Ucap Utama Gabenor di Sesi Dialog dengan Institusi Perbankan yang bertajuk "Memperkukuh Sistem Perbankan bagi Menghadapi Persaingan yang Meningkat"

Renaissance Kuala Lumpur Hotel | 17 Februari 2005

Transformasi ekonomi, persekitaran yang lebih kompetitif, kemajuan teknologi, pengukuhan hubungan antarabangsa dan pelanggan yang lebih arif akan menjadi daya dorongan penting bagi menentukan arah perubahan dalam landskap kewangan domestik pada tahun-tahun yang akan datang. Transformasi ekonomi dijangka menjadi lebih nyata berdasarkan usaha yang semakin gigih untuk mengalihkan sumber ke sektor pertumbuhan baru. Persekitaran yang lebih kompetitif akan muncul hasil peningkatan penyahkawalseliaan dan liberalisasi yang selanjutnya. Kemajuan teknologi akan terus meningkatkan potensi untuk menghasilkan instrumen kewangan dan proses perniagaan yang baru, serta meningkatkan kemampuan untuk mengukur dan mengurus risiko. Rantaian antarabangsa akan diperkukuh dengan peningkatan kehadiran dan penyertaan pihak asing dalam sistem kewangan domestik, di samping inisiatif kumpulan perbankan domestik untuk beroperasi ke luar negara. Berdasarkan latar belakang ini, permintaan dan kehendak pelanggan yang semakin meningkat akan menghasilkan konsumerisme yang lebih aktif dan seterusnya mempengaruhi pembentukan landskap kewangan. Sesungguhnya, perkembangan-perkembangan ini akan menghasilkan persekitaran yang dinamik dan cabaran yang baru kepada industri perbankan.

Dengan sukacitanya, saya mengalu-alukan kedatangan para hadirin ke sesi dialog antara Bank Negara Malaysia dengan industri perbankan. Dialog ini akan memberi peluang kepada industri perbankan untuk berbincang dengan Bank Negara Malaysia mengenai perkembangan-perkembangan ini dan implikasinya, isu-isu penting yang telah timbul serta insiatif dasar Bank Negara Malaysia.

Melangkah ke tahun 2005, adalah penting bagi kita merenung kembali kemajuan yang telah kita capai, cabaran baru yang timbul dan tindakan yang perlu diambil untuk mendorong prestasi pada masa akan datang. Sistem perbankan Malaysia pada hari ini sungguh memberangsangkan, mantap dan menguntungkan. Malahan, sistem perbankan kini berada pada kedudukan yang paling kukuh sejak krisis kewangan. Tahap modal yang tinggi, kualiti aset yang meningkat dan keuntungan yang kukuh turut diperteguh oleh peningkatan yang nyata dalam bidang tadbir urus korporat dan tahap pengurusan risiko. Pelaburan yang besar telah juga dibuat untuk memperkukuh sistem dan proses dalaman, meningkatkan saluran penghantaran dan mendapatkan bakat. Secara keseluruhan, kesemua peningkatan ini membolehkan institusi perbankan, terutamanya institusi perbankan domestik, terus berdaya saing dan menawarkan produk terbeza serta perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah. Sesungguhnya, persekitaran yang kompetitif turut mendorong institusi perbankan domestik supaya berusaha untuk mencapai tahap kecekapan yang lebih tinggi serta mempelopori bidang perniagaan baru, mendapatkan sumber pendapatan baru dan menjalin hubungan dengan institusi perbankan serantau. Yang paling ketara, kemajuan tersebut telah membolehkan institusi perbankan memainkan peranan yang penting dalam membantu peningkatan peranan sektor swasta dalam proses pertumbuhan ekonomi.

