Siaran Akhbar: Laporan Tahunan Ketua Pengarah Insurans dan Ketua Pengarah Takaful 1998

Embargo: Untuk siaran segera
08 Mac 1999 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan Laporan Tahunan Insurans 1998 dan Laporan Tahunan Ketua Pengarah Takaful 1998 pada hari ini.

Laporan Tahunan Insurans 1998 memberi ulasan mengenai pentadbiran Akta Insurans 1996 dan prestasi serta perkembangan industri insurans Malaysia dalam tahun 1997 dan 1998. Laporan Tahunan Ketua Pengarah Takaful 1998 menerangkan operasi perniagaan takaful (insurans secara Islam) dalam tahun 1997 dan mengulas secara ringkas pengalaman BNM dalam mentadbir Akta Takaful 1984.

A. Laporan Tahunan Insurans 1998

Perkembangan dalam industri insurans dan prestasi penanggung insurans dan pengantara insurans dalam tahun 1998 telah dipengaruhi oleh krisis kewangan yang bermula dalam tahun 1997 dan berlanjutan dalam tahun 1998. Industri insurans telah mengalami prestasi yang menguncup dan ketara dan ini terbukti dengan penyederhanaan premium dan pertumbuhan aset dalam tahun 1997 dan 1998. Walaupun kedua-dua sektor insurans hayat dan am telah terjejas akibat kelembapan ekonomi, kesan krisis kewangan adalah lebih nyata ke atas sektor insurans am. Sektor ini telah mengalami kesan buruk akibat kelembapan dalam bidang pembinaan dan pasaran hartanah serta jualan kenderaan motor yang meleset.

Penanggung insurans sedikit sebanyak telah terhindar daripada kesan buruk krisis dengan adanya keperluan baru margin kesolvenan dan modal syer berbayar minimum yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di bawah Akta Insurans 1996, yang berkuatkuasa pada 1 Januari 1997. Had pelaburan yang dikenakan ke atas pelbagai kategori di bawah garis panduan pelaburan BNM telah dapat mengurangkan kerugian yang dialami oleh penanggung insurans dalam pelaburan ekuiti mereka. Dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh, penanggung insurans lebih bersedia untuk menghadapi krisis yang melanda. Bagi tahun kewangan berakhir 1997, kumpulan wang pemegang syer bagi penanggung insurans yang ditubuhkan di Malaysia terus meningkat kepada RM4.5 bilion, manakala industri insurans secara keseluruhannya mencatatkan agregat lebihan margin kesolvenan sebanyak RM3.8 bilion. Dalam melaksanakan tanggungjawab utama demi kepentingan pemunya polisi, BNM telah meningkatkan usaha mengawasi kedudukan kewangan penanggung insurans bagi memastikan kekukuhan kewangan mereka agar industri insurans dapat membayar tuntutan apabila diperlukan.

Sungguhpun kedudukan industri insurans adalah agak selesa, satu pakej langkah-langkah bagi industri insurans telah dilaksanakan pada 2 Oktober 1998 untuk memberi kelegaan dan fleksibiliti sementara kepada penanggung insurans untuk melaksanakan strategi pengurusan aset dalam menghadapi krisis kewangan. Langkah-langkah tersebut antara lain termasuklah menangguhkan pelaksanaan fasa akhir keperluan kesolvenan dan modal syer berbayar yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Januari 1999. Di bawah peraturan yang dipinda, margin kesolvenan minimum mutlak bagi penanggung insurans (tidak termasuk penanggung insurans asing profesional) telah dikurangkan daripada RM50 juta kepada RM30 juta. Modal syer berbayar minimum yang perlu dikekalkan oleh penanggung insurans yang mengunderait perniagaan insurans langsung telah dikurangkan daripada RM50 juta kepada RM35 juta. Bagi penanggung insurans yang ditubuhkan di luar negara, lebihan aset berbanding dengan amaun liabilitiyang perlu diselenggara juga telah dikurangkan dengan kadar yang sama.

