Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Dato' Mohd Razif bin Abd. Kadir kembali ke Rahmatullah

Embargo: Untuk siaran segera
08 Ogo 2011 Siaran Akhbar

Dengan penuh rasa sedih dan dukacita Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Dato' Mohd Razif bin Abd. Kadir telah kembali ke Rahmatullah pada hari ini. Allahyarham Dato' Mohd Razif menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ahli keluarga dan sahabat handai.

Allahyarham Dato' Mohd Razif mula berkhidmat di Bank Negara Malaysia pada tahun 1976 dan pernah memegang beberapa jawatan penting di Bank Negara Malaysia sepanjang kerjayanya. Antara jawatan penting yang pernah disandang oleh Allahyarham ialah sebagai Ketua Perwakilan di Pejabat Perwakilan Bank Negara Malaysia di London, Pengarah Jabatan Pengawalan Bank, Bank Negara Malaysia, dan Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LOFSA) sejak tahun 1999. Allahyarham juga pernah menjadi Pengerusi pertama Jawatankuasa Teknikal Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) selain menjadi ahli lembaga pengarah bagi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan juga Bank Negara Malaysia.

Pemergian Allahyarham Dato' Mohd Razif merupakan suatu kehilangan besar kepada Bank Negara Malaysia kerana Allahyarham telah memberikan banyak sumbangan penting kepada perbankan pusat dan juga negara. Bank Negara Malaysia ingin mengucapkan sedalam-dalam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.


Bank Negara Malaysia
08 Ogos 2011

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?