Kini, asas prestasi yang kukuh bagi institusi perbankan domestik telah dibentuk dengan baik. Ketika kita melangkah ke fasa kedua Pelan Induk Sektor Kewangan, dasar penyahkawalseliaan dan liberalisasi sistem perbankan secara beransur-ansur akan dilengkapkan dengan matlamat untuk mendatangkan lebih banyak manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan. Sementara bank asing akan mendapat manfaat daripada proses ini, sifat timbal balik perlu wujud dalam hubungan antara bank asing dengan ekonomi kita. Sememangnya diakui bahawa sumbangan bank asing terhadap pembangunan sektor kewangan kita adalah memberangsangkan. Mereka telah melabur modal yang besar dan membantu pemindahan kemahiran dan teknologi ke Malaysia. Namun begitu, persekitaran ekonomi yang stabil dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang pesat juga telah memberikan manfaat dan memajukan bank asing. Oleh itu, sungguhpun kefleksibelan operasi akan diberi kepada bank asing yang sedia ada untuk membolehkan mereka memenuhi keperluan ekonomi yang semakin berkembang, bank asing juga perlu menjadi lebih bersepadu dengan ekonomi negara. Ini termasuk usaha memastikan semua segmen masyarakat mendapat akses kepada produk dan khidmat perbankan pada kos yang mampu ditanggung dan tidak hanya tertumpu pada lokasi tertentu sahaja. Oleh yang demikian, potensi pembukaan lebih banyak cawangan akan diseimbangkan dengan keperluan taburan cawangan supaya turut meliputi kawasan luar bandar. Sungguhpun sebahagian besar tumpuan bank asing adalah di kawasan bandar, catatan menunjukkan institusi perbankan domestik yang mempunyai banyak cawangan di kawasan luar bandar adalah di kalangan institusi perbankan yang telah dapat mengekalkan prestasi kukuh.

Prospek ekonomi bagi tahun 2005 dijangka terus menggalakkan. Walaupun terdapat tanda-tanda pertumbuhan di peringkat global akan menjadi semakin perlahan, ini bukanlah perkara yang membimbangkan memandangkan keadaan asas dalam persekitaran global terus menyokong pertumbuhan. Perkembangan yang positif ialah peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan dalam ekonomi terbesar dunia, iaitu Amerika Syarikat, sementara pertumbuhan di rantau Asia terus mantap dan saling memperkukuh. Walaupun harga komoditi lebih tinggi, tekanan inflasi dalam ekonomi utama kekal sederhana. Meskipun beberapa negara telah mula menaikkan kadar faedah, persekitaran sedia ada membolehkan kenaikan kadar faedah tersebut dilaksanakan secara beransur-ansur dan menyokong pertumbuhan. Oleh itu, pertumbuhan global pada tahun 2005 akan kekal kukuh walaupun kadar pertumbuhan tersebut mungkin menjadi sederhana.

Walau bagaimanapun, persekitaran global semasa telah terjejas akibat ketidakpastian yang timbul daripada ketidakseimbangan global. Amerika Syarikat terus mencatat defisit yang besar dalam akaun fiskal dan akaun semasa. Perbincangan yang meluas telah diadakan di peringkat global mengenai bentuk pelarasan yang perlu diambil. Pada masa ini, perbincangan mengenai langkah-langkah menangani ketidakseimbangan yang wujud lebih tertumpu pada tekanan untuk penjajaran semula kadar pertukaran. Akhirnya, ketidakseimbangan struktur ini perlu ditangani oleh negara-negara di mana wujud ketidakseimbangan ini. Sungguhpun kadar pertukaran mungkin merupakan sebahagian daripada penyelesaiannya, tetapi ini hanyalah sebahagian kecil daripada penyelesaian keseluruhan. Walau bagaimanapun, isu daya saing memerlukan lebih daripada pelarasan kepada kadar pertukaran. Ini memerlukan perubahan kepada struktur asas dalam negara-negara berkenaan. Peningkatan nilai mata wang serantau tidak akan menghapuskan ketidakseimbangan ini. Malahan, tumpuan berlebihan pada kadar pertukaran sebagai mekanisme pembetulan ketidakseimbangan ini telah mengakibatkan kemasukan modal spekulatif ke dalam ekonomi Asia. Ini memerlukan pihak yang merumus dasar untuk campur tangan bagi mengelakkan peningkatan nilai yang ketara dalam mata wang mereka, yang seterusnya menghasilkan pegangan rizab yang besar. Yang nyata, kadar pertukaran hanya menawarkan sebahagian daripada penyelesaiannya, dan tumpuan yang berlebihan pada perkara ini mungkin kurang produktif. Ini mendatangkan risiko berlakunya pergerakan yang ketara dalam kadar pertukaran, sehingga pada tahap yang akan menyebabkan ketidakstabilan yang terlampau dalam pasaran global mata wang, modal dan komoditi.

