Ucap Utama Gabenor pada Sesi Dialog dengan Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful 2005

Palace of the Golden Horses, Kuala Lumpur, Malaysia | 9 Ogos 2005

Dialog tahunan antara Bank Negara Malaysia dengan penanggung insurans dan pengendali takaful diadakan untuk membincangkan isu yang sedang dihadapi oleh industri insurans dan takaful, inisiatif dasar utama oleh Bank Negara Malaysia serta perkembangan ekonomi dan kewangan semasa yang mempengaruhi industri. Dialog pada tahun ini diadakan pada 9 dan 10 Ogos dan dihadiri oleh Pengerusi, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif penanggung insurans, pengendali takaful dan syarikat induk bank.

Dengan tema "Ke Arah Pasaran yang Lebih Kompetitif", dialog pada tahun ini akan menyediakan forum bagi penanggung insurans dan pengendali takaful untuk membincangkan isu strategik berkaitan cabaran landskap kewangan yang lebih kompetitif dan pesat berubah.


Landskap ekonomi dan kewangan Malaysia terus mengalami transformasi yang dramatik. Dengan meningkatnya momentum proses peralihan ini, isu utama yang dihadapi oleh industri insurans dan takaful kini ialah: merangka strategi pertumbuhan yang berkesan dalam dunia yang semakin tidak bersempadan; mengekalkan keyakinan dalam menghadapi desakan yang meningkat untuk ketelusan yang lebih terbuka; bertindak balas terhadap cabaran perubahan dalam pengawalseliaan dan perakaunan; dan menguruskan risiko dalam persekitaran yang semakin kompleks dan mudah ubah. Cabaran ini telah menghasilkan pelbagai bentuk reformasi, yang melibatkan perubahan dalam model perniagaan, orientasi risiko, amalan kendalian dan urus niaga dengan pelanggan. Proses modenisasi industri insurans dan takaful inilah yang akan membawa kemajuan yang lebih tinggi, memberikan implikasi yang lebih jauh dan meluas terhadap sistem kewangan secara keseluruhan dan ekonomi.

Saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan anda ke sesi dialog antara Bank Negara Malaysia dengan industri insurans dan takaful pada tahun ini untuk membincangkan isu-isu ini dengan lebih mendalam dalam konteks pasaran domestik kita, dan mempertimbangkan tindakan wajar yang perlu diambil dalam suasana yang semakin mencabar. Tema dialog pada tahun ini: "Ke Arah Pasaran yang Lebih Kompetitif", akan memberi fokus terhadap cabaran penyahkawalseliaan penentuan harga, ketelusan produk, keefisienan kos kendalian dan penzahiran komisen. Isu berkaitan amalan kendalian dan saling hubungan dengan pelanggan juga perlu dilihat dari sudut yang lebih luas, iaitu keyakinan orang ramai, ketelusan dan pengurusan risiko.

Dialog pada tahun ini juga bersandarkan format baru yang memberi fokus pada isu yang mempunyai implikasi strategik jangka panjang yang perlu ditangani dalam persekitaran semasa. Dialog ini dirangka untuk menggalakkan perbincangan antara peserta industri dengan Bank Negara Malaysia dari perspektif yang berbeza. Dialog ini juga akan berperanan sebagai platform untuk menilai semula perkembangan ekonomi dan kewangan baru-baru ini dan inisiatif dasar utama oleh Bank Negara Malaysia. Izinkan saya mengambil peluang ini untuk berkongsi sedikit pandangan dengan anda dalam bidang-bidang ini.

