Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 LIAM

Lanai Kijang | 22 November 2024

“A Legacy of Progress, A Future of Promise”

 

Sempena ulang tahun ke-50 LIAM, izinkan saya memberikan ucapan penghargaan kepada kepimpinan dan ahli-ahli LIAM yang berwawasan, baik yang dahulu mahupun sekarang, yang telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan pertumbuhan industri insurans.

Ketika saya membaca Coffee Table Book yang diterbitkan oleh LIAM, saya dapat melihat perubahan yang telah berlaku selama beberapa dekad. Saya menyertai Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 1988, iaitu tahun yang sama fungsi pengawalseliaan insurans dipindahkan daripada Kementerian Kewangan kepada BNM.

Sejak zaman itu, industri insurans hayat telah mengalami perubahan yang luar biasa. Bermula dengan saluran agensi yang bergantung pada hubungan peribadi, pelaksanaan pengaturan bankasurans pertama pada tahun 1994 telah menyebabkan industri insurans hayat beralih kepada sistem dua saluran. Seterusnya, saluran alternatif seperti insurans Internet dan penasihat kewangan telah diperkenalkan pada awal abad ke-21. Kepelbagaian saluran pengedaran telah meningkatkan pengambilan insurans, dengan nisbah polisi yang aktif kepada jumlah penduduk meningkat daripada 13% pada tahun 1990 kepada sekitar 44% kini pada tahun 2023.

Sejak penubuhannya, LIAM sentiasa menjadi nadi perkembangan ini dengan memainkan peranan penting sebagai persatuan perdagangan kendiri, serta menjadi perantara antara BNM, penanggung insurans hayat, orang awam dan pihak berkepentingan utama. Peranan LIAM juga telah berkembang dengan menjadi rakan kongsi dalam perumusan dasar, penggerak dalam pembangunan infrastruktur industri penting dan penyokong teguh inisiatif pembangunan negara. Hal ini termasuk program kesedaran insurans dan pendidikan kewangan, serta tindakan pantas LIAM terhadap saranan semasa krisis kesihatan dan ekonomi.

Prospek industri insurans hayat Malaysia tetap kukuh. Ekonomi kita terus berkembang, dengan pertumbuhan 5.3% pada suku ketiga tahun 2024, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih tinggi. Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah serta langkah-langkah dasar. Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, peningkatan dalam pelaksanaan pelaburan yang diluluskan, serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional.

Pada tahun 2023, premium perniagaan insurans hayat baharu meningkat sebanyak 11.6% kepada RM13.4 bilion. Pada masa yang sama, industri membayar sekitar RM15.4 bilion dalam tuntutan, menawarkan perlindungan kewangan penting kepada isi rumah apabila mereka sangat memerlukannya. Selain itu, kami meneliti bahawa pasaran insurans domestik semakin saling berhubung kait, didorong oleh integrasi serantau yang lebih meluas di seluruh ASEAN. Dengan populasi lebih 650 juta orang, penduduk kelas pertengahan yang berkembang serta populasi yang semakin meningkat usia, ASEAN menawarkan peluang yang signifikan untuk industri insurans memperluas jangkauan dan memenuhi keperluan perlindungan yang pelbagai.

Berlatarkan perkara ini, saya ingin menyentuh tentang “3T” yang perlu diterapkan oleh industri dalam membentuk masa hadapan insurans hayat di Malaysia dan pada peringkat selanjutnya.

Mari kita mulakan dengan 'T' pertama, iaitu teknologi dan pendigitalan.

Teknologi dan pendigitalan menawarkan peluang baharu untuk mengecilkan jurang perlindungan dengan menjadikan insurans lebih mudah diakses dan mampu milik, khususnya bagi segmen masyarakat yang lebih mudah terjejas. Ekosistem digital bersepadu dan teknologi baharu seperti AI membuka ruang kepada rakyat Malaysia yang mungkin tidak mempertimbangkan insurans sebelum ini. Penanggung insurans yang memanfaatkan teknologi baharu dan inovatif boleh membangunkan produk yang lebih sesuai dengan perlindungan dan harga yang khusus, lantas memudahkan akses lebih mudah kepada produk dan menjadikan pengalaman pelanggan lebih lancar. Tidak sukar untuk membayangkan ekosistem digital masa hadapan yang membolehkan rakyat Malaysia mendapat akses, memahami dan mendapatkan perlindungan insurans semudah memesan kenderaan e-hailing iaitu hanya dengan beberapa klik pada telefon mudah alih.

