Ucap Utama Gabenor pada Sesi Dialog Awam-Swasta di Persidangan Pengarah Penyeliaan SEACEN ke-7 bagi Ekonomi Asia Pasifik yang bertajuk "Cabaran Merentas Sempadan dalam Pelaksanaan Basel II dalam Ekonomi yang Sedang Berkembang"

Renaissance Kuala Lumpur Hotel | 4 Ogos 2005

Terima kasih atas undangan untuk berucap pada Persidangan Pengarah Penyeliaan SEACEN ke-7 bagi Ekonomi Asia Pasifik yang dianjurkan oleh Pusat SEACEN dengan kerjasama Majlis Penasihat Perniagaan APEC, Persatuan Ahli-ahli Bank Asia dan Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik. Persidangan ini khususnya penting kerana ia mempertemukan para pengawal selia dan pengamal daripada industri perbankan untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman tentang isu operasi dan dasar dalam perbankan merentas sempadan, khususnya, dari segi pelaksanaan Basel II. Saya percaya penyertaan para pengawal selia dan peserta industri dari Amerika Latin akan menyuburkan lagi perbincangan. Sememangnya isu ini merupakan kepentingan kita bersama untuk menyelesaikannya secara cepat dan cekap, memandangkan tarikh pelaksanaan untuk negara-negara G10 pada tahun 2007 adalah semakin hampir.

Dalam kebanyakan pasaran yang sedang berkembang, sektor perbankan merupakan komponen utama sistem kewangan yang memacu ekonomi. Di Malaysia, meskipun pasaran modal domestik menjadi semakin penting, sektor perbankan terus menjadi sumber pembiayaan yang utama dalam sistem kewangan kami kerana sektor ini berkembang dengan menawarkan penyelesaian kewangan yang lebih inovatif untuk memenuhi kehendak pelanggan dan pelabur yang lebih canggih. Keadaan semula jadi operasi mereka yang semakin kompleks telah memberikan impak terhadap profil risiko mereka sejak beberapa tahun. Persekitaran kewangan dalam negeri juga menjadi semakin kompetitif, berikutan proses liberalisasi dan nyahkawalseliaan yang bertambah pesat. Institusi perbankan domestik kini turut meneroka merentas sempadan negara. Oleh itu, tumpuan penyeliaan semakin dijuruskan ke arah memastikan rangka kerja pengurusan risiko yang lebih kukuh diwujudkan bagi menyokong pengembangan perniagaan dan strategi pertumbuhan sedemikian.

Berlatarbelakangkan keadaan ini, seruan untuk penambahbaikan pengurusan risiko melalui penerimaan pakai Basel II dan perbincangan mengenai keberkesanan pengaturan penyeliaan terhadap aktiviti perbankan dan kewangan merentas sempadan adalah paling relevan. Kes BCCI pada awal tahun 90-an dan Baring pada pertengahan tahun 90-an juga telah memaparkan jurang dalam aktiviti pengawasan penyeliaan dan menekankan keperluan untuk kerjasama yang lebih luas antara penyelia di negara asal dengan penyelia tuan rumah. Di samping itu, pengaturan untuk aktiviti merentas sempadan yang melibatkan sama ada rangkaian cawangan antarabangsa atau operasi subsidiari merupakan tajuk yang sering kali menjadi pokok perbincangan dalam kelompok penyelia, terutama berkaitan implikasinya terhadap kerjasama penyeliaan. Meskipun kemungkinan terdapat perbezaan dalam pengaturan operasi dan jenis aktiviti yang dijalankan oleh peserta global dalam pasaran yang sedang berkembang di Asia dan Amerika Latin, pentingnya kehadiran mereka dalam sistem kewangan dalam kedua-dua rantau itu membuatkan sesi dialog ini paling relevan dan tepat pada masanya. Di Malaysia, bank asing mencakupi hampir 30% daripada jumlah aset industri perbankan. Dalam konteks perbankan merentas sempadan, langkah memperbadankan cawangan institusi perbankan milik asing dalam negeri pada tahun 1994 telah menyumbang ke arah memperkukuh pengawasan penyeliaan Bank Negara Malaysia terhadap aktiviti institusi perbankan milik asing di Malaysia. Modal dan sumber yang dikhaskan untuk menyokong operasi subsidiari domestik mencerminkan komitmen institusi perbankan milik asing di dalam negara ini. Selain itu, ia juga telah memudahkan penilaian terhadap kekukuhan kewangan operasi tempatan bank asing. Sementara merit pengaturan operasi yang berbeza merupakan perkara yang sering dibahaskan, terutama dari segi fleksibiliti perniagaan, struktur subsidiari institusi perbankan milik asing di Malaysia memudahkan penerapan peraturan yang konsisten terhadap keseluruhan sistem perbankan oleh Bank Negara Malaysia.