Penyelesaian jangka panjang adalah supaya Amerika Syarikat meningkatkan tabungan dan menyederhanakan permintaan terhadap import dan bagi negara-negara lain pula meningkatkan permintaan dan import. Transformasi ini akan tetap berlaku tetapi tidak mungkin dalam tempoh yang singkat. Pada tempoh peralihan, mungkin akan berlaku dislokasi ekonomi. Walau bagaimanapun, dengan tenaga kerja muda dan peningkatan produktiviti serta ekonomi yang berdaya saing dan dinamik, terdapat potensi yang besar bagi ekonomi Asia menjadi pemangkin pertumbuhan bagi rantau ini dan dunia. Dengan peningkatan tahap pendapatan ekonomi serantau, terutamanya di kalangan kumpulan berpendapatan sederhana yang semakin meningkat di Republik Rakyat China, India dan ekonomi ASEAN, terdapat potensi bagi sumber permintaan instrinsik di rantau ini. Keseimbangan semula permintaan seluruh dunia ini seterusnya akan mengurangkan ketidakseimbangan semasa.

Pada tahun 2004, ekonomi Malaysia mengalami pertumbuhan yang kukuh. Pada masa hadapan, ekonomi negara akan terus disokong oleh permintaan dalam dan luar negeri. Kekukuhan permintaan dalam negeri, khususnya perbelanjaan swasta, di samping eksport yang kekal kukuh, dijangka terus menyokong pertumbuhan pada tahun 2005. Ini diperkukuh oleh asas ekonomi dalam negeri yang mantap serta sektor korporat dan kewangan yang kukuh. Pelaburan swasta dijangka kekal dengan trend yang meningkat sejajar dengan usaha syarikat menaik taraf kemudahan dan mewujudkan kapasiti baru berikutan permintaan dalam dan luar negeri yang kukuh. Keteguhan ekonomi, struktur ekonomi yang sangat pelbagai dan asas yang kukuh meningkatkan potensi Malaysia menghadapi dan bertindak balas terhadap persekitaran luaran yang mencabar.

Dasar monetari Bank Negara Malaysia telah memainkan peranan yang menyokong ekonomi negara sepanjang tahun 2004. Melangkah ke hadapan, dasar ini akan terus dikekalkan. Inflasi telah meningkat daripada paras yang rendah sebelum ini, tetapi dijangka kekal rendah pada tahun 2005 meskipun terdapat penyusutan nilai dalam dolar AS dan harga minyak antarabangsa yang lebih tinggi. Kenaikan sementara kadar inflasi yang disebabkan oleh kejutan bekalan atau pelarasan harga satu kali tidak mewajarkan tindak balas dasar monetari. Fokus dasar monetari adalah untuk memberikan sokongan secara berterusan terhadap pengembangan aktiviti pelaburan perniagaan untuk meningkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang ekonomi Malaysia.

Pada tahun 2004, Bank Negara Malaysia juga telah melaksanakan bebarapa langkah untuk meningkatkan kecekapan operasi dan ketelusan dasar monetarinya. Khususnya, setelah hampir satu tahun diperkenalkan, rangka kerja kadar faedah baru beroperasi dengan lancar, dengan Kadar Dasar Semalaman memberikan isyarat kepada pasaran berhubung dengan pendirian dasar monetari. Rangka kerja tersebut, bersama dengan penerbitan Pernyataan Dasar Monetari pada setiap suku tahun oleh Bank Negara Malaysia, telah menyediakan maklumat secara tetap kepada pasaran berhubung dengan keadaan monetari semasa dan masa hadapan. Penyahkawalseliaan penetapan harga di bawah rangka kerja kadar faedah baru ini juga berfungsi sebagai pemangkin ke arah penetapan harga yang lebih cekap dalam sistem kewangan.

