Teks Ucapan Penolong Gabenor di Majlis Pelancaran Bulan Kewangan Berhemat dan Persidangan Perkhidmatan Kewangan dan Pengguna - "Tanggungjawab Kewangan Bermula Dengan Saya"

Perpustakaan Negara Malaysia | 29 September 2011

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) atas undangan untuk merasmikan pelancaran Bulan Kewangan Berhemat, dan Persidangan Perkhidmatan Kewangan dan Pengguna pada hari ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha dan komitmen, dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna tentang kewangan berhemat. Ini merupakan platform yang amat penting bagi semua pihak yang terlibat bertukar pendapat dan pengetahuan serta melaksanakan inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan keperluan perlindungan pengguna.

Secara keseluruhannya, Malaysia telah mengalami kadar pertumbuhan ekonomi yang berterusan dalam lingkungan 5 - 6% dan hasilnya, pendapatan isi rumah terus meningkat pada kadar purata 5% setiap tahun dalam keadaan pasaran kerja yang baik, dengan kadar pengangguran yang rendah. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita telah bertambah dari RM28,169 pada tahun 2000 kepada RM27,113 pada tahun 2010. Peningkatan paras pendapatan ini telah meningkatkan taraf hidup serta menaiktaraf kapasiti para pengguna terhadap permintaan untuk barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi. Peningkatan taraf kehidupan pengguna juga telah mendorong ke arah penggunaan swasta (private consumption), yang pada waktu ini menjadi salah satu faktor utama kepada pertumbuhan ekonomi negara kita.

Dengan Malaysia semakin berkembang maju ke arah menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, keperluan dan perbelanjaan para pengguna akan bertambah dalam setiap fasa kehidupan. Para pengguna perlu perancangan yang rapi untuk keputusan penting seperti perbelanjaan seharian, perkahwinan, membeli rumah, kereta, pendidikan anak-anak, insurans, pelaburan, persaraan dan percutian, dalam usaha untuk mencapai gaya hidup dengan taraf kehidupan yang semakin meningkat. Di samping itu, para pengguna perlu mempunyai wang perbelanjaan, simpanan dan pelaburan yang mencukupi untuk kehidupan yang lebih sempurna. Ini semua memerlukan pengurusan kewangan yang baik, dan para pengguna mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menguruskan kewangan dengan bijak.

Prihatin dengan cabaran-cabaran yang dihadapi para pengguna, Bank Negara Malaysia telah memulakan inisiatif dan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan pemahaman pengguna dalam pengurusan kewangan. Dengan rangkaian kerjasama yang luas, segala maklumat dan usaha pendidikan dapat meliputi ke semua lapisan masyarakat di negara ini.

Seiring dengan pembangunan negara, sektor kewangan Malaysia turut mencapai kemajuan yang pesat. Institusi kewangan juga telah menjadi lebih maju dan lebih inovatif dalam menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan bagi memenuhi kehendak dan keperluan para pengguna yang meningkat dan semakin canggih.

Perkembangan ini telah memberikan banyak manfaat kepada para pengguna kerana mereka kini mempunyai pelbagai pilihan. Dari akaun simpanan hingga kad kredit, akaun deposit, dana pelaburan, pinjaman dan lain-lain, para pengguna pada hakikatnya mempunyai pilihan-pilihan yang lebih canggih dan kadang kala mungkin sukar untuk mereka fahami. Di sinilah pentingnya pengetahuan dan kemahiran para pengguna khususnya apabila membuat keputusan kewangan.

Bagi meningkatkan tahap pengetahuan, pengguna perlu melengkapi diri mereka dengan ilmu seperti kemahiran praktikal berhubung dengan pengurusan kewangan yang berhemat, maklumat produk dan perkhidmatan kewangan, pelaburan, pengurusan hutang dan sebagainya. Pengetahuan ini akan membolehkan mereka membuat keputusan kewangan yang bijak berdasarkan maklumat yang mencukupi.

(Peranan Bank Negara Malaysia Dalam Perlindungan Pengguna)

Saya ingin menyentuh sedikit mengenai peranan Bank Negara Malaysia dalam perlindungan pengguna. Usaha pendidikan pengguna yang telah dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia ialah menerusi program pendidikan asas kewangan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah. Usaha ini merupakan kerjasama antara Bank Negara Malaysia dan Kementerian Pendidikan, dengan sokongan institusi kewangan sejak tahun 1997. Melalui program tersebut, Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan Buku Wang Saku pada tahun 1999 untuk membolehkan para pelajar sekolah mempunyai sebuah buku khas untuk mencatat perbelanjaan harian mereka. Amalan tersebut dipercayai dapat membentuk sifat bertanggungjawab dalam diri pelajar terhadap kewangan peribadi.

