Terbitan Sukuk 1Malaysia 2010
Terbitan Sukuk 1Malaysia 2010 telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada 21 Jun 2010. Sukuk 1Malaysia yang berjumlah RM2.4 bilion ini telah diagihkan kepada 74,781 pelabur. Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan oleh bank ejen masing-masing.
Sukuk 1Malaysia 2010, yang diterbitkan tanpa skrip dan berasaskan prinsip Syariah, merupakan instrumen pelaburan tambahan untuk warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas. Sukuk ini, yang mempunyai tempoh pemegangan selama 3 tahun, menawarkan pulangan 5% setahun. Sukuk 1Malaysia 2010 mempunyai ciri penjualan semula yang memberikan fleksibiliti kepada pelabur untuk menjual dan membeli sukuk sebelum tarikh matang.
Mulai 22 Jun 2010, pelabur boleh menjual dan membeli sukuk tersebut di bank ejen. Pembelian sukuk tersebut adalah berdasarkan yang datang dulu dilayan dulu, tanpa menetapkan jumlah had pegangan maksimum. Ini tertakluk kepada terdapatnya sukuk yang dijual oleh pemegang sukuk sedia ada. Harga jualan dan harga belian dikira berdasarkan prinsipal pada tara (at par) dan dicampurkan dengan keuntungan terakru. Orang ramai yang berminat untuk melabur dalam Sukuk 1Malaysia 2010 boleh mendapatkan maklumat mengenainya serta harga harian melalui laman sesawang Bon Info Hub dengan melawati www.bondinfo.bnm.gov.my atau daripada bank ejen masing-masing. Jumlah minimum jualan/belian bagi setiap pelabur ialah RM100 dan dalam gandaan RM100. Kos pentadbiran sebanyak 0.1% daripada nilai belian nominal akan dikenakan oleh bank ejen.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sukuk 1Malaysia 2010, sila hubungi Bank Negara Malaysia TELELINK (Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan) di talian 1-300-88-5465 atau lawati www.treasury.gov.my dan www.bnm.gov.my/sukuk1Malaysia.
Kementerian Kewangan Malaysia
23 Jun 2010
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.