Ucap Utama Gabenor di Forum Antarabangsa Ketiga mengenai Perlindungan dan Pendidikan Pengguna Kewangan "Menggalakkan Peningkatan dalam Perlindungan dan Pendidikan Pengguna"
The Westin Hotel, Kuala Lumpur | 14 Disember 2005
Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kedatangan anda ke Forum Antarabangsa Ketiga mengenai Perlindungan dan Pendidikan Pengguna Kewangan. Malaysia merasa amat berbangga kerana dipilih menjadi tuan rumah bagi forum kali ini. Saya difahamkan bahawa peserta forum ini datang dari seluruh pelosok dunia, termasuk delegasi dari Timur Tengah dan Afrika yang menghadiri forum ini buat pertama kalinya. Forum sebegini bukan sahaja memberi peluang untuk mengeratkan lagi hubungan antara pengawal selia dan memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu yang sedang kita hadapi, bahkan ia juga menyumbang ke arah mempercepat agenda pembangunan.
Menggalakkan sistem kewangan yang mantap dan progresif merupakan prasyarat penting dan utama untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang mapan. Dekad yang baru lalu telah menyaksikan transformasi yang ketara dalam landskap kewangan, yang dibentuk oleh kuasa globalisasi, kemajuan dalam teknologi, trend ke arah orientasi pasaran dan inovasi kewangan yang lebih tinggi. Dalam persekitaran yang lebih dinamik ini, tugas mengekalkan kestabilan kewangan menjadi semakin kompleks dan mencabar. Keperluan dan harapan pengguna juga sedang pesat berubah seiring dengan peningkatan tahap pendidikan dan taraf hidup. Berikutan perkembangan ini, pengguna telah menjadi semakin berpengetahuan dan menuntut institusi kewangan menawarkan pilihan produk yang lebih baik, saluran penghantaran yang lebih cekap dan amalan yang lebih tertumpu kepada pelanggan. Trend sebegini juga telah menjadi penting dalam memperkukuh persekitaran yang semakin kompetitif dalam sektor perkhidmatan kewangan. Oleh itu, satu pendekatan yang menyeluruh perlu diterima pakai untuk menghadapi kesemua elemen utama dalam sistem kewangan supaya dapat membina asas yang kukuh bagi membolehkan pembentukan sistem yang mantap dan stabil. Strategi utama yang telah diterima pakai ialah pengukuhan rangka kerja pengawalseliaan yang berhemat. Walau bagaimanapun, sistem perbankan yang selamat dan mantap bukan setakat pengawalan dan penyeliaan yang berhemat malah lebih daripada itu. Mengekalkan kestabilan kewangan dalam sistem kewangan juga memerlukan pembangunan infrastruktur kewangan, khususnya pasaran kewangan; membina kapasiti institusi kewangan dan akhirnya, mempunyai rangka kerja perlindungan pengguna yang mencukupi. Ucapan saya pada pagi ini akan tertumpu kepada perlindungan dan pendidikan pengguna dari perspektif mengekalkan kestabilan kewangan dan pembangunan sistem kewangan yang progresif dan mapan.
Inisiatif perlindungan dan pendidikan pengguna memperkasakan pengguna untuk berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk bertanggungjawab terhadap kesejahteraan mereka sendiri. Ia membolehkan pengguna memainkan peranan yang lebih penting dalam menggunakan disiplin pasaran atas penyedia perkhidmatan bagi mendorong kecekapan, persaingan dan inovasi yang lebih tinggi dalam pasaran. Dalam menggubal rangka kerja perlindungan pengguna, perlu disedari bahawa produk dan perkhidmatan kewangan amat berbeza berbanding dengan kebanyakan barangan dan perkhidmatan yang lain. Secara khusus, terdapat ketidakseimbangan dalam mendapatkan akses kepada maklumat dan kuasa tawar-menawar antara pengguna dengan penyedia perkhidmatan kewangan. Ketidakseimbangan ini boleh ditangani melalui tiga strategi yang saling memperkukuh. Pertama, menggalakkan standard ketelusan dan penzahiran yang lebih kukuh dalam institusi kewangan; kedua, memperkukuh mekanisme perlindungan pengguna; dan ketiga, meningkatkan pendidikan pengguna. Semakin banyak negara yang mengambil pendekatan yang lebih komprehensif ini untuk memberi fokus yang lebih terhadap isu perlindungan pengguna bagi memastikan kekukuhan penyedia perkhidmatan kewangan dan akhirnya mencapai kestabilan sistem kewangan. Seterusnya ini akan menggalakkan penyertaan pengguna yang lebih berkesan dalam ekonomi dan dengan itu memberi sumbangan yang lebih besar dalam proses pertumbuhan ekonomi dan pembangunan.
