Siaran Laporan Tahunan BNM 2002

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1000 pada Rabu, 26 Mac 2003
26 Mac 2003 Siaran Akhbar

Ekonomi Malaysia pada tahun 2002

Pemulihan ekonomi Malaysia bertambah pesat pada tahun 2002, meskipun berada dalam persekitaran luaran yang lebih mencabar, dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) benar meningkat 4.2% (2001: 0.4%). Pertumbuhan ekonomi adalah menyeluruh, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh dan diperteguhkan oleh prestasi eksport yang lebih baik. Pertumbuhan permintaan dalam negeri telah disokong oleh rangsangan fiskal dan monetari yang berterusan serta pengukuhan harga komoditi yang nyata.

 

Mencerminkan dasar pengembangan fiskal yang berterusan, penggunaan awam benar meningkat dengan ketara sebanyak 13.8%, manakala pelaburan awam berkembang 4.6%. Perbelanjaan fiskal yang lebih tinggi, penurunan cukai pendapatan, kadar faedah yang rendah, harga komoditi yang tinggi dan prospek pekerjaan serta pendapatan yang lebih baik telah memulihkan perbelanjaan sektor swasta dan seterusnya menyumbang 1.2 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK. Penggunaan swasta benar meningkat 4.2%, manakala penurunan pelaburan swasta menyederhana dengan nyata kepada 6.1%. Apa yang penting adalah pembentukan modal swasta bertukar arah untuk meningkat dengan sederhana pada separuh kedua tahun 2002. Ini disebabkan beberapa industri seperti elektronik, barangan kimia serta alat kelengkapan pengangkutan mula beroperasi pada tahap penggunaan kapasiti yang tinggi berikutan permintaan luar negeri yang lebih kukuh. Pelaburan baru dalam bentuk perkhidmatan nilai ditambah yang lebih tinggi seperti telekomunikasi dan teknologi maklumat mengukuhkan lagi perkembangan ini. Malaysia turut mendapat manfaat daripada beberapa peralihan aliran pelaburan asing, khususnya melalui aktiviti penggunaan khidmat pihak ketiga dan pemindahan operasi serta penubuhan ibu pejabat operasi, pusat pengagihan serantau dan pusat perolehan antarabangsa oleh beberapa syarikat multinasional.

Sejajar dengan keadaan permintaan dalam dan luar negeri yang kukuh, kesemua sektor ekonomi telah berkembang, dengan penggerak utama pertumbuhan adalah daripada sektor perkhidmatan dan perkilangan. Sektor perkhidmatan meningkat 4.5% pada tahun 2002, disokong oleh pemulihan permintaan dalam negeri, peningkatan aktiviti yang berkaitan perdagangan dan peningkatan dalam ketibaan pelancong. Pengukuhan permintaan dalam negeri dan pemulihan eksport telah menyebabkan sektor perkilangan pulih, dengan nilai ditambah meningkat 4.1% berbanding penguncupan 6.2% pada tahun 2001. Pertumbuhan di sektor pembinaan kekal pada 2.3% pada tahun 2002, sementara sektor perlombongan meningkat 4.5% disebabkan oleh peningkatan pengeluaran daripada medan minyak dan gas yang baru, peningkatan permintaan dan harga yang lebih baik.

Sementara itu, sektor pertanian mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 0.3% pada tahun 2002 kerana pengeluaran minyak sawit mentah merosot disebabkan oleh hasil yang lebih rendah dan kesan aktiviti penanaman semula yang lebih tinggi. Namun begitu, peningkatan harga dan pendapatan yang ketara di sektor pertanian memberi kesan pengganda yang besar terhadap permintaan penggunaan swasta dan keseluruhan pertumbuhan KDNK pada tahun 2002. Sektor pertanian merupakan aktiviti luar bandar yang penting dan menyediakan pekerjaan kepada 15% daripada jumlah tenaga pekerja di Malaysia. Harga komoditi yang lebih tinggi telah memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 keluarga pekebun kecil di sektor getah, kelapa sawit dan koko.

Asas makroekonomi Malaysia terus menjadi kukuh pada tahun 2002. Tekanan inflasi kekal rendah pada pada tahun 2002. Walaupun indeks harga pengguna (IHP) adalah tinggi sedikit pada kadar 1.8%, inflasi berasaskan permintaan atau inflasi teras kekal rendah, hanya meningkat sebanyak 0.4%. Peningkatan IHP adalah disebabkan oleh pelarasan harga terutamanya bagi subkumpulan pengangkutan dan perhubungan dan oleh itu, ia tidak menandakan tekanan inflasi sebenar. Keadaan pasaran pekerja kekal memuaskan pada tahun 2002 untuk menyokong pemulihan aktiviti ekonomi. Kadar pengangguran berkurangan kepada 3.5% pada tahun 2002 disebabkan oleh pengurangan yang ketara dalam pemberhentian pekerja serta permintaan tenaga pekerja yang lebih tinggi.