Selaras dengan arah aliran global dalam industri insurans antarabangsa dan bagi mencerminkan penekanan oleh pihak pengawalan terhadap penggabungan kewangan, aktiviti penggabungan dan perolehan (M&A) di kalangan penanggung insurans telah meningkat dalam tahun 1998 dalam usaha untuk menangani kelemahan struktur yang wujud ekoran daripada krisis kewangan. Maklum balas positif oleh industri terhadap inisiatif M&A juga menunjukkan kesedaran di kalangan penanggung insurans tentang perlunya bergabung dan merasionalisasikan operasi mereka supaya boleh beroperasi dengan jayanya dalam suasana persaingan yang kian sengit. Sehingga kini, terdapat tujuh cadangan M&A yang melibatkan 14 penanggung insurans di pelbagai peringkat rundingan. Tiga daripadanya dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun 1999. Bagi membantu menjayakan M&A yang berpotensi, BNM telah mengeluarkan satu set Garis Panduan Mengenai Penggabungan dan Perolehan yang memperuntukkan rangka kerja bagi rundingan M&A dalam industri insurans tempatan.

Dalam memasuki alaf baru, persediaan menghadapi risiko pengkomputeran Tahun 2000 (Y2K) akan merupakan perkara kritikal yang harus diberi pertimbangan oleh penanggung insurans dan pengantara insurans. Setakat ini, kemajuan yang telah dicapai oleh penanggung insurans ke arah persediaan menghadapi Y2K adalah memuaskan. Lebih separuh dari mereka melaporkan telahpun menyelesaikan persiapan Y2K mereka. BNM akan terus mengawasi dengan teliti persiapan penanggung insurans bagi memastikan pematuhan Y2K dibuat lebih awal daripada pertukaran tarikh abad. Pada masa yang sama, semua penanggung insurans juga telah diarahkan untuk merangka dan menyerah simpan dengan BNM pelan kontingensi perniagaan masing-masing.

Sektor insurans motor terus menjadi tumpuan penyeliaan dengan tujuan untuk menggalakkan profesionalisme, persaingan yang sihat dan menggalakkan amalan pasaran terbaik dalam industri insurans. Melalui rencana khas dalam Laporan Tahunan mengenai perkembangan insurans motor, BNM menerangkan kemajuan yang telah dicapai setakat ini dalam usaha untuk memperbaiki pengendalian perniagaan insurans motor dan juga pelan yang akan dilaksanakan untuk perkembangan masa depan sektor tersebut. Pada keseluruhannya, berbagai langkah memulihkan sektor ini sejak beberapa tahun yang lalu adalah berkesan, terutamanya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pemunya polisi dan mengurangkan kos mengunderait perniagaan motor. Pelan bagi perkembangan masa depan sektor motor termasuk penubuhan pengkalan data alat-alat ganti motor dan anggaran kos pembaikan kerosakan bagi mengurangkan subjektiviti dalam penilaian tuntutan insurans motor, dan pelaksanaan Senarai Kecurian dan Anti-pemalsuan Insurans Motor untuk membanteras penipuan insurans motor.

Petunjuk-petunjuk ekonomi yang positif sejak suku keempat 1998 menunjukkan bahawa prospek industri insurans adalah baik. Langkah-langkah yang dikenal pasti di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara tertumpu kepada peningkatan peranan penanggung insurans ke arah membantu pemulihan ekonomi. Langkah utama ialah memobilisasi dana kumpulan wang untuk pembangunan ekonomi dan memperbaiki baki akaun perkhidmatan bersih dengan mengurangkan perbelanjaan ke luar negara bagi perkhidmatan insurans. Dalam konteks ini, fokus adalah ke arah memajukan perniagaan pencen dan anuiti untuk meningkatkan penembusan pasaran insurans hayat, dan insurans kargo marin untuk menyokong aktiviti perdagangan tempatan dan antarabangsa. Industri insurans terus optimis tentang permintaan terhadap perkhidmatan insurans dan pemulihan nilai aset yang berterusan.

Prestasi Industri Insurans untuk Tahun 1997 dan 1998

Biarpun dalam suasana kelembapan ekonomi, industri insurans terus mencatatkan pertumbuhan dua angka dari segi pendapatan premium dalam tahun 1997, walaupun pada kadar yang lebih perlahan daripada tahun 1996. Jumlah pendapatan premium sektor insurans hayat dan am meningkat sebanyak 14.4% kepada RM11,111.6 juta dalam tahun 1997. Pendapatan premium sebagai peratus kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) nominal meningkat kepada 4.3% dalam tahun 1997 dari 4.1% dalam tahun 1996. Jumlah aset kumpulan wang industri insurans tumbuh pada kadar yang lebih perlahan pada 13% untuk mencapai RM34,942.9 juta pada akhir tahun 1997. Walau bagaimanapun, kesan pergolakan kewangan terhadap industri insurans amat dirasai dalam tahun 1998. Pertumbuhan jumlah pendapatan premium menurun dengan ketara kepada 1.9% dalam tahun 1998, manakala pendapatan premium sebagai peratus kepada KNK kekal pada 4.3% dalam tahun 1998. Pertumbuhan aset kumpulan wang insurans terus menyederhana kepada 10.5% dalam tahun 1998 untuk mencapai RM38,625.2 juta.