Kepentingan institusi asing yang semakin meningkat, bersama-sama dengan struktur operasi yang berbeza merupakan faktor utama yang mempengaruhi bentuk rangka kerja penyeliaan merentas sempadan yang awal. Ini diperincikan dalam Perjanjian Basel (Basel Concordat), yang menggariskan prinsip bagi penyeliaan bank asing oleh pihak berkuasa negara asal dan tuan rumah, yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Penyelia-Penyelia Perbankan Basel (Basel Committee of Banking Supervisors) pada tahun 1983. Perjanjian itu mengiktiraf peranan penyelia tuan rumah yang lebih besar untuk menyelia bank asing yang beroperasi melalui subsidiari yang diperbadankan dalam negeri. Malahan, sesetengah penyelia negara asal menganggap penyelia tuan rumah seperti "penyelia negara asal perantaraan" bank.

Rangka kerja ini juga menyarankan pergantungan pada tahap yang tinggi oleh penyelia tuan rumah terhadap kerja yang dilaksanakan oleh penyelia di negara asal dalam pengawasan dan pemantauan mereka terhadap kekukuhan cawangan bank asing yang berasa dalam bidang kuasa mereka. Prinsip petang ini telah menjadi asas kepada rangka kerja penyeliaan merentas sempadan sekarang dan juga merupakan asas kepada perumusan Prinsip Peringkat Tertinggi bagi Pelaksanaan Persetujuan Baru Merentas Sempadan (High Level Principles for the Cross-Border Implementation of the New Accord) yang dikeluarkan pada tahun 2003. Prinsip itu bertujuan untuk terus memperkukuh tanggungjawab penyelia di negara asal dalam menjalankan penyeliaan bersepadu terhadap konglomerat kewangan dan pengharapan yang lebih terhadap penyelia tuan rumah dalam penyeliaan setiap operasi subsidiari bank asing di negara mereka.

Persetujuan modal baru merupakan satu lagi perkembangan penting yang akan mencabar kekukuhan rangka kerja dan prinsip perbankan merentas sempadan. Ujian sebenar adalah untuk menterjemah prinsip kepada dasar yang terperinci dan pelan tindakan yang kukuh serta boleh dilaksanakan. Cabaran utama dalam melaksanakan persetujuan baru itu secara seragam ke seluruh dunia sesungguhnya ialah kompleksiti rangka kerja itu sendiri. Sementara tujuan asas rangka kerja itu untuk menggalakkan pengurusan risiko yang kukuh dan amalan-amalan terbaik tidak dipersoalkan, namun negara-negara, terutama negara yang sedang berkembang, berada pada tahan ketersediaan yang berbeza-beza untuk menghadapi perubahan besar dan implikasi yang mungkin berlaku daripada Basel II. Memandangkan peringkat pembangunan dan tahap kecanggihan pasaran berbeza-beza dan Basel II dirangka berdasarkan terutamanya kepada parameter dan pengalaman negara maju, maka pelaksanaan Basel II mungkin tidak bersesuaian jika sebarang pengubahsuaian tidak dibuat untuk lebih mencerminkan situasi dalam pasaran yang sedang berkembang. Paras mudah tunai yang rendah dalam beberapa pasaran dan tahap volatiliti pasaran yang lebih tinggi dalam kebanyakan pasaran yang sedang berkembang mungkin tidak diambil kira secukupnya dalam andaian asas rangka kerja Basel II. Oleh itu, adalah penting untuk menekankan bahawa kekangan sedemikian dan keperluan untuk membuat beberapa pengubahsuaian difahami dengan mendalam dan diakui oleh bank asing yang beroperasi dalam pasaran yang sedang berkembang. Hakikatnya, perbincangan berhubung dengan pelaksanaan Basel II merentas sempadan akan dapat mengelakkan daripada penggunaan penyelesaian "satu acuan untuk semua" serta mengurangkan kemungkinan berlaku implikasi buruk berikutan perbezaan dalam pendekatan yang diambil. Ia juga dapat menghindarkan sebarang pertindihan yang tidak perlu dalam usaha dan pelaburan.

