Ucap Utama oleh Gabenor di Forum Penerbit dan Pelabur Kewangan Islam Malaysia 2006
Mandarin Oriental Kuala Lumpur | 14 Ogos 2006
Saya amat berbesar hati pada hari ini kerana dapat berada di sini untuk berucap di Forum Kewangan Islam Malaysia yang merupakan usaha bersama pihak berkuasa utama bagi pengawalseliaan dan pasaran sektor perkhidmatan kewangan di Malaysia, yang terdiri daripada Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (Labuan Offshore Financial Services Authority atau LOFSA) dan Bursa Malaysia. Forum ini bertujuan menyediakan platform bagi peserta industri dan pengawal selia berinteraksi dan berbincang tentang perkembangan terkini dalam kewangan Islam di Malaysia, prestasi pasaran kewangan Islam. Forum ini juga bertujuan memberikan kesedaran yang lebih meluas tentang produk dan perkhidmatan yang inovatif dan peluang-peluang bagi penerbit dan pelabur.
Kewangan Islam di Malaysia telah membangun dengan pesat dalam persekitaran pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh yang didorong oleh asas-asas yang teguh. Pertumbuhan itu dicapai dalam keadaan harga yang secara relatifnya stabil, pengangguran yang rendah dan imbangan luar negeri yang kukuh. Tabungan kekal berada pada paras yang tinggi dan rizab luar berada pada paras yang memuaskan, iaitu kira-kira USD80 bilion. KDNK per kapita dalam harga semasa meningkat dengan purata tahunan sebanyak 7.1% sejak tahun 1991 kepada kira-kira USD5,000 pada tahun 2005. Jika diambil kira kos sara hidup, pariti kuasa beli yang diselaraskan dengan KDNK meningkat sekali ganda kepada USD10,318 dalam tempoh tersebut. Momentum pertumbuhan ekonomi yang mampan itu dicapai melalui perkembangan struktur ekonomi yang pelbagai, memandangkan faktor kefleksibelan ekonomi negara telah meningkatkan keupayaan untuk beranjak ke bidang baru yang mempunyai kelebihan berbanding. Pembelbagaian dalam ekonomi ini jugalah yang telah meningkatkan daya tahan kekentalannya terhadap kejutan.
Malaysia juga telah memanfaatkan kelebihan globalisasi untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan kewangannya dengan blok dagangan utama di dunia. Malaysia menjangkakan nilai perdagangan pada tahun ini akan melebihi RM1 trilion buat pertama kalinya. Pelaburan langsung asing kekal mapan, khususnya dalam bidang pertumbuhan. Usaha niaga syarikat dan institusi kewangan Malaysia di luar negara juga meningkat. Keadaan ini telah memperkukuh kesalinghubungan Malaysia dalam ekonomi global dan integrasi dalam sistem kewangan antarabangsa.
Malaysia telah mengambil peluang daripada suasana pertumbuhan yang menggalakkan dan asas-asas yang kukuh untuk terus melaksanakan penyahkawalseliaan dan liberalisasi sektor kewangan Malaysia, dengan tujuan untuk meningkatkan sumbangannya kepada kecekapan dan pertumbuhan. Sektor itu juga terus melalui transformasi progresif dalam perasionalan institusi kewangan sedia ada dan penubuhan institusi baru. Perkembangan ini telah menyumbang ke arah pengukuhan dimensi antarabangsa dalam sistem kewangan, terutamanya dalam sektor kewangan Islam. Dalam pembangunan sistem kewangan Islam, Akta Bank Islam 1983 Malaysia memperuntukkan taraf perbankan universal kepada bank-bank Islam berlesen. Bank-bank Islam ini dibenarkan menjalankan perniagaan perbankan yang menyeluruh, termasuk aktiviti perbankan pelaburan yang lebih canggih seperti kewangan korporat, ekuiti swasta dan pengurusan kekayaan. Inovasi pembangunan produk dalam sektor inilah yang merintis jalan bagi peningkatan peluang dalam sistem kewangan Islam.