Insurans Hayat

Dalam tahun 1997, industri insurans hayat terus mencatat pertumbuhan dua angka biarpun dalam suasana kelembapan ekonomi. Jumlah premium baru mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11.1% kepada RM1,581.4 juta manakala jumlah polisi baru dan nilai baru diinsuranskan meningkat sebanyak 21.9% dan 18.2% masing-masing kepada 1,106,764 polisi dan RM89,919.3 juta. Analisis premium diurusniaga baru dalam tahun 1997 menunjukkan semua kelas perniagaan, kecuali polisi sementara, mencatatkan pertumbuhan dua angka dalam tahun 1997. Polisi sementara, yang kebanyakannya adalah polisi berkaitan kredit yang dijual melalui institusi-institusi kewangan, mengalami penurunan dalam premium baru akibat permintaan cagaran yang perlahan dalam tahun 1997.

Selaras dengan pertumbuhan dalam perniagaan baru, perniagaan berkuatkuasa terus berkembang dalam tahun 1997 sungguhpun terdapat peningkatan dalam penamatan yang dicatatkan dalam tahun tersebut. Jumlah polisi berkuatkuasa meningkat sebanyak 10.5% kepada 5,921,302 polisi, manakala jumlah nilai diinsuranskan dan premium tahunan berkuatkuasa berkembang sebanyak 13.9% dan 13.3% masing-masing untuk mencecah RM321,866.3 juta dan RM5,957.8 juta.

Jumlah pendapatan kumpulan wang insurans hayat berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 11.6% kepada RM7,675.4 juta dalam tahun 1997, terutamanya akibat penurunan ketara dalam keuntungan ke atas jualan aset yang menguncup sebanyak 33.2% dalam tahun 1997. Sebagai perbandingan, jumlah wang keluar kumpulan wang insurans hayat meningkat dengan ketara sebanyak 53.7% berikutan peruntukan besar bagi penurunan dalam nilai pelaburan dan kerugian dalam jualan aset yang berpunca daripada kejatuhan pasaran saham dalam tahun 1997. Peruntukan bagi penurunan nilai pelaburan meningkat kepada RM1,134.1 juta yang merupakan 22.3% daripada jumlah wang keluar manakala kerugian atas jualan aset meningkat daripada RM0.3 juta dalam tahun 1996 kepada RM337 juta dalam tahun 1997. Dengan pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan berbanding dengan wang keluar, lebihan pendapatan ke atas wang keluar bagi industri insurans hayat menurun dengan ketaranya sebanyak 27.5% kepada RM2,589.4 juta dalam tahun 1997. Jumlah aset kumpulan wang insurans hayat mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 12.4% untuk mencapai RM23,291.1 juta pada akhir tahun 1997.

Kegawatan ekonomi telah menjejaskan pertumbuhan perniagaan insurans hayat baru dalam tahun 1998. Berdasarkan perangkaan awal, premium diurusniaga baru berkurangan sebanyak 7.8% kepada RM1,457.5 juta, manakala jumlah polisi baru dan nilai baru diinsuranskan meningkat, walaupun pada kadar yang lebih rendah sebanyak 12.6% dan 2.4% dalam tahun 1998 masing-masing kepada 1,246,460 polisi dan RM92,032.7 juta. Pendapatan agregat industri insurans hayat mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 7.8% kepada RM8,272.2 juta, manakala jumlah perbelanjaan berkurangan sebanyak 3.7% kepada RM4,896.6 juta berikutan peruntukan yang lebih rendah bagi penurunan nilai pelaburan dalam tahun 1998. Berikutan ini, jumlah pendapatan ke atas wang keluar industri meningkat sebanyak 30.4% kepada RM3,375.5 juta. Jumlah aset kumpulan wang insurans hayat tumbuh pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 11.8% kepada RM26,043.4 juta dalam tahun 1998. Wang tunai dan deposit merupakan 25.3% daripada jumlah aset dan mengatasi pelaburan dalam sekuriti korporat sebagai portfolio aset yang terbesar.

