Status Pematuhan Penginsurans kepada Keperluan Modal Berbayar yang Baru

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1600 pada Selasa, 3 Julai 2001
03 Jul 2001 Siaran Akhbar

Berikutan pengumuman Bank Negara Malaysia bahawa keperluan modal berbayar minimum bagi penanggung insurans akan ditingkatkan mulai 30 Jun 2001 kepada RM100 juta daripada RM50 juta, penanggung insurans telah mengambil langkah untuk mematuhi keperluan modal baru tersebut. Penambahan modal ini telah dicapai melalui suntikan modal, permodalan rizab dan juga penggabungan dan perolehan [mergers and acquisitions (M&A)].

Sebelum pengumuman tersebut, 17 penanggung insurans telahpun mempunyai modal berbayar RM100 juta atau lebih. Bagi mematuhi keperluan modal minimum baru, 13 penanggung insurans yang lain telah meningkatkan modal berbayar kepada sekurang-kurangnya RM100 juta pada 30 Jun 2001, manakala sembilan lagi penanggung insurans dijangka menyelesaikan proses ini menjelang 31 Julai 2001. Baki 13 lagi penanggung insurans telah memilih strategi M&A bagi mematuhi keperluan modal baru tersebut. Penggabungan ini kini berada dalam berbagai tahap penyelesaian. Memandangkan program M&A memerlukan masa yang lebih lama untuk disempurnakan, Bank Negara Malaysia telah membenarkan penanggung insurans yang terlibat dalam program M&A sehingga 30 September 2001, untuk menyempurnakan penggabungan mereka dari segi undang-undang. Oleh yang demikian, setakat ini, penanggung insurans telah menunjukkan kemajuan yang memuaskan dalam mematuhi keperluan modal ini.

Langkah peningkatan modal ini telah menjadi pemangkin kepada penggabungan industri insurans. Ini terbukti dengan meningkatnya aktiviti M&A sejak pengumuman peningkatan modal. Pendekatan berpandukan pasaran terus menjadi asas kepada aktiviti M&A. Trend positif dalam program M&A ini juga melibatkan beberapa penanggung insurans milik asing yang bergabung dengan penanggung insurans tempatan. Penggabungan ini akan mengurangkan bilangan penanggung insurans tempatan daripada 38 kepada 29, manakala bilangan penanggung insurans milik asing berkurangan daripada 14 kepada 12. Hasil daripada penggabungan ini, bilangan penanggung insurans akan berkurangan daripada 52 kepada 41. Permodalan industri insurans juga dijangka akan mencecah RM4.6 bilion. Pertambahan modal berbayar ini akan membolehkan industri insurans terus tumbuh dan berkembang.

Dalam melangkah ke hadapan, adalah dijangka bahawa industri insurans akan terus mengukuhkan kedudukannya memandangkan penanggung insurans menyedari tentang keperluan untuk menghadapi persaingan yang sengit yang timbul daripada meningkatnya globalisasi dan liberalisasi pasaran. Bank Negara Malaysia akan terus mewujudkan suasana yang positif bagi terus menggalakkan penggabungan industri insurans, untuk mengukuhkan struktur industri insurans dan meningkatkan prestasi penanggung insurans tempatan.


Bank Negara Malaysia
03 Julai 2001

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?