Prospek ekonomi Malaysia kekal menggalakkan meskipun terdapat tanda-tanda penyederhanaan pertumbuhan dalam ekonomi global ekoran harga minyak yang lebih tinggi. Malaysia mempunyai rekod pencapaian pertumbuhan yang mantap dan teguh selama beberapa tahun sehingga kini. Struktur ekonomi yang pelbagai dan asas makroekonomi yang kukuh memainkan peranan penting menyokong trend ini. Apa yang penting ialah pertumbuhan ini didorong oleh sektor swasta. Meskipun tekanan harga dibendung oleh peningkatan dalam produktiviti pekerja dan pengembangan kapasiti, inflasi dalam negeri telah mula meningkat, sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor-faktor berkaitan kos. Bagi mengimbangi trend ini, dasar monetari terus menyokong pertumbuhan. Pertumbuhan di Asia juga kekal kukuh dengan terdapatnya kesan saling memperkukuh bagi ekonomi serantau termasuk Malaysia, ekoran integrasi serantau yang semakin padu.

Walau bagaimanapun, persekitaran global diselubungi oleh ketidakpastian dalam keadaan ketidakseimbangan global yang berterusan. Amerika Syarikat terus mengalami defisit besar dalam akaun luar negerinya. Di peringkat komuniti global terdapat perbincangan tentang bagaimana ketidakseimbangan ini boleh diatasi. Namun, pendapat majoriti jelas menghendaki pelarasan dilakukan dengan teratur. Walau bagaimanapun, penjajaran semula kadar pertukaran telah diberi fokus yang berlebihan bagi memudahkan pelarasan ini. Namun, ini mungkin membawa kepada risiko penyahstabilan pelarasan. Akhirnya, ketidakseimbangan struktur perlu diatasi melalui beberapa gabungan pelarasan dalam permintaan, harga dan kadar pertukaran. Khususnya, pengimbangan semula pertumbuhan global dijangka menjadi faktor utama yang menyumbang kepada pelarasan yang teratur terhadap ketidakseimbangan ini. Sememangnya, perkara ini memerlukan lebih daripada hanya pelarasan dalam kadar pertukaran. Jenis dan sejauh mana pelarasan itu adalah penting untuk mencapai penyelesaian jangka panjang.

Dengan tenaga kerja yang terdiri daripada golongan muda, produktiviti yang semakin meningkat serta ekonomi yang kompetitif dan dinamik, terdapat potensi besar untuk ekonomi-ekonomi Asia menyumbang ke arah pengimbangan semula pertumbuhan global. Dengan tahap pendapatan yang semakin meningkat dalam ekonomi serantau, terutama di kalangan golongan berpendapatan sederhana yang sedang meningkat di Republik Rakyat China, India dan ekonomi ASEAN, wujud potensi peningkatan permintaan dalam rantau ini. Pengimbangan semula pertumbuhan global ini di pelosok dunia akhirnya akan menyumbang ke arah pengurangan ketidakseimbangan yang wujud. Ketangkasan Malaysia untuk menyerap dan bertindak balas terhadap cabaran luar dan dalam negeri membolehkan kita memindahkan sumber dengan cekap ke sektor pertumbuhan baru, ke sektor baru yang mempunyai faedah berbanding dan dengan itu, mengekalkan prospek jangka panjang negara. Melangkah ke hadapan, dasar ekonomi Malaysia akan terus memberikan fokus terhadap langkah memastikan fleksibiliti dan daya tahan ekonomi dikekalkan.

Dengan pengukuhan ekonomi, sistem kewangan dan asas ekonomi ktia, peluang telah diambil untuk penyahkawalseliaan dan liberalisasi persekitaran seterusnya. Inisiatif paling terkini yang menuju ke arah ini ialah pertukaran rejim kadar pertukaran kepada apungan terurus. Di bawah rejim ini, kestabilan kadar pertukaran akan terus menjadi matlamat utama dasar kadar pertukaran. Malaysia ialah sebuah ekonomi perdagangan yang amat bersepadu dengan ekonomi dunia dan dalam konteks ini, persekitaran kadar pertukaran yang stabil masih lagi penting. Dengan perubahan persekitaran ekonomi dan kewangan antarabangsa, langkah ke arah apungan terurus adalah penting bagi membolehkan Malaysia mengekalkan kadar pertukaran yang stabil berbanding dengan rakan dagangan utamanya. Di bawah peraturan ini, Bank Negara Malaysia kini akan memantau kadar pertukaran berbanding dengan sekumpulan mata wang bagi memastikan ia kekal hampir pada nilai berpatutan. Peralihan kepada sistem baru ini adalah teratur, dengan urus niaga terutamanya mencerminkan aktiviti perdagangan dan pelaburan langsung asing serta pelaburan portfolio.

