Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2023

09 Okt 2023 Siaran Akhbar
  • Keupayaan membayar balik hutang oleh isi rumah dan perniagaan secara keseluruhan kekal kukuh berikutan standard pemberian pinjaman teguh yang dikekalkan oleh bank-bank.
  • Penampan yang kukuh terus mengekalkan daya tahan institusi kewangan terhadap kerugian yang tidak dijangka dan membolehkan institusi kewangan menyokong pengantaraan kewangan.
  • Usaha mengekalkan daya tahan operasi dan siber institusi kewangan terus menjadi keutamaan.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Pertama 2023.

Pasaran kewangan domestik kekal teratur

Meskipun volatiliti pasaran kewangan global terus ketara, keadaan pasaran domestik kekal teratur. Hal ini dicerminkan oleh pengantaraan aliran dua hala yang lancar dalam pasaran bon dan ekuiti. Ringgit terus dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan luaran. Walau bagaimanapun, dedahan risiko pertukaran asing (foreign exchange, FX) dalam sektor korporat dan perbankan kekal terurus. Hal ini disokong oleh penampan aset mudah tunai mata wang asing bank-bank yang besar serta amalan pengurusan risiko FX yang berhemat oleh syarikat. Mudah tunai dalam pasaran FX tempatan yang berterusan membolehkan pelarasan yang teratur terhadap perkembangan luaran. Hal ini akan menyokong perniagaan dan peserta pasaran dalam menguruskan dedahan pertukaran asing dan peruntukan sumber.

Prestasi kewangan sektor perniagaan terus mencatatkan peningkatan dalam keadaan cabaran yang berterusan

Aktiviti perniagaan dalam negeri telah bertambah baik dengan ketara. Walau bagaimanapun, pemulihan kekal tidak sekata apabila sektor-sektor tertentu terus menghadapi cabaran berikutan kos input yang tinggi dan permintaan luaran yang lemah. Pinjaman terjejas perniagaan secara keseluruhan kekal rendah pada 1% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan. Bahagian pinjaman PKS dengan risiko kredit yang lebih tinggi (dikelaskan sebagai Tahap 2[1]) kekal rendah pada 2.1% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan. Bahagian pinjaman PKS di bawah bantuan bayaran balik pinjaman terus menurun kepada 5.5% daripada jumlah pinjaman PKS (atau 0.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan). Sebahagian besar daripada PKS yang telah keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman mampu mengekalkan bayaran balik pinjaman mereka.

Perniagaan dijangka menghadapi cabaran yang berterusan seperti kos yang tinggi dan permintaan luaran yang lemah. Selain itu, perniagaan akan memberikan pertimbangan yang lebih penting kepada risiko dan peluang yang berkaitan dengan iklim. Walau bagaimanapun, kebanyakan perniagaan dijangka mampu menghadapi potensi kejutan baharu berikutan leveraj perniagaan yang bertambah baik, penampan tunai yang kukuh dan model perniagaan yang lebih tangkas.

Daya tahan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan guna tenaga

Nisbah hutang kepada KDNK untuk isi rumah kekal stabil pada 81.9%. Secara amnya, median nisbah hutang kepada pendapatan (debt-to-income, DTI) bagi keseluruhan isi rumah adalah stabil pada 1.4 kali berikutan standard pemberian pinjaman yang teguh yang dikekalkan oleh bank-bank. Ukuran lain mengenai keupayaan isi rumah untuk membayar balik hutang juga menunjukkan risiko baharu yang terhad. Median nisbah khidmat hutang (debt service ratio, DSR) bagi pinjaman isi rumah yang baru diluluskan dan terkumpul kekal berhemat, masing-masing pada 42% dan 36%. Hal ini membantu mengekalkan penampan yang kukuh untuk membayar balik pinjaman dalam kalangan isi rumah. Bahagian pinjaman isi rumah pada Tahap 2[1] terus menurun kepada 4.6% daripada jumlah pinjaman isi rumah (atau 2.7% daripada pinjaman sistem perbankan) daripada 6.7% pada bulan Disember 2022. Bank-bank tetap berwaspada terhadap risiko berkaitan dengan kos peminjaman yang lebih tinggi dan prestasi peminjam yang keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman yang diberikan semasa pandemik. Sebarang penurunan dalam kualiti peminjaman isi rumah dijangka berada dalam peruntukan dan penampan modal sedia ada bagi sistem perbankan.

Usaha mengekalkan daya tahan operasi dan siber institusi kewangan terus menjadi keutamaan

Institusi kewangan terus memperuntukkan sumber yang besar bagi menguruskan risiko berkaitan operasi dan siber. Pelancaran Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) pada bulan Oktober 2022 telah membolehkan tindakan yang lebih berkesan untuk membanteras penipuan kewangan. Institusi kewangan kini sedang bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang menerusi NSRC bagi mengetatkan kawalan terhadap akaun keldai yang digunakan untuk memudahkan penipuan kewangan. Sumber yang besar akan terus diperuntukkan ke arah meningkatkan kerjasama orang ramai untuk melaporkan insiden penipuan serta menambahkan kesedaran mengenai perbankan yang selamat.

Institusi kewangan turut mencapai kemajuan dalam usaha menyelaraskan operasi perniagaan dengan matlamat alam sekitar dan kelestarian. Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Jessica Chew berkata, “Institusi kewangan semakin menerapkan amalan pelaburan dan pinjaman yang lestari serta meluaskan penyelesaian kewangan hijau. Sehubungan dengan itu, usaha menangani keperluan data dan pembinaan keupayaan dalam pengurusan risiko iklim kekal menjadi keutamaan yang berterusan bagi institusi kewangan melalui inisiatif kerjasama yang disokong oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) dengan industri swasta dan agensi kerajaan.”

Sistem kewangan domestik kekal berdaya tahan

Bank-bank terus mengekalkan penampan mudah tunai yang kukuh. Nisbah Perlindungan Mudah Tunai dan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih agregat kekal jauh melebihi paras minimum pengawalseliaan, masing-masing pada 154.4% dan 117.0%. Permodalan sistem perbankan kekal kukuh. Nisbah modal keseluruhan berada pada 18.5% pada akhir bulan Jun 2023 dengan penampan modal berjumlah RM138.5 bilion melebihi paras minimum pengawalseliaan. Di samping itu, sektor insurans dan takaful juga kekal berdaya tahan. Nisbah kecukupan modal agregat dan lebihan penampan modal masing-masing berada pada 225% dan RM38.8 bilion pada akhir bulan Jun 2023. Penampan bank-bank, penanggung insurans dan pengendali takaful yang kukuh akan terus memastikan institusi kewangan berdaya tahan terhadap kejutan masa hadapan dan kerugian yang tidak dijangka. Hal ini akan membolehkan institusi kewangan terus menyokong keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah dan perniagaan.

 

[1] Pinjaman Tahap 2 ialah pinjaman yang telah menunjukkan kemerosotan risiko kredit yang memerlukan bank menyediakan peruntukan berdasarkan jangkaan kerugian kredit seumur hidup menurut Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (Malaysian Financial Reporting Standard 9).

 

Lihat juga: Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2023

 

Bank Negara Malaysia
9 Oktober 2023


Bank Negara Malaysia
09 Oktober 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?