Sistem Kewangan Malaysia Dapat Menghadapi Kemelut Kewangan Global Semasa
Institusi kewangan negara terus berdaya tahan meskipun pasaran kewangan global semakin tidak menentu. Pelaksanaan pembaharuan, pembangunan keinstitusian dan bina upaya beberapa tahun yang lalu, usaha yang berterusan untuk meningkatkan tadbir urus korporat serta standard dan amalan pengurusan risiko telah memperkukuh sistem perbankan. Paras pinjaman tak berbayar juga menjadi bertambah baik sebanyak 2.5%. Di samping itu, pendekatan standardised rangka kerja kecukupan modal Basel II telah dilaksanakan pada bulan Januari 2008. Mudah tunai berlebihan yang terdapat dalam sistem kewangan negara akan memudahkan aktiviti ekonomi dan kewangan berjalan dengan teratur. Pada akhir bulan Ogos 2008, penempatan antara bank bersih dengan Bank Negara Malaysia oleh sistem perbankan berjumlah RM198.5 bilion.
Oleh itu, industri perbankan dan insurans beroperasi dengan penampan (buffer) dalam bentuk modal dan mudah tunai yang mencukupi yang telah terkumpul sejak beberapa tahun yang lalu. Institusi kewangan Malaysia juga mempunyai pendedahan yang amat kecil terhadap sekuriti berkaitan subprima dan institusi kewangan di negara lain yang terjejas akibat gejala ini, dengan lebih 90% daripada jumlah aset bank dan syarikat insurans adalah dalam aset berdenominasi ringgit. Selain itu, semua institusi kewangan asing di Malaysia diperbadankan di Malaysia dan mempunyai paras modal yang tinggi yang diperuntukkan untuk menyokong operasi mereka di negara ini. Pada akhir bulan Ogos 2008, nisbah modal wajaran risiko bagi kesemua institusi kewangan asing ini ialah 12.6%.
Kedudukan leveraj sistem perbankan terus terurus dan mencatat nisbah modal wajaran risiko yang kukuh pada 13.2% pada akhir bulan Ogos 2008, dengan modal melebihi keperluan modal minimum 8% sebanyak RM42.3 bilion. Industri insurans juga mencatat lebihan kesolvenan sebanyak RM16.5 bilion. Kedudukan modal yang kukuh bersama-sama dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi menyediakan kapasiti yang cukup bagi sistem perbankan untuk terus memainkan peranan pengantaraannya dan untuk memenuhi komitmen kewangannya serta permintaan terhadap pembiayaan dan perkhidmatan kewangan dalam menyokong kegiatan ekonomi dalam negeri. Sektor isi rumah dalam negeri secara agregat terus menunjukkan paras keberhutangan dan paras kekayaan yang stabil, dengan jumlah aset kewangan lebih dua kali ganda jumlah hutang. Secara keseluruhan, syarikat-syarikat juga terus menunjukkan kedudukan kewangan yang mantap dan kedudukan leveraj nisbah hutang ekuiti yang terurus sebanyak 48% pada separuh tahun pertama 2008.
Bank Negara Malaysia mempunyai sistem penyeliaan dan pengawasan yang mantap. Sistem ini secara berterusan memantau semua institusi kewangan di bawah kawal selianya dan akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi menjamin kekukuhan sistem kewangan negara. Bank sentiasa bersedia untuk menyediakan mudah tunai, apabila diperlukan, kepada institusi kewangan di bawah kawal selianya. Bank juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa kewangan lain di rantau ini untuk memantau perkembangan dan mengambil langkah-langkah bersepadu dalam menangani persekitaran semasa yang mencabar.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.