Pendekatan dan mekanisme yang diterima pakai untuk melindungi pengguna dalam sesebuah negara adalah berbeza antara satu negara dengan negara yang lain kerana ciri unik yang terdapat dalam ekonomi dan sistem kewangan yang berbeza. Pertimbangan mengenai keadaan yang khusus kepada sesebuah negara dan mengikut konteks adalah penting untuk membuat perubahan infrastruktur perlindungan dan pendidikan pengguna yang relevan dan efektif. Sesebuah negara perlu menggubal rangka kerja perlindungan dan pendidikan pengguna yang khusus dan sesuai dengan persekitaran mereka, dengan mengambil kira faktor seperti tahap pembangunan ekonomi dan pengawalseliaan, struktur sistem kewangan dan peringkat kecanggihan pengguna.
Keselamatan dan kemantapan yang berhemat, persaingan serta perlindungan pengguna perlu wujud bersama-sama untuk memenuhi keperluan pelbagai pihak yang berkepentingan secara berkesan. Oleh itu, pelaksanaan rangka kerja perlindungan dan pendidikan pengguna yang berkesan melibatkan pencapaian keseimbangan yang bersesuaian antara menyediakan jaminan keselamatan yang mencukupi kepada pengguna dengan mempromosikan persaingan dan inovasi kewangan. Dalam merangka dasar untuk melindungi kepentingan pengguna, pertimbangan yang sewajarnya perlu diberikan bagi memastikan tahap pengawalan pengguna yang sesuai tanpa melibatkan kos pengawalseliaan yang berlebihan serta membebankan institusi kewangan dan pengguna. Ini akan dapat mengelakkan berkurangnya manfaat yang boleh didapati daripada dasar yang dirangka. Dalam proses ini, etika dan integriti tidak boleh dijadikan undang-undang. Oleh itu, pengawal selia perlu mempertimbangkan pendekatan yang lain dalam menghalang penipuan atau salah laku pasaran dan dalam meningkatkan keyakinan pengguna. Apa yang penting adalah untuk menghasilkan struktur insentif yang sesuai untuk institusi kewangan supaya mereka sedar bahawa memupuk amalan perniagaan yang adil dan saksama sebagai sebahagian daripada tadbir urus yang baik, tanggungjawab sosial korporat dan pembinaan jenama adalah untuk kepentingan mereka. Amalan perniagaan yang baik perlu dipupuk dan dimasukkan dalam semua aspek operasi dan di semua peringkat dalam institusi.
