Sesi Perbincangan dan Interaksi dengan Komuniti Tempatan di Sarawak

Embargo: Untuk siaran segera
26 Nov 2017 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menganjurkan siri dialog dengan wakil-wakil utama daripada institusi kewangan, kerajaan negeri Sarawak, komuniti perniagaan tempatan dan penuntut institusi pengajian tinggi di Kuching, Sarawak. Dialog yang bertemakan “Memperkukuh Hubungan, Melakar Masa Depan”, telah diadakan bersempena dengan Karnival Kewangan Sarawak di CityOne Mall Kuching dari 23 hingga 25 November 2017. Siri dialog ini telah dipengerusikan oleh Gabenor Muhammad bin Ibrahim dan menyediakan saluran berkesan kepada peserta industri dan komuniti perniagaan untuk bertukar-tukar pandangan dan berbincang mengenai isu-isu kepentingan bersama.

Pada sesi dialog dengan komuniti perniagaan, pelbagai isu telah dibincangkan. Ini termasuk isu akses kepada pembiayaan yang dibangkitkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengguna, pentingnya berpindah kepada e-pembayaran dan menambah baik rangkuman perkhidmatan kewangan supaya boleh menjangkau seluruh rakyat di Sarawak. Perbincangan juga meliputi bekalan rumah mampu milik yang didapati mencukupi, pasaran harta tanah tempatan yang tidak seimbang, pergantungan pada pekerja asing, membaiki saluran hubungan internet dan kenaikan setara dalam pendapatan sebagai isu-isu kritikal yang perlu ditangani bagi memastikan pembangunan ekonomi yang mampan pada masa akan datang.

Bagi memperkukuh rangkuman kewangan di Sarawak, Bank Negara Malaysia akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dan industri kewangan di negeri ini untuk meluaskan jangkauan dan menyediakan rangkaian perkhidmatan kewangan yang lebih pelbagai kepada masyarakat dan perniagaan tempatan. Industri insurans dan takaful juga akan memulakan inisiatif penting di seluruh negara untuk memperkenalkan produk perlindungan insurans yang mudah didapati dan mampu milik melalui inisiatif “Perlindungan Tenang”.

Satu lagi hasil daripada Dialog ini ialah penubuhan Kumpulan Kerja yang terdiri daripada komuniti perniagaan, kerajaan negeri Sarawak dan industri kewangan. Pejabat BNM di Kuching akan menjadi penyelaras bagi sesi perbincangan dan menyediakan status terkini isu-isu yang dibangkitkan serta memberikan cadangan penyelesaian.

Pejabat BNM di Kuching akan terus menyokong keperluan pengguna kewangan dengan berkesan selain menyediakan khidmat nasihat bagi perkara berkaitan dengan perbankan dan insurans. Program pendidikan kewangan yang menjangkau masyarakat tempatan di Sarawak juga kini sedang ditingkatkan.

Pada 25 November 2017, Gabenor Bank Negara Malaysia telah berbincang dan berinteraksi dengan penuntut universiti dalam satu sesi perbincangan mengenai aspirasi laluan kerjaya mereka dan ekonomi negara pada masa hadapan serta menjalankan kaji selidik Transformasi Nasional 2050.

Sesi perbincangan dan interaksi sebegini akan memberikan impak yang positif terhadap proses pembangunan negara.


Bank Negara Malaysia
26 November 2017

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?