Serbuan ke atas dua Pengurup Wang Asing yang disyaki haram

Embargo: Untuk siaran segera
23 Okt 2000 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) pada hari ini telah membuat serbuan keatas dua operator pengurup wang yang disyaki beroperasi secara haram di Johor Bharu. Sejak Akta Pengurupan Wang di implementasikan pada 25 September 1998, BNM telah membuat 20 serbuan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor Dan Langkawi berikutan dari aduan-aduan yang diterima dari orang ramai. Serbuan- serbuan ini bertujuan untuk melindungi kepentingan orang ramai, pelancung- pelancung dan pengurup-pengurup wang yang berlesen.

Dibawah Akta Pengurupan Wang 1998 (Akta), adalah menjadi satu kesalahan untuk menjalankan perniagaan pertukaran wang tanpa dilesenkan oleh BNM. Seksyen 4 Akta tersebut memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-dua nya sekali, keatas mereka yang didapati bersalah menjalankan perniagaan pengurupan wang secara haram.

Orang ramai diingatkan supaya mendapatkan perkhidmatan pertukaran asing hanya daripada pengurup-pengurup wang yang berlesen dan peniaga-peniaga yang diberi kuasa, iaitu bank-bank perdagangan (termasuk "bureau de change" yang tubuhkan oleh bank-bank), dan Bank Islam Malaysia Berhad, untuk memastikan bahawa mereka menerima wang pertukaran asing yang sah dan resit-resit yang betul.

Pemilik-pemilik bangunan dan kompleks adalah juga dinasihatkan supaya menyewakan bangunan mereka hanya kepada pengurup-pengurup wang yang berlesen. Pemilik-pemilik bangunan yang mengetahui bahawa penyewa- penyewa bangunan mereka adalah operator-operator pengurup wang secara haram, dan menyewakannya kepada mereka secara berterusan, mungkin akan didakwa bersubahat dengan operator-operator haram tersebut.


Bank Negara Malaysia
23 Oktober 2000

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?