Ucap Utama oleh Gabenor di Majlis Pelancaran Perkongsian Strategik antara Credit Guarantee Corporation Berhad dengan Institusi-institusi Kewangan Islam
Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur | 6 Februari 2007
Saya amat berbesar hati kerana dapat berada di sini pada pagi ini untuk menyaksikan pelancaran perkongsian strategik antara Credit Guarantee Corporation (CGC) dengan institusi-institusi kewangan Islam. Perkongsian strategik ini akan menjadi platform penting bagi institusi-institusi kewangan Islam untuk meluaskan aktiviti pemberian pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (small and medium enterprise, PKS). Oleh itu, perkongsian strategik ini menandakan suatu inisiatif penting dalam usaha menyediakan produk pembiayaan yang lebih pelbagai kepada PKS selain meningkatkan akses kepada pembiayaan.
Penggalakan sektor PKS yang kukuh dan dinamik merupakan agenda nasional yang penting oleh Kerajaan yang akan menyumbang ke arah usaha memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan seimbang. Pembangunan PKS yang pelbagai dan berdaya saing juga akan menggalakkan tahap daya tahan ekonomi yang lebih tinggi. PKS juga merupakan "inkubator" bakat-bakat keusahawanan yang penting, yang akan menyediakan potensi bagi pembangunan syarikat-syarikat Malaysia yang lebih besar. PKS dijangka dapat menjadi sumber pertumbuhan dalaman dan pekerjaan yang semakin penting. Kepentingan sektor PKS bagi ekonomi negara terbukti apabila PKS mencakupi 99.2% daripada jumlah pertubuhan perniagaan, memberikan pekerjaan kepada kira-kira 5.6 juta orang, dan menyumbang kira-kira 32% daripada keluaran dalam negeri kasar.
Memandangkan wujudnya potensi PKS dalam ekonomi, Kerajaan telah memberikan penekanan yang penting dalam membangunkan dan mengukuhkan keupayaan PKS untuk menyumbang kepada ekonomi. Sebanyak 12 Kementerian dan 38 Agensi Kerajaan terbabit dalam memberikan sokongan terhadap pembangunan PKS. Bagi memastikan keberkesanan strategi dalam menyokong PKS, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan pada bulan Jun 2004. Majlis ini, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, menyediakan hala tuju dasar program bagi menyokong PKS, dan memastikan program ini dilaksanakan dengan cara yang berkesan. Bank Negara Malaysia ialah Urus Setia kepada Majlis ini.
Selama ini, komitmen Kerajaan untuk menggalakkan peranan sektor PKS dalam ekonomi adalah dengan menyediakan persekitaran yang diperlukan untuk pembangunan PKS. Oleh itu, pendekatan yang menyeluruh telah diterima pakai. Pada tahun 2007, sejumlah 190 program utama yang membabitkan komitmen kewangan sebanyak RM3.7 bilion sedang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk mengukuhkan infrastruktur yang menyokong pembangunan PKS, membina kapasiti dan keupayaan PKS, dan meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi PKS. Bagi akses kepada pembiayaan, sememangnya beberapa strategi dan langkah utama telah dilaksanakan untuk memastikan bahawa PKS, pada setiap peringkat kitaran hayat perniagaan, mempunyai akses yang secukupnya kepada pembiayaan.
Sistem perbankan terus menjadi sumber pembiayaan yang paling penting dalam ekonomi. Oleh itu, strategi penting untuk memastikan akses kepada pembiayaan bagi PKS ialah meningkatkan akses kepada pembiayaan daripada institusi perbankan. Melalui strategi ini, usaha diambil untuk memastikan institusi perbankan memberikan tumpuan khusus terhadap penyediaan perkhidmatan kewangan kepada PKS, terutama dalam mengukuhkan kemudahan, jangkauan dan perkhidmatan kepada PKS. Kini, semua bank perdagangan mempunyai bahagian PKS yang khusus dan Unit Pembangunan Bumiputera bertanggungjawab menyediakan pinjaman serta sokongan tambahan dan khidmat nasihat kepada PKS. Bank perdagangan juga mempunyai piagam pelanggan yang khusus bagi PKS, yang memberikan maklumat yang perlu untuk memudahkan PKS memohon pembiayaan.
