Sessi Dialog dengan Industri Perbankan

Embargo: Untuk siaran segera
29 Ogo 2003 Siaran Akhbar

Pada hari Jumaat, 29 Ogos 2003, Gabenor Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan pegawai kanan Bank Negara Malaysia mengadakan sessi dialog dengan ketua pegawai eksekutif bank perdagangan, bank Islam, syarikat kewangan, bank saudagar dan syarikat diskaun. Dialog tersebut membincangkan perkembangan terkini ekonomi dan kewangan, prestasi sektor perbankan dan isu sektor kewangan termasuk dasar dan strategi berhubung industri perbankan. Industri perbankan turut dimaklumkan berhubung kemajuan cadangan skim jaminan deposit di Malaysia dan aktiviti Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam.

Mesyuarat turut meninjau prestasi pemberian pinjaman industri perbankan terutamanya kepada industri kecil dan sederhana. Berhubung isu fi dan caj ke atas produk dan perkhidmatan mereka, kepentingan mengamalkan ketelusan turut dipertekankan. Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia bercadang untuk memperluaskan skop Info Perbankan (Bankinginfo) bagi merangkumi senarai kadar faedah dan fi yang dikenakan oleh semua institusi perbankan ke atas produk runcit mereka bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan dan keputusan.

Menyentuh isu kad kredit, institusi perbankan digesa memberikan keutamaan kepada migrasi kepada cip Europay MasterCard Visa (EMV) bagi menangani secara efektif kes-kes penipuan yang melibatkan pemalsuan kad. Penukaran kepada kad EMV berasaskan cip dijangka selesai menjelang penghujung tahun 2004 manakala alat pembaca kad akan dinaiktaraf atau diganti untuk menerima kad EMV berasaskan cip menjelang akhir 2005. Sebagai tambahan, institusi perbankan digesa mempercepatkan penukaran kad-kad ATM kepada kad berasaskan cip dan memastikan prasarana yang berkaitan seperti kecukupan alat penambahan nilai MEPS Cash ditangani.

Perbincangan turut meninjau prestasi industri perbankan Islam yang terus mencatat pertumbuhan yang pesat dalam setengah tahun pertama tahun ini. Bagi memperkukuhkan lagi rangka kerja perundangan bagi operasi perbankan Islam, Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Kajian Undang-undang dalam bulan Jun 2003 untuk mengkaji undang-undang khusus yang melibatkan operasi perbankan Islam. Jawatankuasa Perundangan merangkumi keahlian daripada Bank Negara Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, pengamal perundangan, Majlis Peguam dan pemain industri. Sebagai tambahan, industri perbankan dimaklumkan berhubung minggu perbankan Islam dan takaful yang akan diadakan daripada 26 September hingga 2 Oktober 2003.

Berhubung cadangan penubuhan skim jaminan deposit, industri turut dimaklumkan berhubung rangka kerja pelaksanaannya. Pelaksanaan skim jaminan deposit merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif yang terkandung di dalam Pelan Induk Sektor Kewangan untuk melengkapi dan memperkukuhkan lagi prasarana perlindungan pengguna. Skim jaminan deposit akan memupuk amalan kewangan dan perniagaan yang berhemat di kalangan institusi perbankan bagi memperkukuhkan lagi insentif bagi pengurusan risiko yang berhemat. Keyakinan pendeposit akan turut diperkukuhkan dengan perlindungan yang jelas ke atas deposit yang dijamin tertakluk kepada satu had khusus di bawah skim jaminan deposit. Berdasarkan kemantapan dan daya tahanan sistem perbankan yang lebih tinggi, suasana yang positif wujud di Malaysia bagi menyokong pelaksanaan skim jaminan deposit yang efektif yang akan menyumbang ke arah daya tahanan dan kestabilan jangka panjang.


Bank Negara Malaysia
29 Ogos 2003

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?