Insurans Am

Dalam tahun 1997, pertumbuhan perniagaan insurans am menurun dengan ketara selepas mencatatkan pertumbuhan kukuh selama sembilan tahun berturut-turut. Jumlah premium diurusniaga tumbuh pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 7.1% kepada RM6,074.2 juta dalam tahun 1997. Semua sektor industri insurans am mencatatkan pertumbuhan yang perlahan dari segi premium diurusniaga kecuali sektor marin, udara dan transit yang mencatatkan penurunan dalam premium diurusniaga.

Bendungan perniagaan dalam negara telah meningkat dengan ketara dan melebihi kadar 80% buat pertama kalinya. Nisbah bendungan bersih industri meningkat daripada 79.5% dalam tahun 1996 kepada 85% dalam tahun 1997. Semua kelas perniagaan mencatatkan tahap bendungan yang lebih tinggi berikutan peningkatan kapasiti sebilangan penanggung insurans hasil daripada permodalan yang lebih tinggi dan juga peningkatan bahagian pasaran yang dikuasai oleh penanggung insurans semula profesional berlesen yang beroperasi dalam negeri.

Nisbah tuntutan keseluruhan industri merosot sedikit daripada 56.8% dalam tahun 1996 kepada 58% dalam tahun 1997. Kemerosotan dalam nisbah tuntutan adalah berpunca daripada nisbah tuntutan yang lebih tinggi bagi semua kelas perniagaan, kecuali sektor motor. Perniagaan insurans motor mencatatkan peningkatan dalam nisbah tuntutan daripada 65% dalam tahun 1996 kepada 60.7% dalam tahun 1997.

Dalam tahun 1997, penanggung insurans am telah mencatatkan peningkatan keuntungan pengunderaitan sebanyak 19.8% kepada RM619.9 juta, walaupun pertumbuhan premium adalah lebih perlahan dan pengalaman tuntutan telah merosot. Ini adalah disebabkan oleh keupayaan penanggung insurans untuk terus mengawal komisen bersih dan nisbah perbelanjaan pengurusan. Sungguhpun keuntungan pengunderaitan yang lebih tinggi, industri insurans am mencatatkan penurunan sebanyak 58.8% dalam keuntungan kendalian kepada RM466.2 juta. Penurunan ini disebabkan terutamanya peruntukan yang lebih tinggi bagi penurunan nilai pelaburan dan kerugian modal yang besar akibat ketidakstabilan pasaran saham. Jumlah aset kumpulan wang insurans am tumbuh pada kadar yang lebih rendah sebanyak 14.3% untuk mencapai RM11,651.8 juta pada akhir tahun 1997, menggambarkan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pendapatan premium.

Dalam tahun 1998, selaras dengan kelembapan ekonomi, industri insurans am mencatatkan penurunan dalam premium diurusniaga sebanyak 7.6% kepada RM5,614.9 juta. Semua sektor, kecuali kelas perniagaan kebakaran, mencatatkan kadar pertumbuhan negatif. Nisbah bendungan bersih industri terus meningkat untuk mencapai 85.4%. Jumlah aset kumpulan wang insurans am tumbuh pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 8% untuk mencapai RM12,581.8 juta pada akhir tahun 1998.

Pentadbiran Akta Insurans 1996

Beberapa perubahan dari segi perundangan telah dilaksanakan dalam tahun 1998 untuk meminda peraturan kesolvenan dan modal syer berbayar selaras dengan langkah-langkah yang menawarkan kelegaan sementara kepada penanggung insurans. Satu siri pengecualian daripada beberapa peruntukan Akta Insurans 1996 (Akta) juga telah diluluskan dalam tahun 1998 untuk menyelaraskan pentadbiran Akta dan menghapuskan pertindihan dalam beberapa bidang pengawalseliaan. Perubahan-perubahan ini dijangka akan diwartakan tidak lama lagi.

Dalam tahun 1998, satu lesen baru untuk menjalankan perniagaan insurans semula am profesional telah dikeluarkan kepada The Toa Fire and Marine Reinsurance Company, Limited dari Jepun, menjadikan jumlah penanggung insurans berlesen beroperasi di Malaysia kepada 68 pada 31 Disember 1998. Daripada jumlah ini, lima penanggung insurans yang ditubuhkan di luar negara telah selesai memperbadankan operasi insurans mereka pada 1 Januari 1999 untuk menjadi syarikat awam yang ditubuhkan dalam negeri. Dengan itu, jumlah penanggung insurans yang ditubuhkan di Malaysia meningkat kepada 58.

