Ucap Utama oleh Gabenor di Persidangan Perbankan Islam Antarabangsa Kedua: Pengurusan Risiko, Pengawalan dan Penyeliaan - "Membina Sistem Kewangan Islam yang Teguh"

LeMeridien Hotel, Kuala Lumpur | 7 Februari 2006

Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan selamat datang kepada para peserta Persidangan Kewangan Islam Antarabangsa Kedua: Pengurusan Risiko, Pengawalan dan Penyeliaan anjuran bersama Institut Penyelidikan dan Latihan Islam (IRTI) Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB). Forum ini memainkan peranan penting bukan hanya untuk memupuk penyebaran ilmu dan pertukaran pengalaman dalam bidang pengurusan risiko, pengawalan dan penyeliaan, tetapi juga untuk memudahkan pemahaman tentang masalah yang kita hadapi, dan seterusnya menyumbang ke arah usaha memajukan pembangunan industri. Keupayaan pengurusan risiko yang efektif sangatlah penting dalam persekitaran kewangan global yang semakin mencabar dengan ketidakpastian yang memuncak dan kemungkinan kelemahan kewangan yang semakin meningkat. Di samping itu, pengawalan dan penyeliaan yang efektif akan memastikan kekukuhan dan kestabilan sistem itu. Dalam dekad sebelum ini, sistem kewangan Islam mengalami pertumbuhan dan transformasi yang memberangsangkan, yang telah menyerlahkan potensinya sebagai satu bentuk pengantaraan kewangan yang kompetitif. Kini, kewangan Islam merupakan industri yang bernilai berbilion dolar dengan pelbagai produk dan perkhidmatan yang komprehensif, yang memberikan perkhidmatan kepada pelbagai golongan pengguna dan perusahaan perniagaan yang melangkau dunia Islam.

Dalam usaha membangunkan sistem kewangan Islam, tumpuan perlu diberikan terhadap prasyarat yang akan memudahkan pengembangan sistem secara efisien. Yang paling utama ialah pembangunan institusi, pasaran, pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan dan wujudnya rangka kerja perundangan, pengawalan, penyeliaan, perakaunan dan Syariah, serta keupayaan pihak berkuasa monetari untuk menguruskan dasar kewangannya dalam konteks ini.

Dengan kemajuan ketara dicapai dalam membangunkan komponen berkenaan, kini kita lihat industri perkhidmatan kewangan Islam memasuki fasa pembangunan yang baru. Berikutan liberalisasi yang meningkat, kemajuan dalam pembangunan arkitektur kewangan antarabangsa bagi kewangan Islam dan peningkatan inovasi yang menghasilkan produk dan perkhidmatan baru, dimensi antarabangsa kewangan Islam semakin penting.

Institusi kewangan Islam kini juga memperluas operasinya merentas sempadan domestik. Sekuriti kewangan berasaskan Islam juga diterbitkan dalam pasaran kewangan antarabangsa, yang menjana minat yang ketara daripada pelabur global. Arkitektur kewangan antarabangsa bagi pembangunan kewangan Islam juga telah diperkukuh dengan pembentukan badan penetapan piawaian antarabangsa untuk merumus piawaian perakaunan dan kehematan. Perkembangan ini secara kumulatif telah menjadikan sistem kewangan Islam satu komponen yang semakin penting dalam sistem kewangan antarabangsa.

Pengalaman Malaysia adalah untuk membangunkan sistem kewangan Islam domestik yang komprehensif, yang pelbagai dari segi institusi, pasaran dan peserta. Strategi kita adalah untuk mewujudkan rantaian sistem kewangan keseluruhan bagi memastikan sistem kewangan Islam berfungsi dengan efisien. Inisiatif ini merangkumi usaha menubuhkan institusi kewangan yang diperlukan termasuk institusi perbankan Islam, syarikat takaful, institusi bukan perbankan dan membangunkan pasaran wang dan modal Islam. Komponen berkenaan telah diliberalisasikan secara beransur-ansur baru-baru ini dari segi membenarkan penyertaan peserta asing baru dan dari segi meningkatkan potensi penyertaan asing dalam pasaran kewangan domestik. Selain itu, operasi domestik dan asing ini digalakkan untuk merebut peluang perniagaan serantau dan antarabangsa. Langkah ini telah memperkukuh hubungan kewangan merentas sempadan, lantas menggalakkan integrasi antarabangsa dengan lebih meluas. Untuk memastikan sistem berfungsi dengan teguh, perkembangan ini disokong oleh rangka kerja pengawalseliaan yang diperkukuh oleh rangka kerja perundangan dan Syariah serta sistem pembayaran dan penyelesaian.

