Ucap Utama oleh Gabenor di Sesi Dialog 2006 dengan Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful "Berkedudukan Strategik dalam Persekitaran yang Semakin Berubah"
The Prince Hotel & Residence, Kuala Lumpur | 22 Ogos 2006
Dalam persekitaran yang pesat berubah, pemikiran semula masa depan dan berkedudukan strategik perlu diberi keutamaan. Berkedudukan strategik bukan hanya perlu bagi menghadapi cabaran yang baru muncul, malah lebih penting lagi, ia perlu dijadikan sebahagian daripada proses mencorakkan masa depan.
Perubahan yang berlaku adalah dalam pelbagai bidang.
- Dalam persekitaran yang semakin meningkat tahap kesejagatannya, negara-negara semakin berhubung kait dan berintegrasi.
- Ekonomi Malaysia terus mengalami perubahan struktur yang ketara, ke arah bidang pertumbuhan yang baru dan bidang yang mempunyai faedah berbanding.
- Pengguna semakin bijak menilai kepelbagaian dan kualiti produk dan perkhidmatan kewangan.
- Sistem kewangan sedang beralih ke arah persekitaran yang lebih kompetitif, memandangkan pengaturan keinstitusian semakin dinyahkawal selia dan liberal.
- Kemajuan teknologi membolehkan lebih banyak inovasi dalam pembangunan produk dan perkhidmatan kewangan, proses operasi, dan saluran penyampaian.
- Pendekatan pengawalseliaan yang bertujuan mengekalkan kestabilan kewangan semakin berasaskan prinsip dan risiko.
Dengan perubahan pesat tersebut, inilah masanya untuk menilai isu-isu yang baru muncul dalam industri insurans dan takaful.
Saya mengalu-alukan kehadiran anda ke sesi dialog antara Bank Negara Malaysia dengan industri insurans dan takaful tahun ini untuk membincangkan cabaran dan peluang yang timbul daripada persekitaran yang berubah-ubah. Setahun yang lalu, fokus perbincangan tertumpu pada isu strategik yang dihadapi industri apabila kita beralih ke persekitaran pasaran yang lebih kompetitif. Penekanan ketika itu adalah pada pengharapan terhadap industri untuk menyediakan tawaran yang saksama kepada pengguna, kerelevanannya dalam persekitaran yang berubah-ubah, dan kesediaannya dari segi kapasiti, serta untuk menyokong dan mengekalkan strategi yang berkesan bagi mencapai pertumbuhan. Tema dialog tahun ini tertumpu pada bagaimana industri seharusnya menempatkan dirinya pada kedudukan yang baik bagi menghadapi cabaran baru, namun begitu, secara khusus dialog ini akan menangani isu-isu berkaitan peralihan ke arah rejim pengendalian pasaran yang berasaskan risiko dan lebih terkawal kendiri (self-regulated), dan pembangunan sistem dwikewangan bagi industri insurans
dan takaful.
Dialog tahun ini dianjurkan bersama oleh industri dan Bank Negara Malaysia. Penglibatan aktif industri adalah penting untuk memastikan acara penting ini berjaya. Dialog ini menyediakan peluang untuk perbincangan antara pihak industri dengan BNM tentang isu-isu strategik yang dihadapi industri dalam persekitaran yang berubah-ubah, dari perspektif berbeza. Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan anda beberapa perkembangan terkini ekonomi dan kewangan, dan inisiatif dasar utama yang diambil oleh Bank Negara Malaysia.
Prestasi ekonomi global tahun 2006 sehingga kini adalah menggalakkan. Pertumbuhan ekonomi utama, termasuk Jepun dan Eropah, lebih seimbang. Namun, ekonomi dunia sedang berhadapan dengan tempoh harga tenaga tinggi yang berpanjangan dan kesannya terhadap inflasi. Kadar faedah kebanyakan negara telah dinaikkan ekoran perkembangan ini. Pertumbuhan ekonomi Asia terus teguh dan berdaya tahan biarpun risiko pertumbuhan lebih perlahan sedang muncul dalam beberapa ekonomi utama. Trend ini bukan sahaja meningkatkan kepentingan Asia secara relatif dalam ekonomi dunia, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan global yang lebih seimbang.
Ekonomi Malaysia telah mendapat manfaat daripada persekitaran luar negeri yang menggalakkan ini. Pertumbuhan disokong oleh prestasi eksport yang kian kukuh, yang diperkuat permintaan dalam negeri yang teguh. Permintaan dalam negeri juga terus didorong sektor swasta. Penggunaan dan pelaburan swasta kekal sebagai sumber pertumbuhan yang penting. Khususnya, pelaburan swasta yang berterusan adalah penting bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dalam jangka panjang, dapat dicapai.