Sistem perbankan Islam Malaysia mencapai prestasi yang kukuh pada tahun 2005, dengan keuntungan yang lebih tinggi dan trend yang positif dalam kesemua penunjuk utama. Keuntungan sistem perbankan Islam melepasi paras RM1 bilion buat pertama kalinya pada tahun 2005, dan aset melepasi paras RM100 bilion. Modal sektor perbankan Islam terus kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko sektor ini kekal melebihi 12 peratus. Prestasi terkini pasaran kewangan Islam Malaysia menggalakkan dengan aset perbankan Islam berjumlah RM117.4 bilion, aset takaful RM6.2 bilion, dan bon korporat Islam RM125 bilion, yang mencakupi 46 peratus daripada jumlah pasaran bon korporat di Malaysia. Sejumlah 26 terbitan sukuk korporat baru dengan nilai agregat kira-kira RM23 bilion diumumkan pada separuh pertama tahun 2006. Jumlah ini bersamaan dengan 71 peratus daripada terbitan bon korporat pasaran domestik Malaysia yang diberi penarafan, bagi tempoh yang sama. Peningkatan dalam jumlah yang besar ini mencerminkan permintaan terhadap terbitan, yang menyediakan bekalan untuk pelabur.
Sekarang saya ingin menyentuh beberapa aspek penting pasaran kewangan Islam Malaysia bagi penerbit dan pelabur. Aspek ini berkait dengan mobiliti modal yang masuk dan keluar Malaysia, ketersediaan maklumat pasaran yang berkredibiliti dan bertepatan dengan masanya serta dan keupayaan pasaran kewangan Islam Malaysia untuk memberikan ruang bagi pempelbagaian produk dan pengurusan risiko yang lebih meluas.
Dalam aspek mobiliti modal, Malaysia mengekalkan rejim pentadbiran pertukaran asing yang sangat liberal. Fokus utama pentadbiran pertukaran asing adalah untuk memantau aliran dana bagi menggalakkan kestabilan kewangan dan ekonomi. Peraturan pentadbiran pertukaran asing diliberalisasikan dan dipermudah secara progresif sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos pengendalian perniagaan. Mobiliti dana keluar dan masuk yang berkaitan pelaburan langsung asing dan pelaburan modal portfolio adalah bebas. Pelabur asing yang melabur di Malaysia juga bebas untuk melindung nilai aliran dana mereka yang terikat seperti penghantaran balik perolehan pelaburan, dividen dan keuntungan dari Malaysia serta pembelian aset ringgit di Malaysia. Di samping itu, pelabur bebas mendapatkan ringgit dan mata wang asing untuk membiayai pelaburan mereka di Malaysia.
Langkah-langkah strategik juga diambil untuk membenarkan bukan pemastautin khususnya syarikat multinasional dan agensi pelbagai hala menerbitkan bon dalam denominasi ringgit di Malaysia. Dana ringgit yang diperoleh boleh digunakan sama ada di Malaysia atau di luar Malaysia. Penerbit dan pelabur asing bebas untuk melindung nilai pendedahan pertukaran asing mereka daripada terbitan dan kadar faedah. Di samping itu, tiada cukai pegangan atas keuntungan terealisasi daripada pelaburan dalam bon denominasi ringgit ini. International Finance Corporation dan International Bank for Reconstruction and Development telah menerbitkan bon Islam pertama mereka di Malaysia. Jumlah terbitan tersebut bernilai RM1.3 bilion, yang kesemuanya terlebih langganan. Sebahagian daripada bon ini dibeli oleh pelabur bukan pemastautin, menandakan terdapatnya minat asing terhadap instrumen dalam denominasi ringgit.
