Terbitan Pertama Bon Simpanan Merdeka Dilanggan Sepenuhnya

Embargo: Untuk siaran segera
12 Jan 2004 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan bahawa Bon Simpanan Merdeka (BSM) terbitan pertama berjumlah RM500 juta telah dilanggan sepenuhnya hari ini. Memandangkan langganan BSM adalah berdasarkan “siapa dahulu dia dapat”, semua bank agen tidak lagi menerima permohonan baru mulai sekarang. Pemohon yang berjaya mendapatkan bon terbitan pertama ini akan dimaklumkan oleh bank agen masing-masing. Sijil-sijil bon akan diedarkan kepada mereka pada 4 Februari 2004.

Warga emas dan warga tentera yang bersara yang berminat untuk membeli BSM masih boleh berbuat demikian pada terbitan selanjutnya dalam tahun 2004. Tempoh jualan bagi terbitan selanjutnya adalah masing-masing pada 1 - 31 Mac, 1 - 30 Jun dan 1 - 30 September 2004. Saiz dan kadar keuntungan terbitan-terbitan tersebut akan dimaklumkan dua bulan sebelum tarikh penerbitan.

Maklumat lanjut mengenai Bon Simpanan Merdeka boleh diperolehi dari semua bank perdagangan dan Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad, atau dari talian bantuan Bon Simpanan Merdeka di nombor 03-2690 7276/2690 7225 atau 03-26988044, sambungan 8439/8712 atau dengan melayari laman web di www.bnm.gov.my/bonmerdeka.


Bank Negara Malaysia
12 Januari 2004

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?