Sementara pertumbuhan dan perkembangan positif sistem kewangan Islam membuka peluang yang lebih meluas, liberalisasi kewangan dan kemajuan teknologi pula meningkatkan persaingan dan meluaskan inovasi dalam pembangunan produk dan perkhidmatan, proses operasi dan saluran penyampaian. Perkembangan ini menyumbang kepada peningkatan profil risiko institusi. Secara amnya, risiko baru ini lebih rumit dan memberikan implikasi sistemik yang mendalam kepada sistem kewangan. Ini meningkatkan keperluan kepada keupayaan pengurusan risiko yang lebih kukuh oleh industri dan lebih perhatian terhadap aspek ini oleh pengawal selia dalam memastikan kestabilan dan integriti sistem kewangan. Justeru, adalah penting bagi kita memastikan pemahaman dan kesedaran tentang risiko yang wujud dalam aktiviti perbankan Islam. Cabaran bagi kita adalah untuk memastikan kewujudan setiap komponen yang menyokong keperluan pengurangan risiko, yang terdiri daripada rangka kerja dan infrastruktur keinstitusian, perundangan, pengawalan, penyeliaan serta
infrastruktur Syariah.

Ucapan saya pagi ini akan memberi tumpuan pada cabaran pengurusan risiko dalam institusi perbankan Islam, dan peranan pengawalan dan penyeliaan yang efektif dalam konteks ini sebagai sebahagian daripada langkah untuk menggalakkan perkembangan sistem kewangan Islam yang teguh dan mantap.

Dalam perbankan Islam, pengurusan risiko menjadi lebih mencabar kerana keunikan sifat risikonya dan keperluan kepatuhan kepada prinsip Syariah. Walaupun inisiatif Basel II mengenai pengenalpastian risiko kredit, pasaran dan operasi boleh dilaksanakan dalam perbankan Islam, inisiatif ini perlulah dilengkapi dengan mengambil kira dimensi risiko lain yang wujud dalam urus niaga kewangan Islam. Infrastruktur pengurusan risiko dalam institusi kewangan Islam perlu mengenal pasti, membongkar, mengukur, mengawal dan memantau semua risiko khusus dalam urus niaga dan instrumen kewangan Islam. Ini adalah untuk memastikan bahawa sistem dan kawalan akan menjadi efektif dalam kuantifikasi dan pengurusan risiko yang timbul daripada operasi itu.

Inovasi baru dalam teknologi menjadi semakin penting khususnya bagi mempertingkatkan keupayaan mengurus risiko. Selain itu, memandangkan pulangan dalam perbankan Islam adalah tidak pasti dan hanya boleh ditentukan pada asas ex-post, sistem teknologi maklumat yang maju perlu untuk membolehkan institusi perbankan Islam membuat unjuran bagi pulangan pada masa hadapan supaya dapat mengurangkan tahap ketidakpastian dalam pulangan yang akan dibayar kepada pendeposit. Ini juga akan mengukuhkan potensi daya saing industri perkhidmatan kewangan Islam.

Satu lagi aspek pengurusan risiko ialah keperluan industri perbankan Islam untuk membangunkan pasaran derivatif. Persekitaran kewangan global yang semakin tidak pasti pada masa ini menghendaki pelabur sentiasa bersedia untuk mengurangkan dan mengurus risiko yang baru muncul. Institusi perbankan Islam khususnya, mempunyai sebahagian besarnya aset jangka panjang termasuk gadai janji perumahan Islam jangka panjang dan instrumen kewangan Islam, yang dibiayai oleh deposit jangka pendek, yang menyebabkan ketidakpadanan kematangan antara aset dengan liabiliti. Oleh itu, pembangunan instrumen pasaran kewangan Islam yang lebih pelbagai adalah perlu bagi menyediakan industri dengan instrumen pengurangan risiko yang efektif.

Selain pasaran derivatif, sistem kewangan Islam juga memerlukan pasaran wang dan modal yang lebih dalam dan efisien untuk memudahkan pengurusan aset dan liabiliti, dan mudah tunai yang kukuh oleh institusi kewangan Islam. Selain instrumen Islam yang sedia ada, Bank Negara Malaysia akan menerbitkan sukuk Ijarah bagi memenuhi keperluan peserta dalam pasaran wang Islam.

