Serbuan ke atas Pengurup Wang Asing Haram di Johor Bahru
Berikutan daripada aduan yang diterima dari orang ramai, pegawai-pegawai penyiasat Bank Negara Malaysia (BNM) pada hari ini telah membuat serbuan ke atas premis sebuah syarikat di Johor Bharu City Square, Jalan Wong Ah Fook, Johor Bharu, kerana disyaki mengambil deposit secara haram. Rumah-rumah kediaman pengarah-pengarah syarikat terbabit juga telah diserbu di dalam operasi tersebut, yang telah dijalankan bersama-sama dengan pihak polis.
Semasa serbuan tersebut, dokumen-dokumen berkaitan, peralatan pejabat dan wang tunai telah dirampas. Pernyataan telah direkodkan dari pengarah-pengarah syarikat tersebut dan pihak pihak lain yang berkenaan untuk membantu siasatan.
BNM akan menjalankan siasatan terhadap pengusaha yang disyaki menjalankan skim pengambilan deposit secara haram kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (ABIK).
Sekiranya disabitkan kesalahan, pengusaha skim pengambilan deposit secara haram boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya sekali. Dalam kes kesalahan yang berterusan, operator pengambilan deposit secara haram boleh dikenakan hukuman denda harian tidak melebihi RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.
Di bawah ABIK, hanya institusi-institusi kewangan berlesen yang dibenarkan mengambil deposit. Institusi-institusi kewangan berlesen terdiri daripada bank-bank perdagangan, syarikat-syarikat kewangan, bank-bank saudagar dan rumah-rumah diskaun.
Orang ramai sekali lagi dinasihatkan agar tidak terlibat di dalam apa juga aktiviti pengambilan deposit secara haram untuk mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa skim-skim tersebut. BNM ingin mengingatkan orang ramai bahawa mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan bersubahat didalam aktiviti aktiviti haram tersebut, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 112 ABIK.
Orang ramai boleh menghubungi BNM melalui talian 03-2932330 untuk sebarang pertanyaan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.