Teks Ucapan oleh Encik Abu Hassan Alshari Yahaya Penolong Gabenor, Bank Negara Malaysia di Majlis Pelancaran Bulan Celik Kewangan, Bursa Malaysia

8 Oktober 2012

Saya amat berbesar hati kerana dijemput oleh pihak Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) untuk merasmikan pelancaran Bulan Celik Kewangan pada hari ini. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran ini atas komitmen dalam meningkatkan celik kewangan di kalangan pengguna.

Tema Bulan Celik Kewangan kali ini iaitu, 'tanggung jawab kewangan bermula dengan saya' memang tepat sekali kerana sekarang ini terdapat banyak faktor-faktor yang memberi tekanan dan mempengaruhi kita untuk berbelanja diluar kemampuan kita. Tiada siapa yang dapat membantu sepenuhnya melainkan kita sendiri kerana kita mempunyai kuasa dan tanggung jawab untuk mengurus dan membuat keputusan kewangan dengan bijak.

Pendapatan per kapita penduduk negara kita semakin bertambah (daripada RM28,169 pada tahun 2000 kepada hampir RM31,000 pada tahun 2012) menyebabkan tahap penggunaan yang terus meningkat serta permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan dan perkhidmatan. Oleh itu, pengguna perlu berhemah dalam berbelanja dan bijak untuk membezakan antara keperluan dan kehendak.

Para pengguna perlu rancangan yang rapi dalam membuat keputusan penting untuk perbelanjaan harian dan perbelanjaan-perbelanjaan besar dalam hidup seperti, pendidikan, perkahwinan, membeli rumah, persekolahan anak-anak, insurans, pelaburan dan lain-lain. Pengguna kewangan harus juga tahu untuk memilih pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan. Maka dengan itu, kita sebagai pengguna, harus melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk membolehkan kita membuat keputusan kewangan yang baik.

 Prihatin dengan dengan cabaran yang terpaksa dihadapi pengguna, Bank Negara Malaysia telah bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti institusi kewangan, persatuan pengguna, agensi kerajaan dan pihak akademik untuk meningkatkan celik kewangan di kalangan pengguna dengan menyediakan pelbagai program untuk membantu pengguna ke arah tersebut. Komitmen Bank Negara Malaysia diperkukuhkan lagi dengan adanya Pelan Sektor Kewangan 2011-2020, yang memberi penekanan kepada agenda perlindungan, pendidikan pengguna dan rangkuman kewangan.

Tanggung jawab kewangan bermula dengan saya

Dalam setiap fasa kehidupan, pengguna sering mempunyai kepentingan, tanggungjawab dan kehendak kewangan yang berbeza. Apabila umur dan kehidupan kita meningkat dan berubah, maka kehendak dan keperluan kita juga berubah. Perancangan kewangan menyediakan diri kita untuk menghadapi peluang dan cabaran hidup ini. Sekiranya kita merancang kewangan dengan cekap kita akan merasakan bahawa kita berupaya untuk mengawal kewangan kita dan memastikan kita akan berbelanja mengikut kemampuan yang sebenar. Selain itu kita dapat menguruskan hutang dengan baik serta mengelak daripada kesan-kesan negatif seperti menjadi muflis.

Sebagai individu yang bertanggungjawab... apakah yang kita perlu lakukan

  • Berbelanja mengikut pelan Kita perlu menyediakan satu pelan belanjawan dan berbelanja mengikut pelan itu. Dalam perkara ini, kita boleh mengetahui butiran perbelanjaan dan mengelakkan daripada terlebih belanja. Dengan sentiasa merekodkan perbelanjaan bulanan kita tahu ke mana perginya pendapatan serta gaji kita setiap bulan. Merekodkan perbelanjaan boleh mengawal perbelanjaan. Berbelanjalah mengikut kemampuan dan bukan mengikut gerak hati.
  • Menabung Kita juga perlu pupuk tabiat menabung untuk masa depan atau kecemasan. Kita boleh menabung secara automatik dengan menggunakan skim potongan gaji, auto-debit atau cara lain sepertinya. Kadar yang hendak ditabung mungkin sekitar 5% - 10% daripada jumlah pendapatan. Walaupun hanya menabung sebanyak RM50 sebulan, tetapi dengan faedah yang dikompaunkan, akhirnya jumlah simpanan terkumpul akan menjadi tinggi. Cabar diri untuk meningkatkan jumlah tabungan secara beransur-ansur agar mempunyai lebih banyak wang untuk masa depan. Asingkan lebih awal jumlah wang yang hendak ditabung daripada menunggu pada hujung bulan di mana kemungkinan sejumlah wang telah habis dibelanjakan.
  • Guna teknologi untuk jimat kos urusan perbankan Kita juga boleh menggunakan teknologi untuk mengurangkan kos urusan perbankan. Dengan menggunakan perbankan internet serta e-pembayaran, kita boleh berjimat dari segi perbelanjaan pengangkutan, pakir, tenaga dan masa.
  • Tingkatkan pengetahuan kewangan Kita juga perlu meningkatkan pengetahuan kewangan untuk membolehkan membuat keputusan kewangan yang baik dan bijak. Pengetahuan kewangan boleh diperolehi melalui pendidikan kewangan yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan pengguna, internet, laman sesawang Bank Negara Malaysia, institusi kewangan dan agensi-agensi lain yang berkaitan. Diantara laman sesawang pendidikan kewangan adalah seperti berikut: Progam Pendidikan Pengguna internet melalui bankinginfo.com.my, insuransinfo.com.my dan Islamicfinance info.com.my memberi maklumat, pengetahuan, pemahaman dan nasihat untuk produk dan perkhidmatan perbankan, insurans dan takaful. Di paparkan juga di laman sesawang bankinginfo.com.my untuk pengguna membuat perbandingan fi dan caj yang dikenakan oleh institusi penyedia kewangan. Laman sesawang Bank Negara Malaysia ini memberi nasihat supaya berhati-hati ketika membuat keputusan berhubung perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh pihak yang tidak berlesen.
    • bankinginfo.com.my, insuransinfo.com.my dan Islamicfinance info.com.my