Berhubung dengan pendidikan pengguna, diakui bahawa apabila terdapat lebih ramai pengguna yang mempunyai maklumat dan bijak mengenai kewangan membuat keputusan berkaitan kewangan yang lebih baik, persaingan di kalangan penyedia perkhidmatan kewangan akan meningkat. Tambahan lagi, kecekapan pasaran akan meningkat dengan penciptaan produk dan perkhidmatan baru yang lebih responsif terhadap keperluan pengguna. Sehubungan dengan ini, celik kewangan merupakan satu kemahiran yang penting dalam dunia kewangan yang semakin kompleks, yang berciri produk dan perkhidmatan kewangan yang semakin canggih serta bertambahnya kepelbagaian dalam penyedia perkhidmatan kewangan dan saluran agihan. Sementara matlamat keseluruhan pendidikan pengguna adalah untuk memberikan pengetahuan yang akan memperbaiki pembuatan keputusan kewangan pengguna, kita tidak boleh membuat andaian bahawa dengan membekalkan pengguna dengan lebih banyak maklumat, ia akan secara automatik menjadikan tingkah laku kewangan mereka bertambah baik. Kajian menunjukkan bahawa keputusan pengguna tidak selalunya dibuat berdasarkan nasihat yang baik dan pengetahuan, tetapi kadang kala dibuat hanya mengikut gerak hati. Oleh itu, cabaran utama ialah menentukan bagaimana faktor tingkah laku dan faktor lain seperti latar belakang sosioekonomi dan kebudayaan, peristiwa dalam hidup dan tahap kemahiran mempengaruhi dalam membuat keputusan yang rasional. Kepelbagaian yang luas dalam keperluan terhadap maklumat yang disebabkan oleh perbezaan pengalaman lalu, bahasa dan latar belakang kebudayaan, keadaan kewangan semasa dan persaingan untuk mendapatkan masa pengguna kesemuanya merupakan cabaran dalam membangunkan dan menyampaikan maklumat yang relevan kepada pengguna. Khususnya, cara yang paling efektif untuk mendapatkan perhatian pengguna yang kurang berminat dalam perancangan kewangan perlu ditentukan.
Sehubungan dengan ini, penyedia perkhidmatan kewangan perlu menyediakan maklumat kepada pengguna yang dengan tepat menggambarkan ciri, risiko dan pulangan yang dikaitkan dengan produk dan perkhidmatan mereka serta menunjukkan integriti dan kebolehpercayaan dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan pengguna. Namun isu yang timbul ialah bagaimana untuk mewujudkan rejim penzahiran yang konsisten dan komprehensif, dengan fleksibiliti untuk menggunakan peraturan yang berbeza sebagai respons kepada situasi dan keadaan yang berbeza. Akhirnya, penzahiran yang digunakan sebagai alat perlindungan pengguna akan hanya bermakna sekiranya pengguna boleh memahami maklumat yang disediakan. Cabaran yang ada adalah untuk mencapai keseimbangan yang tepat antara menyediakan maklumat yang mencukupi kepada pengguna bagi membolehkan mereka membuat pilihan berdasarkan maklumat, dengan maklumat yang bukan sahaja jelas bahkan tetal dan efektif.
Bilangan saluran penghantaran yang meningkat tidak menghasilkan pengembangan yang sama rata dalam akses kepada perkhidmatan kewangan. Malah di negara maju sekalipun, masih terdapat golongan minoriti yang mempunyai akses yang terhad kepada perkhidmatan kewangan asas. Contohnya, satu kajian yang dijalankan di United Kingdom bagi tempoh 2002-2003 mendapati sebanyak 2.8 juta orang dewasa dalam sektor isi rumah tidak mempunyai akses kepada akaun bank. Sehubungan dengan ini, pengawal selia perlu menyeimbangkan antara keperluan bagi institusi kewangan beroperasi secara efisien dengan keperluan untuk memastikan akses kepada perkhidmatan kewangan asas bagi individu dan perniagaan kecil. Selain itu, masyarakat di luar bandar lazimnya tidak mendapat perkhidmatan yang sewajarnya. Justeru, cabaran yang dihadapi oleh pengawal selia adalah untuk memastikan bahawa semua lapisan masyarakat mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan. Ini adalah penting untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah memainkan peranan dalam arus perdana ekonomi.
Satu aspek penting dalam penggubalan rangka kerja perlindungan pengguna adalah untuk memastikan supaya rangka kerja tersebut tetap relevan meskipun berlaku perubahan dalam persekitaran ekonomi dan kewangan. Contohnya, perubahan dalam profil pengguna berikutan perubahan dalam struktur demografi perlu diambil kira. Dalam kebanyakan komuniti, nisbah penduduk yang telah bersara berbanding dengan orang dewasa yang bekerja dijangka meningkat dengan lebih pantas pada dekad yang akan datang. Di negara yang mempunyai pertambahan penduduk yang meningkat tua, permintaan terhadap perkhidmatan perancangan kewangan, insurans hayat, pengurusan kekayaan dan pelaburan dana bersama turut meningkat. Kepentingan pengguna dalam bidang-bidang ini perlu dilindungi secukupnya, manakala celik kewangan di kalangan pelbagai kumpulan sasaran perlu digalakkan secara aktif.