Sepanjang tahun 1998, 60 pemegang lesen (termasuk broker insurans dan ajuster) meningkatkan modal syer berbayar mereka, terutamanya untuk mematuhi keperluan modal syer berbayar minimum di bawah Akta. Hasilnya, jumlah permodalan penanggung insurans, broker insurans dan ajuster terus meningkat masing-masing kepada RM3.4 bilion, RM32.5 juta dan RM9.4 juta pada 31 Disember 1998. Secara puratanya, modal syer berbayar penanggung insurans, broker insurans dan ajuster adalah masing-masing 83.1%, 49.2% dan 75.7% lebih tinggi daripada keperluan modal syer berbayar berkanun. Ini menggambarkan kedudukan kewangan pemegang lesen secara keseluruhannya adalah teguh.

Dalam tahun 1998, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas pemegang lesen dan penyeliaan BNM secara keseluruhannya menunjukkan terdapat ruang untuk industri insurans membaiki lagi bidang-bidang seperti perkhidmatan pelanggan, amalan pasaran, pematuhan terhadap keperluan peraturan dan daya pegas kewangan. Ke arah meningkatkan lagi disiplin kewangan dan pasaran di kalangan penanggung insurans, denda telah dikenakan ke atas sebilangan pemegang lesen dan pegawai-pegawai mereka sepanjang tahun 1998 kerana berbagai kesalahan melanggar peruntukan Akta.

Selain daripada pemeriksaan dan maklum balas daripada industri, aduan orang awam juga merupakan satu lagi petunjuk utama amalan pasaran. Bagi membantu usaha yang lebih pro-aktif ke arah mewujudkan industri insurans yang lebih profesional dan responsif, BNM telah menubuhkan Biro Perkhidmatan Pelanggan (BPP) di Jabatan Pengawalan Insurans sebagai pusat rujukan bagi semua aduan orang awam dan pertanyaan berkaitan insurans. Dengan adanya BPP, BNM akan lebih memahami masalah yang sering melanda industri insurans dan kesannya ke atas industri secara keseluruhan. Seterusnya, pihak pengawal berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengenal pasti langkah-langkah yang sesuai dan perlu untuk menghapuskan amalan pasaran yang tidak sihat. Pengguna insurans juga akan mendapat faedah dengan adanya kemudahan ini di mana mereka boleh mengemukakan bantahan, kemusykilan atau pertanyaan.

Polisi dan Langkah-langkah untuk Mengukuhkan Industri Insurans dalam Tahun 1998

Isu-isu berkaitan dengan krisis kewangan menjadi landasan polisi dan langkah-langkah yang dilaksanakan dalam tahun 1998. BNM berpendapat bahawa rejim penyeliaan perlulah fleksibel bagi membolehkan penanggung insurans memainkan peranan yang lebih besar untuk menyokong pemulihan ekonomi, dan mengekalkan daya saing dan daya maju mereka untuk menghadapi krisis ekonomi. Bagi tujuan ini, selain daripada pindaan kepada peraturan kesolvenan dan modal syer berbayar, perubahan lain ke atas pelaburan dan pinjaman juga telah dilaksanakan untuk menghalang pasaran modal daripada terus merosot. Dalam usaha untuk menggalakkan penyertaan yang lebih meluas oleh penanggung insurans dalam pasaran bon, penanggung insurans telah dibenarkan capaian terus kepada Sistem Maklumat dan Penyebaran Bon dalam bulan November 1998.

Perkembangan dalam industri insurans hayat dijangka akan menjadi landasan bagi pertumbuhan masa depan industri insurans hayat agar dapat menjadi komponen yang lebih penting dalam sistem kewangan. Sebagai insentif untuk membolehkan kumpulan wang pemunya polisi terus berkembang, Belanjawan 1999 telah meluluskan polisi asas percukaian baru bagi penanggung insurans hayat, di mana percukaian lebihan aktuari telah diubah daripada lebihan yang ditentukan yang boleh dibahagikan kepada lebihan yang dipindahkan. Dalam tahun 1998, dua lagi penanggung insurans telah diberi kelulusan untuk menjalankan perniagaan insurans berkaitan pelaburan. Kelulusan ini meningkatkan jumlah penanggung insurans yang dibenarkan untuk menjalankan perniagaan seumpama ini kepada lima. Tahun 1998 juga menyaksikan industri insurans memulakan berbagai pelan untuk mempelbagaikan dan meluaskan rangkaian pengagihan dan tidak bergantung kepada tenaga ejensi tradisional. Dalam hal ini, lebih ramai lagi penanggung insurans terus mengkaji dan mewujudkan perkongsian strategik dengan institusi-institusi kewangan melalui bankasurans sebagai saluran pengagihan alternatif.