Strategi untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan juga diperkukuh dengan penyediaan maklumat dan khidmat nasihat kewangan kepada PKS. Pada tahun 2005, Bank Negara Malaysia menubuhkan Laman Informasi, Nasihat dan Khidmat (LINK) sebagai pusat sehenti bagi PKS untuk mendapatkan maklumat dan membangkitkan hal-hal mengenai akses kepada pembiayaan secara langsung dengan Bank Negara Malaysia. LINK mempunyai kakitangan khusus yang menyediakan khidmat nasihat kewangan, termasuklah nasihat dalam menangani masalah mendapatkan pembiayaan dan dalam menyusun semula pinjaman yang sedia ada. Sehingga kini, kira-kira 11,000 PKS telah meminta bantuan daripada LINK. Suatu lagi inisiatif penting dalam penyebaran maklumat kepada PKS ialah penubuhan Portal SMEinfo, iaitu suatu gerbang maklumat bagi PKS. Portal ini menyediakan maklumat menyeluruh yang diperlukan PKS, termasuk maklumat terperinci mengenai bantuan kewangan dan bukan kewangan Kerajaan, produk pembiayaan bagi PKS oleh sektor kewangan, program latihan serta nasihat mengenai cara memulakan dan menguruskan perniagaan. Portal ini juga menyediakan platform bagi PKS mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka. Sehingga kini, lebih daripada 14,000 PKS telah mendaftar dalam Direktori Perniagaan PKS di Portal ini.
Dalam usaha mengukuhkan infrastruktur kewangan bagi PKS, Bank Negara Malaysia juga menubuhkan Skim Penstrukturan Semula Pinjaman Kecil untuk membantu PKS yang berdaya maju yang terkekang oleh pinjaman tak berbayar menerusi penyusunan semula pinjaman dan penyediaan pembiayaan tambahan. Selain itu, menerusi EXIM Bank, dua produk pembiayaan perdagangan yang baharu bagi PKS telah diperkenalkan pada tahun 2006.
Walau bagaimanapun, Banci yang selesai dijalankan pada tahun 2005 menunjukkan kira-kira 80% daripada PKS ialah perusahaan mikro yang mempunyai akses terhad kepada pembiayaan daripada sistem kewangan yang formal untuk mengekalkan dan mengembangkan perniagaan mereka. Bagi memenuhi keperluan pembiayaan segmen penting PKS ini, pembiayaan mikro kini diwujudkan dalam sistem kewangan kita. Beberapa institusi kewangan mengambil bahagian dalam penyediaan akses kepada pembiayaan yang cepat, fleksibel dan mudah untuk individu dan perusahaan mikro bagi aktiviti perniagaan mereka.
Pelbagai langkah yang telah diambil kini sudah pun membuahkan hasil yang positif. PKS kini mempunyai akses kepada pembiayaan yang lebih baik, dengan institusi perbankan menjadi sumber utama pembiayaan. Pada tahun 2006, pinjaman baharu sebanyak RM40 bilion diluluskan untuk lebih 84,000 akaun PKS. Daripada jumlah ini, institusi perbankan Islam menyediakan pembiayaan baharu sebanyak RM5 bilion berbanding dengan jumlah sebanyak RM3 bilion pada tahun 2005. Bahagian pinjaman PKS daripada institusi perbankan meningkat daripada 30% daripada jumlah pinjaman perniagaan pada akhir tahun 1999, kepada 45% pada akhir tahun 2006. Jumlah pinjaman PKS terkumpul daripada institusi perbankan kini melepasi paras RM100 bilion pada tahun 2006.
Credit Guarantee Corporation (CGC) merupakan pengaturan keinstitusian yang penting dalam memudahkan akses kepada pembiayaan yang lebih baik bagi PKS. CGC mengatasi salah satu kekangan utama yang dihadapi oleh PKS, iaitu kekurangan cagaran, dengan memberi jaminan kepada pinjaman yang diperoleh PKS. Bank Negara Malaysia sebagai pemegang terbesar saham CGC, adalah komited untuk memastikan CGC berupaya memainkan peranan yang berkesan. Bagi mencapai tujuan ini, suntikan modal sebanyak RM1 bilion ke dalam CGC telah dilakukan pada tahun 2000 untuk meningkatkan kemampuan kewangannya dalam menyediakan jaminan. Pada tahun 2005, proses mengubah CGC telah dimulakan untuk meningkatkan peranannya dan untuk mempelbagaikan lagi produk dan perkhidmatan yang ditawarkannya.