Walaupun pengawal selia mempunyai peranan yang penting dalam menggalakkan perlindungan dan pendidikan pengguna, sama penting adalah bagi pengawal selia mendapatkan sokongan dan kerjasama semua peserta pasaran, iaitu penyedia perkhidmatan kewangan, agensi kerajaan, para pendidik dan persatuan pengguna serta organisasi kemasyarakatan, ke arah pelaksanaan inisiatif secara berkesan.
Izinkan saya mengambil peluang ini untuk berkongsi dengan anda pengalaman Malaysia dalam menggalakkan perlindungan dan pendidikan pengguna. Ekonomi Malaysia telah beralih daripada ekonomi berasaskan pengeluaran kepada ekonomi yang didorong oleh pengetahuan, dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan yang semakin penting dalam ekonomi. Sektor kewangan turut berubah bagi memudahkan proses transformasi ekonomi ini, dengan trend ke arah penyahkawalseliaan dan orientasi pasaran yang lebih luas menjadi semakin ketara. Bagi mencapai tahap sistem kewangan yang lebih efisien, kompetitif dan berdaya tahan, Malaysia telah menggubal rangka tindakan yang menggariskan hala tuju pembangunan sektor kewangan. Pelan Induk Sektor Kewangan yang dikeluarkan pada tahun 2001, menggariskan strategi utama pembangunan sektor kewangan. Antara strategi penting yang telah dilaksanakan ialah pembangunan rangka kerja perlindungan pengguna dan infrastruktur yang sesuai untuk melindungi kepentingan pengguna, dan pada masa yang sama mempertingkatkan keupayaan kewangan mereka untuk menyertai sistem kewangan secara berkesan.
Bank Negara Malaysia telah menerima pakai pendekatan pelbagai cara dalam memperkasakan pengguna. Sebagai sebuah bank pusat dalam ekonomi pasaran yang sedang berkembang, mandat kami adalah lebih luas berbanding dengan bank pusat dalam ekonomi yang lebih maju dan matang. Kami mempunyai peranan yang penting dalam membangunkan sektor kewangan. Dalam aspek memperkukuh infrastruktur perlindungan pengguna, agendanya meliputi spektrum inisiatif yang luas yang melibatkan pembangunan infrastruktur dan kapasiti institusi yang termasuk pendidikan kewangan, perkhidmatan penasihat, pengurusan masalah, pemulihan dan pewujudan saluran untuk mencari penyelesaian.
Inisiatif terkini termasuk menjadikan Biro Pengantaraan Kewangan lebih efektif bagi memastikan bahawa pengguna kepada semua penyedia perkhidmatan kewangan yang berada di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia mempunyai saluran mekanisme penyelesaian pertikaian yang bebas, adil dan saksama. Pada awal tahun ini, satu skim insurans deposit diperkenalkan untuk memperkukuh lagi insentif bagi institusi kewangan melaksanakan amalan kewangan dan perniagaan yang baik dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan dengan menyediakan perlindungan yang jelas atas deposit. Bank Negara Malaysia juga kini sedang memuktamadkan butiran terperinci mengenai penubuhan agensi kaunseling kredit dan pengurusan hutang yang bakal diperkenalkan pada awal tahun hadapan. Langkah itu bertujuan menyediakan kaunseling berkaitan kredit dan bantuan penstrukturan semula hutang kepada individu.
Bagi menggalakkan pendidikan kewangan pada usia muda, Bank Negara Malaysia memulakan program pendidikan mengenai pengetahuan kewangan asas di sekolah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran semenjak tahun 1997. Seterusnya, dengan kerjasama persatuan industri kewangan, Bank Negara Malaysia melancarkan Program Pendidikan Pengguna 10 tahun bagi sektor perbankan dan insurans. Kini program itu telah memasuki tahun kelima. Maklumat yang meluas disebarkan melalui pelbagai saluran penyiaran termasuk akhbar, radio, laman web, cawangan institusi kewangan dan program ‘outreach'.
