Terbitan Sukuk Bank Negara Malaysia berasaskan konsep Ijarah
Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pengenalan satu instrumen monetari Islam yang baru, iaitu Bank Negara Malaysia Sukuk Ijarah. Terbitan sulung ini akan diterbitkan pada 16 Februari 2006 dengan saiz terbitan sebanyak RM400 juta. Bank Negara Malaysia akan menerbitkan instrumen ini secara berkala. Saiz terbitan berikutnya adalah antara RM100 juta hingga RM200 juta.
Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan telah meluluskan sukuk ini berasaskan konsep Al-Ijarah atau ‘jual dan pajak semula’, iaitu satu struktur yang digunakan secara meluas di Timur Tengah. Satu badan khas iaitu BNM Sukuk Berhad akan diwujudkan untuk menerbitkan sukuk Ijarah itu dan perolehan daripada terbitan itu akan digunakan untuk membeli aset Bank Negara Malaysia. Seterusnya, aset itu akan dipajakkan kepada Bank Negara Malaysia untuk pertimbangan pembayaran sewa, yang diagihkan kepada pelabur sebagai pulangan pada asas separa tahunan. Apabila sukuk Ijarah itu cukup tempoh, yang akan bertepatan dengan akhir tempoh pajakan, BNM Sukuk Berhad seterusnya akan menjual semula aset itu kepada Bank Negara Malaysia pada harga yang telah ditentukan terlebih dahulu.
Sukuk Ijarah ini akan menambah kepelbagaian instrumen monetari yang digunakan oleh Bank Negara Malaysia dalam mengurus mudah tunai dalam Pasaran Wang Islam. Dengan terbitan secara berkala, sukuk Ijarah dijangka menjadi penanda aras bagi bon Islam jangka pendek dan sederhana lain. Pengenalan sukuk Ijarah mencerminkan usaha Bank Negara Malaysia yang berterusan untuk menggalakkan inovasi produk dan memperkenalkan produk Islam baru bagi memenuhi kehendak pelabur domestik dan antarabangsa yang pelbagai. Perkembangan ini memberi petanda baik kepada pasaran bon Islam yang memberangsangkan dan komprehensif di Malaysia dan akan mempromosikan Kuala Lumpur sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.