Berlatarbelakangkan suasana pasaran mata wang dunia yang tidak menentu, rejim kadar pertukaran tetap terus memberi manfaat yang besar kepada ekonomi Malaysia dalam menyediakan suasana yang lebih pasti dan stabil untuk perdagangan antarabangsa dan pelaburan. Dari semasa ke semasa, terdapat perkembangan terpencil atau khabar angin yang menimbulkan spekulasi pasaran berhubung perlunya kadar pertukaran tetap dikaji semula. Bank Negara Malaysia secara konsisten mengekalkan pendiriannya bahawa rejim kadar pertukaran tidak akan dikaji semula kecuali Ringgit dijangka mengalami ketidakjajaran asas atau jika rejim tersebut tidak lagi konsisten dengan asas ekonomi ekoran perubahan struktur yang ketara dalam sistem kewangan antarabangsa dan serantau. Perlu dinyatakan bahawa walaupun nilai Ringgit telah menyusut sejajar dengan dolar AS, penyusutan nilai dolar AS berbanding dengan mata wang rakan perdagangan Malaysia sebagai satu kumpulan secara relatifnya adalah kecil. Dengan tahap kurang nilai yang kecil ini, kesan sampingan terhadap inflasi yang disebabkan oleh kelemahan dolar AS juga dijangka kecil, dan dengan ini potensi untuk mengalami ketidakjajaran juga kecil. Oleh yang demikian, rejim kadar pertukaran tetap secara asasnya kekal baik dan kami menjangkakan ia akan terus memberikan faedah kepada ekonomi negara. Sebarang perubahan pada rejim kadar pertukaran akan berdasarkan pada pertimbangan struktur jangka panjang dan bukannya pergerakan aliran modal jangka pendek atau perubahan sementara dalam jangkaan kadar pertukaran.

Dalam menerajui pembangunan sektor kewangan, objektif Bank Negara Malaysia adalah untuk membangunkan sektor kewangan yang dinamik, berdaya saing dan berdaya tahan. Pada tahun 2005, fokus akan ditumpukan pada memperkukuh keberkesanan sektor perbankan dalam memenuhi keperluan baru ekonomi, meningkatkan persaingan dan seterusnya kecekapan, serta memperkukuh infrastruktur bagi perlindungan pengguna. Inisiatif-inisiatif tersebut akan dilaksanakan dalam konteks memelihara keteguhan dan kestabilan sistem kewangan.

Komponen penting bagi sektor kewangan yang kukuh ialah wujudnya rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang mantap. Dua prinsip utama akan diambil kira dalam perumusan dan perlaksanaan dasar berhemat. Pertama, mewujudkan persekitaran pengawalseliaan yang merangsang inovasi dan persaingan, sambil menggalakkan amalan-amalan terbaik bagi memelihara kestabilan kewangan. Oleh itu, dasar-dasar akan mengimbangi keperluan untuk mencapai kecekapan sambil memelihara kestabilan. Kedua, pengawalan berdasarkan prinsip akan dipertingkatkan. Pengawalan akan ditumpukan pada mengenal pasti parameter bagi menentukan bagaimana institusi perbankan harus beroperasi, sementara mengekalkan kefleksibelan yang secukupnya bagi membolehkan institusi menentukan strategi dan pendekatan masing-masing dalam parameter tersebut. Ini adalah sejajar dengan tadbir urus korporat dan amalan pengurusan risiko yang lebih baik dalam institusi perbankan. Lembaga pengarah dan pihak pengurusan akan bertanggungjawab mengukuhkan institusi masing-masing.

Kejayaan pendekatan pengawalseliaan berdasarkan prinsip bergantung pada keupayaan institusi perbankan, sama ada secara individu dan juga sebagai sebuah industri, bagi mengguna pakai kefleksibelan yang ada tanpa menyebabkan pengambilan risiko dan penetapan harga yang berlebihan, pencatuan kredit dan tindakan lain yang boleh mengancam kestabilan sistem kewangan dan kesejahteraan ekonomi negara secara keseluruhan. Yang penting ialah institusi perbankan perlu bertindak dengan penuh tanggungjawab, kerana tindakan institusi perbankan mendatangkan implikasi kepada semua segmen dalam ekonomi. Perhatian yang sewajarnya perlu diberikan bagi memastikan kesemua segmen dalam masyarakat mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan pada kos yang berpatutan dan dalam proses ini tidak satu pun kumpulan harus dipinggirkan. Dalam hal ini, meskipun Bank Negara Malaysia menyokong rangka kerja pengawalseliaan berdasarkan prinsip, Bank Negara Malaysia akan memantau dengan rapi prestasi dan tindakan institusi perbankan, serta akan campur tangan dan menetapkan peraturan yang khusus sekiranya tindakan institusi perbankan boleh menjejaskan kestabilan kewangan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan.

