Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022

05 Okt 2022 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Pertama 2022 .

Pasaran kewangan dalam negeri kekal teratur

Meskipun volatiliti pasaran kewangan domestik terus tinggi, keadaan pasaran  kekal teratur dengan pengantaraan aliran dua hala yang lancar dalam pasaran bon dan ekuiti. Dolar Amerika Syarikat (AS) mengukuh dengan ketara dan kekal pada paras tertinggi dalam tempoh dua dekad disebabkan oleh kenaikan kadar dasar yang agresif di AS dan peralihan kepada aset dolar AS yang dianggap selamat. Mudah tunai yang berterusan dalam pasaran pertukaran asing dalam negeri menyokong pelarasan kepada perkembangan luaran yang teratur. Hal ini seterusnya akan menyokong perniagaan dan peserta pasaran menguruskan dedahan pertukaran asing mereka.

Rajah 1: Keadaan mudah tunai dalam pasaran bon dan pertukaran asing kekal kukuh

*Data setakat 23 September 2022
Sumber: Bank Negara Malaysia

Sektor perniagaan terus menunjukkan peningkatan  prestasi kewangan

Prestasi kewangan sektor perniagaan terus bertambah baik sejajar dengan kegiatan ekonomi yang disambung semula sepenuhnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Walau bagaimanapun, pemulihan kekal tidak sekata dan lebih perlahan dalam subsektor ekonomi tertentu. Keseluruhan pinjaman terjejas perniagaan kekal rendah pada 1.1% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan. Bahagian pinjaman perniagaan dengan risiko kredit yang lebih tinggi terus menurun kepada 14.4% daripada jumlah pinjaman perniagaan sejajar dengan keadaan perniagaan yang beransur-ansur bertambah baik. Bahagian pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah bantuan bayaran balik pinjaman telah berkurang separuh kepada 13.1% daripada jumlah pinjaman PKS (atau 2.3% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan). Sebahagian besar PKS yang telah keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman telah dapat menyambung semula bayaran balik pinjaman mereka.

Perniagaan dijangka menghadapi cabaran yang berterusan pada tempoh akan datang, termasuk kesan daripada keadaan kewangan global yang semakin ketat dan perkembangan kadar pertukaran. Walau bagaimanapun, tambahan kepada kemungkiran perniagaan dijangka kekal terurus di bawah simulasi senario tekanan yang teruk. Yang penting, pelbagai program pengurusan hutang yang bersasar dengan sokongan bank-bank terus tersedia bagi PKS yang masih mengalami cabaran kewangan sementara.

Daya tahan isi rumah terus disokong oleh keadaan ekonomi dan pasaran pekerja yang bertambah baik

Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK telah kembali menghampiri paras sebelum pandemik pada 84.5%. Bank-bank terus mengekalkan piaiwaian pemberian pinjaman berhemat dalam keadaan pemulihan pemberian pinjaman isi rumah yang berterusan. Hal ini membantu mengekalkan penampan bayaran balik pinjaman yang kukuh dalam kalangan isi rumah dan keupayaan mereka untuk menguruskan kesan peminjaman yang lebih tinggi serta kos-kos lain. Bahagian hutang isi rumah di bawah bantuan bayaran balik pinjaman menurun dengan ketara daripada 18.8% pada bulan Disember 2021 kepada 2.4% pada bulan Jun 2022, dengan penurunan bahagian hutang isi rumah yang lebih berisiko tinggi seperti yang dilaporkan oleh bank-bank. Nisbah pinjaman terjejas dan delinkuen isi rumah meningkat sedikit tetapi terus kekal rendah dan dalam jangkaan pada masing-masing 1.2% dan 0.6%.

Beberapa segmen peminjam isi rumah yang mempunyai leveraj yang tinggi dan penampan kewangan yang terhad boleh mengalami tekanan kewangan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat dan bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi bagi pinjaman berkadar terapung. Peminjam yang masih di bawah tempoh lanjutan bantuan bayaran balik pinjaman juga mungkin menimbulkan risiko yang lebih tinggi. Risiko berkaitan peminjam sebegini dijangka dapat dibendung. Bahagian pinjaman isi rumah yang dikelaskan oleh bank-bank sebagai mempunyai risiko kredit yang lebih tinggi (pinjaman Tahap 2) terus menurun kepada 7.9% (Disember 2021: 8.5%). Hal ini dijangka akan terus menurun sepanjang tahun ini apabila lebih banyak peminjam yang telah keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman menamatkan tempoh ‘pemerhatian’ minimum untuk bayaran balik pinjaman. Bank-bank telah menyediakan penampan peruntukan yang mencukupi terhadap risiko ini. Bank-bank juga terus memberikan bantuan yang sewajarnya kepada peminjam isi rumah yang masih menghadapi cabaran kewangan.

Usaha memastikan daya tahan operasi dan siber institusi kewangan terus menjadi keutamaan penting

Institusi kewangan sedang memperuntukkan sumber yang besar bagi mengekalkan pertahanan siber dan kawalan risiko teknologi yang kukuh. Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah berkata, “kami terus bekerjasama rapat dengan industri, agensi utama dan pihak berkuasa undang-undang  untuk menangani ancaman baharu. Meningkatkan keupayaan industri kewangan untuk pulih daripada pelbagai insiden operasi terus menjadi keutamaan penting kami. Beberapa usaha ini termasuk simulasi ujian secara langsung untuk memastikan keupayaan praktikal industri kewangan dan pengendali sistem pembayaran untuk melaksanakan pelan tindak balas insiden siber secara berkesan.”

Institusi kewangan juga dikehendaki melaksanakan langkah-langkah tambahan terhadap penipuan (fraud) perbankan dalam talian. Seiring dengan itu, Bank Negara Malaysia sedang menyelaraskan usaha dengan industri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menambah baik lagi usaha tindak balas dan pemulihan terhadap insiden fraud serta mendidik orang ramai tentang penggunaan perkhidmatan kewangan digital secara selamat.

Rajah 2: Inisiatif yang diambil untuk membanteras penipuan (fraud) perbankan dalam talian

 

Sistem kewangan  domestik kekal pada kedudukan yang baik untuk menghadapi kejutan dan menyokong pemulihan ekonomi

Penampan bank-bank, penanggung insurans dan pengendali takaful yang kukuh akan terus memelihara daya tahan institusi kewangan terhadap potensi kerugian tidak dijangka.  Apabila andaian kejutan tambahan yang teruk dikenakan  pada ujian tekanan Bank, nisbah modal agregat selepas kejutan setakat akhir tahun 2023 kekal melebihi tahap pengawalseliaan minimum pada 15.4% bagi bank-bank dan 209% bagi penanggung insurans dan pengendali takaful. Hal ini akan membolehkan mereka terus menyokong pembiayaan serta perlindungan isi rumah dan perniagaan berikutan penyambungan semula kegiatan ekonomi .

Lihat juga:

  1. Tinjauan Kestabilan Kewangan - Separuh Pertama Tahun 2022
  2. Sorotan Penting

Bank Negara Malaysia
05 Oktober 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?