Kedudukan luar negeri kekal kukuh dengan peningkatan eksport pada tahun 2002. Imbangan pembayaran keseluruhan meningkat dengan ketara untuk mencatat lebihan yang lebih besar disebabkan oleh hasil lebihan akaun semasa yang mapan, aliran masuk modal jangka panjang yang lebih besar dan aliran keluar modal jangka pendek swasta bersih yang lebih rendah. Lebihan akaun semasa berkurangan sedikit tetapi kekal tinggi sebanyak RM27.4 bilion atau 8.1% daripada keluaran negara kasar (KNK). Lebihan dalam akaun barangan adalah lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi defisit dalam akaun perkhidmatan dan pendapatan dan juga aliran keluar bersih dalam akaun pindahan semasa. Faktor yang menyebabkan lebihan dalam akaun semasa berkurangan sedikit adalah aliran keluar bersih yang lebih tinggi dalam akaun pindahan semasa disebabkan oleh penghantaran pulang wang sekali sahaja oleh pekerja asing tanpa izin yang pulang ke negara asal masing-masing di bawah Program Pengampunan. Sementara itu, akaun kewangan mencatatkan kedudukan yang bertambah baik bagi tahun ketiga berturut-turut untuk mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM12 bilion, disebabkan terutamanya oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dan pinjaman luar negara oleh Kerajaan Persekutuan yang lebih tinggi. Walaupun pelaburan portfolio bersih mencatatkan aliran keluar yang tinggi pada tahun 2002, aliran keluar swasta yang lain berkurangan pada tahun tersebut disebabkan terutamanya oleh perbezaan kadar faedah yang memihak kepada Malaysia.

Walaupun dalam keadaan ketidaktentuan global dan saingan yang lebih sengit daripada negara-negara membangun yang baru, Malaysia menerima jumlah pelaburan masuk langsung asing yang tinggi sebanyak RM12 bilion pada tahun 2002 atau 3.6% daripada KNK. Aliran masuk pelaburan langsung asing ke Malaysia adalah terutamanya dalam bentuk pendapatan yang tidak diagih berikutan prestasi eksport syarikat multinasional yang lebih baik dalam industri elektronik. Terdapat juga beberapa pelaburan ekuiti baru yang disalurkan terutamanya ke sektor perkhidmatan, minyak dan gas dan perkilangan. Peralihan dalam corak pelaburan langsung asing ke sektor perkhidmatan terus dapat dilihat pada tahun 2002. Pelaburan baru tersebut disalur ke pelbagai jenis aktiviti seperti industri runcit, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan pembangunan perisian komputer. Ciri utama yang membezakan pelaburan baru ini adalah walaupun ia bernilai kecil, ia dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing, seterusnya menjana nilai ditambah serta pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

Pelaburan luar negeri oleh syarikat Malaysia turut meningkat, diterajui oleh beberapa syarikat besar di sektor minyak dan gas, perkilangan serta utiliti. Satu perkembangan baru adalah pelaburan luar negeri kini melibatkan projek utiliti dan perladangan yang lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya, yang mana ia tertumpu kepada syarikat induk dan perdagangan. Perkembangan penting ialah pelaburan luar negeri kini menjana penghantaran balik keuntungan dan dividen yang tinggi ke Malaysia berjumlah RM0.7 bilion pada tahun 2002.

Mencerminkan kedudukan luar negeri yang kukuh, rizab antarabangsa bersih Bank Negara Malaysia meningkat AS$3.7 bilion kepada AS$34.6 bilion pada akhir tahun 2002. Pada 14 Mac 2003, jumlah rizab meningkat lagi kepada AS$34.7 bilion, cukup untuk membiayai 5.3 bulan import tertangguh dan 4.4 kali ganda hutang luar negara jangka pendek. Kedudukan hutang luar negara Malaysia kekal pada paras berhemat. Walaupun jumlah hutang luar negara meningkat kepada RM185.3 bilion (AS$48.8 bilion) pada akhir tahun 2002, ia kekal stabil pada 55.1%, manakala nisbah khidmat hutang kekal rendah pada 6%. Profil hutang negara kekal memuaskan dengan 60% daripada hutang mempunyai tempoh matang melebihi tiga tahun. Hutang jangka pendek hanya mencakupi 17% daripada jumlah hutang luar negara.

Asas ekonomi yang kukuh pada tahun 2002 juga dicerminkan oleh kadar tabungan yang tinggi. Keseluruhannya, pendapatan negara kasar meningkat pada kadar yang lebih pesat sebanyak 8.9% berbanding tabungan negara kasar (7.6%). Oleh yang demikian, bahagian tabungan negara kasar kepada KNK kekal pada 34.4%. Kadar tabungan ini kekal tinggi berbanding negara serantau dan telah membolehkan Malaysia menyokong pertumbuhan ekonomi yang dibiayai terutamanya daripada sumber dalam negeri.