Usaha pendidikan pengguna juga diperlengkap oleh inisiatif untuk menggalakkan tahap penzahiran dan ketelusan yang lebih tinggi bagi memastikan pengguna mempunyai akses kepada maklumat produk dan perkhidmatan yang relevan, sebanding dan tepat pada masanya. Tumpuan utama ialah terhadap sektor insurans memandangkan sebahagian besar daripada pengguna Malaysia tidak mempunyai pemahaman yang jelas mengenai produk insurans. Khususnya, garis panduan mengenai insurans perubatan dan kesihatan serta keperluan bagi pemasaran polisi insurans hayat telah diperkukuh, manakala peraturan bagi penasihat kewangan bebas telah diperkenalkan.
Bagi mencapai objektif sosioekonomi, perlu dipastikan supaya kebajikan dan kepentingan semua segmen masyarakat dilindungi dan tiada kumpulan sasaran yang dikecualikan atau dipinggirkan. Sesungguhnya, komponen penting rangka kerja perlindungan pengguna kami adalah untuk memastikan semua pengguna terus mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan asas pada kos yang munasabah. Dalam hal ini, pendekatan yang bersifat lebih campur tangan telah dilaksanakan dengan memerlukan institusi perbankan menawarkan beberapa perkhidmatan perbankan asas kepada semua rakyat Malaysia dan menetapkan prinsip panduan bagi pengenaan fi dan caj bagi produk dan perkhidmatan runcit itu kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana.
Usaha juga telah diambil oleh Bank Negara Malaysia dengan kerjasama industri perkhidmatan kewangan untuk mempertingkat integriti sistem dan instrumen pembayaran dengan tujuan meningkatkan keyakinan dan memastikan kepentingan pengguna dilindungi. Langkah-langkah khusus termasuk menaik taraf sistem pemindahan dana, perpindahan semua jalur magnetik kad ATM dan infrastruktur kad kredit kepada persekitaran yang berasaskan cip, dan pengenalan platform pembayaran yang menggunakan internet. Malaysia merupakan negara pertama di rantau Asia Pasifik yang melaksanakan perpindahan kad ATM kepada kad berasaskan cip dan juga negara pertama menyempurnakan pelaksanaan perpindahan kepada kad kredit berasaskan cip EMV ke seluruh negara. Pada dasarnya, langkah ini bertujuan memerangi penipuan dalam instrumen pembayaran. Beberapa inisiatif lain juga telah diambil untuk melahirkan kesedaran yang tinggi di kalangan orang ramai mengenai wang kertas palsu dan untuk meningkatkan pemahaman pengguna mengenai penggunaan dan perlindungan kad kredit.
Semakin kita maju ke hadapan, perubahan dalam landskap kewangan akan terus dinamik dan tahap kerumitan dan kecanggihan pasaran kewangan akan terus bertambah. Sungguhpun banyak usaha telah diambil untuk memperkasakan pengguna melalui pendidikan kewangan dan peningkatan perlindungan kepada pengguna, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memupuk komitmen penyedia perkhidmatan kewangan terhadap amalan perniagaan yang baik dan menggalakkan layanan yang adil dan saksama kepada pengguna. Berikutan dimensi global perkhidmatan kewangan dan meningkatnya saling pergantungan pasaran kewangan, usaha setiap negara untuk memperkukuh perlindungan pengguna perlu digandingkan dengan usaha meningkatkan perlindungan di peringkat antarabangsa. Forum seumpama ini menyediakan peluang yang baik kepada pengawal selia untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan mendalam, membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi, meninjau bidang yang berpotensi untuk kerjasama dan meletakkan asas kepada perkongsian pada masa hadapan. Mengambil pengalaman dan kepakaran daripada pelbagai negara, forum ini menyediakan platform kepada peserta untuk bekerjasama ke arah membangunkan standard amalan terbaik global berkaitan isu perlindungan dan pendidikan pengguna. Saya berharap dapat melihat hasil perbincangan anda dalam merangsang peningkatan perlindungan dan pendidikan pengguna.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.