Ucapan Alu-Aluan Gabenor Di Majlis Pelancaran Laman Web duitsaku.com
Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur | 19 Oktober 2004
Yang Berhormat Dato' Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia.
Tuan-tuan, Puan-puan dan para pelajar yang dihormati sekalian.
"Pendidikan kewangan merupakan satu cabang ilmu yang perlu dikuasai oleh semua golongan, khususnya dalam suasana ekonomi dan kewangan yang dinamik dan mencabar ini. Untuk mempastikan keberkesanan ilmu dalam jangka panjang, generasi muda Malaysia kini perlu didedahkan kepada pengetahuan ini, seawal mungkin. Dengan pendedahan yang berterusan, adalah menjadi harapan kami, akan wujudnya satu generasi baru rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran untuk mentadbir hal ehwal kewangan mereka sendiri."
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Hishammuddin, kerana sudi hadir di Majlis Pelancaran Laman Web, duitsaku.com, pagi ini. Pembangunan laman web ini adalah satu inisiatif bersama Bank Negara Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia, bagi menyediakan platform kepada para pelajar, menimba ilmu pengetahuan mengenai pendidikan kewangan, melalui kaedah pembelajaran interaktif.
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk muda yang ramai dan kadar simpanan dalam negeri yang tinggi. Dari segi pengurusan ekonomi, kadar simpanan yang tinggi ini merupakan salah satu daripada asas penting, bagi meningkatkan ketahanan ekonomi negara. Dalam keadaan di mana prestasi ekonomi terus dicabar oleh ketidaktentuan global, sumber simpanan ini berupaya mempastikan kegiatan-kegiatan penggunaan swasta, terus menyokong perkembangan ekonomi dalam negeri. Dengan kadar simpanan dalam Negara masih kekal pada tahap 36% daripada Keluaran Negara Kasar, kita masih berpotensi untuk menurunkan kadar simpanan ini, tanpa menggugat prospek masa depan ekonomi negara. Kadar penggunaan yang lebih tinggi boleh menjadi penjana pertumbuhan ekonomi yang penting. Akan tetapi, apa yang harus ditekankan ialah penggunaan ini hendaklah diurus berdasarkan kemampuan masing-masing.
Untuk mengekalkan pengurusan kewangan yang kukuh, suasana yang kondusif untuk rakyat menyimpan serta mengamalkan perbelanjaan secara berhemah perlu disediakan. Ini adalah kerana pengimbangan yang bijak di antara perbelanjaan dan simpanan, adalah mustahak bagi menjamin keselamatan kewangan dan taraf hidup dalam jangka panjang. Keupayaan membuat pengimbangan ini memerlukan pengetahuan, komitmen serta kebolehan merancang dan mengurus kewangan. Kita perlu mempastikan matlamat kewangan ditetapkan, sumber-sumber kewangan diuruskan dengan teliti, dan perbelanjaan dipantau secara sistematik dan terperinci. Dengan ini, kedudukan kewangan, kemampuan berbelanja, pengendalian beban hutang serta simpanan, masing-masing dapat dikawal sepenuhnya.
Dalam mewujudkan asas platform pendidikan kewangan ini, Bank Negara Malaysia telah mengadakan usaha sama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan institusi kewangan, untuk mendedahkan para pelajar kepada pendidikan kewangan yang bersesuaian. Usahasama yang merupakan satu agenda nasional ini, telah dimulakan dengan Program Sekolah Angkat pada tahun 1996, yang menyaksikan semua sekolah diambil sebagai sekolah angkat oleh institusi kewangan. Bagi memantapkan asas pendidikan kewangan ini, program Kelab Kewangan Pelajar Sekolah pula telah dilaksanakan mulai tahun 2001, sebagai aktiviti ko-kurikulum para pelajar di luar darjah.
Buku Wang Saku pula telah diperkenalkan mulai tahun 1999 bagi membantu para pelajar merekodkan transaksi kewangan harian mereka. Setiap tahun, Buku Wang Saku ini diedarkan kepada semua pelajar menerusi bank angkat sekolah masing-masing. Amalan seperti merekod aktiviti kewangan harian inilah yang akan menjadi asas bagi para pelajar, membentuk sikap bertanggungjawab terhadap kewangan peribadi masing-masing.
Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia telah menumpukan usaha supaya Buku Wang Saku dielektronikkan, dan diletakkan dalam satu laman web interaktif. Penghasilan laman web ini adalah sebagai pelengkap kepada amalan merancang kewangan dengan menggunakan Buku Wang Saku. Matlamat usahasama ini adalah untuk menjadikan pengurusan kewangan peribadi sebagai satu subjek yang popular dan terus diminati para pelajar.
Laman web duitsaku.com ini ditujukan kepada para pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah. Ciri-ciri yang mudah dan mesra pengguna, disertai dengan rekabentuk maskot yang menarik yang bergelar "Si-Mut" dan "Sang Lebah", pasti dapat mempengaruhi para pelajar supaya terus melayari laman web ini, bagi mendapat maklumat dan pengetahuan baru. Di samping itu, para pelajar berpeluang untuk berinteraksi serta berbincang dengan sahabat siber dari seluruh negara. Mereka juga berpeluang mengambil bahagian dalam ujian cabaran yang bertemakan pendidikan kewangan, seperti peraduan, permainan, kuiz, kalkulator dan aktiviti-aktiviti lain. Memandangkan pentingnya pendidikan kewangan dan kesannya terhadap aktiviti dan pertumbuhan ekonomi, adalah menjadi harapan Bank Negara Malaysia agar pendidikan kewangan diterima sebagai satu mata pelajaran kurikulum dalam bilik darjah.
Pencapaian matlamat pendidikan kewangan juga akan menyokong matlamat Program Pendidikan Pengguna seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan yang kini dalam peringkat pelaksanaan. Ianya menegaskan betapa pentingnya maklumat serta bimbingan mengenai hal ehwal kewangan diberikan kepada orang ramai. Adalah menjadi harapan Bank Negara Malaysia semoga laman web yang dilancarkan pada hari ini dapat digunakan sepenuhnya oleh orang ramai, terutamanya generasi muda untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam merancang dan menggurus kewangan yang berhemah.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.