Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar diumumkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022

Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 (Anugerah Diraja) telah dikurniakan kepada Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam satu majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.
Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar merupakan cendekiawan Syariah yang terkemuka dan diiktiraf secara meluas atas sumbangannya kepada pembangunan industri kewangan Islam global. Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar kini berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Shariah bagi Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC). Beliau juga merupakan ahli lembaga Syariah bagi institusi dan organisasi kewangan antarabangsa seperti Amundi Asset Management (Perancis), Bank of London and Middle East, Dow Jones Islamic Market Index (New York), Morgan Stanley (Dubai) dan Sedco Capital (Arab Saudi). Beliau juga berperanan penting dalam membangunkan piawaian Syariah pertama bagi emas yang dikeluarkan oleh Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI). Pengetahuan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam pelbagai disiplin telah membantu menjalinkan penggunaan prinsip Syariah dalam kewangan Islam moden, seterusnya memajukan lagi industri itu.
Selain penyertaan aktif beliau pada peringkat global, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar juga merupakan mantan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Selain itu, beliau telah menubuhkan beberapa syarikat khidmat nasihat Syariah dan syarikat fintech yang menyumbang kepada rangka kerja dan dasar berkaitan Syariah, penstrukturan produk, pembangunan modal insan dan penyelesaian teknologi.
Sebagai tokoh tersohor dalam kepimpinan berwawasan bagi kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar juga merupakan pengarang untuk lebih 40 buku dalam pelbagai genre dan telah menerima pelbagai anugerah. Buku-buku beliau memberikan pencerahan tentang tafsiran cendekiawan moden mengenai keputusan Syariah serta penerapannya secara praktikal dalam industri kewangan Islam. Beliau juga telah menerbitkan pelbagai artikel dalam jurnal akademik dan sebahagiannya telah dibentangkan dalam persidangan antarabangsa yang terkemuka.
Mengulas mengenai penerima Anugerah Diraja, Pengerusi Juri Tun Musa Hitam berkata, “Para juri telah melaksanakan proses pemilihan yang ketat dan teliti ke atas merit dan pencapaian setiap calon sebelum mencapai keputusan muktamad. Sebagai seorang cendekiawan Syariah, pengarang dan usahawan yang disegani, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah memainkan peranan utama dalam membentuk industri kewangan Islam global. Beliau diiktiraf secara meluas atas sumbangan dalam memajukan kepimpinan berwawasan Syariah dalam kewangan Islam.”
Anugerah Diraja yang diperkenalkan pada 2010 merupakan anugerah dwitahunan[1] anjuran bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC) untuk mengiktiraf dan memberikan penghargaan kepada individu yang telah memajukan kewangan Islam secara global menerusi sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka.
Penerima Anugerah Diraja sebelum ini termasuk Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (2018); Profesor Datuk Dr. Rifaat Ahmed Abdel Karim, mantan Ketua Pegawai Eksekutif International Islamic Liquidity Management Corporation (2016); Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail, ahli pengasas bank Islam pertama Malaysia (2014); Dato’ Paduka Iqbal Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital (2012); dan Allahyarham Shaikh Saleh Abdullah Kamel, pengasas Dallah al Baraka Group (2010).

Pihak Media boleh menghubungi Pasukan Media melalui:
Roziah Mohd. Hanifa ([email protected]), Delyana Nordin ([email protected])
NOTA KEPADA EDITOR
Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia
Sejak diperkenalkan hampir 40 tahun lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai sebuah pasaran kewangan Islam yang maju dan komprehensif serta mampu memenuhi pelbagai keperluan ekonomi dan masyarakat. Pasaran ini mempunyai ciri-ciri kawal selia, pengawasan, rangka kerja Syariah dan perundangan yang mantap, pasaran kewangan Islam yang teguh dan progresif, kepelbagaian penggiat industri, platform komoditi dan pertukaran berbilang aset, gerbang pembayaran pelbagai saluran yang cekap untuk memudahkan pengantaraan kewangan, serta pangkalan bakat dengan keupayaan global dan hubung kait dengan urusan perniagaan di serata dunia.
Pasaran kewangan Islam Malaysia terbuka kepada peserta industri global dan peserta pasaran untuk bekerjasama dan mendapat manfaat daripada persekitaran perniagaan yang sangat kondusif bagi inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga. Pasaran kami ialah ekosistem kewangan Islam yang menyeluruh dan persekitaran perniagaan bagi infrastruktur, inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga yang dikendalikan oleh komuniti MIFC, yang terdiri daripada institusi kewangan, firma profesional, pengawal selia dan agensi kerajaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com dan ikuti kami menerusi Twitter (@MalaysiaIF) / LinkedIn (@Malaysia World's Islamic Finance Marketplace).
Mengenai Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) ialah bank pusat Malaysia. Matlamat utama BNM adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Bagi mencapai matlamat ini, BNM memainkan peranan penting dalam membangunkan sistem kewangan konvensional dan kewangan Islam dengan pandangan bahawa sistem kewangan yang dibangunkan dengan baik akan menyumbang kepada daya tahan negara. Selama bertahun-tahun, BNM juga menerajui usaha mempromosikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut, layari bnm.gov.my dan ikuti kami melalui Facebook (bnm.official), Twitter (@BNM_official), Instagram (@banknegaramalaysia), LinkedIn (Bank Negara Malaysia), Telegram (banknegaramalaysia) dan YouTube (BNMOfficial).
Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC) merupakan sebuah badan berkanun yang terletak di bawah Kementerian Kewangan dan ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan satu-satunya agensi kawal selia untuk pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati melalui laman sesawang www.sc.com.my. Ikuti SC di Twitter menerusi @SecComMy untuk mendapatkan perkembangan terkini.
[1] Anugerah Diraja ditangguhkan pada tahun 2020 berikutan pandemik COVID-19.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.