Ucap Utama Gabenor pada Forum Ahli-ahli Bank Islam 2005 yang bertajuk "Kewangan Islam: Menggalakkan Kelebihan Bersaingan"
Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya, Malaysia | 21 Jun 2005
"Kewangan Islam kini merupakan satu bentuk pengantaraan kewangan yang kompetitif, yang mampu memenuhi keperluan ekonomi yang terbeza. Dalam persekitaran yang berubah dengan pesat, faktor utama yang akan mempengaruhi prospek masa hadapan industri perkhidmatan kewangan Islam ialah pelaburan untuk membangunkan asas-asas yang membolehkan kemajuan seterusnya dapat dicapai. Melabur untuk masa hadapan dalam penyelidikan dan pembangunan dan dalam pembangunan bakat dan kepakaran akan menjadi faktor yang akan menyumbang ke arah keberkesanan, daya tahan dan daya saing industri. Usaha ini perlu menjadi tanggungjawab bersama sektor swasta dan awam untuk menaikkan prestasi industri dan seterusnya meningkatkan potensinya untuk menyumbang ke arah pembentukan kekayaan dan kemakmuran negara kita".
Saya berbesar hati kerana dijemput untuk berucap pada Forum Ahli-ahli Bank Islam yang dianjurkan oleh General Council for Islamic Bank and Financial Institutions (CIBAFI) mengenai pendekatan strategik dalam pembangunan sistem kewangan Islam yang progresif. Sesungguhnya Forum ini merupakan peluang yang amat baik untuk pengamal industri, pengawal selia dan ahli akademik untuk membincangkan isu utama yang penting untuk masa hadapan industri perkhidmatan kewangan Islam. Ucapan saya pada hari ini akan tertumpu, terutamanya pada isu yang berkaitan dengan inovasi, yang terhasil daripada pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan daripada pelaburan dalam tenaga pekerja dalam sektor ini.
Inovasi merupakan kunci kepada pertumbuhan yang mapan dan jaminan kelebihan bersaingan. Inovasi adalah tentang pembangunan produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang baru dan peningkatan pelbagai produk dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pengguna dan perusahaan perniagaan yang lebih canggih dan kompleks pada hari ini. Inovasi juga adalah tentang peningkatan kecekapan keseluruhan cara produk dan perkhidmatan ditawarkan. Inovasi juga melibatkan pengenalan struktur baru yang boleh menyumbang ke arah peningkatan kemudahan bagi pengguna dan perusahaan perniagaan. Akhir sekali, inovasi juga boleh menyumbang ke arah penciptaan pasaran baru atau pengembangan pasaran yang sedia ada untuk produk dan perkhidmatan Islam. Oleh itu, pengamal-pengamal industri mempunyai peranan yang penting untuk menggalakkan inovasi. Institusi kewangan perlu melengkapkan strategi perniagaan mereka dengan R&D untuk mencipta produk dan perkhidmatan inovatif yang baru. Produk dan perkhidmatan yang inovatif yang boleh dipercayai, kompetitif dan mematuhi Syariah sememangnya mempunyai pasaran. Pengenalan sukuk berdaulat global lebih dari dua tahun yang lalu merupakan inovasi penting yang kini menampakkan hasil yang ketara.
Inovasi juga boleh berlaku dalam bentuk penerapan teknologi untuk meningkatkan kemudahan bagi pelanggan dan mengurangkan kos urus niaga kewangan. Dalam penggunaan teknologi yang terkini, potensi untuk industri kewangan Islam menyediakan produk dan perkhidmatan baru akan dipertingkat. Ia juga merupakan potensi untuk meningkatkan akses kepada produk kewangan melalui berbagai-bagai jenis saluran penghantaran baru. Penerapan teknologi maklumat yang lebih meluas dalam industri juga dapat mempertingkat kecekapan dengan merendahkan kos bagi pengguna dan perusahaan perniagaan. Bidang-bidang lain termasuk penggunaan teknologi maklumat dalam membuat keputusan yang strategik dalam penjajaran perniagaan, dalam peningkatan kapasiti keinstitusian dan kecekapan operasi serta pengukuhan keupayaan pengurusan risiko. Melangkah ke hadapan, peningkatan keupayaan teknologi menjadi penting bagi industri kewangan kerana ia bersaing dalam persekitaran yang semakin dipacu teknologi.