Fokus dasar monetari dalam persekitaran ini terus menjurus ke arah mencapai kestabilan makroekonomi. Kos tenaga yang meningkat telah mengakibatkan kenaikan harga pengguna baru-baru ini. Dalam persekitaran ini, kadar faedah telah dinaikkan sebanyak tiga kali. Namun, pada bulan Mei tahun ini, Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa kenaikan kadar faedah tidak perlu diteruskan buat sementara waktu. Inflasi dijangka sederhana pada separuh kedua tahun ini memandangkan tanda-tanda inflasi didorong oleh permintaan adalah terhad. Di samping itu, faktor yang akan menjadi pertimbangan penting dalam hala tuju kadar faedah masa depan ialah sejauh mana harga tenaga yang lebih tinggi dan kadar faedah yang meningkat akan menjejaskan persekitaran luar negeri, serta implikasinya terhadap ekonomi Malaysia. Risiko terhadap inflasi yang lebih tinggi dan terhadap prospek pertumbuhan akan dipertimbangkan dengan teliti. Dasar monetari akan terus menggalakkan pertumbuhan yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.
Sejak sesi dialog setahun lalu, landskap kewangan terus mengalami transformasi. Industri kewangan domestik telah menyaksikan lebih banyak langkah rasionalisasi dan penggabungan dalam kumpulan perbankan, dalam perbankan runcit dan perbankan pelaburan. Rasionalisasi industri perbankan runcit akan mendapat manfaat daripada ekonomi ikut bidangan, mengurangkan duplikasi sumber, dan menggalakkan kecekapan kos. Rangka kerja bank pelaburan yang baru dijangka mewujudkan pengantara pasaran modal yang lebih cekap, berkesan, dan berdaya tahan. Pada dasarnya, rangka kerja ini akan menghasilkan penggabungan 32 entiti menjadi 16 buah bank pelaburan menjelang hujung tahun ini. Satu perkembangan penting lain pada tahun 2005 ialah penubuhan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia yang akan memperkukuh lagi infrastruktur kewangan domestik dengan menyediakan jaminan deposit yang eksplisit, dan pada masa yang sama, memperteguh insentif bagi pembaikan amalan pengurusan risiko oleh institusi perbankan. Institusi kewangan pembangunan juga telah diperkukuh bagi memastikan institusi tersebut lebih fokus dan saling melengkapi dari segi matlamat dan strategi perniagaan mereka. Ini bertujuan menggalakkan peningkatan akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan (financial inclusion) dalam sistem kewangan kita. Inisiatif utama pada tahun itu adalah untuk menggalakkan peningkatan akses kepada pembiayaan bagi sektor pertumbuhan baru, dan perusahaan kecil dan sederhana, termasuk perusahaan mikro. Ini bertujuan meningkatkan potensi dan kapasiti perusahaan tempatan untuk berkembang, dan seterusnya meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi.
Dalam bidang perbankan dan kewangan Islam, inisiatif dasar telah dilaksanakan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa tersohor. Pada awal bulan ini, Kerajaan Malaysia melancarkan inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Financial Centre, MIFC). Inisiatif ini bertujuan membina hubungan pengantaraan yang lebih luas antara rantau Asia Timur, Asia Barat dan Timur Tengah, yang seterusnya akan meningkatkan aliran perdagangan antara rantau dan pelaburan merentas sempadan. Ini juga akan menyumbang ke arah pengagihan modal yang lebih cekap, dan dengan itu meningkatkan prospek pertumbuhan yang saling memperkukuh antara rantau. Di samping itu, peluang yang lebih besar untuk menerbitkan tawaran pembiayaan juga akan memudahkan pempelbagaian risiko yang lebih luas. Untuk mencapai matlamat ini, usaha dan sumber ditumpukan pada pencapaian dua objektif umum:
- Pertama, untuk menjadi peneraju antarabangsa dalam originasi, terbitan dan perdagangan instrumen pasaran modal dan perbendaharaan Islam, perkhidmatan pengurusan dana dan kekayaan, perkhidmatan kewangan Islam luar pesisir, serta takaful dan takaful semula.
- Kedua, untuk menempatkan Malaysia pada kedudukan yang baik untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan, latihan, khidmat rundingan dan penyelidikan perbankan dan kewangan Islam. Ini bukan sekadar dapat menyediakan banyak pakar yang terlatih dan berkeupayaan tinggi untuk menerajui pembangunan masa depan, malah akan juga menggalakkan lagi inovasi produk dan perkhidmatan kewangan Islam.
