Siaran Akhbar Mengenai Ringgit
Perkembangan semasa dalam pasaran kewangan global telah menjejaskan sentimen pasaran. Keadaan ini termasuk had tertinggi hutang AS yang belum dapat diselesaikan serta episod tekanan sektor perbankan di AS dan Eropah. Hal ini telah menyebabkan meningkatnya permintaan terhadap aset selamat seperti dolar AS dan aliran keluar daripada kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun apabila pelabur melindungi pelaburan mereka. Berlatarkan keadaan ini, dolar AS telah mengukuh berbanding dengan kebanyakan mata wang.
Kesannya, ringgit menghadapi tekanan penurunan nilai yang ketara, sama seperti kebanyakan mata wang. Oleh itu, penurunan nilai ringgit baru-baru ini tidak terhad kepada Malaysia semata-mata.Prestasi ringgit secara keseluruhan perlu diberikan pertimbangan bukan sahaja berbanding dengan dolar AS, tetapi juga dengan mata wang negara rakan perdagangan utama Malaysia. Pergerakan ringgit berbanding dengan rakan dagangan utama negara, seperti yang diukur oleh kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER), secara relatif adalah lebih perlahan.
Pada persekitaran semasa, perkembangan luaran memberikan kesan yang lebih besar terhadap prestasi ringgit. Sehubungan dengan hal ini, prestasi ringgit berbanding dengan dolar AS, atau mana-mana mata wang lain, tidak mencerminkan kedudukan ekonomi negara.
Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang antara 4.0% hingga 5.0% pada tahun 2023. Permintaan dalam negeri akan terus mendorong pertumbuhan, disokong oleh pasaran pekerja yang terus pulih serta pelaksanaan projek pelaburan jangka panjang, seperti ECRL, LRT3 dan Lebuhraya Pan Borneo. Pada masa yang sama, pasaran eksport dan segmen produk Malaysia yang pelbagai akan terus menyokong daya tahan sektor luaran.
Pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran dan BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan yang meningkat. Bagi tujuan ini, operasi pasaran BNM akan memastikan pasaran kewangan mempunyai mudah tunai yang mencukupi serta berfungsi secara teratur. Prestasi ringgit dijangka bertambah baik apabila ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pasaran global menjadi reda. Hal ini seterusnya akan mencerminkan kekukuhan asas-asas ekonomi Msalaysia dengan lebih baik.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.