Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Pengendali Perniagaan Perkhidmatan Wang Haram di Perak dan Pulau Pinang

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1530 pada Selasa, 30 September 2025
30 Sep 2025 Notis Umum

Pada 23 September 2025, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap Armania Resources dan Garuda Ventures Travel Sdn. Bhd. kerana disyaki menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen yang sah daripada Bank Negara Malaysia (BNM), serta kemungkinan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Kedua-dua entiti tersebut disiasat bawah subseksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 [Akta 731] (Money Services Business Act, MSBA) dan subseksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act, AMLA).

Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan oleh BNM dengan bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Operasi ini adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan untuk melindungi orang ramai daripada potensi menghadapi risiko kewangan apabila berurusan dengan entiti yang tidak berlesen di Malaysia.

Sebanyak lapan premis di sekitar Perak dan Pulau Pinang telah diserbu. Semua dokumen berkaitan, peranti elektronik dan wang tunai berjumlah RM65,487 telah disita bagi membantu siasatan. Selain itu, 27 akaun daripada institusi kewangan, Lembaga Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera, dan Wise Payments Malaysia Sdn. Bhd. telah dibekukan.

Menurut subseksyen 4(1) MSBA, mana-mana individu yang didapati bersalah menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, dan denda tidak kurang daripada RM50,000 tetapi tidak melebihi RM5,000,000. Manakala, kesalahan bawah subseksyen 4(1) AMLA[1], apabila disabitkan bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5,000,000, mengikut nilai yang lebih tinggi.

BNM ingin mengingatkan orang ramai bahawa menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen yang sah daripada BNM adalah satu kesalahan. Orang ramai dinasihatkan supaya berurusan dengan pengendali perkhidmatan wang yang berlesen sahaja bagi melindungi kepentingan kewangan mereka.

Senarai perniagaan perkhidmatan wang yang berlesen boleh didapati melalui bnm.gov.my/licensed-msb-operators.

Sekiranya anda mengetahui tentang mana-mana entiti yang tidak berlesen, sila laporkan kepada BNM dengan segera melalui pautan ini.

 


[1] Menurut subseksyen 4(1) AMLA, mana-mana orang yang:

  1. melibatkan diri, secara langsung atau tidak langsung, dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan;
  2. memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa, melupuskan atau menggunakan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan;
  3. mengalihkan dari atau membawa masuk ke dalam Malaysia, hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan; atau
  4. merahsiakan, menyembunyikan atau menghalang pemastian sifat sebenar, sumber, lokasi, pergerakan, pelupusan, hak milik, hak berkenaan dengan, atau pemunyaan, hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan,

melakukan kesalahan pengubahan wang haram.

 

 


Bank Negara Malaysia
30 September 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?