Bagi menyokong pendigitalan, BNM baru-baru ini telah mempertingkatkan Rangka Kerja Sandbox Teknologi Kewangan, termasuk memperkenalkan Laluan Hijau (Green Lane) untuk mempercepat ujian penyelesaian insurans inovatif sambil memastikan pematuhan terhadap peraturan. Kami juga telah mengeluarkan rangka kerja pelesenan dan pengawalseliaan untuk Pengendali Insurans dan Takaful Digital (digital insurance and takaful operators, DITO), bagi membuka jalan kepada peserta baharu untuk melakukan inovasi dan menangani jurang perlindungan sedia ada. Selain itu, kami terus memudahkan pelaksanaan e-KYC dan MyDigital ID dalam sektor kewangan, serta penggunaan AI secara teratur yang akan memajukan pendigitalan dan mengembangkan kes penggunaan di seluruh sektor kewangan.

Ada antara anda yang telah memulakan perjalanan ini dan memanfaatkan kemajuan pengawalseliaan dengan inovasi digital yang menggerakkan kita lebih dekat kepada aspirasi pengalaman insurans yang lancar dan mudah diakses. Kami menggesa yang lain untuk turut serta dalam perjalanan ini dalam membina industri yang benar-benar sesuai untuk era digital ini.

Beralih kepada 'T' kedua, transformasi untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin berubah-ubah.

Menjelang tahun 2044, Malaysia akan menjadi negara dengan penduduk yang semakin berumur, dengan lebih 15% populasi negara berumur 65 tahun ke atas.[1] Bersama-sama dengan peningkatan jangka hayat, nisbah kebergantungan umur tua dijangka menjadi tiga kali dari tahun 2010, yang menimbulkan beban yang semakin meningkat bagi populasi golongan bekerja untuk menyokong warga tua. Hal ini merupakan cabaran mendesak yang memerlukan transformasi dasar dan segera untuk menangani realiti masa hadapan populasi Malaysia. Cabaran ini akan memerlukan pendekatan seluruh negara, tetapi saya yakin bahawa industri insurans hayat boleh tampil dan memainkan peranan. Sebagai contoh, industri boleh mengambil langkah proaktif untuk membangunkan penyelesaian penjagaan jangka panjang dan penyelesaian persaraan yang khusus. Model inovatif seperti kesejahteraan kesihatan sebagai perkhidmatan, iaitu penanggung insurans bekerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan, juga akan membolehkan penanggung insurans memenuhi keperluan kesihatan populasi.

Banyak orang dewasa Malaysia juga kini hidup dengan penyakit tidak berjangkit, iaitu 33% dengan kolesterol tinggi, 29% dengan tekanan darah tinggi dan 16% dengan diabetes.[2] Oleh itu, banyak individu yang dikecualikan daripada perlindungan insurans, terutamanya untuk perlindungan perubatan dan kesihatan. Syarikat insurans perlu memastikan perlindungan kewangan kekal tersedia bagi segmen masyarakat yang lebih meluas, termasuk kumpulan berpendapatan rendah.

Apabila kos penjagaan kesihatan terus meningkat, usaha untuk memastikan insurans perubatan dan kesihatan yang mampu milik dan mudah diakses menjadi semakin penting. Semakan terkini terhadap dokumen dasar mengenai perniagaan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (medical health insurance and takaful, MHIT) memerlukan ITO menyediakan pilihan kos rendah untuk produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama (co-payment). Hal ini bertujuan untuk memperkasakan pemegang polisi dengan memberikan pilihan yang lebih meluas dan untuk menggalakkan mereka membuat keputusan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih berasaskan keperluan. Hal ini seterusnya akan membantu membendung inflasi tuntutan perubatan dan peningkatan premium. Hal ini juga menetapkan penubuhan platform data tuntutan perubatan pusat untuk membuka jalan ke arah meningkatkan ketelusan kos perubatan.