Sebagai penyedia modal jangka panjang dan penyelesaian pindahan risiko yang efisien untuk aktiviti ekonomi yang produktif, sektor insurans dan takaful memainkan peranan penting untuk menyokong proses transformasi ekonomi. Dari tahun ke tahun, peranan tersebut menjadi semakin penting dengan pertumbuhan industri yang memberangsangkan. Pada tahun 2005, industri insurans dan takaful terus memperlihatkan daya tahan dan prestasi yang mantap meskipun menghadapi suasana pelaburan yang pengunderaitan yang mencabar. Premium dan caruman terus meningkat pada kadar pertumbuhan dua angka pada separuh pertama tahun 2005, dengan sektor insurans am pulih dengan kukuh setelah dua tahun berturut-turut mengalami pertumbuhan yang perlahan. Faktor-faktor asas untuk pertumbuhan mapan juga bertambah kukuh dengan kedudukan kesolvenan yang lebih teguh dilaporkan oleh sebahagian besar peserta industri, keuntungan yang berterusan dan disiplin pengunderaitan yang bertambah baik.

Pertumbuhan itu juga telah diiringi oleh kemajuan struktur kompetitif, peningkatan dalam inovasi dan tahap pembezaan yang lebih ketara dalam pasaran, dengan menawarkan kepada pengguna lebih banyak produk dan perkhidmatan. Khususnya, kemunculan bankansurans dan banktakaful telah menyaksikan lebih banyak peserta industri mempakejkan insurans hayat dan takaful keluarga dengan pilihan pelaburan inovatif yang merangkumi ciri produk perbankan. Hari ini, bankasurans dan banktakaful merupakan ciri yang penting dalam landskap kewangan Malaysia dan terus berkembang dengan pesat dari segi jangkauan pasaran dan kecanggihan kendalian.

Kelulusan Rang Undang-Undang Insurans (Pindaan) mengenai Penasihat Kewangan baru-baru ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha yang berterusan bagi mencapai struktur pasaran yang lebih pelbagai. Dengan wujudnya rangka kerja perundangan ini, sukacita saya mengumumkan bahawa dalam jangka masa terdekat, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan lesen penasihat kewangan. Pengenalan penasihat kewangan dalam industri insurans Malaysia akan terus mempelbagaikan sistem pengagihan bagi insurans hayat. Badan korporat dengan modal berbayar minimum sebanyak RM100,000 akan layak untuk memohon lesen penasihat kewangan. Pindaan yang serupa kepada Akta Takaful 1984 akan dibuat pada masa terdekat dalam konteks perubahan yang lebih substantif dan meluas kepada perundangan semasa.

Asas kestabilan kewangan kita juga akan terus diperkukuh dengan evolusi berterusan terhadap struktur kewangan yang lebih pelbagai dan seimbang. Hari ini, Malaysia berada di barisan hadapan dalam penyediaan perkhidmatan kewangan Islam yang komprehensif yang meliputi perbankan, takaful serta pasaran modal dan wang. Dalam bidang takaful, Bank Negara Malaysia terus mengambil inisiatif untuk membangunkan peserta pasaran yang signifikan yang mampu bersaing secara efektif.