Sebagai penjaga dana awam, dan sebagai sebuah industri yang berorientasikan perkhidmatan, sektor perbankan perlu berusaha untuk mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem ini dan memberikan perkhidmatan yang bermutu secara berterusan. Untuk mengekalkan keyakinan orang ramai, ia memerlukan usaha yang melampaui usaha mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dan menyediakan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan kepada pelanggan. Memandangkan pelanggan kini lebih berpengetahuan dari segi kewangan dan lebih mengetahui akan hak mereka, pengendalian dan amalan institusi perbankan akan semakin diteliti dengan rapi oleh orang ramai. Penipuan, amalan yang tidak beretika, monopoli dan amalan yang tidak adil, sekiranya dibiarkan, akan menjejaskan tanggapan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem perbankan, yang mampu memberi kesan terhadap pencapaian kewangan sesebuah institusi. Sesungguhnya, bagi memelihara reputasi korporat dan mengekalkan keyakinan orang ramai, institusi perbankan haruslah sensitif terhadap kesan daripada dasar dan amalan mereka kepada pelanggan mereka dan pihak berkepentingan yang lain. Oleh itu, adalah penting bagi industri perbankan secara bersama memastikan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan dikekalkan sepanjang masa.

Isu mengenai fi dan caj yang dikenakan oleh institusi perbankan baru-baru ini begitu mendapat perhatian daripada orang ramai. Dasar Bank Negara Malaysia mengenai perkara ini adalah untuk menyahkawalselia peraturan mengenai fi dan caj secara berperingkat. Ini merupakan satu cara untuk mempertingkatkan prestasi institusi perbankan dan menggalakkan inovasi. Walau bagaimanapun, kefleksibelan yang diberi hendaklah dilaksanakan dengan adil supaya keyakinan orang ramai terhadap sektor perbankan tidak terjejas. Bagi melindungi kepentingan pengguna, Bank Negara Malaysia akan mengimbangi kehendak institusi perbankan dan pengguna yang saling bersaingan. Memandangkan pelaburan yang tinggi perlu untuk penambahbaikan produk dan perkhidmatan, sebarang pelarasan struktur penentuan harga bagi produk dan perkhidmatan hendaklah berdasarkan penentuan kos yang memadai serta justifikasi yang mengambil kira penjimatan kos. Lebih penting lagi, ia hendaklah diiringi dengan penawaran perkhidmatan yang lebih baik.

Sementara Bank Negara Malaysia akan terus memperkukuh rangka kerja perlindungan pengguna menerusi peningkatan tahap penzahiran, mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkesan, dan penggalakan amalan perbankan yang saksama, institusi perbankan juga dikehendaki memainkan peranan mereka. Satu aspek penting adalah untuk memastikan pengguna dibekalkan dengan maklumat relevan yang secukupnya bagi meminimumkan risiko membuat keputusan yang salah dan akibat daripada tindakan tersebut. Amalan pasaran dan standard pendedahan hendaklah saksama dan komprehensif bagi memastikan pengguna dilayan dengan adil dan mendapat akses kepada maklumat yang terkini dan secukupnya bagi memudahkan pengguna membuat keputusan yang berkesan.

Pada tahun terdekat ini, Bank Negara Malaysia telah mewujudkan dua infrastruktur penting dalam sektor perbankan. Pertama, pembentukan rangka kerja bagi penubuhan subsidiari perbankan Islam, dan yang kedua, rangka kerja bagi penggabungan antara bank perdagangan dengan syarikat kewangan dalam kumpulan perbankan yang sama. Kedua-dua rangka kerja ini telah mengorak langkah bagi institusi perbankan untuk merasionalisasikan lagi operasi dan meningkatkan kecekapan mereka. Kedua-dua rangka kerja ini kini membolehkan operasi perbankan dijalankan di bawah struktur yang baru di mana operasi tersebut boleh menggunakan infrastruktur kumpulan, termasuk rangkaian cawangan dan fungsi sokongan, bagi memaksimumkan kecekapan kos dan memperoleh faedah daripada sinergi kumpulan. Beberapa institusi perbankan telah mengambil peluang yang disediakan oleh kedua-dua rangka kerja ini.