Memandangkan kewangan Islam berfungsi selari dengan sistem kewangan konvensional dalam persekitaran kewangan kita, layanan neutral terhadap produk kewangan Islam dan konvensional penting bagi memastikan daya maju dan kemapanannya. Malahan, persekitaran yang kompetitif ini akan menggalakkan inovasi yang lebih luas, dan dengan itu menyokong pembangunan industri perkhidmatan kewangan Islam. Dengan infrastruktur kewangan Islam yang bertambah kukuh dan memberangsangkan, industri perkhidmatan kewangan Islam kini berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang pertumbuhan baru bagi merealisasikan potensi sepenuhnya. Ini akan menghasilkan pasaran kewangan Islam yang makin meluas dan menyeluruh, malah lebih penting lagi, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa yang menarik lagi dinamik.
Orientasi pengawalseliaan Bank Negara Malaysia dalam persekitaran yang berubah-ubah ini terus berkembang ke arah rejim yang lebih teguh dan fleksibel untuk mengekalkan kestabilan kewangan secara berkesan. Pengawalseliaan industri perkhidmatan kewangan dalam persekitaran yang berubah-ubah akan terus tertumpu pada memelihara sistem kewangan daripada risiko sistemik, memastikan perlindungan yang wajar terhadap pengguna dalam urusan perkhidmatan kewangan, dan meningkatkan kecekapan sistem kewangan. Selain itu, fungsi pengawalseliaan akan terus membantu pencapaian matlamat sosioekonomi, termasuk meningkatkan penembusan insurans, menggalakkan peruntukan yang mencukupi bagi keperluan persaraan dan menyokong pertumbuhan sektor sasaran.
Meskipun matlamat tersebut akan menyediakan asas dan hala tuju pengawalseliaan, disedari bahawa institusi kewangan sedang beroperasi dalam persekitaran yang telah berubah dengan ketara. Oleh itu, amalan pengawalseliaan telah mengalami perubahan yang nyata pada tahun-tahun kebelakangan ini bagi memastikan amalan itu terus sejajar dengan rasional yang mendasari pengawalseliaan. Khususnya, pendekatan Bank Negara Malaysia terhadap pengawalseliaan semakin bercirikan elemen berikut:
- fokus yang lebih tinggi terhadap, dan sejajar, dengan risiko;
- tindakan awal berdasarkan jangkaan, dan bukan tindakan yang berbentuk reaktif;
- penggunaan insentif yang lebih luas untuk menggalakkan perlakuan dan hasil keinstitusian yang dihasratkan; dan
- keselarasan dengan amalan terbaik antarabangsa.
Usaha juga ditumpukan ke arah pencapaian pengawalseliaan yang lebih seimbang dengan kos dan faedahnya. Ini telah menghasilkan pengembangan kaedah pengawalseliaan yang kini melangkaui peraturan preskriptif, tetapi menggunakan secara lebih menyeluruh semakan dan imbangan (check and balance) yang sedia ada dalam sistem, dan penggunaan insentif yang lebih luas untuk menggalakkan perlakuan dan hasil keinstitusian yang dikehendaki. Fokus yang lebih juga telah diberikan terhadap pengendalian pasaran dan penggemblengan kepenggunaan yang lebih aktif untuk memperteguh pengawalseliaan
yang berhemat.
Untuk memperkukuh kesemua perubahan tersebut, Bank Negara Malaysia telah mengkaji semula struktur pengawalseliaan dalamannya secara holistik. Perubahan dalaman organisasi yang sedang dilaksanakan akan menghasilkan peralihan sepenuhnya daripada pendekatan semasa terhadap pengawalseliaan berasaskan sektor, kepada pendekatan yang akan menyepadukan pengawalseliaan terhadap institusi kewangan yang berbeza di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia berasaskan fungsian. Pada hakikatnya, jabatan-jabatan pengawalseliaan yang sedia ada akan diubah menjadi beberapa jabatan baru dengan tanggungjawab masing-masing, iaitu pembangunan sektor kewangan, dasar berhemat, perlindungan pengguna dan pengendalian pasaran, dan pengawasan kewangan merentas sektor perbankan dan insurans. Fungsi penyeliaan juga akan disepadukan bagi kumpulan perkhidmatan kewangan, yang merangkumi bank dan penanggung insurans di bawah kumpulan mereka.