Teras sistem kewangan Islam yang kukuh dalam mana-mana negara memerlukan rangka kerja pengawalseliaan yang utuh bagi menguatkuasakan piawaian kecukupan modal, memastikan amalan pengurusan risiko yang efektif, penzahiran kewangan dan tadbir urus, yang diperkukuh oleh rangka kerja Syariah dan perundangan yang mantap. Prinsip Syariah bertindak sebagai mekanisme pengawalseliaan kendiri yang melindungi institusi kewangan Islam daripada aktiviti tidak produktif, spekulatif dan tidak beretika, lantaran larangan faedah atau riba dalam perniagaan perbankan, dan keperluan supaya semua urus niaga kewangan mesti disertai oleh urus niaga jual beli dan urus niaga berkaitan perniagaan yang tulen dan larangan daripada terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang dan tidak beretika. Oleh itu, rangka kerja pengawalseliaan perbankan Islam berupaya menjana kekuatan daripada injunksi Syariah, untuk memperkukuh kemantapan dan kestabilan sistem perbankan Islam.

Di Malaysia, institusi perbankan Islam dikehendaki menubuhkan jawatankuasa Syariah dalam institusi masing-masing untuk memastikan produk dan perkhidmatan yang diperkenalkan mematuhi kehendak Syariah. Di samping itu, penekanan juga tertumpu pada fungsi audit dalaman bagi memastikan semua urus niaga yang dijalankan oleh institusi perbankan Islam mematuhi prinsip Syariah.

Dalam merangka dan melaksanakan pengawalseliaan kewangan bagi institusi perbankan Islam, cabaran yang dihadapi adalah bagi melaksanakan rangka kerja yang mengambil kira ciri unik perniagaan perbankan Islam, tanpa menjadikan ia beban pengawalseliaan dan menyekat potensi pertumbuhannya atau memberi peluang berlakunya arbitraj antara sistem kewangan konvensional dengan sistem kewangan Islam. Dalam usaha membina rangka kerja kehematan perbankan Islam yang teguh, penjajaran keperluan modal pengawalseliaan kepada risiko asas memerlukan pendikotomian kerumitan risiko dalam portfolio aset perbankan Islam, memandangkan struktur aset institusi perbankan Islam, seperti kepelbagaian struktur pembiayaan Islam, yang terdiri daripada aktiviti jualan berisiko rendah dan mod berasaskan pajakan sehinggalah kepada mod kewangan berasaskan ekuiti berisiko lebih tinggi. Kerumitan memprofil risiko dalam perbankan Islam semakin bertambah kerana risiko ini boleh berubah dari satu jenis ke jenis yang lain di pelbagai peringkat kontrak. Contohnya, dalam kontrak Musyarakah Mutanaqisah, institusi kewangan Islam pada awalnya bertindak sebagai pemilik bersama aset, namun pemilikan aset akan berpindah sepenuhnya kepada pelanggan setelah tamat tempoh kontrak. Dalam hal ini, institusi kewangan Islam terdedah kepada risiko pasaran dan risiko terjejas, yang lebih tinggi di peringkat awal urus niaga berbanding dengan pendedahan di peringkat akhir kontrak. Pada masa yang sama, jumlah pembayaran balik oleh pelanggan merupakan risiko kredit kepada institusi kewangan Islam. Memandangkan setiap satu daripada bahagian urus niaga ini mempunyai sifat intrinsik yang tersendiri, ia melibatkan tahap risiko kredit, pasaran dan operasi yang berlainan. Dalam hal ini, untuk merumus piawaian kehematan institusi perbankan Islam, perlu ada penilaian tepat atas pelbagai variasi risiko yang mendasari bahagian-bahagian urus niaga yang berkenaan untuk menentukan keperluan kecukupan modal. Ini penting bagi memastikan kestabilan sistem kewangan secara keseluruhan.

Struktur liabiliti bank-bank Islam pula dicirikan oleh dua kategori deposit yang berbeza iaitu deposit bukan Mudharabah yang tidak tertakluk kepada risiko berkaitan dengan perniagaan perbankan, yang deposit pokok dijamin, dan deposit Mudharabah atau deposit pelaburan yang melibatkan risiko dan perkongsian keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan perbankan. Memandangkan pulangan tidak ditetapkan terlebih dahulu, sebagai pengeluar modal, pendeposit perkongsian untung institusi perbankan Islam juga akan terdedah kepada kerugian. Ini meletakkan tahap risiko fidusiari yang lebih tinggi atas institusi perbankan Islam untuk memastikan dana deposit pelaburan ini diuruskan dengan cara yang paling efektif dan efisien. Risiko fidusiari bertambah ekoran persaingan dalam pengurusan mudah tunai dalam sistem. Perkongsian untung yang diagihkan perlu kompetitif berbanding dengan pendapatan faedah yang diperoleh dan dibayar oleh bank konvensional. Ini penting untuk mengelakkan perpindahan deposit dan mengekalkan dana dalam sistem.

