Siaran Akhbar mengenai Ringgit
Bank Negara Malaysia (BNM) terus memantau dengan rapi dan memastikan pasaran kewangan terus teratur dalam keadaan perkembangan luaran yang telah menyebabkan dolar AS terus kukuh berbanding dengan hampir semua mata wang, termasuk ringgit. Nilai dolar AS telah menjadi kukuh dengan ketara disebabkan oleh dasar monetari di AS yang diperketat secara agresif.
Keadaan kewangan global yang lebih ketat dan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ekonomi negara telah berkembang sebanyak 8.9% pada suku kedua dan akan terus didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang semakin giat. Eksport disokong oleh produk dan pasaran negara yang sangat pelbagai. Sistem kewangan domestik mempunyai tahap permodalan yang kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi. Pengantaraan kewangan juga terus menyokong ekonomi.
Pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran. Pasaran pertukaran asing terus berfungsi dan melaksanakan pengantaraan dengan berkesan. Jumlah urus niaga pertukaran asing harian tempatan terus meningkat hingga mencapai purata semasa sebanyak USD13.3 bilion berbanding dengan USD11.3 bilion pada tahun 2021 berikutan aliran pertukaran dua hala. Aktiviti pasaran bon kekal kukuh, disokong mantap oleh pelabur institusi dan institusi kewangan. Operasi pasaran BNM akan memastikan keadaan mudah tunai yang mencukupi dan pasaran kewangan berfungsi dengan teratur.
“Malaysia kekal sebagai ekonomi terbuka. Keutamaan dasar pada masa ini adalah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil serta mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi dalam negeri melalui pembaharuan struktur dan bukannya dengan melaksanakan kawalan modal atau menambat semula ringgit. Hal ini akan memberikan sokongan yang lebih berterusan untuk ringgit,” kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.