Sukuk Simpanan Rakyat 2009 Telah Dilanggan Sepenuhnya

27 Apr 2009 Siaran Akhbar

Kementerian Kewangan mengumumkan Sukuk Simpanan Rakyat 2009 berjumlah RM5 bilion telah dilanggan sepenuhnya selepas sembilan (9) hari dibuka untuk jualan. Semua bank ejen tidak lagi menerima permohonan baru mulai sekarang. Jumlah awal Sukuk Simpanan Rakyat 01/2009 sebanyak RM2.5 bilion telah ditambah menggunakan peruntukan siri kedua. Oleh sebab jumlah keseluruhan Sukuk Simpanan Rakyat 2009 sebanyak RM5 bilion telah diagihkan sepenuhnya kepada pemohon-pemohon yang berjaya, Sukuk Simpanan Rakyat 2009 siri kedua tidak akan diterbitkan.

Sukuk Simpanan Rakyat 2009 yang mempunyai tempoh matang 3 tahun ini diagihkan kepada pelanggan berdasarkan siapa cepat dia dapat. Sukuk tanpa skrip ini akan diterbitkan pada 14 Mei 2009. Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan oleh bank ejen masing-masing. Penyata awal yang mengandungi maklumat jumlah sukuk yang telah diagihkan akan diedarkan oleh bank ejen kepada pemohon-pemohon yang berjaya mulai 19 Mei 2009.

Untuk maklumat lanjut tentang Sukuk Simpanan Rakyat 2009, sila hubungi Bank Negara Malaysia TELELINK di 1300 88 5465 atau lawati www.treasury.gov.my dan www.bnm.gov.my/sukuksimpanan.

Kementerian Kewangan Malaysia
27 April 2009


Bank Negara Malaysia
27 April 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?