Dari segi ketersediaan maklumat yang boleh dipercayai dan tepat pada masa, rangka kerja pengawalseliaan Malaysia diperkukuh dengan menerima pakai amalan terbaik, telah mewujudkan persekitaran yang lebih telus dan maklumat yang banyak berkaitan pasaran kewangan. Pengawal selia kewangan menyediakan maklumat yang meluas berkaitan ekonomi Malaysia dan sistem kewangan Malaysia, termasuklah keperluan pengawalseliaan. Bank Negara Malaysia juga telah mewujudkan beberapa laman web yang menyediakan maklumat pasaran berkenaan terbitan-terbitan yang tersedia untuk peserta pasaran. Meskipun dari segi keupayaan untuk pempelbagaian dan pengurusan risiko sistem kewangan Islam masih lebih rendah berbanding dengan sistem konvensional, sistem itu dijangka berkembang seiring dengan pengukuhan sistem kewangan dan pengenalan produk baru.
Dalam konteks infrastruktur kewangan ini, sistem kewangan Islam Malaysia adalah teguh dan berkembang secara pesat. Pasarannya terdiri daripada peserta yang pelbagai, meliputi bank Islam, bank pelaburan, syarikat takaful, institusi kewangan pembangunan, institusi tabungan, syarikat pengurusan dana, broker saham dan unit amanah. Pasaran kewangan Islam Malaysia telah memperkenalkan pelbagai instrumen perlindungan nilai kewangan Islam, termasuk swap kadar keuntungan Islam, swap mata wang silang Islam dan perjanjian kadar hadapan Islam. Penggunaan urus niaga murabahah komoditi yang lebih meluas juga akan memperdalam pasaran wang Islam memandangkan ia mewujudkan pengagihan mudah tunai pasaran wang yang lebih efisien dan menambah kepelbagaian instrumen yang boleh diurusniagakan secara aktif oleh peserta pasaran.
Kami dengan sukacitanya mengumumkan Bank Negara Malaysia akan memperkenalkan urus niaga berasaskan murabahah tidak lama lagi sebagai tambahan kepada instrumen dasar yang pelbagai dalam pengurusan mudah tunai jangka pendek bagi pasaran wang antara bank secara Islam Malaysia. Urus niaga berasaskan murabahah Bank Negara Malaysia ini boleh menggunakan komoditi global atau Malaysia sebagai urus niaga asas, dan pada masa depan, aset lain yang berlandaskan Syariah menyamai nota sukuk Ijarah. Penggunaan meluas instrumen pembiayaan yang diamalkan secara global ini akan membawa kepada peningkatan penyertaan pasaran oleh para pelabur, termasuk pelabur dari Timur Tengah.
Inovasi produk hendaklah berterusan dan terancang. Sehubungan dengan itu, kami benar-benar komited untuk meningkatkan keupayaan dalam kewangan Islam dan memperkukuh kumpulan tenaga mahir dan kepakaran global di bidang kewangan Islam untuk meningkatkan potensi dalam melaksanakan usaha ini. Kami telah menubuhkan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (International Centre for Education in Islamic Finance atau INCEIF) pada bulan Mac tahun ini, yang menawarkan program pensijilan profesional dalam kewangan Islam sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mencapai objektif ini di samping program Sarjana dan Doktor Falsafah. Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan Anugerah Biasiswa Syariah dan Geran Penyelidikan Syariah kepada rakyat Malaysia dan warga asing yang ingin menjalankan kajian penyelidikan di bidang kewangan Islam.
Rantau Asia Timur, Asia Barat dan Asia Tengah: Kesalinghubungan Yang Lebih Meluas
Kewangan Islam telah mencapai kemajuan penting dalam pasaran kewangan antarabangsa dengan peningkatan kesedaran yang ketara pada peringkat global. Kini kewangan Islam wujud di lebih 60 negara dengan jumlah aset Islam di bawah pengurusan bank-bank Islam dan bank-bank konvensional yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam dilaporkan melebihi USD400 bilion. Pada masa ini, dana mutual berlandaskan Islam dianggarkan bernilai lebih daripada USD300 bilion, manakala terbitan bon berdaulat dan korporat secara Islam, atau sukuk, telah mencecah kira-kira USD50 bilion. Kewangan Islam telah mempamerkan daya maju dan daya saingnya dalam persekitaran semasa sistem kewangan yang lebih liberal dan global, dengan suasana perniagaan dan teknologi yang berubah. Kini kewangan Islam semakin bersepadu dengan sistem kewangan antarabangsa sebagai suatu bentuk pengantaraan kewangan.