Di kebanyakan ekonomi yang sedang berkembang, Basel II dilihat sebagai satu pemangkin penting dalam mempercepat pengenalan amalan pengurusan risiko terbaik dalam sektor perbankan untuk jangka masa sederhana dan lebih panjang. Sementara amalan terbaik yang telah diterima pakai oleh bank global telah pun melepasi pengharapan Basel II, namun perkara ini tidak berlaku dalam hal kebanyakan institusi domestik. Dalam banyak pasaran yang sedang berkembang yang mempunyai sistem perbankan yang masih amat berpecah, menggalakkan supaya amalan itu diterima pakai oleh seluruh industri sesungguhnya akan merupakan satu cabaran. Oleh itu, usaha sedemikian perlu dilaksanakan dalam agenda program pembangunan sektor kewangan keseluruhan di setiap negara individu. Dalam konteks inilah Malaysia telah memilih untuk menerima pakai rangka masa yang fleksibel, berdasarkan empat prinsip pelaksanaan yang utama:

  • Pertama, bagi langkah-langkah pembinaan kapasiti dilaksanakan;
  • Kedua, dalam usaha pembinaan kapasiti itu, penekanan kepada rangka kerja penambahbaikan pengurusan risiko bagi kesemua institusi perbankan;
  • Ketiga, untuk memberi penekanan terhadap justifikasi perniagaan dan bukan mandat pengawalseliaan dalam menerima pakai pendekatan yang lebih maju; dan
  • Akhirnya, untuk meningkatkan lagi metodologi penyeliaan bagi menilai model dalaman dan sistem pengurusan risiko yang lebih maju.

Proses analitis yang rapi di bawah Basel II akan pasti mencabar bagi institusi perbankan. Tidak kurang cabarannya dari perspektif penyeliaan untuk mewujudkan respons yang sesuai dan rangka kerja penilaian terhadap proses ini. Daripada hanya lebih menumpukan kepada mengesahkan prosedur kuantitatif dan perangkaan yang terperinci, tumpuan penyeliaan perlu memastikan proses analitis dijalankan untuk menyokong pembuatan keputusan, dan bukan semata-mata untuk memenuhi pengharapan pengawalseliaan. Penyelia juga perlu dilatih lebih awal untuk mengenal pasti isu yang relevan apabila membuat penilaian penyeliaan. Ini menegaskan pentingnya untuk mempercepat usaha pembinaan kapasiti penyeliaan, terutamanya pembangunan kemahiran penyeliaan yang khusus untuk melaksanakan pengesahan model. Sementara ekonomi yang sedang berkembang mungkin mempunyai tarikh akhir dan keutamaan yang berbeza, program latihan yang perlu dijalankan serentak untuk memastikan penyelia boleh memahami dan mentafsir sepenuhnya bahan kualitatif, dan pada masa yang sama mereka boleh memahami isu penyeliaan serta perkara-perkara mengenai penyeliaan yang membimbangkan dalam konteks yang lebih luas.

