Syarahan Awam Kerusi Tun Ismail Ali mengenai "Dasar Monetari dan Kewangan dalam Ekonomi Rangkaian Asia"

Embargo: Untuk siaran segera
13 Apr 2006 Siaran Akhbar

Penyandang ketiga Kerusi Tun Ismail Ali, Datuk Seri Panglima Andrew L.T. Sheng, akan menyampaikan syarahan awam bertajuk "Dasar Monetari dan Kewangan dalam Ekonomi Rangkaian Asia" di Kuala Lumpur pada 18 April 2006.

Syarahan awam itu akan membincangkan hubungan antara rantaian penawaran eksport perkilangan Asia dengan rangkaian perkhidmatan kewangan serta implikasinya terhadap dasar monetari dan kewangan bagi ekonomi terbuka yang kecil seperti Malaysia.

Ekonomi Asia semakin bersepadu sebagai rangkaian rantaian penawaran serantau yang berjaya, yang membekalkan eksport perkilangan ke pasaran Amerika dan Eropah. Kejayaan Asia sebagai rangkaian rantaian penawaran produk dan perkhidmatan ialah hasil daripada strategi berorientasikan eksport yang dilengkapi oleh aliran masuk pelaburan langsung asing yang besar dan baru-baru ini, oleh pelaburan portfolio asing. Berikutan perkembangan ini, rangkaian kewangan dan rangkaian rantaian penawaran barangan dan perkhidmatan sektor benar menjadi semakin berkaitan. Ekonomi Asia kini menjadi pengeksport tabungan bersih manakala negara maju menerima tabungan itu, sebahagiannya untuk penggunaan dan sebahagian lagi untuk pelaburan semula dalam ekonomi yang baru berkembang.

 

Kerusi Tun Ismail Ali dalam ekonomi monetari dan kewangan di Universiti Malaya telah ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia sebagai menghargai sumbangan penting Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali, warganegara Malaysia pertama yang menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia. Matlamat Kerusi tersebut adalah untuk mempertingkatkan kecemerlangan akademik dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan di universiti tempatan. Lebih khusus lagi, Kerusi tersebut berhasrat untuk memberi sumbangan ke arah pembinaan asas ekonomi monetari dan kewangan yang kukuh di kalangan generasi graduan ekonomi masa depan. Selain itu, melalui program seperti syarahan awam, penubuhan Kerusi tersebut bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan dalam bidang-bidang tersebut bagi komuniti perbankan dan kewangan tempatan.

Bank Negara Malaysia telah membiayai dana sebanyak RM12 juta kepada Universiti Malaya bagi membangunkan Kerusi tersebut dan membiayai semua program yang dicadangkan.

Sejak penubuhannya, tiga tokoh terkemuka telah dilantik menyandang Kerusi Tun Ismail Ali:

  • Jun - Julai 2002: Prof. Ronald Ian McKinnon , Profesor Ekonomi Antrabangsa William D. Eberle, Jabatan Ekonomi, Universiti Stanford, Stanford, California.
  • November 2003 - Mac 2004: Dr. Yilmaz Akyuz , Ketua Ahli Ekonomi dan Pengarah, Bahagian Globalisasi dan Strategi Pembangunan di UNCTAD (bersara pada bulan Julai 2003).
  • Februari sehingga Mei 2006: Datuk Seri Panglima Andrew L.T. Sheng

Datuk Seri Panglima Andrew L.T. Sheng merupakan Pengerusi Hong Kong Securities and Futures Commision dari tahun 1998 hingga 2005. Pada tahun 1998, beliau menjadi pengerusi bersama Working Party on Transparency and Accountability (salah satu daripada tiga Jawatan Bekerja yang ditubuhkan di bawah Kumpulan Dua Puluh Dua Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat). Pada tahun 1999, beliau mempengerusikan Pasukan Petugas mengenai Pelaksanaan Piawaian bagi Forum Kestabilan Kewangan. Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal IOSCO (International Organisation of Securities Commission) dari bulan Oktober 2003 - September 2005. Beliau kini merupakan ahli Majlis Tadbir Urus bagi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Datuk Seri Panglima L.T. Sheng ialah Ketua Ahli Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab atas Pengawalan Bank dan Insurans; Pengurus Kanan, Pasaran Kewangan dan Sistem Pembayaran di Jabatan Pembangunan Sektor Kewangan, Bank Dunia di Washington D.C. dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong Monetary Authority , yang bertanggungjawab atas Jabatan Pengurusan Rizab dan Luaran.

Datuk Seri Panglima L.T. Sheng ialah pengarang bagi banyak penerbitan mengenai isu-isu kewangan dan monetari. Beliau adalah seorang akauntan berkanun yang memegang ijazah Kepujian kelas pertama dalam ekonomi dan doktor kehormat ijazah perundangan dari Universiti Bristol, United Kingdom. Beliau juga merupakan Profesor Adjunct, Graduate School of Economic Management , Universiti Tsinghua, Beijing.


Bank Negara Malaysia
13 April 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?