Sebagai pengguna perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab...

  • Fahami terma dan syarat dokumen perjanjian Kita perlu lebih peka dan memahami terma dan syarat dokumen perjanjian sebelum bersetuju untuk membeli produk dan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan. Ini amat penting untuk memastikan kita memahami perkhidmatan dan produk kewangan yang bakal diterima, bayaran yang akan dikenakan serta hak sebagai pengguna sekiranya institusi kewangan melanggar terma dan syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
  • Disiplinkan diri untuk pembayaran balik pinjaman Walau bagaimanapun, kita perlu mendisiplinkan diri untuk menguruskan pembayaran balik pinjaman dengan baik. Sekiranya kita menghadapi sebarang isu berkenaan dengan produk dan perkhidmatan kewangan, segeralah berbincang dengan institusi penyedia kewangan untuk mendapat penyelesaian yang efektif. Untuk lebih berkesan, pendidikan kewangan itu perlu diterapkan secara berterusan dari usia muda sehingga dewasa bagi memupuk disiplin yang tinggi dalam menguruskan wang. Dalam konteks ini inisiatif-inisiatif telah dijalankan oleh Bank Negara Malaysia yang melibatkan pendidikan kewangan di sekolah dan penyediaan laman sesawang pendidikan kewangan. AKPK pula menyediakan Program POWER! untuk golongan belia.
  • Pendidikan pengurusan kewangan melalui kokurikulum sekolah Anak-anak kita telah mula didedahkan tentang kepentingan pengurusan kewangan berhemah pada tahun 1997 melalui Program Sekolah Angkat oleh institusi-institusi kewangan. Pada tahun 1999, Kelab Kewangan Pelajar Sekolah diwujudkan dan anak-anak kita mula menggunakan Buku Wang Saku untuk mencatat perbelanjaan harian bagi menerapkan sifat bertanggungjawab dalam diri terhadap kewangan peribadi. Sehingga kini sebanyak 11 juta naskhah Buku Wang Saku telah diedarkan.  Selaras dengan penggunaan internet yang semakin meluas, Buku Wang Saku secara elektronik diwujudkan di laman sesawang, duitsaku.com, mulai tahun 2004 dengan 110,000 ahli.
  • Menerapkan elemen pendidikan kewangan ke dalam kurikulum sekolah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia Melangkah ke hadapan, anak-anak kita akan mendapat pendidikan kewangan secara formal dan komprehensif melalui kurikulum sekolah. Ini bertujuan menggalakkan keupayaan kewangan sebagai kemahiran hidup dari usia yang muda. Elemen celik kewangan akan diintegrasi ke dalam mata pelajaran teras bagi kurikulum baru sekolah rendah dan menengah. Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2014 bagi sekolah rendah dan tahun 2017 bagi sekolah menengah. Antara elemen celik kewangan yang akan diterapkan ialah wang, pengurusan dan perancangan kewangan, simpanan dan pelaburan, pengurusan kredit dan hutang, dan perlindungan dan insurans.
  • Pendidikan kewangan melalui program POWER! oleh AKPK Program POWER!, Pengurusan Wang Ringgit Anda anjuran AKPK, ditujukan kepada golongan belia dan peminjam kali pertama berusia antara 18 hingga 30 tahun. Program ini akan memberi individu pendedahan kepada kemahiran dan pengetahuan untuk menguruskan kewangan secara efektif serta diberikan maklumat, tip dan alatan kewangan berguna untuk menggalakkan pengurusan wang dan disiplin kewangan berhemah. Senario kedudukan kewangan golongan muda di negara ini perlu diberi perhatian serius. 47% pekerja muda berusia 18 hingga 35 tahun mengalami masalah hutang yang berat sehingga membelanjakan sebanyak 30% atau lebih daripada pendapatan bulanan untuk membayar hutang. (Sumber: Kajian oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna dengan kerjasama Citi Foundation). Dengan menghadiri program POWER! saya harap golongan muda tersebut akan lebih berhemah dalam membuat keputusan pengurusan kewangan mereka.

