Serbuan ke atas Pengurup Wang Asing Haram di Kulim, Kedah

Embargo: Untuk siaran segera
08 Ogo 2000 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM), pada hari ini telah mengadakan operasi bersama dengan pihak polis dalam membuat serbuan ke atas premis sebuah syarikat di Pusat Perniagaan Putra, Jalan Kelang Lama, Kulim, Kedah kerana disyaki mengambil deposit secara haram. Serbuan tersebut, adalah berdasarkan aduan-aduan yang diterima dari orang ramai. Rumah kediaman seorang daripada pengarah syarikat terbabit juga telah diserbu di dalam operasi tersebut.

Semasa serbuan tersebut, dokumen-dokumen yang berkaitan, peralatan pejabat dan sejumlah besar wang tunai telah dirampas. Butiran peribadi pelanggan yang hadir semasa serbuan tersebut juga telah diambil.

BNM akan menjalankan siasatan terhadap pengusaha yang disyaki menjalankan skim pengambilan deposit secara haram tersebut kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Sekiranya disabitkan kesalahan, pengusaha skim pengambilan deposit secara haram boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang dilakukan secara berterusan, pesalah boleh dikenakan denda harian tidak melebihi RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

Di bawah BAFIA, hanya institusi-institusi kewangan berlesen yang dibenarkan mengambil deposit. Institusi-institusi kewangan berlesen terdiri daripada bank-bank perdagangan, syarikat-syarikat kewangan, bank-bank saudagar dan rumah-rumah diskaun.

Orang ramai sekali lagi dinasihatkan supaya tidak terlibat di dalam sebarang aktiviti pengambilan deposit secara haram untuk mengelakkan diri mereka daripada menjadi mangsa skim-skim tersebut. Tambahan pula, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 112 BAFIA kerana bersubahat di dalam aktiviti-aktiviti haram tersebut.


Bank Negara Malaysia
08 Ogos 2000

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?