Perkembangan lain yang penting yang berlaku dalam industri insurans termasuklah membenarkan penanggung insurans luar pesisir yang dilesenkan di Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa Labuan untuk mengunderait risiko tertentu secara langsung di pasaran tempatan dan bermulanya operasi Biro Pentadbiran Pusat (CAB) dalam bulan Julai 1998. CAB adalah satu sistem bersepadu yang memainkan peranan sebagai rumah penjelasan elektronik pusat bagi transaksi insurans semula tempatan dan dijangka akan membolehkan penjelasan akaun yang lebih pantas, mengurangkan tunggakan pentadbiran dan menghapuskan masalah penyelarasan.

Kesimpulan

Sungguhpun kelembapan ekonomi telah menjejaskan pertumbuhan pendapatan premium dan aset industri insurans, dengan kemunculan tanda-tanda pemulihan ekonomi yang positif, prospek bagi industri insurans Malaysia adalah baik. Prospek bagi masa depan industri akan bergantung kepada keupayaan industri menembusi pasaran dan memenuhi keperluan orang awam yang lebih arif. BNM akan terus melaksanakan langkah-langkah perlu bagi mengukuhkan kedudukan kewangan penanggung insurans dan mendorong industri insurans untuk terus berkembang.

B. Laporan Tahunan Ketua Pengarah Takaful

Dalam tahun 1998, operasi takaful dijalankan oleh dua syarikat iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) dan Takaful Nasional Sdn. Berhad (TNSB) (dahulunya dikenali sebagai MNI Takaful Sdn. Berhad). Perniagaan ini terus mencatatkan pertumbuhan kukuh bagi kedua-dua kelas perniagaan - takaful keluarga dan takaful am. DaIam tahun 1998, STMB beroperasi melalui satu rangkaian sebanyak 27 cawangan dan 61 meja takaful manakala TNSB mempunyai 11 pejabat cawangan. Pendapatan caruman sektor takaful keluarga dan am yang disatukan meningkat sebanyak 40% (1997: 34.9%) kepada RM274.8 juta.

Pada akhir tahun kewangan 1998, jumlah aset kumpulan wang takaful berjumlah RM554.7 juta, di mana 71.5% daripadanya adalah aset kumpulan wang takaful keluarga. Akaun pelaburan (22.7%) merupakan komposisi terbesar jumlah aset, diikuti oleh Sijil Pelaburan Kerajaan (20.5%).

Perniagaan Takaful Keluarga

Perniagaan takaful keluarga terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam tahun 1998 walaupun dalam kegawatan ekonomi. Sejumlah 56,126 sijil baru telah dikeluarkan dengan jumlah penyertaan berjumlah RM5,606.6 juta. Jumlah caruman yang diterima ke atas sijil baru meningkat sebanyak 50.7% kepada RM119.3 juta. Pertumbuhan kukuh dalam perniagaan baru pelan takaful keluarga sebahagian besarnya adalah berpunca daripada peningkatan dalam perniagaan takaful gadaijanji yang diterima daripada kakitangan Kerajaan dan penyertaan yang meningkat dalam pelan takaful keluarga kumpulan. Walau bagaimanapun, sejumlah 4,447 sijil telah ditamatkan dengan jumlah caruman sebanyak RM6.3 juta. Perniagaan takaful keluarga berkuatkuasa terus berkembang, selaras dengan pertumbuhan berterusan dalam perniagaan baru dalam tahun 1998 di mana jumlah sijil berkuatkuasa berdaftar adalah sebanyak 160,944, dengan jumlah caruman berjumlah RM253 juta. Sebanyak RM26.9 juta telah dibayar oleh kedua-dua pengendali takaful sebagai manfaat takaful (termasuk bayaran keuntungan kepada peserta), peningkatan sebanyak 70.3%. Akaun khas peserta bagi kumpulan wang takaful keluarga mencatatkan lebihan aktuari yang lebih rendah sebanyak RM3.4 juta dalam tahun 1998 berbanding dengan RM15.8 juta dalam tahun 1997 berikutan peruntukan bagi penurunan dalam nilai pelaburan dan peruntukan bagi pembiayaan tidak berbayar yang lebih besar.