Melangkah ke hadapan pada tahun 2005, Bank Negara Malaysia akan menyiapkan beberapa peraturan penting untuk sistem perbankan. Peraturan ini tertumpu pada peningkatan pemantauan Bank Negara Malaysia secara keseluruhan ke atas institusi perbankan, di samping memberi lebih kefleksibelan kepada Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan institusi perbankan untuk membentuk strategi perniagaan berdasarkan parameter yang telah ditetapkan oleh peraturan tersebut.

Dalam persekitaran di mana struktur kumpulan menjadi lebih kompleks, pengawalseliaan berhemat dan pemantauan atas pelbagai konglomerat kewangan akan terus diperkukuh. Sehubungan dengan ini, Bank Negara Malaysia akan menyiapkan Rangka Kerja Penyeliaan Gabungan bagi Konglomerat Kewangan pada tahun 2005. Kertas Konsep pertama yang dikeluarkan pada bulan Disember 2003 telah menerima maklum balas yang positif daripada industri. Berhubung dengan struktur berkumpulan, cadangan untuk semua kumpulan kewangan diketuai oleh sebuah syarikat induk kewangan telah diterima dengan meluas. Matlamat utama mewujudkan syarikat induk kewangan ini adalah supaya institusi perbankan dalam kumpulan kewangan yang sama dapat bergantung pada syarikat induk tersebut sebagai sumber kemantapan kewangan. Walau bagaimanapun, kefleksibelan akan diberikan kepada bank perdagangan untuk terus berada pada kedudukan teratas dalam kumpulan kewangan. Walau bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan akan diperkenalkan untuk memastikan bank perdagangan mempamerkan standard yang lebih tinggi dalam amalan dan pemantauan untuk mengurus risiko ekoran struktur berkenaan.

Isu selanjutnya adalah mengenai skop dan ciri aktiviti yang dibenarkan dalam struktur syarikat induk kewangan. Prinsip untuk mentakrifkan aktiviti kewangan atau aktiviti yang berkaitan dengan aktiviti kewangan akan digariskan dengan jelas bagi memudahkan sebarang kemungkinan proses penyusunan semula yang diperlukan ekoran daripada dasar baru tersebut. Usaha akan terus dilaksanakan untuk mentakrif tadbir urus korporat yang bersesuaian dan standard kehematan yang akan diguna pakai di peringkat syarikat induk. Berhubung dengan keperluan modal, kajian sedang dibuat mengenai keperluan peraturan modal yang seragam untuk semua syarikat induk kewangan. Pertimbangan yang lebih penting adalah untuk meminimumkan pergantungan yang berlebihan dan memastikan syarikat induk kewangan berkenaan mempunyai infrastruktur yang diperlukan bagi membolehkan pandangan yang menyeluruh tentang aktiviti pengambilan risiko dalam kumpulan.

Dalam sistem kewangan yang lebih liberal, disiplin pasaran dijangka memainkan peranan yang lebih penting bagi meningkatkan prestasi institusi perbankan. Dalam hal ini, pemegang-pemegang saham diharap akan memainkan peranan yang lebih dalam mengawasi prestasi institusi perbankan dan keberkesanan ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan. Justeru, dasar mengenai pemegang saham akan dipertingkatkan untuk menggalakkan penglibatan pemegang saham yang aktif dalam institusi perbankan. Pemegang-pemegang saham perlu mengambil berat tentang amalan institusi perbankan terutamanya yang memberi kesan negatif kepada kepentingan pendeposit dan kestabilan kewangan.

Selain itu, dengan persekitaran yang semakin kompetitif, kemajuan dalam amalan pengurusan risiko dan kekukuhan rangka kerja tadbir urus korporat, rangka kerja dasar yang lebih fleksibel mengenai pemberian pinjaman kepada pihak-pihak berkaitan akan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, untuk mengelak penyalahgunaan kefleksibelan tersebut, terdapat langkah-langkah keselamatan dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh institusi perbankan.

