Sesi Dialog dengan Syarikat Insurans dan Pengendali Takaful

Embargo: Untuk siaran segera
01 Nov 2000 Siaran Akhbar

Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Dr. Zeti Akhtar Aziz bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan Bank berjumpa dengan ketua pegawai eksekutif penanggung-penanggung insurans dan pengendali takaful dalam sessi dialog pada hari ini untuk membincangkan perkembangan terkini dalam industri insurans. Pelbagai isu telah dikaji semula dan dibincangkan sebagai sebahagian daripada proses perundingan di antara Bank Negara Malaysia ( BNM) dengan industri insurans bagi memajukan industri insurans.

Pada sessi dialog tersebut, Gabenor mengumumkan keperluan modal berbayar minimum bagi penanggung insurans akan dinaikkan daripada RM50 juta kepada RM100 juta berkuatkuasa pada 30 Jun 2001. Adalah penting bagi penanggung insurans meningkatkan saiz modal asas bagi membolehkan mereka membuat pelaburan dalam teknologi maklumat dan memperluaskan operasi mereka. Strategi sewajarnya adalah mengambil langkah penggabungan bagi memenuhi keperluan ekonomi baru yang semakin kompleks dan sofistikated. Perkara penting dalam proses ini adalah bagi industri untuk menyedari faedah pengabungan bagi membolehkan mereka untuk terus bersaing. Dalam hal ini, keutamaan perlu diberikan supaya proses pengabungan berdasarkan kepada kehendak pasaran dimana penanggung insurans utama yang kukuh akan wujud daripada proses ini.

Gabenor juga mengumumkan pembentukan satu jabatan baru di Bank Negara Malaysia, Jabatan Perbankan Islam dan Takaful berkuatkuasa pada 1 Oktober 2000, sebagai pusat setempat (one stop centre) untuk membangun dan memantau perkembangan perniagaan perbankan Islam dan takaful. Ini adalah selaras dengan komitmen untuk terus membangunkan perniagaan perbankan Islam dan takaful negara demi menjadikan Malaysia sebagai model bagi perbankan Islam dan operasi takaful.

Isu-isu penting yang dibincangkan semasa sessi dialog tersebut adalah prestasi industri dalam tahun 2000, perlunya bagi industri bergabung, standard pentadbiran korporat yang lebih tinggi, meningkatkan pengurusan IT dalam industri, penemuan utama pemeriksaan dan isu-isu berkaitan dengan insurans motor.

Selaras dengan keadaan ekonomi yang semakin pulih, industri insurans mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada setengah tahun pertama 2000 dengan mencatatkan kadar pertumbuhan melebihi kadar yang dicapai sebelum krisis pada tahun 1997. Dari segi pendapatan premium, pertumbuhan industri telah meningkat pada kadar yang tinggi sebanyak 17.6% kepada RM6.3 bilion pada setengah tahun pertama 2000 (setengah tahun pertama 1999: masing-masing sebanyak 3.4% dan RM5.4 bilion), berbanding sebelum krisis dengan pertumbuhan sebanyak 9.7% pada tempoh yang sama dalam tahun 1997. Dengan peningkatan pendapatan premium yang tinggi, jumlah aset kumpulan wang insurans hayat dan am yang digabungkan mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13% kepada RM47.9 bilion (setengah tahun pertama 1999: 16.1% kepada RM42.3 bilion). Begitu juga pada tahun kewangan berakhir 2000, jumlah aset bagi kumpulan wang insurans am dan takaful keluarga meningkat sebanyak 38.3% kepada RM1.2 bilion .

Bank Negara Malaysia baru-baru ini telah mengeluarkan Rangka Kerja Berhemah Pentadbiran Korporat untuk penanggung insurans, bagi meningkatkan akauntabiliti korporat penanggung insurans dan menggalakkan kepentingan pemegang berkepentingan mereka. Garis panduan ini menyediakan rangka kerja ke arah industri yang responsif dan bertanggungjawab dalam persediaan untuk menghadapi liberalisasi dan pengurangan kawalan. Selain daripada itu, ianya adalah juga untuk memperkukuhkan keyakinan orang awam terhadap industri insurans. Semasa sessi dialog tersebut, Gabenor telah menyeru kepada penanggung insurans supaya memberi keutamaan yang tinggi dalam mengguna pakai amalan pentadbiran korporat yang baik seperti digariskan dalam garis panduan tersebut.

Gabenor juga menyentuh mengenai isu kelewatan penanggung insurans menyelesaikan tuntutan. Walaupun Bank telah mengeluarkan garis panduan mengenai kelewatan menyelesaikan tuntutan dalam tahun 1995 bagi memastikan tuntutan dikendalikan secara profesional, didapati masih terdapat aduan daripada orang awam mengenai kelewatan menyelesaikan tuntutan mereka. Dalam hubungan ini, Bank Negara Malaysia akan mengkaji semula garis panduan penyelesaian tuntutan untuk meningkatkan lagi kecekapan dalam prosidur mengendalikan tuntutan.

Bagi sektor insurans motor yang merangkumi 44.3% daripada premium kasar industri, penanggung insurans bersetuju untuk mempercepatkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk terus memperbaiki perniagaan insurans motor. Sessi dialog tersebut juga telah membincangkan perkembangan mengenai sistem pemusatan anggaran baik pulih yang akan dilaksanakan oleh Persatuan Insuran Am Malaysia, bagi mengurangkan subjektiviti dalam menentukan kos membaik pulih kenderaan. Selain daripada itu, sessi dialog juga membincangkan perkembangan kajian premium insurans kebakaran dan motor, serta langkah-langkah untuk menangani masalah penipuan motor.


Bank Negara Malaysia
01 November 2000

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?