Faedah daripada Basel II tidak dapat direalisasikan sepenuhnya sekiranya negara-negara yang sedang berkembang tidak mempunyai asas yang perlu bagi pelaksanaan yang efektif. Dalam realiti, sesetengah negara membangun dan yang sedang berkembang masih perlu membangunkan infrastruktur undang-undang, perakaunan, pengawalseliaan dan pasaran yang lebih komprehensif dan efisien. Oleh itu, cabaran bagi ekonomi yang sedang berkembang adalah untuk meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap pembentukan dan pengukuhan infrastruktur asas. Tanpa kewujudan asas yang betul, ia boleh menjadi halangan kepada pelaksanaan Basel II, selain menyekat pelaksanaan peraturan merentas sempadan yang betul dan pengendalian penyeliaan bersepadu yang efektif.

Di negara-negara yang sedang berkembang di mana infrastruktur yang perlu telah wujud, penyelia-penyelia perlu melihat jauh melangkaui keadaan landskap kewangan semasa, dalam konteks globalisasi perkhidmatan kewangan, dan integrasi dengan landskap antarabangsa. Berlatarbelakangkan keadaan ini, rangka kerja pengawalseliaan yang sesuai bagi industri perbankan, khususnya pengaturan penyeliaan merentas sempadan pada masa depan, perlu diperjelas. Dalam hal ini, adalah juga penting diakui bahawa cabaran perbankan merentas sempadan dalam konteks bank antarabangsa yang menjadi semakin signifikan, mempunyai implikasi yang jauh lebih luas.

Keberkesanan pengaturan merentas sempadan akan menjadi lebih mudah dicapai apabila terdapat peraturan dan standard yang lebih konsisten di kalangan penyelia negara asal dan tuan rumah. Oleh itu, persetujuan modal baru bertujuan untuk mempercepat proses pertumpuan berkaitan penerimaan pakai standard antarabangsa bagi kecukupan modal dalam persekitaran global. Walau bagaimanapun, realitinya, pertumpuan sepenuhnya tidak boleh dijangka kerana tahap kecanggihan yang berbeza antara negara maju dengan negara yang sedang berkembang. Pada bila-bila masa, perbezaan dalam peraturan dan standard boleh dijangka wujud. Tugas utama kita adalah untuk mengenal pasti bidang yang pertumpuan itu boleh dipercepat. Terdapat juga kemungkinan wujudnya ruang untuk saling mengiktiraf penilaian penyeliaan yang lebih baik di kalangan para penyelia yang boleh menghindarkan pertindihan usaha dan sumber, yang boleh menyumbang ke arah pengurangan kos pematuhan kepada institusi perbankan.

Sementara kita mempertimbangkan isu-isu yang kompleks berkaitan pelaksanaan Basel II merentas sempadan, penyelia dan institusi perbankan yang beroperasi dalam pasaran yang sedang berkembang juga perlu mengambil kira implikasi Basel II yang lebih luas terhadap ekonomi serta akses kepada pembiayaan bagi subsektor ekonomi tertentu seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Malahan, rangka kerja yang amat sensitif kepada risiko itu mungkin berpotensi memberikan kesan yang buruk atas perilaku bank dalam pemberian pinjaman. Perbincangan perlu diteruskan antara penyelia dengan institusi perbankan mengenai isu penyeliaan yang lebih luas dan keberkesanan rangka kerja pengawalseliaan yang boleh mengurangkan potensi implikasi buruk itu. Basel II hanya satu komponen pengawalan berhemat, dan dengan itu tidak harus dilihat secara berasingan. Dalam konteks ini, kesesuaian peraturan lain seperti rangka kerja peruntukan dan amalan ujian tekanan juga perlu dibincangkan untuk penambahbaikan pada masa depan.

Sementara kita melibatkan diri dalam selok-belok yang rumit dalam pelaksanaan Basel II, kita tidak harus terlepas pandang tentang matlamat akhir untuk mengekalkan kestabilan kewangan. Dialog ini paling penting dalam menyediakan satu forum bagi bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman. Sesungguhnya, hasil perbincangan ini harus dibawa ke peringkat perbincangan dasar yang lebih tinggi untuk mempercepat lagi kemajuan dalam memperincikan isu mengenai pelaksanaan Basel II merentas sempadan.

Akhir sekali, saya berharap anda semua dapat berbincang dengan penuh semangat dan produktif.


Bank Negara Malaysia
04 Ogos 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?