Industri juga boleh meneroka aplikasi teknologi perubatan canggih, termasuk alat boleh pakai dan perubatan mudah alih (telemedicine). Hal ini akan membolehkan penanggung insurans menyokong penjagaan pencegahan penyakit dengan lebih baik dan menawarkan penyelesaian perlindungan kesihatan yang lebih komprehensif dan khusus mengikut pangkalan pengguna yang lebih meluas. Usaha memodenkan syarat pengecualian dalam perlindungan hayat dan kesihatan juga merupakan aspek penting dalam transformasi, termasuk kemungkinan untuk beralih ke arah produk yang dinilai oleh masyarakat.

Terdapat juga keperluan yang semakin meningkat untuk penyelesaian insurans yang inovatif dan inklusif yang bukan sahaja memenuhi keutamaan pengguna yang berubah-ubah tetapi juga memastikan perlindungan yang mampu milik dan mudah diakses, terutamanya untuk kumpulan berpendapatan rendah. Sebagai contoh, beberapa penanggung insurans di negara serantau seperti China dan Filipina menawarkan produk insurans hayat bersaiz kecil yang inovatif, terutamanya dengan kerjasama pengendali mudah alih. Hal ini mengurangkan kos pemerolehan untuk penanggung insurans, dan seterusnya memberikan pengguna akses lebih mudah kepada perlindungan mampu milik. Selain itu, usaha-usaha ini perlu dilengkapi dengan inisiatif literasi kewangan yang kreatif untuk meningkatkan daya tahan isi rumah dalam kalangan segmen berpendapatan rendah.

Semua ini hanyalah setakat beberapa idea yang boleh terjadi, tetapi saya yakin bahawa industri akan bangkit untuk menghadapi cabaran dengan lebih banyak idea dan penyelesaian untuk menangani keperluan transformasi ekonomi negara. BNM kekal komited untuk memupuk persekitaran yang kondusif untuk inovasi pada model perniagaan dan penyelesaian baharu. Kami mengalu-alukan sebarang sesi libat urus untuk bersama-sama bertukar pandangan tentang cara kami boleh memudahkan inovasi yang bertanggungjawab demi kepentingan semua.

Beralih kepada 'T' ketiga yang berkaitan talent atau pembangunan dan pengekalan bakat.

Apabila dunia semakin menerima pendigitalan, terdapat permintaan yang semakin meningkat khususnya untuk tenaga kerja yang boleh menyesuaikan diri dan memanfaatkan teknologi baharu dengan berkesan. Untuk tujuan ini, Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (Future Skills Framework, FSF) telah dilancarkan pada bulan Julai, yang bertujuan untuk memudahkan industri membangunkan saluran bakat baharu serta kumpulan pengganti dan pelapis melalui peningkatan kemahiran dan pembangunan bakat. BNM akan menyokong pelaksanaan FSF yang berkesan, tetapi akhirnya, industri insurans hayat perlu kekal tangkas untuk menerima pakai proses membuat keputusan berasaskan data dan membina kumpulan profesional mahir digital yang mantap.

Namun, bukan hanya kepakaran teknikal yang penting. Ejen insurans yang memainkan peranan sebagai wakil industri perlu menjadi orang tengah antara penanggung insurans dan pelanggan. Oleh itu, kita perlu meningkatkan standard profesionalisme ejen insurans dan takaful, sejajar dengan harapan pelanggan yang semakin tinggi terhadap ejen dari segi profesionalisme, pengkhususan dan kecekapan. Kami juga memperkenalkan penambahbaikan selanjutnya kepada keperluan mengenai Ketelusan dan Penzahiran Produk untuk memastikan maklumat produk lebih mudah diakses.