Buku Wang Saku kemudian diperkenalkan dalam bentuk elektronik apabila satu laman sesawang interaktif khas, iaitu 'duitsaku.com' diwujudkan pada tahun 2004. Laman sesawang ini menjadi pelengkap kepada amalan merancang kewangan menggunakan Buku Wang Saku. Bagi mengukuhkan asas pendidikan kewangan di sekolah, program Kelab Kewangan Pelajar Sekolah turut diperkenalkan pada tahun 2001 dan ia merupakan aktiviti ko-kurikulum pelajar di luar bilik darjah.

Usaha yang dilakukan secara berterusan menerusi Program Pendidikan Pengguna telah mendorong kerjasama dengan industri perbankan dan insurans yang lebih menyeluruh. Hasilnya, Bank Negara Malaysia bersama-sama industri perbankan dan insurans telah melancarkan program Bankinginfo dan Insuransinfo (buku kecil) untuk para pengguna. Menerusi Bankinginfo, para pengguna boleh mendapatkan maklumat, pengetahuan, pemahaman dan nasihat mengenai produk dan perkhidmatan perbankan. Insuranceinfo pula mengandungi maklumat berkaitan insurans dan takaful supaya pengguna boleh membuat keputusan yang bijak lagi wajar apabila membeli produk insurans atau takaful.

Selain inisiatif di atas, program POWER! Pengurusan Wang Ringgit Anda anjuran AKPK untuk para pengguna juga diperkenalkan baru-baru ini. Program POWER! direka khas untuk memberikan pengetahuan asas kewangan dan cara pengurusan kewangan agar para pengguna lebih yakin dalam membuat keputusan pengurusan kewangan mereka.

Untuk meningkatkan lagi pengetahuan para pengguna dalam urusan kewangan, Bank Negara Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif lain untuk menggalakkan amalan pasaran yang lebih adil dan saksama oleh institusi kewangan. Usaha ini dilihat daripada pengeluaran Garis Panduan Mengenai Ketelusan dan Penerangan Maklumat Produk, yang bertujuan untuk meningkatkan standard penerangan maklumat produk-produk kewangan. Maklumat dalam Garis Panduan ini dijangka dapat membantu pengguna untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak selain dapat meningkatkan pemahaman pengguna mengenai maklumat yang diberikan oleh institusi kewangan apabila mereka menilai kesesuaian dan membuat perbandingan sesuatu produk atau perkhidmatan kewangan mengikut keperluan dan kemampuan mereka. Selain itu, jadual perbandingan fi dan caj yang dikenakan juga terkandung dalam laman sesawang bankinginfo.com.my dan insuransinfo.com.my.

Penyeliaan dan pengawasan Bank Negara Malaysia terhadap amalan pasaran juga akan memastikan amalan penetapan harga yang telus dan caj yang dikenakan adalah setara dengan tahap perkhidmatan dan kos yang ditanggung oleh institusi kewangan untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan. Antara perkara yang menjadi fokus penyeliaan dan pengawasan ialah pengenaan fi dan caj, promosi kad kredit dan jualan produk berkaitan pelaburan termasuk produk pelaburan yang direka khusus mengikut keperluan pengguna (structured products).

Bank Negara Malaysia juga menyediakan saluran aduan dan pengantaraan bagi pengguna produk kewangan. Sejak ditubuhkan pada tahun 2005, Bank Negara Malaysia melalui pusat perkhidmatan pelanggannya, BNMLINK, telah memberikan maklumat serta khidmat nasihat selain menerima aduan daripada orang ramai. BNMLINK telah memperluas perkhidmatannya kepada pusat perhubungan pelanggan yang dipanggil BNMTELELINK dan juga kaunter bergerak 'Mobile LINK'. Perkhidmatan-perkhidmatan ini disediakan untuk memudahkan orang ramai dari seluruh pelosok negara untuk berhubung dengan kami. Pada tahun 2010 sahaja, BNMLINK telah menerima aduan sebanyak 293,388, berbanding pada tahun 2008 sebanyak 125,871. Peningkatan yang tinggi ini menggambarkan kesedaran para pengguna yang terus meningkat dalam tuntutan mereka bagi perkhidmatan yang lebih baik serta berkualiti. Para pengguna juga lebih yakin dalam menegaskan dan menyuarakan hak mereka sebagai pengguna dengan menggunakan pelbagai saluran.

Pada tahun 2006, meskipun ekonomi negara berada pada tahap yang kukuh dan kredit pengguna dalam keadaan terkawal, Bank Negara Malaysia telah mengambil langkah awal untuk menubuhkan AKPK. AKPK menyediakan perkhidmatan kaunseling dan nasihat kewangan, pengurusan kredit dan pendidikan kewangan bagi membantu rakyat Malaysia mengurus kewangan mereka dengan berkesan. Inisiatif AKPK terkini ialah program POWER! Pengurusan Wang Ringgit Anda untuk orang ramai yang telah saya jelaskan sebentar tadi.

Satu lagi saluran penyelesaian lanjutan ialah Biro Pengantaraan Kewangan atau dikenali sebagai Financial Mediation Bureau. Biro ini merupakan badan pengantara bebas yang menyelesaikan pertikaian antara pengguna dengan institusi perbankan secara objektif dan tepat pada masanya. Perkhidmatan ini disediakan kepada orang ramai secara percuma.