Kami yakin perubahan organisasi ini akan menghasilkan tinjauan yang lebih komprehensif dan pendekatan yang bersepadu terhadap pembangunan sistem kewangan, di samping memudahkan pembezaan yang jelas antara matlamat pengawalseliaan berhemat dan kestabilan kewangan, dan matlamat pembangunan yang lebih umum. Perubahan tersebut juga akan meningkatkan fokus pengawalseliaan terhadap pengurusan risiko dalam sistem kewangan untuk menangani secara lebih efektif komponen asas risiko, iaitu risiko kredit, pasaran, operasi dan insurans. Bagi institusi yang dikawal selia, struktur baru ini juga bertujuan menggalakkan peningkatan kecekapan dan persaingan dalam sistem kewangan menerusi usaha:
- mengurangkan pertindanan dan penduaan pengawalseliaan dalam sistem;
- memelihara pendekatan pengawalseliaan yang neutral dari segi pengurusan risiko yang serupa, antara penyedia perkhidmatan kewangan yang berbeza; dan
- memastikan penggunaan sumber pengawalseliaan yang lebih cekap.
Bank Negara Malaysia akan memaklumkan perincian struktur baru ini kepada pemegang lesen pada bulan November dan Disember tahun ini. Peralihan yang lancar akan dipastikan untuk mengekalkan kesinambungan dalam inisiatif pengawalseliaan utama yang sedang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia. Selain itu, pengaturan yang jelas akan dibuat bagi urusan antara pemegang lesen dengan Bank Negara Malaysia semasa proses peralihan.
Di bawah landskap pengawalseliaan yang baru, hubungan antara Bank Negara Malaysia dengan entiti yang dikawal selia, dan dengan itu, pengharapan penyeliaan, akan berubah apabila rangka kerja berhemat berkembang ke arah pendekatan pengawalseliaan yang lebih berasaskan prinsip dan risiko. Penekanan yang lebih akan diberikan pada tadbir urus korporat, integriti dan ketelusan sebagai asas bagi peserta industri untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan kepercayaan orang ramai. Dalam persekitaran ini, penanggung insurans, sama ada secara individu atau kolektif, dijangka memainkan peranan yang lebih besar dalam membangunkan standard pengendalian pasaran, merangsang amalan pasaran yang adil, dan meningkatkan celik kewangan dalam kalangan pengguna. Pada masa depan, penyahkawalseliaan selanjutnya boleh dijangka apabila disiplin pasaran semakin meningkat, dan penanggung insurans dan pengendali takaful berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melaksanakan pengawalseliaan kendiri. Pendekatan pengawalseliaan yang dibeza-bezakan akan semakin diterima pakai, dan syarikat yang mengamalkan tadbir urus korporat dan pengurusan risiko yang mantap akan diberi lebih fleksibiliti pengawalseliaan.
Selaras dengan produk dan perkhidmatan yang pelbagai dan kompleks, penting supaya amalan pengurusan risiko terus dipertingkatkan dengan penambahbaikan standard tadbir urus dan peningkatan sistem pengurusan maklumat. Dengan pelaksanaan rangka kerja modal berasaskan risiko, tanggungjawab mengurus risiko, dan memastikan tadbir urus pengendalian pasaran yang baik serta menilai risiko dan mengurus kedudukan kewangan sesebuah penanggung insurans akan semakin terletak pada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan penanggung insurans.
Perkara penting berhubung dengan fleksibiliti yang bertambah di bawah landskap pengawalseliaan yang baru ialah standard integriti dan etika yang tertinggi dalam industri. Sesungguhnya, asas insurans ialah sesuatu yang berlandaskan hubungan kepercayaan dan integriti. Malah, reputasi dan kepercayaan ialah aset bernilai bagi industri insurans dan takaful. Sebarang kelemahan dalam pengendalian pasaran akan memberikan implikasi yang besar terhadap perniagaan dan industri. Pemastian supaya urusan dengan pelanggan adalah adil dan saksama juga perlu diberi keutamaan. Dalam persekitaran industri yang menyediakan penyelesaian kewangan yang lebih inovatif dan kompleks, penanggung insurans dan pengendali takaful bertanggungjawab memastikan:
- pengguna mendapat maklumat yang mencukupi supaya mereka mampu membuat keputusan yang bijak;
- pengguna memahami ciri-ciri utama polisi, termasuk apa-apa pengecualian yang ketara, sebelum membuat sebarang pembelian;
- polisi yang dicadangkan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan pengguna; dan
- tuntutan pengguna dilayan dengan segera dan adil.
Dalam persekitaran baru yang lebih menekankan disiplin pasaran, tadbir urus korporat yang lebih mantap, integriti, dan ketelusan amat diperlukan. Standard integriti yang tinggi juga diperlukan dalam pengurusan sumber insan dan fizikal institusi. Dalam hal ini, kepimpinan sesebuah institusi perlu komited untuk menjunjung standard integriti tertinggi dalam mengendalikan modal insan dan sumber korporatnya, yang diurus bagi pihak pemegang saham dan pemegang polisi.
