Tambahan Peruntukan bagi Tabung Khas PKS dan Inisiatif Untuk Mempertingkatkan Pembiayaan
Sebagai langkah berterusan untuk memastikan dana yang mencukupi disalurkan pada kadar faedah yang berpatutan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2 (TIKS2) dan RM400 juta untuk Tabung Usahawan Baru 2 (TUB2). Dengan tambahan peruntukan ini, jumlah dana di bawah TIKS2 dan TUB2 masing-masing meningkat kepada RM1,250 juta dan RM900 juta.
TIKS2 telah ditubuhkan pada 15 April 2000 untuk membantu PKS di dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan manakala TUB 2 telah ditubuhkan pada 15 Julai 2001 untuk menggalakkan penyertaan PKS Bumiputera di dalam pelbagai sektor ekonomi.
Pada akhir Februari 2003, prestasi tabung-tabung tersebut adalah seperti berikut:
|
Tabung
|
Peruntukan sedia ada
|
Peruntukan tambahan
|
Peruntukan baru
|
Setakat akhir Februari 2003
|
|
|
Kelulusan
|
Pengeluaran
|
||||
|
RM juta
|
|||||
|
TIKS2
|
650
|
600
|
1,250
|
1,240
|
742
|
|
TUB2
|
500
|
400
|
900
|
707
|
430
|
|
Jumlah
|
1,150
|
1,000
|
2,150
|
1,947
|
1,172
|
Pinjaman di bawah TIKS2 dan TUB2 akan terus disalurkan melalui bank perdagangan, syarikat kewangan, institusi perbankan Islam, Bank Industri & Teknologi Malaysia Berhad, Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, Bank Pertanian Malaysia (TIKS2 sahaja) dan Sabah Development Bank Berhad (TIKS2 sahaja). Kadar faedah yang dikenakan bagi pinjaman di bawah tabung-tabung ini adalah tidak melebihi 5% setahun.
Selain daripada TIKS2 dan TUB2, tabung-tabung lain yang ditubuhkan untuk PKS adalah Tabung untuk Makanan, Tabung Pemulihan Industri Kecil dan Sederhana, Tabung Projek Usahawan Bumiputera dan Tabung Pemulihan dan Pembangunan Usahawan, dengan gabungan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 bilion.
Selain daripada tabung-tabung khas, terdapat juga inisiatif lain yang telah dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia bagi meningkatkan akses pembiayaan kepada PKS termasuklah menyuntik sejumlah RM1 bilion ke dalam Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk mempertingkatkan keupayaannya dalam menyediakan jaminan pinjaman. Di samping itu, peranan ERF Sdn. Bhd. juga telah diperluaskan sebagai sebuah badan tujuan khas (special purpose vehicle) untuk menyediakan pembiayaan serta khidmat nasihat kepada PKS Bumiputera.
Kebanyakan bank perdagangan juga telah menubuhkan unit-unit khas PKS untuk menangani isu pembiayaan serta keperluan pembangunan PKS. Selain daripada menyediakan produk pembiayaan yang menarik untuk PKS, institusi perbankan melalui unit khas PKS ini juga mengelolakan program latihan, bengkel dan seminar, selain menyediakan khidmat tambahan seperti khidmat nasihat, pengurusan kewangan dan padanan perniagaan untuk PKS.
Pada tahun 2002,
- Jumlah permohonan pinjaman yang diterima oleh institusi perbankan daripada PKS berjumlah RM48.7 bilion, iaitu 36% daripada jumlah keseluruhan pinjaman yang diterima daripada perniagaan;
- Lebih 74,000 permohonan berjumlah RM30.7 bilion telah diluluskan oleh institusi perbankan;
- RM49.5 bilion pinjaman telah dikeluarkan; dan
- Pada akhir tahun 2002, jumlah pinjaman kepada PKS berjumlah RM74.5 bilion, iaitu 16.5% daripada jumlah pinjaman keseluruhan sistem perbankan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.