Sistem Kewangan Malaysia Tiada Kaitan Dengan Pembiayaan Keganasan
Kami merujuk kepada laporan sebuah akhbar Malaysia berbahasa Inggeris yang disiarkan pada 4 Mei 2009 mengenai seorang individu yang disyaki mempunyai hubungan dengan al-Qaeda memindahkan dana daripada Malaysia kepada kumpulan pengganas. Bank Negara Malaysia ingin menegaskan bahawa tidak terdapat sebarang bukti pemindahan dana tersebut kepada kumpulan pengganas melalui sistem perbankan Malaysia.
Sistem perbankan Malaysia tertakluk kepada pemantauan yang ketat dan tidak terjejas oleh aktiviti-aktiviti haram seperti ini. Bank Negara Malaysia akan meneruskan langkah berjaga-jaga dan menjalankan pemantauan penyeliaan yang ketat terhadap ancaman yang mungkin berlaku disebabkan oleh aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Rejim pencegahan pengubahan wang haram dan pembanterasan pembiayaan keganasan Malaysia yang mantap lagi komprehensif telah disahkan dan diperakui oleh penilaian bebas yang dijalankan oleh Kumpulan Asia Pasifik Mengenai Pengubahan Wang Haram (Asia Pacific Group on Money Laundering).
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.