Penerimaan pakai pendekatan pengawalseliaan yang berdasarkan prinsip akan memberikan institusi perbankan lebih kefleksibelan untuk membuat pilihan yang lebih strategik dalam persekitaran yang lebih kompetitif. Dengan perkembangan industri perbankan yang lebih pesat, usaha industri secara bersama dalam pelbagai bidang akan mendatangkan faedah bukan saja kepada sektor kewangan tetapi kepada ekonomi keseluruhannya. Sehubungan dengan ini, terdapat peningkatan trend di kalangan negara-negara maju seperti United Kingdom, Kanada dan Australia, di mana persatuan-persatuan perbankan memainkan peranan menerajui inisiatif bagi menggalakkan standard yang lebih tinggi untuk kod etika kegiatan pasaran bagi memenuhi harapan dan permintaan pengguna yang semakin meningkat. Peranan persatuan-persatuan perbankan semakin meningkat sebagai pusat untuk perundingan bukan sahaja dengan pihak berkuasa pengawalseliaan tetapi juga dengan pihak berkepentingan yang lain mengenai dasar yang memberikan kesan kepada sektor kewangan. Dalam hal ini, persatuan-persatuan tersebut telah memainkan peranan pelengkap yang penting kepada usaha pihak berkuasa pengawalseliaan dalam mewujudkan sistem perbankan yang lebih progresif, dinamik dan berdaya tahan. Di samping itu, persatuan perbankan di negara-negara tersebut juga berperanan sebagai jurucakap bagi industri tersebut dalam mengetengahkan kedudukan ahli-ahli mereka bagi mempromosikan kepentingan industri. Di Malaysia, terdapat beberapa perkara yang merupakan kepentingan bersama kepada industri yang boleh diterajui oleh persatuan tersebut. Oleh itu, adalah penting untuk industri menilai semula peranan persatuan-persatuan untuk mengetengahkan inisiatif-inisiatif dan kepentingan bersama industri.

Melangkah ke hadapan, pembiayaan pengguna dan PKS akan terus menjadi dua sektor pertumbuhan yang penting. Persekitaran makroekonomi keseluruhan dan kadar faedah akan terus menyokong pertumbuhan kedua-dua sektor ini. Cabaran bagi institusi perbankan adalah untuk memastikan para pengguna dan perusahaan perniagaan mendapat akses kepada produk yang berpelbagai, dan pada masa yang sama memastikan infrastruktur yang sesuai disediakan bagi mengurus risiko yang wujud ekoran perniagaan-perniagaan ini. Ini adalah bagi memastikan bahawa aktiviti pemberian pinjaman kepada sektor-sektor ini dapat dikekalkan dan bagi mengelak risiko sebagaimana yang dialami baru-baru ini oleh beberapa negara di rantau ini.

Sementara tumpuan diberikan pada pembiayaan pengguna dan PKS, institusi perbankan juga perlu memperakui kemunculan beberapa sektor pertumbuhan baru dalam ekonomi, termasuk aktiviti sektor perkhidmatan, dan industri pertanian dan asas-tani. Sektor-sektor ini membuka peluang yang boleh diraih oleh institusi perbankan. Walaupun sektor-sektor ini dianggap bukan sektor tradisional, institusi perbankan yang memperkenalkan model pinjaman serta produk yang baru bagi memenuhi kehendak kewangan sektor-sektor ini akan mempunyai kelebihan awal dalam meraih potensi pasaran baru ini.

Sehubungan dengan ini, tema utama dialog pada tahun ini ialah "Merebut Peluang Dalam Sektor Pertumbuhan Baru - Menggalakkan Amalan Pemberian Pinjaman Terbaik", untuk dibincangkan oleh komuniti perbankan. Kami amat berbesar hati dengan kehadiran empat penceramah yang dihormati, yang akan berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dalam membentuk portfolio yang berjaya dan berkekalan dalam pembiayaan pengguna, pembiayaan PKS, mikrokredit dan pembiayaan pertanian. Seterusnya, empat sesi perbincangan berdasarkan keempat-empat sektor pembiayaan tersebut akan diadakan dan peserta digalakkan untuk membincangkan isu-isu berhubung dengan sektor yang berkenaan secara aktif. Setiap kumpulan akan membentangkan hasil perbincangan mereka pada keesokan hari. Oleh itu, diharapkan usaha ini menjadi satu proses yang membina, dan akan menyumbang kepada peningkatan tahap prestasi dan nilai ditambah sektor-sektor ini.

 


Bank Negara Malaysia
17 Februari 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?