 

Pengurusan Makroekonomi pada tahun 2002

Dasar makroekonomi pada tahun 2002 tertumpu kepada usaha untuk menangani ketidakpastian yang berpunca daripada persekitaran luaran dan memperkukuhkan asas ekonomi jangka panjang. Sektor awam memainkan peranan utama dalam memperkukuhkan pertumbuhan dengan memberi sokongan yang sewajarnya kepada permintaan swasta dan luaran menerusi perbelanjaan langsung dan penyediaan suasana yang menggalakkan yang dapat mengukuhkan keyakinan pengguna dan dapat membantu pemulihan dalam aktiviti pelaburan syarikat. Tahap mudah tunai yang mencukupi dan langkah untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan telah memastikan bahawa pertumbuhan aktiviti kewangan menyokong pemulihan ekonomi.

Oleh kerana langkah-langkah sokongan telah diambil untuk menangani kesan negatif yang dijangka timbul akibat ketidakpastian di persekitaran luaran, perbelanjaan fiskal adalah lebih besar daripada yang dianggarkan pada awalnya. Akibatnya, kedudukan kewangan keseluruhan Kerajaan telah mencatat defisit sebanyak 5.6% daripada KDNK (5.5% pada tahun 2001). Walaupun perbelanjaan Kerajaan adalah tinggi, komitmen Kerajaan terhadap dasar fiskal yang berhemat telah memastikan kedudukan kewangannya masih terkawal. Hasil semasa terus mengatasi perbelanjaan operasi dan ini telah membolehkan perbelanjaan pembangunan dibiayai dahulu melalui lebihan operasi. Kadar tabungan yang tinggi dan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan dalam negeri juga membolehkan sebahagian besar defisit fiskal dibiayai melalui sumber dalam negeri. Keadaan pasaran luaran yang menggalakkan, terutamanya suasana kadar faedah yang rendah serta permintaan yang tinggi untuk hutang berdaulat negara-negara membangun di pasaran modal antarabangsa, telah membolehkan Kerajaan untuk mengambil kesempatan sepenuhnya untuk memperoleh dana dari sumber luar negara. Terbitan hutang luar negara Kerajaan bukan sahaja bertujuan untuk menandakan kehadiran Malaysia tetapi juga adalah untuk mewujudkan tanda aras bagi syarikat Malaysia yang ingin mendapat pinjaman daripada pasaran kewangan antarabangsa.

Pada tahun 2002, dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pemulihan ekonomi. Dasar monetari dan fiskal yang akomodatif serta pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh mengakibatkan permintaan pinjaman oleh sektor swasta meningkat. Permohonan pinjaman pulih untuk meningkat 14.1% berikutan permintaan dana yang lebih kukuh oleh sektor korporat dan isi rumah. Sebagai tindak balas, sektor perbankan dan pasaran modal meningkatkan pembiayaan sebanyak RM40.8 bilion atau 9.9%. Sistem perbankan terus menyokong aktiviti ekonomi dengan pinjaman yang diluluskan meningkat sebanyak 9.7% manakala pengeluaran pinjaman meningkat sebanyak 10.3%.

Satu perkembangan penting adalah peningkatan pinjaman kepada peminjam kecil. Pinjaman yang berjumlah kurang daripada RM500,000 kini mencakupi sebahagian besar jumlah pinjaman (53%). Jumlah pinjaman bersaiz RM100,000 ke bawah dan pinjaman bersaiz di antara RM100,000 dan RM500,000 masing-masing meningkat sebanyak 15% dan 12% pada tahun 2002 (11% untuk kedua-duanya pada tahun 2001). Hasil daripada perkembangan ini, pinjaman bersaiz RM100,000 ke bawah mencakup 30% daripada jumlah pinjaman (2001: 27%) dan pinjaman bersaiz di antara RM100,000 dan RM500,000 mencakup 23% daripada jumlah pinjaman (2001: 21%). Perniagaan kecil terus mendapat akses pembiayaan. Pada tahun 2002, pinjaman bersaiz RM100,000 ke bawah yang diberikan kepada perniagaan meningkat dengan ketara sebanyak 17.8%. Peningkatan dalam pembiayaan kepada peminjam kecil, terutamanya perusahaan kecil adalah selaras dengan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan untuk membangunkan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya maju di Malaysia. Lebih daripada 71,000 PKS telah menerima pembiayaan daripada institusi perbankan berjumlah RM29.8 bilion pada tahun 2002. Bagi memberi tumpuan yang lebih untuk membangunkan PKS, hampir kesemua bank perdagangan telah menubuhkan unit khas PKS untuk menyediakan bukan sahaja pembiayaan malahan juga memainkan peranan menyediakan perkhidmatan sampingan kepada industri.

