Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama Tahun 2025
- Isi rumah terus menunjukkan keupayaan membayar balik hutang yang baik, disokong oleh standard pemberian pinjaman yang kukuh dan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan. Sektor perniagaan juga kekal berupaya membayar balik hutang, didorong oleh strategi pengurusan kos yang proaktif.
- Institusi kewangan kekal berdaya tahan, disokong oleh kedudukan modal yang mantap dan penampan mudah tunai yang mencukupi.
- Daya tahan operasi dan langkah-langkah pencegahan penipuan terus menjadi keutamaan bagi institusi kewangan dalam memastikan kepercayaan dan kestabilan yang berterusan terhadap sistem kewangan.
Bank Negara Malaysia (BNM) menerbitkan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Pertama Tahun 2025 (TKK ST1 2025) hari ini.
Pasaran kewangan domestik kekal teratur meskipun terdapat volatiliti global
Meskipun terdapat peningkatan volatiliti global yang didorong oleh perkembangan tarif Amerika Syarikat (AS), kebimbangan terhadap pertumbuhan global serta ketegangan geopolitik, keadaan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur. Indeks Tekanan Pasaran Kewangan (Financial Market Stress Index, FMSI) mencecah paras tertinggi pada bulan Mei namun menjadi sederhana selepas itu, lantas mencerminkan kestabilan merentas semua kategori aset.
Nilai ringgit mengukuh sebanyak 6.1% berbanding dolar AS antara bulan Mac dan September 2025, sebahagian besarnya didorong oleh perkembangan luaran. Prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan, pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan serta libat urus berterusan dengan syarikat korporat dijangka memberikan sokongan yang berpanjangan terhadap ringgit.
Sektor perniagaan berdaya tahan dalam keadaan tekanan kos
Pada separuh pertama tahun 2025, operasi perniagaan kekal teguh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan kegiatan ekonomi yang berterusan. Walau bagaimanapun, keberuntungan dikekang oleh tekanan kos yang berlarutan, khususnya dalam sektor yang terkesan akibat kos pekerja dan bahan yang lebih tinggi. Walaupun menghadapi cabaran ini, sektor perniagaan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. Median nisbah perlindungan faedah (interest coverage ratio) berada pada 6.2 kali, manakala bahagian syarikat yang berisiko kekal stabil pada 24.4%.
Kualiti kredit pinjaman perniagaan terus mampan, dengan nisbah pinjaman terjejas kekal pada 3.1%. Walaupun segelintir peniaga dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menghadapi cabaran bayaran balik pinjaman, tanda-tanda tekanan kewangan kekal terkawal. Bahagian pinjaman PKS di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman terus menurun, mencakupi 4.1% daripada jumlah pinjaman PKS dan hanya 0.7% daripada jumlah pinjaman dalam sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan.
Pada masa hadapan, persekitaran operasi dijangka kekal mencabar pada separuh kedua tahun 2025. Walau bagaimanapun, harga input yang menurun dan strategi pengurusan kos syarikat yang berterusan dijangka dapat mengurangkan sebahagian daripada tekanan. Selain itu, permintaan dalam negeri yang kukuh dan aktiviti pelaburan yang berterusan akan kekal sebagai asas utama yang menyokong daya tahan sektor perniagaan.
Daya tahan isi rumah disokong oleh keadaan ekonomi dan pasaran pekerja yang menggalakkan
Walaupun nisbah hutang isi rumah kepada KDNK meningkat sedikit kepada 84.8%, keupayaan peminjam untuk membayar balik hutang kekal kukuh, disokong oleh standard pemberian pinjaman yang berhemat oleh bank-bank. Penunjuk utama keupayaan membayar balik hutang kekal kukuh, dengan median nisbah khidmat hutang (debt service ratio, DSR) pada 41% untuk pinjaman yang baru diluluskan dan 33% untuk pinjaman terkumpul.
Secara keseluruhan, kualiti peminjaman isi rumah terus kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas kekal pada 1.1%. Bahagian pinjaman isi rumah yang berada di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman terus menurun, lantas mencerminkan amalan bayaran balik pinjaman yang mampan. Meskipun terdapat tekanan kos sara hidup yang berterusan, tanda-tanda tekanan kewangan dalam kalangan peminjam isi rumah kekal terhad dan terkawal, tanpa mencatatkan trend kemerosotan bayaran balik pinjaman yang meluas.
Daya tahan operasi dan langkah-langkah pencegahan penipuan terus menjadi keutamaan
Institusi kewangan terus menunjukkan daya tahan operasi yang kukuh pada separuh pertama tahun 2025. Sebagai tindak balas terhadap ancaman siber yang berterusan, institusi mempertingkatkan keupayaan keselamatan siber masing-masing, lantas menyokong pengesanan, pembendungan dan tindak balas ancaman dilaksanakan dengan lebih berkesan. Kesemua usaha ini telah membantu mengurangkan gangguan operasi dan memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan.
Timbalan Gabenor BNM Aznan Abdul Aziz berkata, “Risiko penipuan semakin beralih ke arah penipuan dengan kebenaran (authorised scams) yang melibatkan taktik kejuruteraan sosial (social engineering). BNM dan industri kewangan telah bertindak balas dengan memperkukuh langkah-langkah pengesanan penipuan dan memperluas inisiatif kesedaran dalam kalangan orang ramai. Hal ini termasuk usaha berterusan untuk menaik taraf National Fraud Portal bagi mempertingkatkan pengesanan transaksi mencurigakan serta melindungi mangsa dengan lebih baik.”
Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (Real-time Electronic Transfer of Funds and Securities System, RENTAS) dan sistem pembayaran runcit (retail payment systems, RPS) utama mengekalkan tahap ketersediaan sistem yang tinggi pada separuh pertama tahun 2025, tanpa sebarang insiden operasi atau insiden siber yang serius dilaporkan. Berikutan rangkaian pembayaran Respons Pantas (Quick Response, QR) rentas sempadan serantau yang terus berkembang, BNM akan terus memperkukuh pengawasan terhadap pengaturan pembayaran rentas sempadan. Usaha ini akan dicapai melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa pengawalseliaan berkaitan untuk memastikan daya tahan dan keselamatan kesemua sistem ini berterusan.
Institusi kewangan kekal menyokong pertumbuhan ekonomi
Institusi kewangan Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menyokong kegiatan ekonomi pada separuh pertama tahun 2025. Setakat akhir bulan Jun 2025, nisbah jumlah modal sistem perbankan berada pada 18.2%, dengan lebihan penampan modal sebanyak RM138.9 bilion. Sektor insurans dan takaful juga terus mencatatkan kedudukan modal yang kukuh, dengan nisbah kecukupan modal agregat sebanyak 223% dan lebihan penampan modal sebanyak RM42 bilion. Kesemua penampan ini memastikan bahawa institusi kewangan kekal berada pada kedudukan yang kukuh untuk menampung kerugian yang tidak dijangka dan pada masa yang sama terus memenuhi keperluan pembiayaan serta perlindungan isi rumah dan perniagaan apabila kegiatan ekonomi terus berkembang.
TKK ST1 2025 mengetengahkan dua rencana:
- Peralihan daripada KLIBOR kepada MYOR dan MYOR-i
- Perkembangan Usaha Memperkukuh Akauntabiliti Pengurusan Kanan Melalui Pemetaan Tanggungjawab
Penerbitan:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.