Perlindungan untuk Pengguna Kewangan

  • Saluran nasihat dan penyelesaian aduan – institusi kewangan Kita jangan lari atau berdiam diri apabila menghadapi masaalah dengan institusi penyedia kewangan tetapi sebaliknya bersikap proaktif dengan menggunakan saluran-saluran nasihat dan aduan yang disediakan. Jalan terbaik untuk mendapatkan nasihat dan penyelesaian isu adalah dengan berhubung terus dengan institusi penyedia kewangan itu sendiri kerana mereka memahami tentang isu yang dibangkitkan dan memberi cadangan penyelesaian terbaik seperti melalui penstrukturan semula pinjaman. Untuk memastikan pengguna kewangan dapat menyelesaikan aduan secara terus, setiap institusi penyedia kewangan mempunyai unit nasihat dan pengurusan aduan masing-masing.                                                                    
  • Saluran nasihat dan penyelesaian aduan – Bank Negara Malaysia Tuan-tuan dan puan-puan juga boleh menghubungi Laman Informasi Nasihat dan Khidmat Bank Negara Malaysia (BNMLINK) sama ada di ibu pejabat di Kuala Lumpur atau di cawangan-cawangan Bank Negara Malaysia. Untuk menjimatkan kos, tidak perlu datang sekiranya pengadu tinggal jauh; memadai dengan melalui surat sahaja. Sebagai alternatif, boleh menghubungi Pusat perhubungan khidmat pelanggan Bank Negara Malaysia (BNMTELELINK) melalui telefon: 1-300-88-5465). Untuk makluman, sejak tahun 2008, Bank Negara Malaysia telah menerima lebih 1 juta pertanyaan dan aduan daripada orang perseorangan dan usahawan dengan purata, sebanyak 1,600 sehari.
  • Saluran perkhidmatan perbankan untuk masyarakat pedalaman – Bank Negara Malaysia Masyarakat Malaysia yang tinggal jauh di pedalaman dan sukar mendapat maklumat kewangan dan perkhidmatan perbankan asas, kini boleh berbuat demikian melalui perkhidmatan LINK Bergerak atau MobileLINK.  Di MobileLINK, orang ramai juga boleh mengemukakan pelbagai isu berkaitan tahap perkhidmatan institusi penyedia kewangan yang tidak berkualiti dan memuaskan mereka. Di samping itu, pada 15 Ogos 2012, perbankan agen telah dilancarkan bagi membolehkan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan (underserved) mengakses perkhidmatan kewangan dengan lebih berkesan dari segi kos, melalui penggunaan saluran runcit bukan bank.                                                                                           
  • Saluran nasihat dan penyelesaian aduan – AKPK Biasanya keadaan akan menjadi lebih rumit apabila pengguna tidak dapat membayar hutang yang diperolehi dari banyak institusi penyedia kewangan. Dalam situasi begini, pengguna perlu cepat meminta bantuan AKPK. Melalui program pengurusan kredit, AKPK akan mendapatkan kerjasama institusi yang memberi hutang agar menstrukturkan semula pembayaran pinjaman mengikut kemampuan sipeminjam.
  • Saluran nasihat dan penyelesaian aduan – FMB Satu lagi saluran penyelesaian lanjutan ialah Biro Pengantaraan Kewangan (FMB) yang merupakan badan pengantara bebas untuk menyelesaikan pertikaian antara pengguna dengan institusi penyedia kewangan secara percuma.

Halatuju ke hadapan

Melangkah ke hadapan, para pengguna akan terus mengecapi rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan yang lebih pelbagai serta canggih. Dalam persekitaran kewangan sedemikian, pengguna perlu melengkapi diri mereka dengan ilmu serta kemahiran praktikal berhubung dengan pengurusan kewangan yang berhemah, maklumat produk dan perkhidmatan kewangan, pelaburan, pengurusan hutang dan sebagainya. Pengetahuan ini akan membolehkan pengguna membuat keputusan kewangan yang bertanggungjawab berdasarkan maklumat yang mencukupi.

Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama secara bersepadu oleh semua pihak yang terlibat seperti institusi kewangan, persatuan pengguna, agensi kerajaan, pihak akademik, institusi pendidikan dan pihak lain dalam menyedia dan melaksanakan program pendidikan kewangan akan meningkatkan celik kewangan pengguna dan memperkasa serta memberi perlindungan kepada mereka. Pihak-pihak yang terlibat dalam perkongsian tanggungjawab ini boleh meningkatkan lagi penyelarasan aktiviti-aktiviti mereka untuk meningkatkan keberkesanan serta mengurangkan pertindihan. Kerjasama bersepadu ini akan memberi impak yang lebih menyeluruh dalam meningkatkan tahap celik kewangan pengguna. Akhir kata saya sekali lagi ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan selamat maju jaya kepada FOMCA dan semua yang terlibat dalam program Bulan Celik Kewangan.

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Bulan Celik Kewangan. Sekian, terima kasih.


Bank Negara Malaysia
08 Oktober 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?