 

Prestasi Sistem Perbankan

Daya ketahanan sistem perbankan dipertingkatkan pada tahun 2002 apabila nisbah modal berwajaran risiko kekal melebihi paras 12% di sepanjang tahun manakala kualiti aset menjadi kukuh dengan ketara. Peningkatan kualiti aset disebabkan terutamanya oleh persekitaran ekonomi yang memuaskan dan kemajuan yang ketara dalam penstrukturan semula hutang korporat dan program pemulihan yang dilaksanakan oleh institusi perbankan.

Pada tahun 2002, hutang tidak berbayar (NPL) yang diklasifikasikan semula kepada status bukan NPL meningkat 43% kepada RM13.2 bilion dan kutipan balik hutang yang telah diklasifikasikan sebagai NPL meningkat kepada RM10.4 bilion berbanding RM8.3 bilion pada tahun 2001. Nisbah NPL bersih berdasarkan klasifikasi 6 bulan berkurangan kepada 7.4% pada penghujung bulan Disember 2002. Nisbah NPL bersih berdasarkan klasifikasi 3 bulan juga turut berkurangan kepada 10.1% daripada 11.4% pada penghujung tahun 2001. Dengan pengurangan NPL, peruntukan hutang lapuk dan ragu (termasuk nilai cagaran) sistem perbankan meningkat kepada 162.1% daripada jumlah NPL pada akhir tahun 2002 berbanding 147.8% pada akhir tahun 2001.

Dengan persaingan yang semakin hebat di pasaran pinjaman, keuntungan operasi kasar sistem perbankan meningkat 2.2% kepada RM11.1 bilion pada tahun 2002. Peningkatan keuntungan operasi kasar yang kecil ini mencerminkan pertumbuhan yang mendatar bagi pendapatan faedah bersih dan kos overhed yang tinggi, sekaligus mengimbangi peningkatan yang tinggi dalam pendapatan berasaskan fi. Kedua-dua kumpulan bank perdagangan dan syarikat kewangan mencatatkan pertumbuhan keuntungan operasi kasar yang positif masing-masing sebanyak 3.5% dan 0.2%, yang telah mengimbangi penurunan sebanyak 3% yang dialami oleh kumpulan bank saudagar.

Peruntukan hutang lapuk dan ragu bagi tahun 2002 adalah jauh lebih rendah berbanding dengan tahun sebelumnya disebabkan oleh kesan keseluruhan daripada peruntukan bagi hutang lapuk dan ragu yang berkurangan sebanyak RM2.2 bilion (-19.2%) dan peningkatan dalam jumlah pemulihan sebanyak RM3.4 bilion (+69.9%). Ini telah dicapai berikutan persekitaran ekonomi yang baik dan penyusunan semula pinjaman yang telah meningkatkan keupayaan peminjam untuk membayar balik pinjaman. Dengan itu, sistem perbankan telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang belum diaudit sebanyak RM9.3 bilion pada tahun 2002. Hasilnya, pulangan ke atas aset dan ekuiti sistem perbankan masing-masing meningkat kepada 1.3% dan 16.8%.

Institusi-institusi seperti Danaharta, Danamodal dan Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC) yang ditubuhkan untuk melaksanakan penstrukturan semula kewangan berikutan krisis kewangan Asia berada di kedudukan yang baik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Penutupan CDRC pada 15 Ogos 2002 menandakan penyelesaian usaha penstrukturan semula hutang korporat yang dilaksanakan semenjak tahun 1998. Daripada 48 kes yang melibatkan hutang berjumlah RM52.6 bilion yang dibawa kepada CDRC, 32 kes berjumlah RM36 bilion telah diselesaikan sepenuhnya, sementara 16 kes selebihnya berada di beberapa peringkat pelaksanaan. Bagi Danaharta, pelaksanaan strategi pemulihan untuk memaksimumkan pemulihan daripada NPL yang diambil alih akan diteruskan. Dengan kemajuan yang dicapai, Danaharta kini berada dalam kedudukan yang baik untuk membubarkan operasinya pada tahun 2005. Program permodalan yang dijalankan oleh Danamodal telah pun selesai dengan jumlah pelaburan berkurangan daripada RM7.1 bilion dalam 10 institusi kepada RM2.1 bilion dalam tiga institusi. Danamodal dijangka akan membubarkan operasinya pada tahun 2003.

 

Pengurusan Sistem Perbankan

Proses penstrukturan semula sistem perbankan kini hampir selesai dan tumpuan dasar telah beralih ke arah membangunkan kapasiti serta meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan yang disediakan oleh institusi kewangan. Pelan Induk Sektor Kewangan (PISK) dengan jelasnya menggariskan jadual waktu untuk mencapai matlamat ini. Sepuluh lagi daripada cadangan yang terkandung dalam pelan tersebut telah dilaksanakan pada tahun 2002, menjadikan jumlah cadangan yang dilaksanakan sehingga akhir bulan Februari 2003 kepada 19. Cadangan tersebut tertumpu kepada meningkatkan kapasiti dan keupayaan institusi kewangan dalam negeri, menggalakkan kestabilan, membina infrastruktur sistem pembayaran yang cekap dan stabil serta menyediakan rangka kerja perlindungan yang cekap dan berteraskan pasaran. Satu tindakan yang penting dalam proses peningkatan taraf tersebut adalah program tanda aras yang membandingkan prestasi institusi kewangan di Malaysia dengan amalan terbaik antarabangsa. Untuk melengkapi program tanda aras tersebut, pihak Bank telah melancarkan kajian analisa pasaran untuk membina sebuah indeks mutu perkhidmatan bagi menilai mutu perkhidmatan yang ditawarkan oleh industri.