Ciri utama rangka kerja pengawalseliaan institusi kewangan Islam ialah ketelusan dan penzahiran kewangan. Penzahiran pengendalian pasaran dan pengurusan hubungan pelanggan merupakan teras prinsip ini. Antara faktor yang tidak kurang penting itu ialah menangani asimetri maklumat antara institusi perbankan Islam dengan pendeposit. Di bawah prinsip Mudharabah, institusi perbankan Islam perlu menzahirkan kepada pelabur bagaimana dana mereka diuruskan bagi memberikan kepastian bahawa wujudnya operasi perniagaan yang didasari oleh profil risiko dan mekanisme kawalan risiko. Di Malaysia, isu ini ditangani dengan rangka kerja kadar pulangan, yang menyediakan metodologi standard dalam menentukan kadar pulangan atas deposit. Rizab penyamaan untung sepertimana digariskan dalam rangka kerja kadar pulangan bagi institusi kewangan Islam berfungsi sebagai mekanisme untuk mengurangkan impak turun naik kadar pulangan. Rizab ini diperuntukkan daripada pendapatan kasar dan dikongsi bersama oleh pendeposit dan institusi perbankan. Dengan kewujudan persekitaran dwiperbankan, seperti yang ada di Malaysia, elemen penting dalam memastikan daya saing sistem perbankan Islam ialah keupayaan untuk memaksimumkan pulangan terlaras-risiko atas pelaburan dan mengekalkan pulangan yang stabil dan kompetitif. Dari perspektif pengawalseliaan, rangka kerja kadar pulangan menyediakan cara untuk menilai kecekapan institusi perbankan Islam, keuntungan, kecekapan pengurusan dan kesaksamaannya. Untuk terus melindungi pendeposit perbankan Islam, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia mewujudkan skim insurans deposit yang berasingan berlandaskan prinsip Islam.

Penzahiran nilai sebenar dan saksama operasi perbankan Islam dalam penyata kewangan juga penting kepada pendeposit supaya mereka dapat membuat penilaian yang sebenar dan saksama terhadap prestasi bank. Penzahiran kewangan yang diperkemas perlu diiringi dengan program pendidikan dan kesedaran pelanggan untuk meningkatkan tahap celik kewangan di kalangan pengguna dan perusahaan perniagaan. Untuk mencapai matlamat ini, program pendidikan pengguna dianjurkan, dengan memberikan maklumat antaranya, tentang ciri unik perbankan dan pembiayaan secara Islam, produk dan perkhidmatan kewangan Islam dan prinsip asas dan konsep Syariah. Kesedaran pengguna yang meningkat dijangka mengukuhkan lagi peranan disiplin pasaran dalam memacu institusi kewangan Islam ke arah pematuhan Syariah yang tegas, peningkatan keefisienan operasi, dan pengukuhan amalan dan infrastruktur pengurusan risiko.

Di Malaysia, bank-bank Islam dan bank konvensional dengan jendela perbankan Islam mengamalkan piawaian kehematan yang serupa sebagaimana yang ditetapkan atas bank konvensional, seperti nisbah modal wajaran risiko (RWCR) minimum, piawaian bagi tadbir urus korporat dan pengurusan risiko, penzahiran kewangan dan dasar kenali pelanggan. Prinsip pengurusan berhemat dan peningkatan keefisienan operasi diterapkan melalui keperluan kecukupan modal wajaran risiko minimum. Piawaian tadbir urus korporat dikuatkuasakan melalui garis panduan khusus pada kod perlakuan bagi pengarah, pegawai dan kakitangan institusi perbankan dan garis panduan bagi jawatan pengarah dan larangan pemberian pinjaman kepada pengarah, kakitangan dan syarikat mereka yang terpilih. Di samping itu, pematuhan yang tegas kepada rukun Syariah juga akan memastikan institusi kewangan Islam diuruskan berasaskan tahap kehematan, etika dan integriti yang tinggi.

