Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour di Majlis Santapan Diraja bersempena dengan Forum Kewangan Islam Global 2025
Kuala Lumpur | 12 Oktober 2025
Izinkan patik merafak sembah takzim menjunjung kasih buat Penaung Diraja Inisiatif Kewangan Islam Malaysia, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Nazrin Shah, yang sudi mencemar duli berangkat ke majlis kami pada malam ini. Menjadi suatu penghormatan besar untuk patik mengalu-alukan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, serta kehadiran para tetamu kehormat β tuan-tuan dan puan-puan sekalian β ke Majlis Santapan Diraja bersempena dengan Forum Kewangan Islam Global (Global Islamic Finance Forum, GIFF) 2025.
GIFF menghimpunkan para pemikir dan pemimpin berwawasan melalui wadah yang memupuk jalinan yang bermakna. Kehadiran kita pada malam ini mencerminkan komitmen dan tujuan yang dikongsi bersama, iaitu bersatu dalam usaha memajukan kewangan Islam.
Hari ini, kita berada pada titik persimpangan yang strategik. Perubahan global yang pesat dan jangkaan yang meningkat terhadap kewangan Islam menuntut kita untuk menilai semula hala tuju masa hadapan industri ini. Satu haluan merupakan kemajuan berperingkat yang berterusan, dengan menambah baik asas yang sedia ada. Manakala satu haluan lagi menuntut anjakan pembaharuan yang didorong oleh kepimpinan yang kukuh, mentakrif semula dan mengangkat peranan kewangan Islam bagi membentuk sistem kewangan yang lebih inklusif dan mampan.
Pembaharuan tidak bermaksud meninggalkan asas yang telah terbukti berkesan dan memberikan manfaat kepada kita. Sebaliknya, pembaharuan merupakan satu usaha berani untuk membayangkan semula apa yang mampu dicapai iaitu sebagai langkah untuk memperkukuh matlamat kita dan memperteguh komitmen terhadap nilai-nilai yang menentukan identiti kita. Dalam usaha kita untuk memajukan industri kewangan Islam, hal ini bermaksud:
- Pertama, memperluas penggunaan struktur perkongsian risiko seperti Mudarabah dan Musharakah bagi memupuk penyertaan ekonomi yang lebih inklusif; bagi menyediakan pilihan risiko-pulangan yang lebih pelbagai;
- Kedua, meletakkan kewangan Islam sebagai pilihan utama dalam pembangunan ekonomi halal dan pembiayaan lestari; dan
- Akhir sekali, merungkai potensi wakaf dan zakat sepenuhnya sebagai instrumen kewangan yang didorong impak. Langkah ini termasuk membangunkan rangka kerja pelaburan wakaf yang lebih jelas, menambah baik tadbir urus dan ketelusan zakat, serta pengukuran hasil yang lebih baik melalui pulangan pelaburan sosial (social return on investment, SROI).
Idea-idea ini merupakan peluang strategik bagi kewangan Islam mencorak kemakmuran lebih baik untuk generasi akan datang. Peranan kewangan Islam pada masa hadapan bergantung pada pilihan kita hari ini, iaitu pilihan yang memperkukuh kepimpinan kita, menginspirasikan inovasi dan menarik minat tenaga kerja generasi akan datang untuk melonjakkan kewangan Islam ke tahap yang lebih tinggi.
Para hadirin sekalian,
Dalam menghadapi landskap yang kompleks ini, kita perlu kekal berlandaskan pada nilai dan bersatu dalam visi kita. Di Malaysia, perkembangan kewangan Islam bukan sahaja dibentuk oleh hala tuju dasar yang teliti tetapi juga oleh komitmen yang mendalam terhadap kewangan berasaskan nilai yang melangkaui ukuran kewangan. Inisiatif seperti pelaksanaan Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation, VBI), aplikasi bersepadu kewangan sosial serta rangka kerja sukuk hijau dan sukuk lestari, menunjukkan cara kewangan Islam boleh memainkan peranan yang bermakna, iaitu yang menggalakkan rangkuman, kelestarian dan integriti.
Pada peringkat global, kita didorong oleh keselarasan yang semakin mantap antara pengawal selia, organisasi antarabangsa dan pihak berkepentingan sektor swasta yang berkongsi aspirasi yang sama. Penyatuan ini membuka peluang yang tepat pada masanya untuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan memperluas impak, dengan memastikan kewangan Islam memainkan peranan teras dalam membentuk sistem kewangan global yang lebih berdaya tahan dan didorong nilai. Dalam kita maju ke hadapan, marilah kita sentiasa beringat akan sebuah ayat suci dari Surah Al-`Imran (3:103): βDan berpeganglah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah.β Ayat ini menyeru kita untuk bersatu dan terus teguh dalam tujuan kita. Ayat ini juga merangkumkan dengan indah tentang semangat kesatuan dan tujuan bersama yang perlu menjadi teras kepada usaha kita untuk mendapatkan impak yang lebih besar.
Akhir kata, saya amat yakin bahawa GIFF 2025 menawarkan masa yang tepat untuk kita merenung, menjalin hubungan dan membayangkan semula potensi kewangan Islam. Pada persimpangan antara tradisi dengan inovasi, marilah kita mengambil inspirasi daripada kepimpinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Nazrin Shah yang teguh dalam memperjuangkan potensi pembaharuan kewangan Islam untuk menangani cabaran global, yang telah mengetengahkan ekosistem kewangan Islam Malaysia pada peringkat antarabangsa. Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah memainkan peranan penting dalam membentuk perbincangan kewangan Islam dan sentiasa memperjuangkan penjajarannya dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Visi Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menjadikan kewangan Islam sebagai pemangkin kepada pembangunan lestari global terus menjadi sumber inspirasi kepada industri untuk berfikir dengan berani dan bertindak dengan matlamat yang jelas.
Dengan itu, marilah kita bersama-sama menghayati detik renungan dan inspirasi. Sekian, terima kasih.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.