Walaupun pertumbuhan organik pengendali takaful yang sedia ada mungkin memenuhi permintaan semasa terhadap produk dan perkhidmatan takaful, dijangkakan bahawa peserta yang mempunya keupayaan yang kukuh dalam pengurusan kendalian dan risiko serta pembangunan produk akan mempercepat pengembangan industri takaful seterusnya. Pada bulan Mei tahun ini, Bank mengumumkan pengeluaran sehingga empat lesen baru kepada pengendali takaful. Lesen takaful tambahan ditawarkan kepada institusi yang mempunyai pengalaman dalam perniagaan perbankan Islam, takaful atau insurans. Institusi yang ditawarkan lesen itu mungkin juga termasuk usaha sama atau konsortium institusi kewangan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya satu kumpulan perbankan. Usaha sama atau konsortium sedemikian akan membolehkan pengendali takaful baru menggunakan kepakaran, pengalaman dan infrastruktur dalam institusi kewangan rakan kongsi mereka. Sejajar dengan liberalisasi dalam industri perbankan Islam, kepentingan ekuiti asing sehingga 49% akan dibenarkan dalam entiti takaful untuk menarik pemegang saham yang kukuh dan memupuk pakatan strategik yang bermakna.

Bagi penanggung insurans, potensi untuk menyertai bersama rakan kongsi tempatan dan asing yang kukuh dalam pengendali takaful baru akan membuka peluang yang besar untuk mengembangkan tawaran produk mereka supaya meliputi pelbagai produk insurans dan takaful yang komprehensif. Oleh itu, pengendali takaful yang sedia ada perlu mengkaji semula strategi perniagaan dan pengurusan mereka sebagai respons kepada peningkatan elemen yang kompetitif yang sedia untuk membentuk industri takaful.

Malaysia juga telah bertindak secara strategik untuk mewujudkan hubungan dan integrasi ekonomi yang lebih erat dengan negara jiran untuk membolehkan perusahaan perniagaan Malaysia mengambil peluang komersial yang besar yang terdapat di Asia. Kerajaan telah memulakan perundingan mengenai beberapa perjanjian perdagangan bebas yang akan membuka ruang ke arah akses pasaran yang lebih luas dalam ekonomi yang mengalami pertumbuhan di rantau ini. Perundingan ini sedang dalam pelbagai peringkat. Kami tetap yakin untuk mencapai hasil positif yang seimbang dan akan memberikan faedah bersama. Peluang-peluang tertentu bagi pengembangan di luar negeri oleh institusi kewangan Islam khususnya, juga terus dipertingkat melalui pelbagai pengaturan dua hala dan pelbagai hala. Ini termasuk penandatanganan memorandum persefahaman antara Malaysia dengan Bank Pembangunan Islam pada tahun 2004 untuk mempertingkat kerjasama di kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam atau OIC dalam bidang perdagangan, pelaburan, kewangan Islam dan pembangunan ICT. Inisiatif ini akan membuka jalan kepada pengendali takaful Malaysia untuk mempromosikan dan mengembangkan perniagaan takaful dan takaful semula di pasaran sasaran utama di luar negeri, khususnya dalam OIC.

Manfaat bersih yang akhirnya akan dinikmati oleh Malaysia akan bergantung kepada keupayaan institusi Malaysia untuk merangka strategi globalisasi sasaran yang akan membolehkan mereka mendapat manfaat daripada kelebihan penggerak pertama yang wujud. Ini perlu diperkukuhkan dengan penyelidikan terhadap pasaran pertumbuhan baru dan mencari peluang bagi pakatan strategik atau usaha sama dalam pasaran itu. Pada masa yang sama, strategi pertumbuhan juga harus memberikan tumpuan dalaman yang sama dalam memperteguh kekuatan dan daya tahan kewangan, pembangunan modal insan, reputasi perniagaan yang kukuh dan standard perkhidmatan dan profesionalisme yang tinggi, yang kesemuanya merupakan faktor kejayaan yang kritikal bagi strategi yang efektif di luar negeri.

