Tindakan Penguatkuasaan Bersama Terhadap UBB Investment Bank Limited

14 Ogo 2026 Notis Umum

Pada bulan Ogos 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan Financial Services Authority, LFSA) telah menjalankan pemeriksaan bersama di premis UBB Investment Bank Limited (UBBIB), sebuah bank pelaburan Labuan yang dilesenkan oleh LFSA mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan 2010 (Labuan Financial Services and Securities Act 2010, LFSSA).

Pemeriksaan tersebut mengenal pasti beberapa kegagalan yang ketara oleh UBBIB termasuk kegagalan mengemukakan laporan transaksi mencurigakan (suspicious transaction reports, STR) dengan kadar segera serta kegagalan melaksanakan usaha wajar pelanggan yang sepatutnya.

Siasatan mendapati bahawa UBBIB gagal mengemukakan STR dengan kadar segera berhubung dengan 53 transaksi mencurigakan yang dijalankan antara tahun 2023 hingga 2024. Kegagalan tersebut merupakan pelanggaran mengikut seksyen 14(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA) yang menghendaki institusi pelapor[1] segera melaporkan transaksi yang mencurigakan kepada BNM sebagai pihak berkuasa berwibawa yang ditetapkan mengikut seksyen 7(1) AMLA. Obligasi pelaporan ini adalah penting untuk melindungi institusi kewangan/institusi pelapor daripada penyalahgunaan dana bagi tujuan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan aktiviti jenayah serius yang lain.

Siasatan berasingan oleh LFSA turut mendapati bahawa pada tahun 2023, UBBIB gagal mengenal pasti dan mengesahkan identiti pelanggan dengan sewajarnya semasa proses pendaftaran pelanggan baharu. Kegagalan ini merupakan pelanggaran serius mengikut seksyen 98(2) LFSSA dan telah menjejaskan keupayaan UBBIB untuk menilai serta mengesan kemungkinan penglibatan pelanggannya dalam aktiviti haram di luar negara.

Susulan semua pelanggaran tersebut, BNM dan LFSA telah mengenakan kompaun[2] terhadap UBBIB. Walau bagaimanapun, UBBIB gagal menjelaskan kompaun tersebut dalam tempoh yang ditetapkan. Sehubungan dengan itu, pendakwaan telah dimulakan terhadap UBBIB bagi kesalahan mengikut AMLA dan LFSSA.

Selepas prosiding pendakwaan dimulakan, UBBIB telah mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara bagi memohon supaya tawaran kompaun yang telah diberikan sebelum ini dipertimbangkan semula. Pada 13 Mac 2026, dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya, BNM dan LFSA telah mengenakan kompaun sebanyak RM9,000,000 bagi kesalahan mengikut AMLA dan tambahan RM1,000,000 bagi kesalahan mengikut LFSSA. Pada 11 Jun 2026, UBBIB telah menjelaskan keseluruhan kompaun berjumlah RM10,000,000.

BNM dan LFSA ingin menegaskan kepentingan untuk semua institusi pelapor mewujudkan kawalan yang kukuh serta mematuhi obligasi pelaporan mengikut AMLA, di samping memenuhi keperluan undang-undang dan/atau pengawalseliaan lain yang berkaitan. Institusi pelapor juga diingatkan tentang risiko dieksploitasi oleh penjenayah sama ada akibat kecuaian atau penglibatan secara sengaja. Kegagalan memenuhi semua obligasi ini boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan termasuk pendakwaan.


[1] Institusi pelapor merujuk mana-mana orang yang menjalankan apa-apa aktiviti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama AMLA.

[2] Kompaun tersebut telah ditawarkan menurut seksyen 92(1) AMLA dan seksyen 194(1) LFSSA dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya, susulan siasatan yang telah dijalankan.


Bank Negara Malaysia
14 Ogos 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?