Jawatankuasa Penyeliaan Perbankan Basel telah mempertingkatkan pengawalseliaan modal untuk meliputi risiko operasi dalam pengiraan kecukupan modal, di samping risiko kredit dan pasaran. Tanggungjawab merumuskan rangka kerja yang menangani risiko khusus berkaitan dengan perbankan Islam sedang dilaksanakan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB), yang bertindak sebagai badan penetapan piawaian antarabangsa bagi agensi pengawalseliaan. Mandat IFSB adalah untuk membangunkan piawaian kehematan, pengawalseliaan dan penzahiran bagi kewangan Islam, dan menggalakkan keseragaman dalam amalan terbaik tadbir urus institusi kewangan Islam di seluruh dunia. Dalam hubungan ini, IFSB telah mengeluarkan dua piawaian kehematan mengenai pengurusan risiko dan kecukupan modal bagi institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam, yang dicadangkan untuk tujuan pelaksanaan pada tahun 2007. IFSB juga telah mencapai kemajuan dalam merumuskan tiga lagi piawaian mengenai tadbir urus korporat, ketelusan dan disiplin pasaran, dan proses kajian semula penyeliaan yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Cabaran utama dalam mengurus risiko operasi perbankan Islam ialah memastikan pematuhan Syariah. Dalam proses penilaian, penyelia bank perlu memberikan perhatian yang wajar terhadap kecukupan pengawasan pengarah dan pengurusan kewangan, dasar, prosedur dan had, pengukuran risiko, sistem pemantauan dan pengurusan maklumat serta kawalan dalaman. Dalam hubungan ini, piawaian pengurusan risiko yang dikeluarkan oleh IFSB bertindak sebagai panduan kepada penyelia bank.

Meskipun kemajuan yang ketara dicapai setakat ini, masih ada lagi isu yang belum diselesaikan yang mendepani sistem kewangan Islam pada hari ini, terutamanya mengenai tafsiran injunksi Syariah yang berbeza. Di peringkat antarabangsa, masih wujud perdebatan di kalangan cendekiawan Syariah mengenai pematuhan prinsip Syariah. Di Malaysia, kita telah mengundang cendekiawan Syariah antarabangsa yang tersohor untuk mengambil bahagian dalam wacana ilmu mengenai hal ehwal Syariah berhubung dengan perbankan dan kewangan Islam. Langkah ini dijangka memupuk keharmonian dan interaksi yang lebih luas di kalangan cendekiawan Syariah di serata dunia. Selain itu, dana endowmen sebanyak RM200 juta telah ditubuhkan oleh Malaysia bagi memudahkan aktiviti penyelidikan Syariah dan membangunkan cendekiawan Syariah yang kompeten melalui biasiswa dan latihan.

Pembangunan sektor perbankan Islam yang memberangsangkan tidak dapat dicapai tanpa sokongan pembangunan modal insan yang sewajarnya. Pengukuhan keupayaan penyelidikan dan intelek dalam bidang kewangan dan Syariah penting untuk mendorong kejayaan sistem perbankan Islam. Industri perbankan Islam perlu dilengkapkan dengan inovator, pengurus risiko dan pengawal selia generasi baru yang memiliki gabungan ilmu yang mantap mengenai kewangan dan kefahaman tentang Syariah. Bagi tujuan ini, Malaysia menubuhkan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) yang akan mula beroperasi pada bulan Mac 2006, bagi membangunkan bakat dalam kewangan Islam. INCEIF akan menawarkan program pensijilan profesional dalam bidang kewangan Islam dan akan memupuk pakatan strategik dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara untuk menawarkan program Sarjana dan Doktor Falsafah dalam kewangan Islam dalam bidang pengkhususan tertentu.

Sambil kita mengorak langkah ke hadapan, perubahan dalam landskap kewangan akan terus berlaku dengan pesat dan pasaran kewangan akan terus menjadi lebih rumit dan canggih. Institusi perbankan Islam harus berubah untuk menghadapi isu, cabaran dan peluang yang mendatang. Pendekatan pengawalseliaan dan metodologi yang akan digunakan perlu berubah supaya ia kekal efektif dan relevan. Di samping itu, dengan adanya produk dan perkhidmatan kewangan Islam mempunyai dimensi global dan peningkatan kesalingbergantungan pasaran kewangan, usaha yang dijalankan oleh setiap negara untuk memantapkan amalan pengurusan risiko perlu dipadankan dengan usaha untuk meningkatkan perlindungan di peringkat antarabangsa.

Prospek masa depan industri perbankan Islam bergantung pada usaha kumulatif bersama industri, pengawal selia, peserta pasaran dan komuniti antarabangsa. Usaha bersama ini perlulah diselaraskan untuk memaksimumkan potensi industri ini. Langkah pertama yang penting ialah menetapkan wawasan dan matlamat bersama yang akan dicapai. Yang lebih penting lagi ialah tindakan yang harus diambil untuk merealisasi matlamat tersebut. Langkah dan inisiatif yang kita ambil hari ini akan menyumbang ke arah pencapaian masa depan yang kita impikan.


Bank Negara Malaysia
07 Februari 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?