(Peranan Institusi Kewangan)

Bagi memenuhi tuntutan pengguna untuk perkhidmatan yang berkualiti, ketelusan serta amalan yang adil dalam menawarkan produk dan perkhidmatan, penyedia perkhidmatan kewangan bertanggungjawab untuk menerapkan amalan perniagaan yang baik, termasuk standard penerangan maklumat, dalam pengurusan perniagaan harian mereka. Model perniagaan institusi kewangan perlu berlandaskan pada amalan yang adil dan mampu bertindak balas secara proaktif terhadap keperluan pengguna yang sentiasa berubah-ubah.

Institusi kewangan seharusnya memperkenalkan produk mereka di pasaran hanya setelah menyediakan sistem pengawasan dan kawalan yang bersesuaian selain memberikan latihan yang sewajarnya kepada pekerja pemasaran mereka. Institusi kewangan juga dikehendaki memberikan penerangan yang jelas dan perlu telus dalam menyampaikan maklumat supaya para pengguna memahami dan dapat membuat keputusan dengan baik.

Lebih penting lagi, institusi perbankan digalakkan mewujudkan Unit Aduan yang berkesan untuk pengguna membuat aduan dan memberikan maklum balas tentang produk dan perkhidmatan mereka.

Dalam persekitaran persaingan yang semakin sengit, institusi kewangan yang lebih responsif terhadap keperluan para penggunalah yang akan mampu bertahan dan seterusnya meningkatkan pasaran serta perniagaan mereka.

(Peranan Persatuan-Persatuan Pengguna dan Agensi Kerajaan)

Peranan FOMCA, persatuan pengguna dan agensi kerajaan sememangnya amat penting untuk meningkatkan pengetahuan pengguna agar menjadi individu yang bertanggungjawab dan bijak dalam mengendalikan hal kewangan. Menerusi program seperti Bulan Kewangan Berhemat inilah, ilmu dan maklumat mengenai pengurusan kewangan dapat disalurkan dengan positif dan berkesan.

Memandangkan FOMCA, persatuan pengguna dan agensi kerajaan lebih mengenali dan memahami keperluan pengguna, program pendidikan persatuan pengguna boleh disesuaikan mengikut trend semasa dengan lebih berkesan. Interaksi aktif antara persatuan dengan pengguna seterusnya akan dapat meningkatkan pemahaman dan keyakinan dalam diri pengguna untuk membuat pertimbangan yang wajar, dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat sebarang keputusan kewangan.

Persatuan pengguna dan agensi kerajaan juga merupakan saluran maklum balas yang penting untuk menyampaikan pandangan dan maklumat yang diterima kepada Bank Negara Malaysia dan institusi-institusi kewangan bagi meningkatkan tahap perlindungan pengguna. Bank Negara Malaysia sentiasa menyokong segala usaha yang dilakukan oleh FOMCA, persatuan pengguna dan agensi kerajaan untuk merangsang sektor kewangan negara. Buletin Ringgit merupakan usaha sama antara Bank Negara Malaysia dan FOMCA untuk terus mendidik dan menggalak para pengguna tentang pengurusan kewangan yang berhemat. Buletin ini diterbitkan setiap bulan dan diedarkan secara percuma kepada pengguna.

(Peranan Perpustakaan dan Akademik)

Perpustakaan ialah sumber khazanah ilmu termasuklah ilmu pengurusan kewangan. Pelbagai jenis buku dan bahan bacaan boleh dirujuk oleh pengguna, terutamanya golongan muda dan pelajar, untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai ilmu pengurusan kewangan ini. Usaha Perpustakaan Negara dan perpustakaan di seluruh negara dalam menyediakan bahan bacaan terkini amat dialu-alukan.

Pendidikan pengurusan kewangan ini juga seharusnya diteruskan pada peringkat akademik yang lebih tinggi iaitu di universiti dan kolej. Pada peringkat inilah, golongan muda akan melangkah ke fasa kehidupan yang baharu dan mula belajar untuk berdikari. Peranan ahli akademik juga penting, dengan menjadi contoh yang baik dan memberikan nasihat serta peringatan kepada anak-anak muda agar bijak membelanjakan wang biasiswa atau pinjaman masing-masing.

Akhir kata, saya ingin tekankan bahawa kerjasama antara semua pihak iaitu pengguna, institusi kewangan, persatuan pengguna, agensi kerajaan, pihak akademik dan institusi pendidikan serta pihak lain amat penting bagi menjayakan usaha meningkatkan pengurusan kewangan berhemat dalam kalangan pengguna. Kerjasama ini perlu diperkukuhkan lagi supaya lebih bersepadu serta memberi impak yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan  pelancaran Bulan Kewangan Berhemat dan Persidangan Perkhidmatan Kewangan dan Pengguna.

Sekian, terima kasih.


Bank Negara Malaysia
29 September 2011

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?