Berikutan perkembangan pesat dalam pasaran kewangan Islam antarabangsa, terdapat potensi untuk membina hubungan pengantaraan yang lebih meluas antara rantau Asia Timur, Asia Barat dan Asia Tengah bagi meningkatkan lagi perdagangan antara rantau dan pelaburan sempadan. Dalam persekitaran kewangan yang semakin global, kerajaan asing, institusi pembangunan dan korporat dari negara-negara yang mengalami defisit modal mempunyai pilihan untuk menerbitkan instrumen kewangan Islam di negara-negara yang mempunyai lebihan modal melalui pengantara kewangan Islam. Manfaat ekonomi yang ketara akan terhasil daripada pengukuhan hubungan ini.
Peningkatan hubungan pengantaraan dan pasaran antara rantau ini akan mendorong peruntukan modal yang lebih cekap, lantas meningkatkan prospek prestasi pertumbuhan yang kukuh. Peningkatan hubungan ini juga terus menawarkan peluang yang lebih banyak untuk memperoleh pembiayaan dan turut membantu memperluaskan pempelbagaian risiko secara khususnya, prestasi pertumbuhan yang kukuh dalam rantau ini mewujudkan potensi permintaan yang ketara terhadap instrumen kewangan yang mematuhi injunksi Islam. Justeru itu, rantau yang dinamik ini dijangka dapat menyumbang ke arah mempercepat pengembangan kewangan Islam dalam sistem kewangan antarabangsa. Malahan, trend ini juga akan menyumbang ke arah penggalakan pertumbuhan global yang lebih seimbang.
Penyertaan dalam proses pengantaraan kewangan Islam memerlukan pembangunan sistem kewangan Islam yang komprehensif dan mantap, kepelbagaian produk dan perkhidmatan; sistem perundangan yang baik; infrastruktur kewangan yang mencukupi dengan struktur cukai yang kompetitif; kos pengendalian perniagaan yang rendah; standard etika perniagaan yang tinggi; dan keadaan hidup serta budaya yang kondusif. Penyertaan ini juga perlu disokong oleh tenaga mahir yang mencukupi, yang akan memacu perniagaan dan mendorong inovasi. Di samping itu, rejim pengawalseliaan yang kukuh dalam sistem kewangan Islam boleh menjadi faktor penarik tambahan. Yang terkini, rejim pengawalseliaan dalam kewangan Islam telah diperkukuh dengan pencapaian pesat pengeluaran standard kehematan dan penyeliaan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board atau IFSB). Penjanan dana, pelaburan dan pempelbagaian risiko pada dasarnya merupakan urus niaga yang kompleks. Urus niaga itu amat bergantung pada pasaran kewangan yang dikawal selia dengan baik dan mampu berkembang bagi menghadapi cabaran baru yang muncul dan keperluan pasaran yang berubah-ubah. Akhirnya, potensi untuk pasaran berfungsi dengan cekap boleh dipertingkatkan jika pasaran kewangan dibangunkan dalam persekitaran kewangan dan monetari yang stabil, serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Inisiatif MIFC
Bagi meningkatkan kesalinghubungan dalam pasaran kewangan Islam global, Malaysia meneruskan usaha melaksanakan langkah-langkah dan inisiatif yang akan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab kewangan Islam antarabangsa, selain usaha membangunkan lagi infrastruktur kewangan Islam. Oleh itu, Kerajaan Malaysia melancarkan suatu inisiatif yang dikenali sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre atau MIFC). Inisiatif MIFC ini diambil secara khususnya melalui usaha secara kolektif pengawal selia kewangan dan pasaran negara, termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, LOFSA dan Bursa Malaysia, bersama-sama dengan penyertaan industri yang mewakili sektor perbankan, sektor takaful dan pasaran modal di Malaysia. Produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang diurusniagakan dalam mata wang antarabangsa kini boleh dilakukan dari mana-mana tempat di Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif itu. Malaysia mempunyai infrastruktur fizikal, hubungan antarabangsa, rangkaian komunikasi, budaya dan tenaga mahir yang memberikan kelebihan kepada MIFC.
