Tempoh Jualan Terbitan Terakhir Bon Simpanan Merdeka Berakhir Pada 22 September 2005
Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan bahawa tempoh jualan bagi terbitan terakhir (kelapan) Bon Simpanan Merdeka (BSM) berjumlah RM300 juta telah berakhir pada 22 September 2005.
Terbitan BSM ini telah terlebih langganan dengan permohonan berjumlah RM430 juta yang diterima daripada 11,100 orang pelabur. Bank Negara Malaysia telah menambah jumlah terbitan bagi membolehkan semua pelabur yang layak mendapat peruntukan mengikut jumlah yang dipohon. Pemohon yang berjaya bagi terbitan BSM ini akan dimaklumkan oleh bank masing-masing.
BSM telah diperkenalkan pada bulan Februari 2004 untuk menyediakan instrumen simpanan tambahan bagi warga emas, anggota Tentera Malaysia yang telah bersara dan warganegara Malaysia yang telah bersara atas alasan kesihatan, yang bergantung terutamanya pada pendapatan tetap yang diperoleh daripada deposit di institusi perbankan. Kadar pulangan yang ditawarkan sebanyak 5 peratus setahun adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar faedah deposit tetap di institusi perbankan.
Sambutan terhadap bon ini amat menggalakkan sejak ia mula diperkenalkan pada bulan Februari 2004. Secara keseluruhan, kesemua lapan terbitan BSM yang diterbitkan telah menarik langganan berjumlah RM3.5 bilion daripada 93,300 pelabur dalam kumpulan sasaran. Jumlah pelabur dengan pelaburan sebanyak RM40,000 ke bawah mewakili 60% daripada jumlah bilangan pelabur.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.