Industri perbankan Islam terus berkembang pada tahun 2002 dengan mencatatkan peningkatan bahagian pasaran dari segi aset, pembiayaan dan deposit masing-masing kepada 8.9% (8.2% pada tahun 2001), 8.1% (6.5% pada tahun 2001) dan 10.2% (9.5% pada tahun 2001) berbanding keseluruhan sistem perbankan. Aset di sektor perbankan Islam berjumlah RM9.1 bilion pada akhir tahun 2002. Dari segi keuntungan, sektor perbankan Islam mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 12.3% kepada RM948 juta pada tahun 2002. Satu pencapaian penting dalam pembangunan perbankan dan kewangan Islam di peringkat antarabangsa pada tahun 2002 adalah penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (LPKI) di Kuala Lumpur pada 3 November 2002. LPKI merupakan satu kesatuan bank pusat, lembaga kewangan dan institusi lain yang dipertanggungjawabkan untuk menggubal dan menyebarkan piawaian berhemat pengawalseliaan dan amalan terbaik serta diterima pakai di peringkat antarabangsa bagi industri perkhidmatan kewangan Islam, selaras dengan prinsip Syariah. LPKI dijangka dapat menyokong pembangunan sebuah sistem kewangan Islam yang teguh dan stabil dan seterusnya menyediakan landasan ke arah menyepadukan sistem kewangan Islam ke dalam sistem kewangan antarabangsa secara berkesan

Bagi menyediakan satu rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang komprehensif untuk memastikan pengurusan kewangan Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang selamat dan utuh, Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (AIKP) telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 15 Februari 2002. AIKP bertujuan memastikan penyeliaan IKP yang efektif serta dinamik dan memperuntukkan pelantikan Bank Negara Malaysia sebagai badan pengawalan dan penyeliaan pusat untuk IKP. Setakat 31 Disember 2002, enam buah institusi, iaitu Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad, Bank Industri & Teknologi Malaysia Berhad, Malaysia Export Credit Insurance Berhad, Export-Import Bank of Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Bank Simpanan Nasional telah diwartakan sebagai "institusi yang ditetapkan" di bawah subseksyen 2(1) AIKP. Sejajar dengan pertumbuhan keseluruhan ekonomi, aktiviti pembiayaan IKP mencatat pertumbuhan yang kukuh sebanyak 20%, meningkatkan jumlah pinjaman kepada RM28 bilion pada akhir tahun 2002. Jumlah perlindungan insurans dan jaminan yang disediakan oleh IKP juga meningkat 7.9% kepada RM3.8 bilion pada akhir tahun 2002.

 

Prospek untuk Ekonomi Malaysia pada tahun 2003

Prospek pertumbuhan ekonomi dunia terus terjejas oleh ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi serta kesan negatif kenaikan harga minyak terhadap penggunaan dan pelaburan sektor swasta. Memandangkan kepada keadaan yang semakin tidak menentu, pertumbuhan ekonomi global dijangka akan meningkat dengan sederhana pada kadar 3.1% pada tahun 2003 (2002: 3%), sementara perdagangan dunia meningkat pada kadar 3.5 - 4.5%. Pertumbuhan di negara-negara perindustrian utama sebagai satu kumpulan dijangka meningkat 1.8% (2002: 1.6%).

Pada tahun 2003, pertumbuhan Ekonomi Perindustrian Baru Asia (NIE Asia) sebagai satu kumpulan dijangka kekal pada kadar 4.2 - 4.5% (2002: 4.4%), mencerminkan keadaan permintaan dalam negeri dan luar negeri yang secara umumnya stabil. Keseluruhan ekonomi ASEAN dijangka mencatat pertumbuhan antara 3.5 - 4.6% (2002: 4%), dengan jangkaan pertumbuhan eksport terus kekal kukuh dan sumbangan penggunaan dan pelaburan dalam negeri sebahagian besarnya dapat dikekalkan. Penggunaan dalam negeri yang kekal dan pemulihan sektor elektronik dijangka terus menyokong pertumbuhan perdagangan intraserantau. Selaras dengan perbelanjaan pengguna swasta yang kukuh di rantau ini, perdagangan intraserantau menjadi semakin meningkat, di mana Republik Rakyat China memainkan peranan sebagai pengimport utama di rantau ini. Pada tahun 2003, perdagangan intraserantau dijangka terus menyokong permintaan dalam negeri di kebanyakan negara-negara serantau, dengan perdagangan intraserantau dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan. Dengan prospek pertumbuhan yang kukuh, terutamanya aliran masuk pelaburan langsung asing yang terus meningkat ke Republik Rakyat China dijangka meningkatkan eksport dari negara-negara serantau.

