Sistem Insurans Deposit Diperkenalkan Untuk Mempertingkat Perlindungan Pengguna Nombor Bebas Tol untuk pertanyaan : 1 800 88 1266
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa pada hari ini Menteri Kewangan telah meluluskan pengenalan satu sistem insurans deposit untuk Malaysia. Kelulusan tersebut berikutan Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005 yang telah diluluskan di Parlimen pada 26 Julai 2005 dan diwartakan pada 11 Ogos 2005. Sistem berkenaan akan terus memperkukuh infrastruktur perlindungan pengguna dan merupakan satu lagi langkah ke hadapan yang penting dalam pembangunan berterusan sistem kewangan Malaysia. Sistem insurans deposit akan memperkukuh insentif bagi institusi kewangan melaksanakan amalan kewangan dan perniagaan yang baik dan mempertingkat keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan dengan menyediakan perlindungan deposit yang eksplisit.
Di bawah sistem insurans deposit, deposit yang layak akan diinsuranskan sehingga had yang ditetapkan sebanyak RM 60,000 bagi setiap pendeposit di setiap institusi anggota termasuk wang pokok dan faedah. Sistem ini juga menyediakan perlindungan berasingan sebanyak RM60,000 bagi setiap pendeposit di setiap institusi anggota untuk deposit Islam, akaun yang dipegang di bawah pemilikan bersama dan akaun amanah, keempunyaan tunggal (sole proprietorship) dan perkongsian. Ini akan menyediakan perlindungan sepenuhnya kepada 95% daripada pendeposit.
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa Menteri Kewangan telah meluluskan penubuhan satu badan berkanun bebas yang bernama Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) untuk mentadbir sistem insurans deposit ini. PIDM ditubuhkan pada 15 Ogos 2005 melalui penggubalan Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005. Peranan utama PIDM adalah untuk menyediakan insurans terhadap kehilangan sebahagian atau kesemua deposit; menyediakan insentif untuk pengurusan risiko yang mantap dalam industri kewangan dan menggalakkan serta menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan. Untuk mencapai matlamatnya, PIDM dikehendaki bertindak dalam cara yang akan meminimumkan kos kepada sistem kewangan.
Dalam keadaan tertentu, PIDM juga akan mempunyai peranan untuk menjalankan resolusi atas institusi perbankan, yang mungkin diperlukan berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia.
PIDM akan mempunyai Lembaga Pengarah yang terdiri daripada tujuh ahli, dengan perwakilan yang seimbang daripada sektor awam dan swasta. Ahli-ahli Lembaga Pengarah PIDM yang telah diluluskan oleh Menteri Kewangan ialah: Tan Sri Dato’ Abdul Aziz bin Taha (Pengerusi), Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Dato’ Izzuddin bin Dali, Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Azmi bin Kamarudin, Datuk Dr. Abdul Samad bin Haji Alias, Datuk Dr. Sulaiman Mahbob dan Encik Michael Wong Kuan Lee. Menteri Kewangan, atas syor Lembaga Pengarah, telah meluluskan pelantikan Encik Jean Pierre Sabourin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
Seperti yang dimandatkan di bawah Akta, kesemua bank perdagangan (termasuk bank asing yang beroperasi di Malaysia) dan syarikat kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, dan bank-bank Islam yang dilesenkan di bawah Akta Perbankan Islam 1983 akan menjadi anggota sistem insurans deposit berkuat kuasa pada 1 September 2005. Orang ramai kini dimaklumkan bahawa semua deposit yang layak akan dilindungi sehingga had yang ditetapkan sebanyak RM60,000 bagi setiap pendeposit di setiap institusi mulai hari ini.
Dengan peranannya memastikan kestabilan monetari dan kewangan, Bank Negara Malaysia akan kekal sebagai pengawal selia sistem perbankan yang utama. PIDM akan melengkapi Bank Negara Malaysia melalui pentadbiran satu sistem insurans deposit yang efektif dalam cara yang menyediakan insentif bagi pengurusan risiko yang mantap di institusi kewangan.
Sistem insurans deposit yang eksplisit terdapat di lebih 80 negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan, Jepun, Jerman, Indonesia dan Hong Kong. Ketika membentuk ciri utama sistem insurans deposit Malaysia, pertimbangan telah diambil untuk memastikan sistem tersebut adalah efisien, efektif dan saksama.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.