Terbitan Sukuk 1Malaysia 2010

10 Mei 2010 Siaran Akhbar

mof_logo

Kementerian Kewangan mengumumkan terbitan Sukuk 1Malaysia berjumlah RM3 bilion pada 21 Jun 2010. Bank Negara Malaysia telah dilantik untuk menerbitkan sukuk ini bagi pihak Kerajaan.

Sukuk yang akan diterbitkan tanpa skrip dan berlandaskan prinsip Syariah ini, merupakan instrumen pelaburan tambahan untuk warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas. Sukuk yang berjumlah RM3 billion ini mempunyai tempoh matang selama 3 tahun, menawarkan pulangan 5% setahun. Sukuk 1Malaysia 2010 mempunyai ciri penjualan semula yang memberikan fleksibiliti kepada pelabur untuk menjual dan membeli sukuk sebelum tarikh matang.
Pelabur yang ingin melanggan Sukuk 1Malaysia 2010 boleh membuat permohonan dalam tempoh langganan yang akan bermula dari 20 Mei hingga 9 Jun 2010. Pelaburan minimum Sukuk 1Malaysia 2010 bagi setiap pelabur ialah RM1,000 dengan pelaburan maksimum sebanyak RM50,000.

Sukuk 1Malaysia 2010 boleh dilanggani di kebanyakan bank perdagangan dan bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank. Peruntukan sukuk akan dilakukan setelah tamatnya tempoh langganan. Semua pelanggan akan diperuntukan kurang daripada atau sehingga jumlah yang dilanggani, bergantung pada jumlah bilangan pelanggan dan jumlah keseluruhan langganan yang diterima. Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan oleh ejen bank mereka jumlah Sukuk 1Malaysia 2010 yang diperuntukan kepada mereka. Keuntungan akan dibayar setiap suku tahunan melalui akaun pemegang sukuk di bank ejen masing-masing.

Ciri Penjualan Semula Sukuk 1Malaysia 2010

Mulai 22 Jun 2010, pelabur boleh menjual dan membeli sukuk di bank ejen. Pembelian sukuk adalah berdasarkan siapa dulu dia dapat tanpa menetapkan jumlah had pegangan maksimum. Ini tertakluk kepada terdapatnya sukuk yang dijual oleh pemegang sukuk yang sedia ada. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat tentang terdapatnya Sukuk 1Malaysia 2010 yang boleh dilanggan beserta harga harian melalui laman sesawang Bon Info Hub dengan melawat www.bondinfo.bnm.gov.my atau boleh membuat semakan dengan bank ejen mereka.

Untuk maklumat lanjut tentang Sukuk 1Malaysia 2010, sila hubungi Bank Negara Malaysia TELELINK di 1300 88 5465 atau lawati www.treasury.gov.my dan www.bnm.gov.my/sukuk1Malaysia. Ciri-ciri utama Sukuk 1Malaysia 2010 adalah seperti Lampiran.

Kementerian Kewangan Malaysia
10 Mei 2010

 


Bank Negara Malaysia
10 Mei 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?