kredit akan membolehkan penanggung insurans hayat mencapai padanan aset-liabiliti yang lebih baik. Secara khusus, semakan itu akan memberi penanggung insurans hayat fleksibiliti yang lebih untuk melabur dalam bon jangka panjang berkualiti tinggi yang menawarkan aliran pendapatan yang lebih stabil, bersesuaian dengan obligasi jangka panjang polisi insurans hayat yang dijual. Ini seterusnya akan meningkatkan permintaan penanggung insurans hayat terhadap bon berkualiti tinggi, dan dengan itu menyumbang kepada pembangunan pasaran modal domestik.
Bagi memastikan bahawa peningkatan fleksibiliti pelaburan yang diberi kepada penanggung insurans hayat tidak menambah risiko kewangan kepada pemegang polisi dengan ketara:
- pelaburan dalam sekuriti hutang swasta dengan penarafan di bawah 'AA' atau penarafan setara dengannya tidak boleh melebihi 30% daripada MOS penanggung insurans; dan
- agregat pinjaman langsung yang diberi oleh penanggung insurans tidak boleh melebihi 20% daripada MOS penanggung insurans.
Liberalisasi dan semakan had pelaburan ini dijangka tidak akan menyebabkan penanggung insurans hayat membuat penyeimbangan semula jangka pendek pembahagian aset yang sedia ada. Ini kerana peningkatan pelaburan dalam sekuriti hutang swasta dijangka dibuat melalui dana yang dijana daripada jualan polisi baru atau lebihan dalam pegangan tunai masa kini. Penanggung insurans yang telah mematuhi keperluan margin kesolvenan minimum selaras dengan keperluan aset yang dibenarkan, masih bebas untuk melabur lebihan dana mereka dalam mana-mana aset pilihan mereka.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.