Perniagaan Takaful Am

Perniagaan takaful am terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dua angka dalam tahun 1998 dengan caruman kasar meningkat sebanyak 33.1% kepada RM122.6 juta, walaupun kadar pertumbuhan adalah lebih rendah daripada kadar tahun sebelumnya sebanyak 37.5%. Nisbah tuntutan keseluruhan industri (tuntutan bersih kena dibayar kepada pendapatan caruman diperolehi) meningkat sedikit dengan nisbah tuntutan yang lebih rendah sebanyak 36% dalam tahun 1998 (1997: 37.2%). Seperti tahun-tahun sebelumnya, industri takaful am mengekalkan rekod prestasinya yang baik dengan keuntungan pengunderaitan sebanyak RM44.3 juta atau margin pengunderaitan sebanyak 58.1%.

Perkembangan dalam Industri Takaful

Dalam usahanya untuk membangunkan industri takaful, BNM, dalam rundingan dengan pengendali takaful dan industri insurans, telah merumus rangka kerja lima tahun bagi pembangunan perniagaan takaful di Malaysia. Objektifnya adalah untuk meletakkan industri takaful sebagai salah satu komponen utama sistem kewangan dan menggalakkan takaful sebagai alternatif yang berdaya maju kepada insurans konvensional. Di bawah rangka kerja strategik ini, sasaran dari segi saiz aset dan pendapatan caruman kumpulan wang takaful dan penembusan pasaran perniagaan takaful keluarga telah ditetapkan bagi industri takaful untuk dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang. Rangka kerja strategik ini akan memberi tumpuan kepada beberapa bidang dengan objektif tersendiri dan tindakan strategik utama bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan bagi setiap bidang yang dikenal pasti.

BNM juga sedang mengkaji semula Akta Takaful 1984 dengan tujuan mengukuhkan rangka kerja pengawalan yang mengawasi operasi industri takaful, dan pada masa yang sama membenarkan fleksibiliti bagi menghadapi arus perubahan bagi membantu pengendali takaful untuk bersaing dengan berkesan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Usaha juga sedang diambil untuk menggalakkan perniagaan takaful di peringkat antarabangsa. Oleh itu, satu usahasama takaful semula di antara pengendali takaful dari Malaysia, Brunei dan Singapura, iaitu Asean Retakaful International (L) Ltd. (ARIL), telah mula memperolehi perniagaan takaful daripada pengendali takaful dan penanggung insurans Islam di Timur Tengah, Afrika Utara dan Eropah. Maklum balas daripada pengendali takaful dan penanggung insurans Islam di negara-negara ini jelas memberangsangkan.

Sebagai sebahagian daripada projek latihan yang ditawarkan oleh Malaysia di mesyuarat Suruhanjaya Kumpulan Lapan (D-8) di Istanbul, Turki dalam bulan Jun 1997, \"Seminar Antarabangsa Mengenai Takaful\" telah diadakan dengan jayanya di Kuala Lumpur dari 30 Mac hingga 1 April 1998. Seminar ini yang dianjurkan oleh BNM dengan bantuan BIMB Institute of Research and Training Sdn. Bhd., telah ditaja oleh Kerajaan Malaysia. Seminar ini telah berjaya menjalinkan kerjasama yang lebih erat, menggalakkan hubungan perniagaan bagi faedah bersama negara-negara membangun dan memberi peluang perniagaan baru yang boleh membawa kepada pengembangan perniagaan di luar negeri. Yang menariknya, dua negara yang bukan ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), iaitu Afrika Selatan dan Sri Lanka, juga telah menunjukkan minat dalam perniagaan takaful. Selaras dengan peranan utama yang dimainkan Malaysia dalam pembangunan perniagaan takaful, satu pengendali takaful Malaysia telah diberi kelulusan untuk memperolehi kepentingan ekuiti dalam satu syarikat takaful yang akan diperbadankan dalam sebuah negara yang bukan ahli OIC dan menyediakan bantuan dan kerjasama teknikal dalam penubuhan dan pengurusan syarikat takaful baru tersebut.


Bank Negara Malaysia
08 Mac 1999

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?