Persekitaran dan struktur insentif juga penting dalam menyediakan persekitaran yang menggalakkan inovasi. Khususnya, rangka kerja pengawalseliaan dan struktur percukaian adalah penting untuk proses inovasi. Rangka kerja pengawalseliaan tidak seharusnya terlalu membebankan sehingga menyebabkan kos yang tinggi dan menjadi beban pengawalseliaan terhadap perusahaan perniagaan. Pendekatan pengawalseliaan yang intrusif atas produk baru boleh menjadi penghalang kepada inovasi. Struktur cukai juga boleh direka bentuk untuk menyokong proses inovasi. Dalam institusi kewangan, struktur organisasi juga boleh mewujudkan persekitaran untuk inovasi dengan menjajarkan proses organisasi dan pelaksanaan insentif prestasi yang sesuai.
Kepesatan inovasi yang dicapai dalam industri perkhidmatan kewangan Islam telah menyumbang kepada pembangunan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang meluas dan pelbagai, yang seterusnya telah dapat menggembleng sumber kewangan dengan berkesan bagi memenuhi keperluan pelaburan dalam ekonomi, Walau bagaimanapun, proses inovasi dalam kewangan Islam secara umumnya telah distrukturkan mengikut pendekatan adaptasi. Sungguhpun terdapat instrumen kewangan Islam yang jelas berbeza daripada instrumen kewangan konvensional, namun bilangannya masih sedikit. Pada kebiasaannya, produk kewangan Islam dipakej semula mengikut ciri produk kewangan konvensional, dengan menghapuskan elemen yang tidak mematuhi Syariah.
Industri perkhidmatan kewangan Islam kini berada di ambang tahap pembangunan yang baru. Sambil kita maju ke hadapan, industri perkhidmatan kewangan Islam dijangka mempunyai set piawaian pengawalan dan penyeliaan yang berbeza, yang kondusif bagi operasi kewangannya yang unik. Kesedaran dan kefahaman juga semakin meningkat di kalangan komuniti kewangan antarabangsa mengenai sifat operasi kewangan dan perbankan Islam yang jelas berbeza. Selain itu, penggunaan konsep Syariah yang lebih dinamik nyata kelihatan dalam evolusi produk kewangan Islam yang sofistikated, yang distrukturkan berdasarkan pelbagai konsep Syariah. Berdasarkan pembangunan tersebut, sudah tiba masanya untuk meninggalkan amalan inovasi yang baru yang akan menjadikan instrumen kewangan Islam produk yang jelas berbeza, yang akan memaksimumkan potensi dan kebijaksanaan Syariah dan yang akan memenuhi kehendak pengguna yang lebih sofistikated dan keperluan perniagaan yang lebih kompleks. Paradigma inovasi dalam kewangan Islam, yang dengan sendirinya akan memberikan kelebihan bersaingan kepada institusi kewangan Islam untuk mengorak langkah ke hadapan, memerlukan pelaburan yang besar dan berterusan dalam R&D. R&D sememangnya merupakan aspek yang penting dalam industri dan perusahaan moden dan tidak kurang pentingnya dalam dunia kewangan. Terdapat tiga prakeperluan yang penting untuk memperkukuh keupayaan R&D, iaitu peruntukan sumber yang mencukupi untuk pembangunan infrastruktur, menjalin perhubungan strategik melalui perkongsian pintar dan melahirkan sekumpulan pekerja mahir dan berkelayakan.
Peruntukan sumber yang mencukupi untuk pembangunan infrastruktur
Institusi kewangan Islam terus berhadapan dengan cabaran-cabaran baru yang perlu ditangani. Keupayaan dan kemampuan keinstitusian mereka perlu diperkuat secara berterusan. Ini termasuk perhatian untuk terus mengkaji semula orientasi strategik dan keutamaan mereka dan pengubahsuaian yang perlu dibuat bagi membolehkan institusi ini bertindak balas secara berkesan kepada perkembangan dan cabaran baru yang muncul.