Dalam fasa pertama ini, langkah-langkah dan insentif akan diperkenalkan melalui inisiatif MIFC untuk mempromosikan pusat itu dalam penawaran produk dan perkhidmatan kewangan Islam oleh pelbagai jenis institusi kewangan dalam mata wang antarabangsa kepada komuniti kewangan antarabangsa dan domestik. Langkah-langkah dan insentif utama termasuk:
- Pertama, bank-bank Islam Malaysia dan pengendali takaful yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam dalam mata wang antarabangsa akan diberikan kelulusan di bawah lesen yang ada untuk menubuhkan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa dalam institusi itu. Bahagian-bahagian baru ini akan mempunyai akaun mereka masing-masing yang berasingan daripada urus niaga ringgit ibu pejabat, dan pada masa yang sama berkongsi infrastruktur dengan ibu pejabat. Bahagian ini akan mendapat manfaat daripada insentif cukai dan insentif lain yang akan diperkenalkan.
Insentif ini adalah terpakai bagi bank-bank Islam dan pengendali takaful yang dilesenkan masing-masing di bawah Akta Bank Islam dan Akta Takaful untuk beroperasi dalam sistem kewangan Islam. Di samping itu, langkah ini turut terpakai bagi institusi kewangan sedia ada yang layak menyertai perkhidmatan kewangan Islam. Insentif ini juga dijangka meningkatkan kemampuan peserta asing yang telah menjadikan Malaysia sebagai pusat untuk perniagaan perkhidmatan kewangan Islam di pasaran serantau. Entiti antarabangsa juga boleh menyertai MIFC menerusi kepentingan asing sehingga 49 peratus dalam bank Islam dan syarikat takaful. Dana pelaburan yang ditubuhkan di Malaysia akan dapat menikmati Perjanjian Cukai Dua Kali yang telah dimeterai antara Malaysia dengan lebih 60 negara rakan rundingan.
- Kedua, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan lesen bersyarat baru di bawah Akta Bank Islam kepada institusi kewangan asing dan Malaysia yang layak untuk menjalankan pelbagai perniagaan perbankan Islam dalam mata wang antarabangsa dan menikmati insentif cukai yang sama seperti yang diberikan kepada Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa. Entiti baru ini akan digelar bank Islam Antarabangsa berlesen.
Perniagaan yang boleh dijalankan oleh bank Islam Antarabangsa berlesen termasuk pelbagai perniagaan perbankan perdagangan Islam, perbankan pelaburan Islam dan pajakan Islam dalam mata wang antarabangsa.
-
Ketiga, Bank Negara Malaysia juga akan mengeluarkan pendaftaran bersyarat baru di bawah Akta Takaful kepada penanggung insurans asing dan Malaysia yang layak untuk menjalankan pelbagai perniagaan takaful dalam mata wang antarabangsa. Layanan cukai yang sama akan diberikan kepada entiti ini seperti yang diberikan kepada bank-bank Islam. Entiti baru ini akan digelar Pengendali Takaful Antarabangsa.
-
Keempat, bank Islam luar pesisir Labuan dan bahagian Islam bank-bank luar pesisir serta pengendali takaful luar pesisir akan diberikan fleksibiliti yang lebih luas dalam operasi perniagaan. Mereka dibenarkan membuka pejabat operasi di mana-mana tempat di Malaysia tanpa had jumlah kakitangan, untuk menjalankan perniagaan bukan ringgit di samping mengekalkan operasi mereka di Labuan. Langkah ini akan diberikan kepada enam buah bank Islam dan bank pelaburan Islam luar pesisir sedia ada yang beroperasi di pusat luar pesisir Labuan untuk menyertai MIFC.
