Tindakan Penguatkuasaan Bersama Terhadap Syarikat yang Disyaki Terlibat dalam Aktiviti Jenayah Kewangan
Pada 30 Julai 2024, satu tindakan penguatkuasaan bersama telah diambil terhadap XFOX Market Sdn. Bhd. serta beberapa entiti yang lain kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA), Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967, Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA). Entiti tersebut sebelum ini telahpun disenaraikan dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Jun 2023.
Operasi serbuan ini merupakan sebahagian daripada usaha bersama antara agensi yang berterusan untuk membanteras jenayah kewangan di Malaysia. Tindakan penguatkuasaan bersama ini diambil oleh BNM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) serta dibantu oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah penyelarasan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC).
Sebanyak 12 premis di sekitar Lembah Klang telah diserbu. Kesemua dokumen berkaitan serta barang-barang yang diperlukan bagi membantu siasatan bersama telah dirampas, berserta aset yang terdiri daripada emas, wang tunai berjumlah melebihi RM4.85 juta termasuk sejumlah mata wang asing[1], mata wang kripto dan kereta serta barangan mewah. Selain itu, 92 akaun bank berjumlah RM25.4 juta dan peti deposit selamat (safe deposit box) telah dibekukan.
Di bawah bidang kuasa BNM, sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 137(1) FSA kerana menerima deposit tanpa lesen membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali. Manakala sabitan di bawah Seksyen 4(1) AMLA membawa hukuman penjara hingga 15 tahun bersama-sama denda sekurang-kurangnya lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.
Orang ramai digesa untuk terus berwaspada dengan hanya meletakkan deposit atau melabur dengan entiti yang dilesenkan atau berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan. Penglibatan dalam mana-mana syarikat yang tidak berlesen atau tidak berdaftar boleh menyebabkan seseorang dianggap sebagai bersubahat dengan kesalahan yang dilakukan. Untuk maklumat lanjut mengenai skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh BNM, sila layari halaman Tindakan Penguatkuasaan BNM.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam mempertimbangkan mana-mana peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi. Jika anda mempunyai sebarang maklumat atau telah ditawarkan dengan peluang pelaburan sedemikian sama ada melalui media sosial, e-mel atau telefon, anda digesa untuk melaporkan perkara tersebut kepada:
Pusat Perhubungan BNMLINK
1-300-88-5465
eLINK (bnm.gov.my)
KPDN, Saluran Pertanyaan & Aduan
1-800-886-800
eaduan.kpdn.gov.my
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
+603 6204 8999
[email protected]
[1] /exchange-rates
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.