Berasaskan kepada pertumbuhan dunia yang sederhana, sedikit peningkatan dalam industri elektronik sedunia, harga komoditi yang kekal kukuh dan peningkatan dalam perdagangan intraserantau, pertumbuhan KDNK benar di Malaysia berpotensi untuk kekal di sekitar 4.5% pada tahun 2003. Pertumbuhan didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri dan disokong oleh pertumbuhan permintaan luar negeri yang sederhana. Sementara sektor awam akan terus menyokong pertumbuhan negara, permintaan sektor swasta pula dijangka memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi pada tahun 2003. Asas ekonomi dalam negeri yang bertambah baik akan memberi sokongan kepada penggunaan yang kukuh dan pemulihan berterusan dalam pelaburan swasta. Apa yang menggalakkan adalah, setelah mencatatkan pertumbuhan negatif untuk dua tahun berturut-turut, pelaburan swasta dijangka pulih untuk meningkat 8.1% pada tahun 2003, disokong oleh peningkatan kapasiti dalam negeri dan aliran masuk pelaburan langsung asing yang stabil.

Pertumbuhan dijangka menyeluruh dan dicerminkan dalam kesemua sektor ekonomi. Nilai ditambah sektor perkilangan dijangka meningkat 5% pada tahun 2003, berdasarkan unjuran terhadap prospek pertumbuhan ekonomi global dan sektor elektronik global yang sederhana. Pertumbuhan akan didorong oleh peningkatan jumlah barangan oleh kerana harga, terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik, akan jatuh berikutan persaingan yang hebat. Sektor pertanian juga dijangka meningkat 1.5% hasil daripada peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah, getah dan keluaran pertanian yang lain. Di sektor perkhidmatan, pertumbuhan dijangka mapan pada 4.4%. Perdagangan yang dijangka meningkat, ketibaan pelancong yang lebih tinggi dan pertumbuhan industri telekomunikasi dijangka akan memberi manfaat kepada subsektor pengangkutan dan komunikasi serta subsektor perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran. Berdasarkan prospek harga petroleum dan gas asli yang lebih baik pada tahun 2003, pertumbuhan di sektor perlombongan dijangka kekal mapan pada 4.5%. Walau bagaimanapun, aktiviti pembinaan dijangka menjadi perlahan (1.9%) pada tahun 2003 berikutan aktiviti yang lebih perlahan di subsektor kejuruteraan awam dan kediaman. Ini mencerminkan perbelanjaan yang lebih rendah ke atas projek infrastruktur oleh kedua-dua sektor swasta dan Kerajaan berikutan siapnya beberapa buah projek yang sedang berjalan. Bagi subsektor kediaman, terdapat peningkatan dalam jumlah harta tanah yang tidak terjual serta kadar jualan yang lebih rendah bagi projek yang baru dilancarkan pada separuh pertama tahun 2002. Sementara itu, aktiviti di subsektor bukan kediaman akan terus terjejas oleh keadaan lebihan penawaran.

Asas makroekonomi Malaysia dijangka akan kekal kukuh pada tahun 2003. Inflasi dijangka akan menyederhana kepada 1.5%, sementara pasaran pekerja dijangka akan kekal memuaskan. Berikutan matangnya beberapa bon dan pinjaman yang diperoleh terdahulu, hutang luar negara yang belum dijelaskan dijangka berkurangan kepada RM184.5 bilion (AS$48.6 bilion) pada akhir tahun 2003 atau bersamaan dengan 52.3% daripada KNK.

Pertumbuhan KDNK yang sederhana dijangka akan mengekalkan kekukuhan kedudukan imbangan pembayaran dengan akaun semasa terus mencatatkan lebihan (7.9% daripada KNK) pada tahun 2003. Akaun kewangan dijangka disokong oleh aliran masuk dana pelaburan yang berterusan. Aliran masuk pelaburan langsung asing yang mantap ke Malaysia adalah dijangkakan, terutamanya dalam bentuk pelaburan semula serta pelaburan baru di sektor perkilangan. Pelaburan di sektor perkhidmatan dijangka kekal mapan. Insentif pelaburan yang diberi dalam Bajet tahun 2003, termasuk penubuhan ibu pejabat operasi dan pusat pengagihan serantau dijangka menarik FDI dengan nilai ditambah yang lebih tinggi ke sektor perkhidmatan. Sementara itu, pelaburan di sektor minyak dan gas dijangka kekal besar. Pelaburan langsung di luar negara dijangka terus kekal tinggi memandangkan beberapa syarikat telah mengumumkan hasrat mereka untuk beroperasi secara global bagi mewujudkan sinergi yang lebih besar kepada aktiviti korporat mereka.