Matlamat CGC diubah adalah supaya ia bukan sahaja berperanan sebagai penyedia jaminan kredit tetapi juga sebagai institusi penting yang meningkatkan keupayaan PKS untuk mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan, khususnya melalui penyediaan produk peningkatan kredit yang lebih pelbagai, khidmat nasihat tentang pembangunan kewangan dan perniagaan serta perkhidmatan maklumat kredit. Pada tahun 2006, CGC telah menunjukkan kemajuan yang membanggakan dalam proses perubahan ini. Sesungguhnya, perkongsian strategik yang akan dimeterai hari ini antara CGC dengan institusi-institusi kewangan Islam adalah sebahagian daripada inisiatif untuk CGC meluaskan jangkauan produknya.
Perkongsian strategik antara CGC dengan institusi-institusi kewangan Islam ini merupakan suatu perkembangan yang penting kerana perkongsian ini menggabungkan dua matlamat penting Kerajaan, iaitu meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi PKS dan menggalakkan pertumbuhan kewangan Islam. Kewangan Islam kini bukan sahaja telah mengalami pertumbuhan yang ketara tetapi juga menjadi lebih bersepadu pada peringkat antarabangsa. Perkembangan ini disokong oleh potensinya yang besar sebagai suatu bentuk pengantaraan kewangan yang bersaingan. Di Malaysia, sistem perbankan Islam telah berkembang menjadi suatu industri yang dinamik, bersaingan dan bersepadu pada peringkat antarabangsa. Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, industri perbankan Islam terus mencatat kadar pertumbuhan dua angka sebanyak kira-kira 20 peratus. Industri ini juga merupakan penyumbang penting terhadap paras keberuntungan kukuh yang dicatat oleh kumpulan perbankan. Dari segi aset, sektor perbankan Islam kini mencakupi 12 peratus daripada jumlah sistem perbankan. Menjelang tahun 2010, industri perbankan Islam dijangka mencakupi 20 peratus daripada seluruh bahagian pasaran industri perbankan.
Pembiayaan yang dikeluarkan oleh institusi-institusi kewangan Islam kepada PKS menunjukkan trend menaik yang menggalakkan, dengan kadar pertumbuhan tahunan purata pada 34.2% dalam tempoh tahun 2001-2006. Pada akhir tahun 2006, pembiayaan Islam kepada PKS mencapai RM10 bilion, mencakupi 9.6% daripada jumlah pinjaman PKS terkumpul daripada sistem perbankan. Ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding dengan pembiayaan Islam yang dikeluarkan kepada PKS pada akhir tahun 2000, iaitu sebanyak RM1.7 bilion sahaja atau 2.4% daripada jumlah pinjaman PKS terkumpul daripada sistem perbankan.
Sememangnya terdapat potensi yang besar bagi institusi kewangan Islam untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam menyediakan pilihan yang lebih banyak kepada PKS bagi memenuhi keperluan pembiayaan mereka. Pada masa ini, PKS daripada pelbagai sektor semakin memerlukan produk dan perkhidmatan kewangan yang lebih khusus dan terbeza yang memenuhi keperluan tersendiri mereka. Ini mencerminkan ciri ekonomi Malaysia yang amat pelbagai. Oleh itu, institusi kewangan Islam perlu memahami keperluan ini dan haruslah mampu untuk menyediakan bukan sahaja produk inovatif yang baharu tetapi juga pakej pembiayaan yang menarik. Selain itu, institusi kewangan Islam perlu mempergiat usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan PKS mengenai ciri-ciri unik produk dan perkhidmatan Islam. Pemahaman yang lebih mendalam tentang produk kewangan Islam akan membantu PKS dalam membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi dan keputusan yang berkesan berkaitan dengan urus niaga kewangan mereka.
Majlis hari ini yang menandakan penjalinan perkongsian strategik antara CGC dengan institusi-institusi kewangan Islam merupakan petanda yang baik bagi PKS. Perkongsian ini menyediakan platform bagi institusi-institusi kewangan Islam untuk memberikan pembiayaan yang lebih banyak kepada PKS. Bagi CGC, ini memberi peluang kepadanya untuk meluaskan skop benefisiari jaminannya untuk merangkumi institusi-institusi kewangan Islam. Namun, benefisiari sebenar ialah PKS.
Sebagai penutup, saya dengan sukacitanya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada CGC dan institusi-institusi kewangan Islam atas inisiatif membentuk perikatan dan kerjasama strategik ini untuk memaksimumkan peluang yang ada dalam pembiayaan PKS. Saya berharap kerjasama strategik ini akan berjalan dengan jayanya.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.