Daripada pihak industri, kami mengharapkan LIAM dan institusi anggotanya terus memimpin dengan memberi contoh dalam menyokong pendidikan dan profesionalisme tenaga kerja agensi. Ejen yang terlatih dengan baik akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk membuat keputusan kewangan yang bijak. Kami juga menyeru industri untuk terus memastikan pengguna menjadi asas perniagaan, mengutamakan keperluan mereka, khususnya komuniti yang mudah terjejas dan memastikan layanan yang adil pada setiap masa.

'3T' ini adalah gabungan yang membawa kepada 'T' yang paling penting, iaitu kepercayaan (trust).

Sejak awal lagi, kepercayaan telah menjadi asas kepada industri insurans. Dahulu, insurans adalah setakat perjanjian yang mudah iaitu polisi yang ditulis tangan, saling berjabat tangan dan anggukan kepercayaan. Walaupun kita telah lama beralih daripada perjanjian tidak formal kepada polisi formal, asasnya tetap tidak berubah. Insurans secara terasnya merupakan perniagaan yang memenuhi janji. Oleh itu, industri perlu terus menunaikan janji tersebut, kerana kepercayaan yang kita jaga akan menjadi asas untuk pertumbuhan pada masa hadapan.

Industri insurans hayat Malaysia terus menjanjikan masa hadapan yang baik, penuh dengan peluang baharu untuk menjaga dan melindungi. Walau bagaimanapun, masa hadapan ini akan datang dengan cabaran tersendiri. Dari perubahan teknologi yang pesat dan risiko baharu sehinggalah harapan pelanggan yang semakin tinggi, terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Oleh itu, LIAM dan ahli industri perlu mengambil pendekatan seluruh negara, mengeratkan kerjasama dengan pihak berkepentingan ekosistem dan Kerajaan untuk memastikan kita berada pada kedudukan yang kukuh untuk menghadapi cabaran ini.

Di rantau ini, terdapat juga peranan dan potensi unik untuk LIAM. Apabila ekonomi ASEAN menjadi lebih bersepadu, LIAM dan syarikat anggotanya juga boleh menyumbang dalam menyelaraskan standard dan amalan industri, mengukuhkan keupayaan pengunderaitan industri, serta menyokong inisiatif pembangunan bakat yang lebih meluas bersama Asian Insurance Institute. Perkara ini akan membantu mengukuhkan keupayaan industri untuk membangunkan produk inovatif dan memenuhi keperluan perlindungan yang lebih besar di rantau ini.

Berlatarkan perkembangan baharu ini, BNM akan mengkaji semula Rangka Kerja Insurans Hayat dan Takaful Keluarga yang diperkenalkan pada tahun 2016 untuk memudahkan lagi pertumbuhan insurans hayat dan takaful keluarga pada tahun-tahun akan datang. Oleh itu, kami mengalu-alukan maklum balas daripada industri sambil kami meneruskan usaha ke tahap pembangunan seterusnya.

Sebagai penutup, saya ingin menyampaikan seikhlas penghargaan kepada LIAM atas kerjasama dan kepimpinan selama ini. Sokongan anda yang tidak berbelah bahagi, serta semangat kerjasama dan dedikasi LIAM amat dihargai. Sambil kita meraikan kemajuan yang telah dicapai setakat ini, kita juga berharap untuk meneruskan perjalanan ini bersama. Semoga masa hadapan insurans hayat di Malaysia, pemimpin dan ahli industri yang mendorongnya ke hadapan dan insan-insan yang memperoleh manfaat daripada ini terus maju.

Tahniah kepada LIAM atas 50 tahun memajukan industri insurans hayat dengan penuh dedikasi di Malaysia!

 

[1] Bank Dunia (2020), A Silver Lining: Productive and Inclusive Aging for Malaysia.

[2] CodeBlue (2024), Over Two Million Adults In Malaysia Live With Three NCDs: NHMS 2023.

 

Bank Negara Malaysia

22 November 2024


Bank Negara Malaysia
25 November 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?