 

Pengurusan Ekonomi, Monetari dan Kewangan pada tahun 2003

Meskipun ekonomi dunia terus menghadapi persekitaran yang tidak menentu, kekukuhan asas ekonomi Malaysia, kestabilan kadar pertukaran dan kemajuan yang dicapai dalam penstrukturan semula sektor kewangan dan korporat memberikan pihak berkuasa lebih fleksibiliti untuk menggunakan dasar bagi menyokong aktiviti ekonomi dalam negeri. Oleh itu, dasar-dasar pada tahun 2003 akan tertumpu kepada penggalakan pertumbuhan dalam negeri yang diterajui oleh sektor swasta, dengan pihak Kerajaan menyediakan persekitaran yang sesuai bagi aktiviti dan inisiatif sektor swasta.

Walaupun sektor awam kini dalam proses penyatuan, ia akan terus menyediakan sokongan yang diperlukan bagi membolehkan sektor swasta memainkan peranannya sebagai penggerak utama pertumbuhan. Oleh itu, dasar fiskal kekal berkembang dengan sederhana pada tahun 2003 (defisit 4% daripada KDNK). Walaupun persekitaran luar negara telah menjadi kurang menggalakkan semenjak pengumuman Bajet tahun 2003, pemulihan global dijangka akan berterusan, tetapi pada kadar yang lebih sederhana berbanding jangkaan sebelumnya. Bajet tahun 2003 yang mengembang kekal relevan, dan insentif serta peruntukan perbelanjaan akan membantu pemulihan sektor swasta.

Dalam hal ini, strategi utama Bajet tahun 2003 tertumpu kepada menggalakkan pelaburan dalam negeri di kesemua sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan, terutamanya bagi menggalakkan aktiviti di bidang pertumbuhan baru dan khusus di sektor perkhidmatan, pertanian dan perkilangan; meningkatkan pembangunan sumber manusia untuk menyokong ekonomi berasaskan pengetahuan; dan mengukuhkan daya saing Malaysia. Insentif cukai dan bukan cukai terus diberikan untuk menggalakkan pembangunan PKS dan memudahkan penembusan pasaran eksport baru serta menggalakkan pengilang-pengilang menjalankan aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi seperti reka betuk dan penyelidikan dan pembangunan. Insentif fiskal langsung tertumpu kepada mengurangkan kos perniagaan kecil melalui pemotongan cukai korporat serta menarik pelaburan yang lebih tinggi di beberapa bidang sasaran di sektor pertanian (termasuk aktiviti hiliran bukan tradisional), dan aktiviti berkaitan perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.

Dalam suasana inflasi yang rendah, dasar monetari akan kekal akomodatif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. Pada tahun 2003, dasar monetari akan terus menyediakan persekitaran yang sesuai bagi mengukuhkan penggunaan dan pelaburan swasta, walaupun kadar faedah dikekalkan rendah. Keutamaan akan diberikan kepada meningkatkan infrastruktur kewangan untuk membolehkan lebih banyak segmen komuniti perniagaan mendapat akses kepada pembiayaan yang lebih baik, terutamanya perusahaan industri dan perkhidmatan yang baru muncul, PKS dan peminjam kecil. Dari aspek kadar pertukaran, tumpuan dasar ialah untuk memastikan asas ekonomi terus menyokong kadar pertukaran tetap memandangkan kestabilan kadar pertukaran memberikan kelebihan ketara dalam meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan.

Dengan adanya sektor perbankan yang berdaya tahan dan teguh, dasar sektor kewangan terus tertumpu kepada mengukuhkan daya tahan dan mengekalkan kestabilan kewangan, meningkatkan kapasiti dan keupayaan institusi perbankan dalam negeri untuk bersaing dalam suasana yang lebih liberal, memastikan kesemua sektor ekonomi mendapat akses kepada pembiayaan, terutamanya PKS dan perusahaan kecil, dan mempertingkatkan rangka kerja pendidikan dan perlindungan pengguna.