Untuk memenuhi permintaan pasaran moden dan sofistikated yang semakin meningkat, institusi kewangan harus terus melabur dalam infrastruktur sokongan yang menggalakkan R&D. Ini akan meningkatkan lagi keupayaan inovasi. Tumpuan juga perlu diberikan pada pendekatan terapan bagi kewangan Islam dan amalan modennya. Sokongan kewangan terhadap penyelidikan yang lebih maju di universiti dan institusi penyelidikan akan meningkatkan peluang penyelidikan. Usaha untuk menggunakan dan menyediakan keupayaan teknologi yang kukuh akan turut menyumbang terhadap peningkatan dalam R&D. Dalam penggunaan teknologi yang terkini, potensi industri kewangan Islam untuk membangunkan produk dan perkhidmatan baru juga akan diperkukuh.
Menjalin hubungan strategik melalui perkongsian bijak
Untuk meningkatkan aktiviti R&D, galakan hubungan strategik melalui perkongsian bijak boleh memainkan peranan yang penting. Dengan menjalinkan hubungan strategik bersama entiti yang lain, sinergi yang lebih kukuh akan dapat diwujudkan, yang boleh membawa kepada pendekatan baru, teknologi baru dan bidang pengkhususan baru. Kerjasama antara institusi kewangan Islam khususnya, akan meningkatkan kemampuan untuk menggunakan kepakaran industri secara maksimum. Pengenalan produk kewangan Islam yang inovatif dalam satu bidang kuasa yang khusus boleh diperkembang kepada bidang kuasa yang lain. Ini seterusnya akan menyumbang kepada perluasan dan pendalaman pasaran kewangan Islam dan dengan itu memperkukuh pembangunan keseluruhan industri kewangan Islam. Selain itu, kerjasama yang aktif antara penyelidik akademik dengan pengamal akan membolehkan penggunaan secara praktikal hasil penyelidikan. Di Malaysia, sebuah institut penyelidikan dan latihan dalam bidang kewangan dan perbankan Islam milik pihak industri yang dikenali sebagai Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) telah ditubuhkan untuk menerajui kerjasama yang lebih meluas dengan universiti bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang yang penting bagi pembangunan yang progresif industri kewangan Islam.
Sekumpulan pekerja mahir dan berkelayakan tinggi
Inovasi yang pesat dalam perkhidmatan kewangan global secara umumnya dan sektor perkhidmatan kewangan Islam khususnya, memerlukan pemupukan dan peningkatan kemahiran yang pesat dan berterusan. Melahirkan sekumpulan pekerja yang berbakat dan pakar adalah amat penting untuk memantapkan keupayaan penyelidikan. Dalam hal ini, tumpuan yang serius terhadap pembangunan modal insan harus diberikan melalui latihan dan pendidikan. Dalam persekitaran yang kompetitif pada hari ini, modal intelek ialah faktor utama dalam menentukan tahap inovasi dan daya saing bagi sesebuah institusi atau syarikat. Cabaran utama bagi institusi kewangan Islam adalah untuk menarik minat tenaga pekerja berasaskan pengetahuan dengan kemahiran yang diperlukan untuk meningkatkan potensi terhadap inovasi, produktiviti dan prestasi. Industri perkhidmatan kewangan Islam perlu menggalakkan pembangunan modal insan dan kepakaran yang berterusan untuk melahirkan lebih banyak golongan pakar dan pekerja profesional yang berkaliber tinggi. Ini melibatkan usaha menarik minat dan mengekalkan pekerja berbakat yang sedia ada dan menyediakan sebilangan individu mahir untuk masa hadapan. Di samping itu, pakar dalam kewangan Islam perlu menggabungjalinkan pengetahuan dan kefahaman Syariah dengan kemahiran yang perlu dalam kewangan. Peruntukan latihan dan pembangunan kerjaya memainkan peranan yang penting dalam sektor ini. Oleh itu, sistem pembelajaran perlu diperkemas bagi memenuhi keperluan kemahiran dan bakat pada dekad yang akan datang.
Latihan merupakan tanggungjawab bersama antara industri, ahli akademik dan Kerajaan. Di Malaysia, Kerajaan merancang untuk menubuhkan institusi latihan kewangan antarabangsa mengenai kewangan Islam. Persediaan asas untuk menubuhkan institusi ini telah pun bermula. Walaupun sebahagian daripada keperluan ini dapat dipenuhi, institusi perbankan Islam juga digalakkan meneroka kebolehlaksanaan untuk mengatur kerjasama dengan universiti-universiti dan institusi-institusi lain di dalam dan luar negeri, bagi mengenal pasti dan menyediakan latihan khusus untuk industri perkhidmatan kewangan. Ini termasuk bengkel dan kursus latihan dalam jaluran produk baru dan produk yang baru muncul yang memerlukan kemahiran dan kepakaran khusus.
