Sorotan Bulanan - September 2025

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Jumaat, 31 Oktober 2025
31 Okt 2025 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras[1] meningkat pada bulan September

  • Pada bulan September, inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.5%
    (Ogos 2025: 1.3%), didorong terutamanya oleh inflasi teras yang lebih tinggi (2.1%; Ogos 2025: 2%).
  • Kenaikan ini sebahagiannya mencerminkan inflasi yang lebih tinggi untuk pengangkutan serta perumahan dan utiliti, khususnya bahan api dan bekalan air. Yang penting, inflasi yang lebih tinggi bagi kategori bekalan air mencerminkan pelarasan tarif air baru-baru ini di negeri-negeri Semenanjung Malaysia yang mula berkuat kuasa antara bulan Ogos hingga September 2025.
  • Komponen lain yang mendorong kenaikan inflasi pada bulan September termasuk perkhidmatan komunikasi mudah alih serta barang kemas dan jam tangan.[2]

Pertumbuhan perdagangan borong dan runcit sederhana pada bulan Ogos

  • Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) meningkat sebanyak 4.3% pada bulan Ogos 2025 (Julai 2025: 4.6%).
  • Segmen perdagangan borong dan runcit berkembang pada kadar yang lebih sederhana. Pertumbuhan segmen borong dan runcit disokong oleh komponen khusus lain dalam perdagangan borong[3] dan perdagangan runcit di kedai barangan bukan khusus.[4]
  • Sementara itu, segmen kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi, didorong oleh pemulihan kukuh dalam jualan kenderaan bermotor berikutan pengenalan model baharu dan promosi sempena Merdeka.

Pertumbuhan kredit yang lebih tinggi kepada sektor swasta bukan kewangan

  • Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.9% pada bulan September (Ogos 2025: 5.6%) susulan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam bon korporat terkumpul (7.3%; Ogos 2025: 5.6%) berikutan terbitan bon yang lebih tinggi pada bulan tersebut. Sementara itu, pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal stabil pada 5.6% (Ogos 2025: 5.6%).
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 5.4% (Ogos 2025: 5.2%), disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman berkaitan pelaburan,[5] khususnya dalam kalangan bukan PKS. Sementara itu, pertumbuhan pinjaman PKS secara amnya mampan.
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah menurun sedikit kepada 5.7% (Ogos 2025: 5.9%) berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pinjaman untuk kegunaan peribadi. Sementara itu, pertumbuhan pinjaman bagi tujuan lain kekal stabil.

Kedudukan mudah tunai sistem perbankan kekal menyokong pengantaraan kewangan

  • Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 151.1% (Ogos 2025: 146.8%).
  • Agregat nisbah pinjaman kepada dana pula secara amnya stabil pada 82.5% (Ogos 2025: 83%).

Kualiti aset bank-bank kekal kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih masing-masing kekal stabil pada 1.4% dan 0.9%.
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal berhemat pada 130.1% daripada pinjaman terjejas kasar (Ogos 2025: 128%).

Pasaran kewangan domestik dipengaruhi oleh jangkaan bahawa dasar monetari AS akan semakin longgar

  • Keadaan kewangan global semakin reda berikutan pengurangan kadar dasar oleh Federal Reserve AS pada bulan September.
  • Berlatarkan keadaan ini, ringgit kekal stabil secara keseluruhan berbanding dolar AS, dan menambah nilai sebanyak 0.1% (NEER: 0.3%; purata serantau:[6] -1.1%).
  • Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun meningkat sebanyak 6.0 mata asas (purata serantau6: 1 mata asas) berikutan aliran keluar bukan pemastautin serta apabila jangkaan terhadap pengurangan OPR yang selanjutnya semakin berkurang. FBM KLCI diniagakan lebih tinggi iaitu sebanyak 2.3% (purata serantau6: 2.2%), disokong oleh pendapatan korporat yang kukuh dan selaras dengan pergerakan pasaran ekuiti serantau.

 


[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.

[2] Komponen ini dikategorikan sebagai ‘Lain-lain’.

[3] Komponen borong khusus lain termasuk petrol, pelincir, logam, cat, bahan binaan, serta kelengkapan dan peralatan.

[4] Merujuk pasar raya dan gedung serbaneka.

[5] Terdiri daripada pinjaman bagi pembelian harta tanah bukan kediaman, harta tanah kediaman bagi kegunaan perniagaan, aset tetap serta aktiviti pembinaan.

[6] Negara-negara serantau merangkumi Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.

Lihat juga:

Sorotan Bulanan [PDF]


Bank Negara Malaysia
31 Oktober 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?