Terbitan Kedua Bon Simpanan Merdeka Telah Dilanggan Sepenuhnya

Embargo: Untuk siaran segera
03 Mac 2004 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan bahawa Bon Simpanan Merdeka (BSM) terbitan kedua sebanyak RM300 juta telah ditambah jumlahnya menjadi RM500 juta. Atas sebab permintaan yang amat menggalakkan, keseluruhan jumlah tersebut telah dilanggan sepenuhnya.

Memandangkan langganan BSM adalah berdasarkan “siapa dahulu dia dapat”, semua bank ejen tidak lagi menerima permohonan baru mulai sekarang. Pemohon yang berjaya mendapatkan bon terbitan kedua ini akan dimaklumkan oleh bank ejen masing-masing. Sijil-sijil bon akan diedarkan kepada mereka sebelum 1 Mei 2004.

Warga emas dan anggota tentera yang bersara yang berminat untuk membeli BSM masih boleh berbuat demikian pada terbitan selanjutnya pada 1 - 29 Jun dan 1 - 29 September 2004. Saiz dan kadar keuntungan terbitan-terbitan tersebut akan dimaklumkan sebelum tarikh terbitan.

Maklumat lanjut mengenai Bon Simpanan Merdeka boleh diperolehi dari semua bank perdagangan dan Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad, atau dari talian bantuan Bon Simpanan Merdeka di nombor 03-2690 7276/2690 7225 atau 03-26988044, sambungan 8439/8712 atau dengan melayari laman web di www.bnm.gov.my/bonmerdeka.


Bank Negara Malaysia
03 Mac 2004

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?