Pendidikan untuk graduan dan kakitangan lain yang memasuki pasaran kewangan Islam tidak kurang pentingnya. Peluang-peluang untuk mahasiswa mempelajari kewangan Islam atau Syariah, sama ada sebagai satu pengkhususan atau komponen utama ijazah perniagaan, seharusnya sedia ditawarkan di universiti tempatan atau luar negeri. Cabaran yang dihadapi adalah bagi menyediakan program yang selaras dengan perubahan inovasi dan teknologi kewangan. Dalam memenuhi kehendak ini, ia memerlukan program lanjutan yang rapi seperti program sarjana dalam Kewangan dan Kejuruteraan Kewangan Islam dengan penekanan diberikan kepada prinsip perbankan Islam. Pada masa yang sama, organisasi yang berkaitan boleh menyokong program sedemikian dengan mewujudkan dana bagi membiayai pelajar-pelajar pintar untuk meneruskan pendidikan formal, yang meliputi kursus bermodul dalam kewangan Islam sehingga program sarjana penuh. Terdapat juga keperluan untuk menambah program dan inisiatif yang menyediakan pendidikan dan latihan dalam Syariah. Organisasi penyelidikan dan institusi kewangan Islam perlu berusaha ke arah meningkatkan jumlah ahli Syariah yang kompeten, yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap serta kepakaran dalam perundangan Islam dan undang-undang komersial Islam untuk menghadapi produk yang inovatif dan mempunyai kelebihan yang ketara.
Terdapat juga keperluan untuk mendidik pengguna dan komuniti perniagaan secara meluas. Ini akan meningkatkan jangkauan luar lantas meningkatkan permintaan terhadap produk dan pendekatan baru dan inovatif. Malaysia telah melaksanakan satu program pendidikan pengguna berstruktur 10-tahun untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna mengenai keunikan ciri produk kewangan Islam dan pilihan produk yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan kewangan Islam. Peningkatan kesedaran akan mendorong permintaan terhadap produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang lebih meluas bagi memenuhi kehendak mereka pada harga yang lebih kompetitif dan melalui saluran yang lebih mudah. Jangkauan luar ini juga disasarkan pada perniagaan bersaiz kecil dan sederhana. Proses ini turut memberikan galakan kepada industri kewangan untuk meningkatkan inovasi bagi memperkukuh kedudukan mereka yang kompetitif. Ini dapat diperkukuh oleh penyelidikan pasaran untuk meningkatkan kefahaman tentang keperluan kewangan pengguna yang jelas dan toleransi mereka terhadap risiko dan dengan yang demikian membolehkan industri mereka bentuk instrumen kewangan Islam yang menawarkan faedah dan nilai yang ketara kepada pengguna. Di samping itu, dengan penzahiran dan ketelusan yang semakin meningkat terhadap cara urus niaga kewangan Islam dijalankan dan bagaimana kontrak kewangan Islam disempurnakan serta profil risiko dan pulangan produk kewangan, ini akan memperkukuh lagi peranan persaingan.
Sebagai kesimpulan, pelaburan untuk masa hadapan perlu dibuat oleh kesemua entiti yang berkaitan dalam sektor kewangan Islam - industri, pengawal selia, peserta pasaran, ahli akademik dan komuniti antarabangsa. Sebagai satu usaha yang terselaras dan bersepadu, ini akan saling memperterguh peningkatan prestasi kewangan Islam. Meskipun persekitaran persaingan yang semakin kompetitif meningkatkan tekanan untuk mengeluarkan hasil dalam jangka masa terdekat, hanya pelaburan dalam modal insan serta R&D yang akan menjamin kemapanan industri dalam jangka panjang. Pelaburan-pelaburan inilah yang akan menjadi elemen penentu dalam pembangunan kewangan Islam masa hadapan dan dalam kejayaan jangka panjangnya.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.