Tempoh Jualan Terbitan Ketiga Bon Simpanan Merdeka Berakhir

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1900 pada Khamis, 17 Jun 2004
17 Jun 2004 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan bahawa tempoh jualan bagi terbitan ketiga Bon Simpanan Merdeka (BSM) berjumlah RM500 juta telah berakhir pada 17 Jun 2004.

Terbitan BSM ini telah terlebih dilanggan dengan jumlah permohonan sebanyak RM800 juta yang diterima daripada lebih 17,000 pelabur. Memandangkan permintaan yang amat menggalakkan daripada para pelabur, pertimbangan akan diberikan bagi membolehkan agihan dibuat kepada seramai pelabur yang mungkin. Oleh itu, sesetengah pelabur mungkin tidak akan diperuntukkan keseluruhan jumlah yang dipohon. Pemohon yang berjaya serta jumlah yang diperuntukkan akan dimaklumkan oleh bank ejen masing-masing.

Warga emas, anggota tentera yang bersara dan warganegara Malaysia yang telah bersara atas alasan kesihatan yang berminat untuk membeli BSM masih boleh berbuat demikian sewaktu tempoh jualan terbitan keempat mulai 1 September 2004. Saiz dan kadar keuntungan terbitan tersebut akan diumumkan sebelum tarikh terbitan.

Maklumat lanjut mengenai Bon Simpanan Merdeka boleh diperolehi dari semua bank perdagangan dan Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad, atau dari talian bantuan Bon Simpanan Merdeka di nombor 03-2690 7276/2690 7225 atau 03-26988044, sambungan 8439/8712 atau dengan melayari laman web di www.bnm.gov.my/bonmerdeka.


Bank Negara Malaysia
17 Jun 2004

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?