-
Kelima, insentif akan diberikan untuk menarik tenaga mahir asing dan peserta pasaran terbaik ke MIFC bagi menggalakkan inovasi dan menawarkan instrumen kewangan Islam yang menarik. Usaha ini bertujuan untuk terus memperkukuh bilangan pekerja terlatih dengan pengalaman luas dalam kewangan Islam di Malaysia. Insentif seterusnya akan diperkenalkan untuk menerajui aspirasi membangunkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dalam kewangan Islam bagi melengkapi MIFC.
- Keenam, bagi meneruskan agenda nasional ini, Jawatankuasa Eksekutif MIFC yang terdiri daripada ketua-ketua Kementerian dan agensi yang berkaitan serta wakil industri ditubuhkan sebagai jawatankuasa penyelarasan tunggal untuk bertindak secara kolektif dengan cekap dan berkesan dalam melaksanakan cadangan-cadangan yang dibuat. Jawatankuasa itu diamanahkan menyediakan hala tuju dan mengkaji semula dasar sedia ada bagi mempromosikan MIFC secara lebih komprehensif dan terselaras, dan untuk menjajarkan peranan dan tanggungjawab bahagian-bahagian Kerajaan dan industri tertentu dengan pembangunan MIFC. Bank Negara Malaysia sebagai sekretariat akan bertindak bagi pihak jawatankuasa itu sebagai badan sehenti bagi menjalankan tugas ini.
Kami yakin langkah-langkah dan inisiatif ini akan menjadi pemangkin dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat originasi, terbitan dan dagangan instrumen pasaran modal dan perbendaharaan Islam, pengurusan dana dan kekayaan Islam, perkhidmatan kewangan Islam dalam mata wang antarabangsa, dan perniagaan takaful dan takaful semula. Matlamat langkah-langkah ini juga adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk untuk mendapatkan peluang pelaburan dalam rantau yang pesat berkembang ini.
Dalam persekitaran ini, peserta kewangan, terutamanya mereka yang mempunyai kepakaran perbankan pelaburan dan pengurusan dana, perlu memantapkan strategi dan meningkatkan usaha dalam penstrukturan instrumen pelaburan Islam yang canggih, dan dalam usaha menarik dana baru. Para pelabur, terutamanya dari Timur Tengah, menunjukkan minat yang mendalam untuk melabur dalam aset Malaysia dan menjadi rakan kongsi dalam perusahaan perniagaan tempatan. Oleh itu, terdapat peluang yang banyak bagi memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan rantau Timur Tengah. Berhubung dengan penerimaan interpretasi dan amalan Syariah, MIFC akan menerima pakai dasar pengiktirafan bersama dan menyesuaikan pelbagai rasional perundangan berdasarkan analisis kontemporari dan inferens logik selagi mendapat kelulusan penasihat Syariah yang diiktiraf. Penyeragaman dan perkongsian ilmu dalam Syariah dijangka dipertingkatkan lagi dengan dialog Syariah yang berterusan bagi komuniti Syariah serantau dan antarabangsa yang diadakan setiap tahun di Malaysia.
Perhimpunan selama dua hari yang dihadiri oleh para pengamal kewangan Islam ini untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan penerbit dan pelabur akan menyumbang kepada peningkatan pemahaman secara kolektif terhadap isu-isu ini serta memperluas sempadan pengetahuan sedia ada. Sebagai penutup, saya ingin menyatakan bahawa motivasi untuk meningkatkan misi kita bagi menyepadukan Malaysia dalam sistem kewangan antarabangsa adalah untuk menyumbang ke arah memudahkan aliran merentas sempadan yang lebih luas dari segi peningkatan urus niaga perdagangan dan pelaburan antara rantau. Dengan pengukuhan aliran perdagangan dan pelaburan antara rantau, hubungan ekonomi dan kewangan serantau yang lebih luas akan menyumbang ke arah peningkatan prospek pertumbuhan global yang lebih seimbang dan perkongsian kemakmuran secara lebih luas.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.