Mengekalkan kestabilan kewangan terus menjadi mandat utama Bank Negara Malaysai. Sejajar dengan perubahan landskap kewangan yang sentiasa berlaku, pendekatan Bank Negara Malaysia terhadap pengawalan dan penyeliaan sektor insurans dan takaful telah berkembang untuk mencapai rejim yang lebih mantap yang tertumpu kepada tiga dimensi utama: pertama, mewujudkan budaya pengurusan risiko yang kukuh yang memperlengkap operasi penanggung insurans dan pengendali takaful; kedua, memudahkan pelarasan yang didorong oleh pasaran yang akan membolehkan industri berkembang sejajar dengan perkembangan pasaran, teknologi dan demografi, sementara mengekalkan pengawasan pengawalseliaan yang mencukupi untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan keyakinan orang ramai; dan ketiga, memastikan dasar yang saling konsisten bagi sektor perbankan dan insurans.

Dua perubahan utama yang menyokong pendekatan semasa Bank dalam pengawalan dan penyeliaan ialah perubahan ke arah peraturan "berasaskan prinsip" dan pelaksanaan rejim pengawalan dan penyeliaan yang berasaskan risiko. Peraturan semakin kurang memberikan tumpuan terhadap peraturan preskriptif, sebaliknya memberikan tumpuan yang lebih terhadap pewujudan parameter yang luas bagi amalan kewangan dan perniagaan yang baik yang menyediakan banyak fleksibiliti kepada penanggung insurans dan pengendali takaful untuk melaksanakan prinsip tersebut dengan cara yang paling sesuai dengan keadaan tertentu masing-masing. Di bawah pendekatan ini, perhatian yang lebih juga diberi kepada pewujudan insentif yang sesuai dalam sistem untuk mencapai hasil yang diharapkan.

Penerimapakaian peraturan berasaskan "prinsip" dilengkapi oleh tumpuan yang bertambah terhadap pengurusan risiko dalam rangka kerja modal dan penyeliaan. Dalam hal ini, saya kagum dengan respons positif industri terhadap rangka kerja penyeliaan berasaskan risiko baru yang dilaksanakan bagi industri insurans dan takaful sejak bulan Ogos 2004. Pendekatan baru itu memperluas fokus terhadap risiko yang khusus kepada sesebuah institusi dalam proses penilaian dan penarafan penyeliaan. Yang penting, rangka kerja itu digunakan untuk saling mempertingkatkan kefahaman institusi dan Bank Negara Malaysia terhadap risiko yang wujud yang dihadapi oleh institusi berkenaan. Dengan itu ia dapat mewujudkan jangkaan yang sama mengenai pengurusan dan kawalan risiko berkenaan, dengan mengambil kira jenis, skop, kompleksiti dan profil risiko institusi. Proses ini seterusnya memudahkan respons penyeliaan dan keinstitusian yang bersesuaian, yang sepadan dengan penilaian risiko sesebuah institusi dan impak sistematiknya.

Begitu juga, pelaksanaan rangka kerja modal berasaskan risiko bagi penanggung insurans akan lebih memperkukuh fokus pengawalseliaan terhadap risiko. Pelarasan terhadap rangka kerja ini akan mengambil kira maklum balas pihak industri terhadap kertas konsep yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Disember tahun lepas, serta hasil kajian impak yang dijalankan serentak bagi menilai pelarasan modal yang mungkin diperlukan oleh penanggung insurans. Khususnya, pelarasan terhadap rangka kerja sedang dilakukan untuk mencapai konsistensi yang lebih tinggi antara asas penilaian bagi asset dan liabiliti, dan untuk menghalusi caj risiko aset. Kertas konsultasi kedua, yang memasukkan perubahan-perubahan itu akan dikeluarkan untuk mendapatkan komen industri selanjutnya pada penghujung tahun ini.