Bagi meningkatkan kapasiti institusi perbankan, program tanda aras yang sedang dilaksanakan akan diperluas untuk merangkumi mutu perkhidmatan pelanggan dan mengasaskan pembentukan sebuah indeks kualiti perkhidmatan untuk institusi perbankan. Persekitaran bagi menggalakkan penggabungan di antara bank perdagangan dan syarikat kewangan akan diwujudkan. Sehubungan dengan ini, Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 akan dipinda pada tahun 2003 untuk merasionalisasikan keperluan yang diwajibkan ke atas bank perdagangan dan syarikat kewangan serta bagi memudahkan penggabungan. Di samping itu, rangka kerja pengawalseliaan dan pengawasan untuk bank pelaburan akan disiapkan pada tahun 2003. Bank pelaburan yang akan dibentuk hasil daripada penggabungan di antara bank saudagar, syarikat broker saham dan syarikat diskaun kelak akan dikawal selia secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Peringkat pertama rangka kerja formal pengawalseliaan dan pengawasan bagi konglomerat kewangan juga akan digubal, yang menggariskan keperluan-keperluan berhemat untuk mengekalkan kekukuhan kedudukan kewangan mereka. Usaha ini akan dilengkapi dengan program penyahkawalseliaan secara berperingkat terhadap dasar-dasar tertentu bagi membolehkan institusi perbankan mempunyai fleksibiliti yang lebih untuk memperkenalkan produk baru bagi menggantikan keperluan pralulus ke atas produk yang sedia ada.

Bagi membangunkan industri PKS, Bank Negara Malaysia telah mencadangkan satu rangka kerja yang komprehensif, termasuk pengenalan undang-undang baru dan agensi PKS serta penambahan mekanisme pembiayaan melalui institusi perbankan, institusi kewangan pembangunan dan syarikat modal teroka. Sebuah Jawatankuasa Pemandu ditubuh pada bulan Oktober 2002 bagi menyelia dan memberikan panduan dan haluan strategik untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang terkandung dalam Fasa 1 rangka kerja tersebut. Jawatankuasa itu, yang mengandungi Ketua Setiausaha beberapa Kementerian yang berkenaan dan Ketua Agensi yang terlibat dalam pembangunan PKS, dipengerusikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia.

Menyedari kepentingan pembangunan sumber manusia, Bank Negara Malaysia, dengan kerjasama beberapa pusat pengajian perniagaan terkemuka, akan mewujudkan Pusat Kepimpinan Kewangan Antarabangsa untuk memberikan tumpuan latihan dan pendekatan yang selaras dalam pembangunan sumber manusia kepada pengurusan kanan institusi kewangan. Pusat ini dijangka memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan kecemerlangan dan pembangunan modal manusia yang berkualiti dalam industri kewangan.

Selaras dengan objektif untuk menggalakkan penglibatan pengguna bagi meningkatkan kecekapan di sektor perbankan, usaha akan terus diambil untuk membangunkan satu rangka kerja perlindungan pengguna yang cekap dan berorientasikan pasaran pada tahun 2003. Pelancaran program pendidikan pengguna untuk tempoh 10 tahun, BankingInfo, bagi meningkatkan tahap celik kewangan di kalangan masyarakat pada awal tahun ini akan disokong oleh beberapa strategi komprehensif untuk mencapai rangka kerja perlindungan pengguna yang mencukupi dan berkesan. Ini termasuklah mempertingkatkan ketelusan produk yang ditawarkan oleh institusi perbankan, meningkatkan peranan Biro Pengantaraan Perbankan, membangunkan peraturan anti pakat dan menubuhkan dana insurans deposit.

Menyedari faedah aliran modal, Malaysia kekal komited untuk terus meliberalisasikan aliran modal merentasi sempadan. Oleh itu, peraturan pertukaran asing dikaji semula dari masa ke semasa bagi memastikan ia tidak menjadi halangan kepada sistem perbankan untuk mencapai keberkesanan yang lebih tinggi. Kajian semula yang dilakukan pada tahun 1994-96 dan 1999-2001 telah membawa kepada pelonggaran beberapa peraturan pertukaran asing untuk mengurangkan formaliti dan memudahkan urus niaga perniagaan. Sebagai sebahagian daripada proses kajian semula yang berterusan ini, Bank Negara Malaysia akan meliberalisasikan beberapa lagi peraturan pertukaran asing berkuat kuasa 1 April 2003. Langkah ini bertujuan memperbaiki persekitaran perniagaan di Malaysia dengan memberikan fleksibiliti yang lebih kepada pemastautin dan bukan pemastautin untuk mendapatkan dana ringgit, menguruskan risiko pertukaran asing dan meningkatkan kecekapan keseluruhan operasi dengan mengurangkan beberapa kos pengawalan.

 

Akaun Tahunan Bank Negara Malaysia yang telah diaudit untuk tahun 2002

Kedudukan kewangan Bank Negara Malaysia pada tahun 2002 telah diperiksa dan diperakui oleh Ketua Auditor Negara. Jumlah aset Bank Negara meningkat kepada RM162.2 bilion pada akhir tahun 2002 (RM149.7 bilion pada akhir tahun 2001). Kenaikan rizab antarabangsa menyumbang kepada peningkatan aset yang besar ini. Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat kepada RM131.4 bilion (AS$34.6 bilion) pada akhir tahun 2002. Bank Negara mencatatkan keuntungan bersih RM0.8 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2002 dan mengisytiharkan dividen sebanyak RM0.5 bilion kepada Kerajaan bagi tahun 2002.


Bank Negara Malaysia
26 Mac 2003

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?