Pencapaian kejayaan dalam persekitaran persaingan yang semakin sengit akan bergantung pada kemampuan industri tempatan untuk menginovasi dan menyediakan tawaran yang bernilai lebih tinggi kepada pengguna. Ini menekankan pentingnya peserta industri membina kapasiti dalam penyelidikan dan pembangunan, dan merekayasa proses perniagaan untuk mencapai kecemerlangan operasi dan peningkatan penyampaian perkhidmatan pelanggan. Oleh itu, budaya kecemerlangan yang utuh adalah penting: sesuatu yang perlu menjadi pegangan semua peringkat dalam organisasi; dan sesuatu yang menggalakkan serta memberi ganjaran kepada inovasi dan kualiti perkhidmatan.
Individu berkemahiran tinggi semakin diperlukan untuk membolehkan mereka menghasilkan produk dan perkhidmatan nilai ditambah yang tinggi, menerima pakai amalan perniagaan yang maju, dan mempunyai kompetensi yang diperlukan untuk membina keyakinan dan kepercayaan pengguna. Oleh itu, penting bagi industri untuk terus melabur dalam modal intelek insan untuk mewujudkan kumpulan bakat, kemahiran dan kepakaran yang akan meningkatkan prestasi industri ini. Untuk mencapai hasrat ini, organisasi latihan khusus telah pun ditubuhkan. Ini termasuk Pusat Kepimpinan Kewangan Antarabangsa (International Centre for Leadership in Finance, ICLIF) yang telah beroperasi selama tiga tahun, dan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (International Centre for Education in Islamic Finance, INCEIF) yang baru dilancarkan. Program latihan Institut Insurans Malaysia juga telah dikaji semula untuk memenuhi permintaan sektor kewangan yang kian berkembang.
Dalam kita menuju ke fasa terakhir Pelan Induk Sektor Kewangan dan landskap yang lebih kompetitif, kita memerlukan institusi kewangan teguh yang berdaya tahan, cekap dan berada pada kedudukan yang baik untuk memberi sumbangan kepada negara. Ini khususnya untuk mencapai sektor kewangan yang akan memudahkan dan menyokong pertumbuhan dan transformasi ekonomi yang mampan secara berkesan. Bagi melengkapkan usaha berterusan untuk membina kapasiti penanggung insurans domestik, Bank Negara Malaysia akan terus melaksanakan inisiatif strategik untuk mewujudkan landskap kewangan yang dihasratkan, yang lebih berupaya untuk menyumbang ke arah pencapaian matlamat sosioekonomi negara, dan lebih teguh untuk menghadapi tekanan persaingan dalam menyediakan produk dan perkhidmatan insurans.
Langkah penggabungan dan penggalakan pakatan strategik berpotensi memperkukuh kedudukan industri untuk bersaing secara lebih berkesan apabila pasaran menjadi semakin dinyahkawal selia dan liberal. Khususnya, dalam usaha menggalakkan pakatan strategik dalam industri, had pemegangan saham asing bagi entiti baru dalam penanggung insurans langsung telah dinaikkan daripada 30% kepada 49%. Ini bagi memanfaatkan potensi peserta asing yang kukuh dari segi kewangan dan reputasi mereka di peringkat antarabangsa. Ini juga akan menyumbang ke arah meningkatkan pembangunan keupayaan domestik, khususnya dalam bidang kepakaran teknikal, inovasi dan penambahbaikan proses operasi. Langkah ini juga akan menyediakan peluang tambahan kepada bakal rakan kongsi asing untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam industri tempatan melalui kepentingan ekuiti strategik dalam penanggung insurans berlesen yang sedia ada.
Bank Negara Malaysia juga akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan caruman premium yang dibeza-bezakan kepada dana skim jaminan insurans berdasarkan profil risiko sesebuah penanggung insurans sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan amalan pengurusan risiko yang baik dalam sistem kewangan. Langkah ini menyamai apa yang dilaksanakan untuk sistem insurans deposit sektor perbankan. Caruman premium yang dibeza-bezakan akan memberi insentif kepada penanggung insurans untuk memperkukuh amalan pengurusan risiko mereka supaya mendapat manfaat daripada caruman yang lebih rendah kepada skim pampasan insurans.
Saya berharap sesi perbincangan dalam dialog ini akan menghasilkan pemikiran yang lebih jelas tentang hala tuju strategi korporat dan respons pengawalseliaan bagi memastikan pembangunan industri insurans dan takaful yang kukuh.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.