Penanggung insurans dijangka mengalu-alukan tahap fleksibiliti pelaburan yang lebih besar yang akan dibenarkan di bawah rangka kerja modal berasaskan risiko. Ini merupakan peningkatan yang penting berbanding dengan rangka kerja "aset yang dibenarkan" sekarang. Ini juga merupakan rangka kerja yang dijangka mempertingkat dengan nyata profil fungsi pengurusan pelaburan dalam industri. Memandangkan skop bagi pembezaan antara institusi akan bertambah di bawah rejim berasaskan risiko, adalah lebih kritikal bagi penanggung insurans untuk menarik, membangunkan dan mengekalkan sumber modal insan yang sesuai. Dengan liberalisasi pasaran kewangan dan langkah pesat dalam pemusatan kewangan, fungsi pengurusan pelaburan di kalangan penanggung insurans perlu fleksibel, fokus terhadap risiko dan dilengkapi tenaga profesional yang boleh memberi respons kepada keperluan pasaran.

Satu komponen penting dalam rangka kerja modal berasaskan risiko dan penyeliaan yang baru ialah idea mengenai paras modal sasaran pengawalseliaan yang perlu dikekalkan oleh penanggung insurans di bawah rangka kerja berasaskan risiko. Ini merupakan perkara baru dalam persekitaran kita dan melahirkan kebimbangan di kalangan penanggung insurans yang mungkin berpandangan bahawa ini merupakan beban modal tambahan. Sungguhpun rejim modal berasaskan risiko akan menjadikan modal ekonomi dengan modal pengawalseliaan lebih sejajar, perlu diingat bahawa rejim modal berasaskan risiko diasaskan daripada keputusan kajian atas keseluruhan industri, yang dengan itu tidak boleh menangani sepenuhnya risiko yang khusus kepada sesuatu institusi. Dengan itu, sasaran modal pengawalseliaan berperanan untuk menyediakan satu tanda amaran awal mengenai kemungkinan wujudnya masalah, supaya langkah campur tangan yang sesuai boleh diambil untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi bertambah buruk. Sekiranya ini tiada, langkah pembetulan yang lebih drastik serta pada kos yang tinggi perlu diambil. Bagi penanggung insurans yang telah menerima pakai pendekatan dalaman pengurusan modal yang mantap, pengenalan paras modal sasaran pengawalseliaan itu sendiri tidak seharusnya mengubah dengan ketara strategi pengurusan modal yang sedia ada. Penanggung insurans yang masih belum mempunyai sistem sedemikian akan digalakkan untuk membangunkannya, dan dengan itu meningkatkan lagi daya tahan mereka sendiri untuk berhadapan dengan perubahan buruk dalam keadaan perniagaan.

Bank menyedari bahawa perkembangan antarabangsa dalam bidang ini masih lagi amat tidak menentu. Usaha-usaha berkaitan dengan International Financial Reporting Standard for Insurance Contracts, Inisiatif Kesolvenan II di Kesatuan Eropah dan pembangunan asas kepada penilaian kesolvenan oleh Pertubuhan Penyelia Insurans Antarabangsa, masih dijalankan. Oleh itu, Bank akan terus mengekalkan pendekatan perbincangan terbuka apabila meneruskan inisiatif ini untuk memastikan kemampuan kita untuk memberikan respons yang sesuai dan memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Melangkah ke hadapan, perhatian yang lebih khusus akan diberi kepada isu berkaitan pengendalian pasaran, yang berdasarkan pengalaman pasaran lain baru-baru ini, semakin merupakan faktor penting dalam meningkatkan keyakinan dalam industri insurans dan takaful. Pasaran kewangan tidak boleh beroperasi secara efisien dan efektif kecuali peserta pasaran bertindak dengan penuh integriti. Ini perlu diperkukuh dengan menyediakan maklumat yang mencukupi kepada pengguna dan pelabur untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat. Dalam era maklumat hari ini, persekitaran perniagaan telah berubah secara pesat dan bersama-samanya meningkatkan jangkaan pengguna dan pelabur. Oleh itu, industri perlu menyesuaikan diri dengannya.

Inisiatif dasar oleh Bank Negara Malaysia dalam bidang pengendalian pasaran akan terus tertumpu kepada penzahiran yang lengkap, benar dan tidak kompleks kepada pengguna, oleh itu memperlengkap pengguna supaya mereka dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat melalui inisiatif pendidikan pengguna, dan akhirnya menggalakkan layanan yang saksama kepada pemegang polisi. Dalam hal ini, saya ingin mengumumkan bahawa setelah lebih dua tahun berbincang panjang dengan pihak industri, semakan ke atas Garis Panduan mengenai Perniagaan Insurans Perubatan dan Kesihatan telahpun dimuktamadkan. Garis panduan itu akan dikeluarkan kepada industri pada bulan ini untuk dilaksanakan pada awal tahun hadapan. Ini merupakan perkembangan strategik yang penting dari perspektif dasar awam dan pengguna. Kini, perniagaan insurans perubatan mencakupi bahagian terbesar1 premium insurans am bukan tariff dalam pasaran, dengan jumlah premium melebihi RM1.3 billion pada tahun 2004. Garis panduan semakan itu telah mengekalkan tahap fleksibiliti produk yang besar dan meningkatkan keperluan pendedahan untuk menggalakkan persaingan yang lebih, manakala peraturan yang lebih jelas yang menetapkan syarat-syarat minimum polisi akan diwujudkan untuk memberikan paras perlindungan yang munasabah kepada pemegang polisi. Keperluan ini akan juga menggalakkan layanan yang lebih konsisten kepada pengguna dalam pemberian manfaat teras di bawah polisi insurans perubatan.

Manakala campur tangan pengawalseliaan masih lagi perlu, Bank akan terus mengimbangi kepentingan perniagaan peserta industri dengan kepentingan pengguna bagi memastikan kos pengawalseliaan berpadanan dengan manfaat yang dijangkakan bagi pengguna. Walau bagaimanapun, pada jangka masa panjang, pergantungan terhadap pengawalan dan pengawasan pengawalseliaan sahaja bukan merupakan penyelesaian yang mapan terhadap isu pengendalian pasaran dan isu keyakinan yang lebih besar yang dihadapi oleh industri. Keputusan yang diharapkan mestilah sesuatu yang bercirikan kebebasan untuk bertindak diiringi oleh tahap kekangan moral yang bersesuaian oleh pihak pasaran. Ini memerlukan insentif yang setara dalam sistem dan asas etika kukuh yang dibina dalam institusi yang akan memastikan penanggung insurans dan pengendali takaful bertindak dengan penuh tanggungjawab dalam persekitaran yang membenarkan lebih fleksibiliti dalam perniagaan.

Isu strategik yang kita hadapi sekarang adalah berkaitan dengan tanggungjawab industri untuk menyediakan tawaran yang saksama kepada pengguna, kaitannya dengan persekitaran yang berubah-ubah dan kesediaannya dari segi kapasiti dan infrastruktur untuk menyokong dan mengekalkan strategi pertumbuhan yang berjaya.

Dengan ini diharapkan agar perbincangan pada dialog ini akan menyumbang ke arah pemikiran mengenai strategi korporat akan datang serta respons pengawalseliaan bagi memastikan pembangunan yang kukuh. Ini memberikan peluang untuk kita sama-sama terlibat secara aktif dalam perbincangan mengenai isu-isu utama yang dihadapi oleh industri dalam mengorak langkah ke hadapan. Saya berharap agar dialog ini akan menjadi satu dialog yang berjaya dan produktif.

1 10.5% daripada jumlah premium langsung am kasar, ketiga (dari segi bahagian pasaran) hanya kepada perniagaan motor dan kebakaran.


Bank Negara Malaysia
09 Ogos 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?